20 Mei 2013

Bengkel Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah

Ada kes di Mahkamah Syariah? Pening tak tau nak hadapinya? Sertai Bengkel Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah: 

Tarikh: 7 Julai 2013
Masa: 8.00am hingga 6.30pm
Tempat: Bilik Seminar, The Mind Village, Kota Damansara
(bersebelahan dengan Galeri Ilmu Sdn Bhd)
Yuran: RM280 per individu

Aturcara:
08.00am – Pengesahan Pendaftaran
08.15am – Bacaan Doa al-Ma’thurat
08.30am – Bengkel 1 – Tuntutan Cerai, Pengesahan Cerai dan Khuluk
10.00am – Minum Pagi
10.30am – Bengkel 2 – Tuntutan Takliq dan Fasakh
01.00pm – Makan tengahari dan Solat Zohor
02.00pm – Bengkel 3 – Tuntutan Hak Jagaan Anak dan Nafkah Anak
03.30pm – Bengkel 4 – Tuntutan Nafkah Eddah, Mut’ah, Harta Sepencarian dan Hutang Perkahwinan
05.00pm – Solat Asar dan Minum Petang
05.30pm – Bengkel 5 – Nusyuz dan Perintah Kembali Taat
06.30pm – Bersurai

Perbincangan menyeluruh mengenai prosedur dan tatacara pengurusan kes mal (perkahwinan) merangkumi kes tuntutan cerai, takliq, fasakh, khuluk, hak jagaan anak, tuntutan nafkah eddah, mut’ah, nafkah anak, harta sepencarian dan hutang perkahwinan. Ketahui juga mengenai nusyuz dan perintah kembali taat. Anda juga akan diajar mengenai dokumentasi dan pembuktian yang perlu dikemukakan bagi menyokong kes anda.

Cepat! Daftar segera! Tempat terhad kepada 25 peserta sahaja.

Untuk pendaftaran, bayar RM130 ke akaun akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh, no KP dan alamat lengkap anda ke talian 013-2545965. Baki bayaran RM150 dibayar pada hari program. Bayaran tidak akan dikembalikan tetapi boleh digantikan dengan peserta lain. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama rakan2...(",)

21 April 2013

Suami rimas isteri obses dengan kebersihan



Soalan Dilema Perkahwinan, Pa&Ma bulan Februari 2012

"Isteri terlalu obses dengan kebersihan sehingga membuatkan saya rimas apabila berada di rumah. Setiap apa yang saya lakukan perlu dibersihkan serta-merta. Bagaimana mahu mendidik dia agar tidak terlalu memikirkan kebersihan sepanjang masa?"

JAWAPAN:

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.” - hadis riwayat lmam Muslim.

Saya ingin menarik perhatian tuan yang bertanya dan para pembaca semua kepada ayat pertama dalam terjemahan hadis yang saya kongsikan di awal jawapan ini iaitu “kebersihan itu sebahagian daripada iman...”. Saya yakin, ramai yang maklum mengenai maksud hadis ini. Hakikatnya, kebersihan mengambil banyak ruang keimanan kerana bersih itu adalah sesuatu yang mulia dan disukai bukan saja oleh Rasulullah SAW tetapi juga oleh Allah SWT. Di dalam surah at-Taubah ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Saya yakin, semua individu di dunia hari ini sukakan kebersihan. Tak mungkin wujud cantik dan indah andai tidak disertai dengan bersih. Sepohon mawar yang mekar dan segar pasti takkan sedap mata memandang persekitarannya tidak bersih. Lantas, sikap isteri tuan memang boleh dipuji kerana dia menghargai kebersihan dan keindahan yang sememangnya menjadi tuntutan syariat malah disarankan juga oleh ugama lain di dunia ini.

