26 Januari 2010

Jangan biar benci bercambah

“Jika satu hari nanti anak saya 'membuang' ayahnya, saya harap orang ramai tidak menyalahkan mereka kerana mereka terlebih dulu 'dibuang' ayah sendiri,” katanya. Ayat yang saya boldkan di atas ini adalah petikan kata-kata seorang wanita yang masih bernama isteri dan semestinya akan kekal sebagai seorang ibu, kepada wakil sebuah akhbar tempatan, semalam. Saya yakin ramai yang tahu tentang ayat keramat ini sebab saya terjumpa banyak komen berkaitan dikemukakan di Facebook. Tak mustahil, ramai yang memanjangkannya ke kumpulan emel masing-masing.

Saya yakin, ayat keramat di atas menjadi perbincangan hangat disebabkan kebelakangan ini, kes buang ayah dah mula popular. Daripada komen-komen berkaitan, ramai yang menyuarakan tentang hukum karma, what you give you get back dan pelbagai reaksi yang secara tersiratnya, mengikut pandangan saya secara peribadi, seakan-akan menyokong fenomena seperti ini berlaku.

Kalau dikutkan, memang padan lah dengan muka si ayah yang membuang anaknya satu masa dahulu yang menyebabkan kini, si ayah pula dibuang oleh anaknya sendiri. Bagi ibu tunggal yang diceraikan suami ataupun ibu tinggal yang bekas suami atau suami hilang tanpa khabar, mungkin bersetuju 100% dengan kenyataan si ibu di dalam kes yang saya kemukakan di awal tadi.

Saya hormati pendapat anda! Namun, saya membantah keras pendapat tersebut! Maafkan saya! Saya bukan tak faham malah saya faham sangat-sangat. Seperti yang saya pernah maklumkan, saya juga adalah ibu tunggal yang diceraikan oleh suami yang enggan bekerja dan kini, tika perceraian bakal menyambut ulangtahun kedua pada awal Mac nanti, saya bersendirian menjaga, membesarkan, mendidik, melayan dan macam-macam lagi rutin wajib seorang ibu termasuk rutin wajib seorang bapa iaitu menyara tiga orang cahayamata berusia dua tahun hingga tujuh tahun. Sungguh! Saya faham sangat kekalutan, ketegangan, kerisauan, kepenatan malah tekanan yang dialami.

Satu perkara yang pasti, biar apa pun emosi yang kita sebagai ibu alami, jangan sesekali wujudkan rasa benci kepada ayah sendiri di dalam diri anak-anak. Mungkin ada kes si anak menyaksikan penderitaan yang dialami oleh si ibu menyebabkan rasa benci kepada si ayah wujud. Jika itulah keadaannya, menjadi tugas utama seorang ibu untuk mendidik anak-anaknya agar memaafkan kesilapan dan kesalahan si ayah. Pesankan juga, jangan sesekali diulangi kesalahan dan kesilapan tersebut. Pesankan juga, jangan putus mendoakan agar si ayah berubah sikap dan menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab satu hari nanti.

Kenapa perlu dipesan semua itu? Sebab hukum syarak pasti: setiap anak wajib hormatkan ibu dan bapa! Nak kata 'uh' pun dilarang sama sekali, ini kan pula sikap-sikap tidak baik seperti tidak pedulikan ibu bapa atau membuang mereka terus.

Terus terang, bekas suami saya dah lama tak hubungi anak-anak. Nak bagi nafkah memang jauh sekali sebab kerja dia pun tak menentu. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak disaman di mahkamah? Boleh ja nak saman tapi di dalam kes saya, menyaman bekas suami sebab gagal memberikan nafkah bukan yang terbaik disebabkan dia sendiri tidak bekerja tetap. Jika disaman kemudian dipenjarakan, akan lebih memudharatkan keadaan. Sebab itulah, saya mengambil langkah berlembut tapi tegas. Saya balas SMS bekas suami tika tanyakan khabar anak-anak dengan satu pesanan: kalau sekadar bertanya khabar melalui SMS yang sah-sah saya akan baca, tiada gunanya. Perceraian antara kami tidak memutuskan hubungan dia dengan anak-anak. Bererti tanggungjawab sebagai Abi tetap perlu dilaksanakan: beri nafkah, kasih sayang dan perhatian! Kalau tak nak beri semua tu, baik tak perlu SMS sekadar tanya khabar.