Merujuk kepada kes; persoalan utamanya ialah ‘isteri yang terlalu obses dengan kebersihan’ dan huraian bagi maksud obses ini seperti yang dikongsikan ialah Setiap apa yang saya lakukan perlu dibersihkan serta-merta.” Jika hanya itu penjelasannya mengenai obses yang dimaksudkan, saya tak nampak ada alasan wajar untuk anda dan saya ‘mendidik isteri anda agar tidak terlalu memikirkan kebersihan sepanjang masa’ kerana jelas sekali, obses isteri anda adalah bertempat. Saya tidak tahu status sebenar isteri anda; maksud saya ialah sama ada isteri anda suri rumah sepenuh masa atau isteri dwi kerjaya. Biarpun status itu memberikan dua keadaan berbeza tetapi faktanya adalah sama. Jika isteri anda seorang isteri dwi kerjaya, sudah pastilah dia mementingkan kekemasan dan kebersihan dan meminta anda membersihkan serta-merta saki baki hasil kerja anda sebagai satu cara agar bebannya untuk mengemas dan membersihkan semula dapat dikurangkan. Andai isteri anda suri rumah sepenuh masa, alasannnya juga sama iaitu agar bebannya untuk mengemas dan membersihkan semula dapat dikurangkan juga.

Ingat! Isteri bukan tukang kemas. Isteri juga bukan tukang cuci. Ya, amalan tradisi masyarakat kita, bukan saja orang Melayu malah juga kaum-kaum lain meletakkan tanggungjawab mengemas dan membersih di bahu kaum wanita atau lebih tepat lagi para isteri. Hakikat sebenarnya, kerja mengemas dan membersih rumah dan kawasan persekitarannya adalah tanggungjawab bersama suami dan isteri bermaksud suami dan isteri perlu sama-sama menggembeling tenaga untuk melaksanakan urusan tersebut. Dalam kes dikongsikan kali ini, saya yakin penggembelingan tenaga tersebut berlaku cuma si suami merasakan isterinya terlalu mendesak.

Bagi saya pula, tiada desakan atau paksaan jika si suami benar-benar memahami maksud kemas dan bersih. Sememangnya agama malah adat dan budaya masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman menitikberatkan agar BERSEGERA dalam melaksanakan setiap urusan apatah lagi urusan berkaitan kekemasan dan kebersihan. Andai ditangguhkan, sudah pasti saki baki kerja tadi akan nampak tidak kemas, comot, tak bersih malah tak sedap mata memandang. Jika tangguhan demi tangguhan berlaku akan menyebabkan keadaan menjadi tunggang langgang dan tidak teratur maka jadilah luahan ayat popular ‘seperti tongkang atau kapal pecah’. Keadaan ini juga akan menyebabkan proses mengemas dan membersih mengambil masa yang lama, memenatkan dan lebih merimaskan.

Buat tuan yang bertanya dan individu lain di luar sana yang mungkin mempunyai masalah serupa; bersikaplah secara terbuka dan berlapang dada. Fahami dan terima tabiat baik dan mulia yang diamalkan oleh pasangan anda. Bila dah tau sikap buruk anda (dalam perbincangan ini ialah tidak suka kemasan serta merta) tidak digemari oleh pasangan anda, usahakanlah untuk berubah. Ya! Mungkin anda telah terbiasa dengan sikap menangguhkan urusan mengemas dan membersih namun peringatan saya: Jangan hipokrit mengatakan: "aku memang macam ni!" kerana 'macam' tersebut boleh menjadi macam-macam jika berkehendak! Ingat! Hendak seribu daya! Mahu seribu cara! Sikap individu memanng dibina melalui didikan, persekitaran dan kebiasaan dalam cara hidup. Namun, seperti kuih yang dibentuk melalui acuannya; bentuk kuih masih boleh diubah kan? Sama rasa, lain bentuknya! Sama jugalah dengan kita bernama manusia; juga masih boleh mengubah sikap jika ia lebih baik untuk diri dan insan yang disayangi.
 
TETAPI andai obses yang tuan maksudkan adalah lebih buruk daripada desakan mengemas dan membersih serta merta iaitu mudah berasa jijik dan kotor walau dengan perkara yang kecil dan tidak jelas atau lebih mudah dipanggil ‘penyakit was-was’; sememangnya isteri tuan perlu dirawat. ” Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 97-98 bermaksud: “Dan katakanlah: Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisik rayuan syaitan. Dan aku berlindung, ya Tuhan, dari kehadiran syaitan itu kepadaku..” Perlu dimaklumi, antara bisik rayuan syaitan ialah meniupkan rasa ragu atau was-was dalam urusan berkaitan kebersihan. Was-was bukanlah satu sikap normal atau biasa sebaliknya was-was adalah satu penyakit berbahaya dan perlu diatasi dengan segera.