Mungkin marah dengan SMS tersebut, sejak lepas raya puasa ari tu, hingga kini tiada lagi khabar daripadanya. Ulangtahun kelahiran Ayuni pun tidak diberi ucap selamat. Saya yakin, Ayuni faham bila saya jelaskan, mungkin Abi sibuk bekerja sebab tu lupa nak ucapkan birthday!!

Alhamdulillah, hingga kini anak-anak tak benci Abi. Malah baru-baru ni ja, Mak saya tanyakan kepada Suhail yang memang lebih rapat dengan Abi, tak nak jumpa Abi ker? Suhail jawab, nanti bila Abi datang, Bang Chik jumpa la!!

Saya takkan halang. Jika itu yang berlaku satu hari nanti, silakanlah bertemu. Sebab saya tak nak anak-anak yang saya cintai menjadi anak yang derhaka. Biar Abi tidak menjalankan tanggungjawabnya sebelum ini, bukan bererti anak-anak boleh lupakan Abi begitu sahaja. Anak-anak takkan lahir ke dunia ini hanya dengan ada ibu atau ayah sahaja. Perlukan ibu dan ayah untuk satu kelahiran bermakna!

Darah ibu atau ayah yang mengalir dalam diri si anak, tidak boleh dinafikan biarpun si anak tidak dijaga atau diasuh oleh ibu atau bapa mereka. Manusia bersalah dan mereka yang bersalah berhak dimaafkan walau mereka masih belum memohon maaf! Kita yang masih waras dan sedar mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu mereka yang bersalah ini agar segara sedar dan kembali ke jalan yang benar dan diredhai Ilahi. Cara paling mudah ialah berdoa, berdoa dan terus berdoa.

Saya nak tanya kepada para ibu semua; nak ke anak yang kita didik dengan penuh kasih sayang menjadi anak derhaka? Walau bukan kepada kita tetapi jika si anak bertindak biadap kepada si ayah mereka yang tidak pedulikan mereka selama ini, ia tetap dikategorikan sebagai anak derhaka! Nauzubillah!!

Tolonglah!! Saya merayu kepada semua ibu; jangan biarkan kebencian bercambah! Jangan benarkan anak-anak kita hidup dalam emosi benci. Kebencian akan mewujudkan dendam. Malang lagi jika dendam yang disimpan diluahkan kepada bukan yang sepatutnya. Kajian membuktikan, kes keganasan rumahtangga dan penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada kebencian dan dendam yang disimpan sejak kecil.

Kata-kata hikmah yang tidak b0leh dinafikan lagi: tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia! Kita sebagai ibu yang bertanggungjawab ke atas peribadi anak-anak pada masa depan, atas peranan dan tanggungjawab yang patut sebagai seorang anak, juga sebagai seorang ibu dan ayah bila tiba masa anak-anak memegang status itu nanti.

Rayuan saya: jangan panjangkan kebencian! Ajarkan kemaafan! Berikan anak-anak ketenangan fikiran, penuhi dada mereka dengan ilmu dan iman, insyaAllah, mereka akan menjadi anak yang soleh kepada kita juga bekas pasangan kita. Mungkin kita tidak ditakdirkan bersama di dunia namun tidak mustahil, berkat usaha dan doa bersama, satu keluarga akan kembali bersama di akhirat nanti, insyaAllah!!

25 Januari 2010

Temujanji bersemuka di KL dan JB

Menurut PA saya, ramai yang bertanyakan bila saya akan ke Kuala Lumpur, untuk temujanji bersemuka? Memenuhi permintaan, sesuai dengan jadual kerja luar daerah saya pada awal Februari nanti, bagi mereka yang ingin bersemuka dengan saya, bolehlah tetapkan temujanji anda mengikut jadual di bawah:

Temujanji bersemuka di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (tempat tepat akan dimaklumkan nanti):
Tarikh: 6hb Februari dan 9hb Februari ( dua hari- Sabtu dan Selasa)
Masa: 9am hingga 6pm - jadual tepat akan disahkan oleh PA saya selepas bayaran 'booking' dijelaskan.

Temujanji bersemuka di Pusat Bandaraya Johor Bahru (tempat tepat akan dimaklumkan nanti):
Tarikh: 7hb Februari dan 8hb Februari ( dua hari- Ahad dan Isnin)
Masa: 9am hingga 6pm - jadual tepat akan disahkan oleh PA saya selepas bayaran 'booking' dijelaskan. (jadual pada 8hb ada pengecualian masa tika saya terlibat dengan program ceramah)

Untuk maklumat lanjut, telefon atau SMS ke talian 013-2545965.

21 Januari 2010

40 dalil lelaki tidak layak jadi suami

Maklumat yang dipanjangkan ke emel saya. Menarik untuk difikirkan bersama.
----------------------------------------------------------------------------
1. Sepanjang pertunangan, dia tidak pernah ajak berbincang cara nak bentuk keluarga solehah. Tetapi, asyik fikir mana nak bulan madu. Nak buat teknik macam2. Saya putuskan pertunangan kerana merasakan dia tidak boleh bimbing saya soal agama.

2. Malam pertama saya berendam airmata kerana suami melarikan diri selepas akad nikah. Dia bergaduh dengan ibubapa saya kerana soal wang hantaran dan mas kahwin. Malam itu, dia keluar kononnya nak pergi beli rokok, tetapi sampai subuh tak pulang. Kami bercerai 3 bulan kemudian.

3. Selepas 3 bulan nikah baru saya berpeluang ikut suami yang bertugas di Sabah. Saya hairan tengok rumahnya nampak kemas dan berhias cantik. Apabila saya gelidah satu almari di bilik tetamu, penuh baju perempuan. Puas ditanya baru dia mengaku selama ini dia duduk serumahdengan kekasihnya. Saya lari balik Semenanjung. Dia tidak pujuk. Lepas pantang saya terima surat cerai. Dia tidak pernah tahu macam mana rupa anaknya.

4. Beli cincin pertunangan duit saya, belanja hantaran pun duit saya. Sekarang duit ansuran rumah, kereta, susu anak, belanja dapur semua di bahu saya. Dia cuma beri "benih" sahaja.

5. Suami mahu anak ramai dan tidak benarkan saya makan pil. Tetapi, belum pernah sekali pun dia mahu bangun malam buat susu anak/tukar lampin. Kalau alasan penat di pejabat, saya pun bekerja juga.

6. Bapa tak pernah mengajar saya sembahyang dan puasa. Suami pun sama juga. Terpulanglah kepada saya nak dalami ilmu agama sendiri.

7. Ramai menuduh saya jahat apabila bercerai dahulu. Bekas suami memang nampak warak, tetapi siapa pun tidak tahu saya merana kerana suami mahu seks tiap2 malam dan suka liwat saya.

9. Suami tetap 'mahu' walaupun ketika saya datang bulan. Jika tidak dituruti dia mengancam mahu cari perempuan lain.

10. Saya dipukul suami ketika mengandung anak kedua dahulu kerana saya tidak mahu beri dia duit yang saya kumpul untuk belanja bersalin. Dia penganggur dan gila main muzik sahaja. Duit tu dia nak beli gitar.

11. Bekas suami saya dahulu memang kacak, kaya dan berkedudukan. Namun, saya lebih rela bercerai kerana dia ketagih hubungan seks sesama jenis.

12. Saya rasa benar-benar terhina kerana suami mengabaikan keluarga apabila asyik bercinta dengan "maknyah".

13. Hancur hati saya apabila terserempak suami memakai coli dan seluar dalam saya. Rupa2nya dahulu dia "maknyah" dan berkahwin dengan saya kerana menuruti kehendak emaknya.

14. Suami tidak pernah azan atau qamatkan kedua-dua anak kami sebaik sahaja dilahirkan dahulu.

15. Suami tidak mengaku anak lelaki bongsu zuriatnya, walaupun muka si anak 99.9% muka dia. Semua kerana suami cemburu sangat pada bos saya. Biarlah dia terus menfitnah saya kalau itu memberi kepuasan kepadanya.

16. Saya dah tak larat menasihati suami supaya sembahyang. Bulan puasa dia suruh saya masak macam biasa. Anak2 keliru melihat gelagat bapa mereka. Saya didik lain, si bapa tunjuk "contoh" lain.

17. Apabila marah, suami suka mengungkit setiap sen yang dibelanjaa untuk saya, sampaikan tambang haji saya ke Makkah yang dia bayarkan 3 tahun dahulu masih terus diungkit setiapkali bergaduh.

18. Suami tetap mahu saya masak macam biasa, hubungan seks 2-3 x seminggu dan rumah tidak boleh bersepah... walaupun saya sedang sarat mengandung.

19. Setiap kali mengandung, pandai2lah saya berjimat cermat untuk belanja bersalin. Apabila dah sampai waktu nak beranak, kemas kain baju sendiri, tahan teksi, pergi hospital sendiri. Jika nasib baik, suami jemput, kalau tidak pandai2lah saya balik rumah dengan anak.