Antara sebab boleh timbulnya penyakit was-was ialah jahil dalam agama, lalai dalam ibadah, terlalu berhati-hati, lemah iman di samping terpedaya godaan syaitan. Syaitan memang suka jika manusia sentiasa berasa ragu mengenai kebersihan kerana rasa ragu ini akan menyukarkan seseorang itu untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Rasa ragu juga menyebabkan seseorang terlalu obsess dengan kebersihan sesuatu yang akan membuatkannya bertindak membersih dan membersih lagi dan membersih lagi walau hakikatnya bagi pandangan manusia normal, tempat atau sesuatu itu telah sempurna bersih dan kemas. Bagi menangani penyakit was-was ini, tuan boleh ajarkan isteri untuk mengamalkan doa yang diajarkan oleh para ulama yang bermaksud: Ya Allah! Lindungilah aku daripada syaitan. Ya Allah! Jagalah aku daripada syaitan. Ya Allah!Ttolonglah aku untuk mengingati-Mu yakni sentiasa berzikir kepada-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan menambahbaikkan ibadah kepada-Mu. Ya Allah! Jagalah aku daripada tipu daya musuh-Mu yakni syaitan.”

Isteri tuan juga perlu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, banyakkan membaca al-Quran dan sentiasa memohon bantuan Allah SWT ketika diterjah dengan penyakit was-was. Antara amalan yang boleh dolakukan ketika diterjah penyakit was-was ini ialah dengan meludah ( iaitu meniup dengan sedikit ludah sahaja) ke kiri tiga kali dan berta’awwuz daripada gangguan syaitan sebanyak tiga kali (menyebut ‘auzubillahi minassyaitonir rajim). Diriwayatkan; ketika Usman bin Abil As-Tsaqafi r.a mengeluh kepada Rasulullah SAW  tentang was-was yang dialaminya, Rasulullah SAW memerintahkannya untuk meludah ke kiri tiga kali dan berta’awwuz kepada Allah SWT. Usman pun melakukan saranan Rasulullah SAW dan dengan izin Allah SWT, rasa was-was Usman hilang.

Paling penting; perlu ada keyakinan dalam diri sendiri. Berdoa sahaja tidak cukup jika isteri tuan malah sesiapa sahaja di luar sana yang mempunyai penyakit was-was ini tidak berusaha untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik. Ingat! Was-was itu puncanya daripada syaitan lantas jangan benarkan syaitan menguasai diri dan minda anda. Benarlah bersih itu tuntutan syariat tetapi bukan kebersihan atau kekemasan yang melampau dan luar biasa. Islam adalah agama yang syumul yakni sempurna tetapi mudah dan tidak menyusahkan dan sebaik-baik amalan menurut tuntutan syariat ialah pertengahan atau sederhana, bukannya melampau! Moga kita semua dapat hidup dengan aman sejahtera bersama kekemasan dan kebersihan yang menyedapkan pandangan dan menenangkan hati tanpa wujudnya tekanan tak perlu dan tak wajar.

27 Mac 2013

Suami bosan isteri layan anak



Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma bulan Januari 2012

"Sebulan selepas bernikah, isteri saya hamil. Kemudian kami menimang cahaya mata. Sejak bergelar suami, saya tidak pernah dilayan seperti yang selayaknya. Sejak hamil, isteri sibuk dengan kehamilannya. Kini, dia sentiasa sibuk melayan anak. Ini membuatkan saya lama-kelamaan menjadi bosan dengan sikapnya yang lupa pada tanggung jawab sebagai isteri."

JAWAPAN:

Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia iaitu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Fitrah ini sama sahaja kepada semua tak kira dia lelaki atau wanita. Meneliti hikmah perkahwinan pula, isteri bertanggungjawab untuk membahagiakan si suami malah si suami juga bertanggungjawab untuk membahagiakan si isteri. Biarpun akad perkahwinan di dalam Islam tidak memperincikan mengenai kesanggupan untuk meneruskan hidup dalam susah senang bersama-sama seperti lafaz ijab dan qabul bagi perkahwinan Mat Saleh, hakikatnya lafaz ijab dan qabul dalam perkahwinan Muslim adalah lebih besar dan bermakna.

Merujuk kepada kes, jelas tuan tidak menerima hak yang sepatutnya daripada seorang isteri. Menurut hukum syarak, seorang isteri berkewajipan untuk melayan suaminya dengan baik dalam erti kata melayani kehendak seks suami dan menyenangkan hati si suami. Saya yakin, si isteri sedar dan faham mengenai tanggungjawab ini cuma menghadapi beberapa kekangan untuk melaksanakannya.  Kita perhatikan kronologi kes. Tuan menyatakan perubahan berlaku terhadap layanan isteri kepada tuan selepas isteri disahkan hamil. Saya tidak pasti bagaimana isteri tuan melalui proses kehamilannya namun kebiasaannya, pengalaman pertama kehamilan adalah satu perkara amat bermakna malah berbeza.

Ada wanita yang mengalami alahan yang teruk hingga tidak berupaya untuk dekat dengan suami. Maksud saya, kepenatan yang dialami kesan alahan melampau menyebabkan si isteri tidak mampu untuk melayan kehendak batin si suami lantas si isteri cuba menjauhkan diri. Keadaan alahan tersebut juga membuatkan si isteri lebih menumpukan kepada urusan menjaga kehamilannya. Selepas bersalin pula, isteri mempunyai tambahan tanggungjawab sebagai seorang ibu pula. Bayi anda perlu diberikan perhatian sepenuhnya, bukan sekadar menyusukan dan membiarkan begitu sahaja. Biarpun begitu, bukan bermaksud si isteri yang telah menjadi ibu tidak lagi berpeluang atau mempunyai masa untuk melayan kehendak suami.

Berpandukan kes-kes yang pernah saya kendalikan, seorang isteri yang baru bersalin terutama bersalin secara normal akan mengalami satu fobia; bimbang alami kesakitan jika melakukan hubungan seksual bersama suami. Ada kes, isteri perlukan masa hampir satu tahun untuk kembali melakukan hubungan seksual dengan suami. Jangan ambil mudah! Isteri bersalin ibarat seperti menyabung nyawa. Setiap bayi yang lahir atau keluar melalui saluran yang sepatutnya bukan melalui satu jalan yang lurus dan kosong. Alat kelamin wanita mempunyai lapisan yang unik dan sekiranya ia terhiris atau luka, memang mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Lantaran, hukum syarak menetapkan adanya tempoh nifas, bukan sekadar untuk mengeluarkan darah kotor kesan daripada kehamilan tetapi sebagai peluang untuk menyembuhkan semula saluran faraj wanita. Adat masyarakat kita juga menentukan tempoh berpantang 44 hari minima dan 100 hari maksima sebagai memberi peluang agar wanita membina semula keyakinan dan kekuatan diri. Wanita pula mempunyai semangat dan kekuatan yang berbeza. Jika ada yang berupaya untuk pulih segera, hari ke 45 suami dah boleh bersamanya semula. Bagi yang lambat, isteri ini perlukan bimbingan dan sokongan.

Berdasarkan luahan tuan, saya tak nampak wujudnya perbincangan antara tuan dan isteri dalam menangani permasalahan ini. Untuk makluman tuan, masalah utama komunikasi sesama setiap insan termasuk suami dan isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama2 memahami akan dikecapi.

Seperti kes tuan, jalan terbaik ialah tuan perlu luahkan kegelisahan dan keinginan tuan. Mohon pertimbangan isteri untuk memberi tuan peluang agar hajat dan kehendak batin tuan dapat dilangsaikan. Jangan luahkan dengan kasar dan keras tetapi luahkan dengan berhikmah. Tuan boleh mulakan dengan bersama isteri ketika isteri melayan anak tuan bermain. Sama-sama melayani kerenah si kecil bukan saja dapat merapatkan kembali hubungan tuan bersama isteri sebaliknya layanan dan perhatian tersebut juga merupakan hak seorang anak.