20. Memang saya bengkak kerana suami sanggup memaki hamun saya depan anak kerana tidak memandu berhati2 sehingga kemalangan dan merosakkan kereta kesayangannya.

21. Siapa tidak sayang emak. Tetapi, saya tidak boleh tahan kalau suami sanggup bergolok-bergadai semata2 mahu penuhi hajat emaknya yg berselera besar. Duit gajinya tak pernah cukup sebab bayar hutang kad. Terpaksalah saya menyara anak2.

22. Kalau anak nak minta duit beli buku sekolah, suami asyik kata 'takde duit'. Kalau nak beli joran dan umpan, ada pula. Saya perhatikan saja gelagat. Nak tengok sampai setakat mana 'lemaknya'.

23. Suami gila beli nombor ekor. Biasanya, dia suka tulis angka 1-10, letak di dalam mangkuk buat cabutan. lepas tu kalau ada nombor yg mengena, 2-3 hari tak keluar bawak teksi.

24. Tabiat suami saya memang pelik. Kalau ada masalah saja mesti cari bomoh, lepas itu tanam macam2 jenis tangkal, mesti dia nak pergi 'bersangkak' .

25. Sewaktu bercinta mmg saya tahu suami kaki judi tetapi dia berjanji nak berhenti lepas kahwin. Tak cukup gaji, barang kemas saya digadaikan. Orang datang tuntut hutang perkara biasa ~ pernah rumah kami dibaling tahi.

26. Ketika bapa meninggal dunia dulu, baru kami tahu dia ada 3 isteri lain dan anak masih kecil. Rupa2nya selama ini emak tahu arwah suka kahwin cerai di merata2 tempat. Emak tidak peduli, asal arwah tidak menganggu hidupnya.

27. 3-4 bulan suami 'hilang' itu perkara biasa. Kadang2 sampai setahun. Saya tak perlu cari kerana tahu mesti dia di Serenti. Biasanya, dia kena 'serkup' waktu tengah tarik ganja dengan kawan2.

28. Anak ke-3 kami terencat sedikit. Suami penagih kronik dan sekarang dah ada tanda2 HIV.

29. Suami saya memang warak. Sembahyang tak pernah tinggal. Tetapi, saya tidak boleh tahan panas barannya. Kalau marah, habis dibaling barang2 rumah. Kalau pukul, anak dibaling macam bola.

30. Pernah saya nasihat suami jangan suka terima rasuah. Dia degil. Mula2 cuma hamper, kemudian barang kemas. Akhir sekali duit berpuluh2 ribu. Apabila dia kena cekup polis saya nak kata apa? Terpaksalah saya sara anak sementara dia di dalam penjara.

31. Sejak berniaga, suami gila karaoke. Kononnya nak rai pelanggan. Kesudahannya dia yang sangkut dengan GRO Filipina di situ. Sekarang perniagaanya lingkup dan dia dah ikut perempuan Filipina tu balik negeri. Dengar khabar dah dapat anak luar nikah.

32. Dulu hidup kami senang juga. Tetapi, selepas suami kena buang kerja sebab ketagih dadah dan selalu ponteng kerja, terpaksalah saya kerja kilang nak sara anak2.

33. Kalau seronok beristeri muda, mengapa mesti nak banding2kan kehebatan si madu di ranjang dengan saya? Tak puas lagi menyakitkan hati saya selama ini?

34. Kami memang miskin. Saya buat macam2 benda untuk tambah pendapatan. Jualan langsung, buat kuih, jual nasi lemak, jaga anak orang, upah sembat baju kurung. Suami saya lain pula ceritanya. Malam jadi "jaga"... siang dia kerja tidur atau melangut di kedai kopi.

35. Bab duit ringgit saya tak nafikan suami memang bertanggungjawab. Saya dapat banglo besar, kereta besar, belanja mewah. Tetapi jiwa saya kering. Suami sayang anak, tetapi masih membiarkan saya melihat "gigitan cinta" perempuan lain di badannya.

36. Pakcik saya memang hebat sewaktu muda. Kacak, bijak dan kerja besar. Isteri 2-3 orang, kekasih keliling pinggang. Anak ramai. Tetapi selepas pencen, dia papa kedana sebab duit KWSP habis bayar hutang. Kesudahannya, semua isteri minta cerai dan anak lenyap. Akhirnya diamati seorang diri di katil hospital wad kelas tiga. Jenazahnya di urus abang saya dan pihak hospital.