Ya! Tuan kini bukan lagi hanya seorang suami tetapi juga adalah seorang ayah. Tuan wajib melayan anak tuan, memberinya perhatian, kasih sayang dan belaian. Jika tuan usahakan untuk bersama melayani si anak, pasti isteri punya masa lebih untuk melakukan kerja rumah yang pastinya juga dipertanggungjawabkan oleh tuan kepadanya. Kesan daripada itu akan memberikan isteri tuan luang masa yang lebih dan insyaAllah dia akan mampu untuk melayani tuan.

Tuan juga perlu berbincang dengan isteri mengenai kepuasan tuan dan dirinya dalam melaksanakan hajat batin masing-masing. Perlu difahami, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.

Namun begitu, isteri juga berhak untuk merasa puas dan menikmati hubungan kelamin tersebut. Saya bimbang, isteri tidak berminat untuk melayan kehendak batin tuan kerana dirinya tidak merasai nikmat ketika berhubungan. Oppss! Jangan cepat melatah! Mampu hamil dan melahirkan bukan bukti kehendak seksual isteri telah dipenuhi sebaiknya. Jangan lupa, wanita yang dirogol juga boleh hamil. Kepuasan seorang isteri dalam menjalinkan hubungan seksual bersama suami diambil berat oleh syarak. Rasulullah SAW mengingatkan para suami dalam sabdanya yang bermaksud: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Kenapa? Kerana seorang isteri hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menyempurnakan kehendak batinnya. Berbeza dengan suami, jika tak lagi ‘berselera’ dengan isteri yang ada, suami diberikan pilihan untuk mempunyai isteri baru yang dapat memenuhi hajatnya. Tuan perlu dapatkan penjelasan daripada isteri mengenai masalah ini. Andai isteri tidak mempunyai masalah berkaitan kepuasan cuma mohon lebih masa untuk kembali yakin dan percaya tentang seronoknya berhubungan biar selepas melahirkan; jangan putus asa!

Tika inilah tuan perlu mainkan peranan. Jangan biarkan isteri begitu sahaja. Rapat dengannya, bermesra macam biasa cuma jangan memaksanya untuk ‘bersama’. Lakukanlah aksi-aksi pra hubungan agar isteri rasa teruja dan timbul keinginan untuk bersama. Belajarlah teknik-teknik merangsang syahwat isteri. Usahakan beserta doa, insyaAllah aka nada penyelesaiannya.

Ingat! Rom tidak dibina dalam satu hari. Sama juga dengan bahagia hidup berumahtangga, perlukan masa berhari-hari, mungkin berbulan, mungkin juga bertahun. Terus berusaha dan bersabarlah melayani kerenah isteri. Ingat! Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” - hadis riwayat al-Tirmizi.

26 Mac 2013

Mesej buat wanita diceraikan

Mesej seorang rakan FB: Kak su blh saya share sesuatu .. Saya jumpa some artikel frm internet .. Kalu kak rasa ini blh menbina keyakinan ibu yang bercerai leh share ;
---------------------------------------------
**Saya dah baca dan suka dengan nukilan ini. Tahniah kepada pencetus idea hebat ini.... (",)
--------------------------------------------

Wanitaku sayang,
Jangan sesekali berasa lemah,
Perceraianmu terkandung hikmah,
Ia bukan tanda kau bersalah,
Mehnah hidup, perlukan muhasabah.

Wanitaku sayang,
Perceraian bukan selamanya keburukan,
Kadangkala ia jadi ubat menyembuhkan,
Allah adil memberikan penyelesaian,
Teguklah ubatmu dengan ketabahan.

Wanitaku sayang,
Kajilah kisah tokoh-tokoh wanita,
Menjadi inspirasi tika kau berduka,
Tiada hidup tanpa derita,
Semuanya akan berbuah bahagia.

Wanitaku sayang,
Si solehah Atikah pernah berpisah,
Dengan anak Abu Bakar bernama Abdullah,
Begitu juga puteri Umar, Hafsah,
Pernah diceraikan oleh Rasulullah.

Wanitaku sayang,
Meskipun mereka insan ternama,
namun perceraian tetap menerpa,
itu tanda engkau dan suamimu tidak hina,
masing-masing ada sebabnya.

Wanitaku sayang,
Sebelum menjadi kesayangan Nabi,
Khadijah pernah diceraikan suami,
Sebelum menjadi kesayangan Uthman,
Ruqayyah dan Ummu Kalthum pernah ditinggalkan.

Wanitaku sayang,
Tika suami melafaz cerai,
Dan air matamu jatuh berderai,
Allah menghitung dengan saksama,
Adakah dirimu insan dianiaya?

Wanitaku sayang,
Tika suami sudah tidak sudi,
Allah setia di pintu hati,
Keputusan suami perlu dihormati,
Kuasa talaqnya diberi Ilahi.

Wanitaku sayang,
Tika kau yang mulakan perceraian,
Ia rukhsah yang dimaafkan,
Selagi alasanmu bukan sebarangan,
Tegakkan hak Allah dalam ketaatan.

Wanitaku sayang,
Tika kau tekad inginkan perpisahan,
Kau berhak singkirkan kesengsaraan,
Berhikmahlah mengambil kelonggaran,
Menadah tangan, pohon keredhaan.

Wanitaku sayang,
Biarlah masyarakat memandang hina,
Asal Allah memandang mulia,
Asal dirimu pasrah menerima,
Semuanya akan baik-baik sahaja....
----------------------------------------------
Mesej saya pula: Janji Allah dalam surah at-TALAQ bermaksud: "Barangsiapa yg bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan dia dari masalah hidup. Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga..." - ayat 2-3. Setiap ketentuan-Nya punyai sebab dan berhikmah. Yg pasti, DIA punyai perancangan yg lebih baik untuk kita. Paling penting, jangan patah hati, jangan putus asa dan jangan putus doa serta teruslah berharap kepada-NYA.... (",)

Kajian khidmat guaman

Saya sedang melaksanakan satu kajian berkaitan khidmat guaman syarie yg diberikan oleh para peguam syarie di Malaysia sama ada peguam syarie swasta atau peguam syarie dari jabatan bantuan guman (sebelum ni Biro Bantuan Guaman)

Jika ada antara rakan2 yg pernah menggunakan khidmat guaman syarie dari mana2 peguam syarie tersebut, mohon kerjasama untuk emelkan komen anda merangkumi persoalan berikut:
1- Apakah kes yg anda tuntut atau hadapi di Mahkamah Syariah? Tolong sertakan nombor kes atau nombor saman (bukti kes wujud)
2 - Bilakah kes tersebut (memadai tahun)? Di mana (memadai daerah atau negeri)?
3- Peguam yg mewakili anda - peguam syarie swasta atau biro/jabatan bantuan guaman? Saya tak mahukan nama peguam ya!
4- Status kes anda – sama ada telah selesai atau masih berjalan? Kalau masih berjalan, berapa lama tempoh yg telah dilalui?
5. Komen berkaitan khidmat guaman yg diberikan. Jika menggunakan khidmat peguam syarie swasta, apakah anda berpuas hati dengan bayaran yg dikenakan mengambil kira khidmat yg diberikan tersebut?

Emelkan jawapan anda ini ke binabahagia@gmail.com dengan subjek KAJIAN KHIDMAT GUAMAN.

Tujuan kajian ini ialah untuk kegunaan bagi satu usul khidmat guaman lebih efektif dan memenuhi kehendak klien bakal dilaksana dalam satu program usahasama. Mohon kerjasama rakan2 untuk membantu saya dalam kajian ini dan mohon doakan segala perancangan berkaitan berjalan lancar.

Tempoh berikan maklumbalas bakal berakhir pada 13 April. Terima kasih kepada mereka yg telah memberikan maklumbalas dan terima kasih didahulukan kepada mereka yg bakal bekerjasama... (",)