37. Saya bekerja, suami bekerja. Tetapi, apabila pulang dari pejabat, suami terus capai kunci motor besarnya, merambu dengan kawan2 macam orang muda... sampai tergadai Maghrib dan Isyak. Tinggallah saya di rumah sorang diri terkial-kial menguruskan anak.

38. Walaupun sudah lama masuk Islam... mandi hadas? Saya masuk Islam kerana mahu kahwin dengan suami. Tetapi dia tidak pernah sekali pun beritahu saya perlu mandi hadas selepas bersetubuh atau datang bulan. Dia sendiri pun tak pernah buat.

39. Bagi saya perkahwinan sebenarnya lebih menguntungkan lelaki keranamereka dapat buktikan kejantanan kepada kawan2 apabila isteri hamil, dapat pengurus tetap menjaga kain baju mereka, dapat tukang masak percuma, dapat joli lebih sebab isteri juga bekerja dan bantu sara keluarga serta dapat seks halal. Isteri dapat apa? Tugas bertambah dan silap haribulan berendam airmata...

40. Selepas 15 tahun berkahwin, rasa2nya gelaran saya sudah berubah. Dahulu 'isteri' sekarang 'pengurus anak-anak'. Hubungan dengan suami amat dingin. Kami hanya bercakap pekara penting sahaja. Hubungan seks hanya 2-3 bulan sekali. Itupun saya yang 'terhegeh-hegeh' . Saya pelik benar kerana dia bukan kaki perempuan dan memang confirm tiada isteri lain.

****Moga ada yang mendapat iktibar!!!

18 Januari 2010

Kisah benar penuh teladan

Saya terima satu emel menarik untuk perkongsian semua:
--------------------------------------------------------------

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'MembangunBersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut/mendadak di tempat perniagaan dan kompleks jual beli-belah, untuk memastikan para pekerja di berkenaan/setempat menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan/aturan yang ditetapkan.

Lazimnya dlm setiap operasi sebegini,seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005,seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda lah...

Setelah surat diberikan oleh pegawai PBT, Ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan. Peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah.

Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga. Kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "KALAU TUHAN TU BAIK, KENAPA BUAT NERAKA? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?"

Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung/jilbab..

Ustaz tu terkedu/terkejut sekejap. “Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.”
Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen/rupiah sangat gaji saya sekarang. Lebih baik saya jadi tokey/bandar judi, atau bapa/sabung ayam. Hidup senang, lepas/setelah mati pun tak risau sebab gerenti/dijamin masuk syurga.

Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga/terheran-heran dengan muka confused.

Ustaz tu pun jelaskan ."perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga. Maka apa guna jadi orang baik?

Jadi orang jahat lebih seronok/senang. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma/gratis. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga.

Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa/korban rogol disyurga, lepas/setelah itu boleh rogol lagi kalau dia nak/mau. Takde/tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak/mau? Awak rasa, adil ke?" tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut/gerutu si gadis.Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.
Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. "

08 Januari 2010

Kajian ilmiah berkaitan poligami

Satu kajian ilmiah sedang dilakukan oleh Pensyarah dan pelajar Sarjana di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya berkaitan kejayaan poligami khusus kepada fungsi sebuah keluarga, sama ada baik atau sebaliknya.

Kajian ini memerlukan responden di sekitar Lembah Klang, sama ada suami, isteri atau anak-anak yang terlibat di dalam hubungan poligami tersebut. Lebih ramai responden terlibat, maka lebih baik kerana fokus kajian bukan untuk menyokong poligami malah bukan juga untuk memburukkan poligami sebaliknya untuk mengkaji sejauhmana hakikat pologami yang diamalkan kini dan keberkesanan pologami tersebut di dalam hubungan yang ada.

Saya mewakili pihak yang terlibat, memohon kerjasama individu yang terlibat di dalam perkahwinan poligami, sama ada telah disahkan dan didaftarkan atau pun belum, asalkan anda adalah individu yang terlibat dalam hubungan poligami tersebut, memberikan kerjasama kepada kajian yang akan dilakukan ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi responden (jangan bimbang, maklumat diri anda dirahsiakan!!), boleh emelkan nama penuh dan nombor untuk dihubungi ke suzanaghazali@yahoo.com.

Kerjasama anda amat dialu-alukan bagi menjayakan kajian ilmiah ini. Terima kasih di atas segala kerjasama!!!

06 Januari 2010

Baru di tahun baru

Hari ni, 6hb Januari bererti hari keenam kita semua berada di tahun baru 2010. Terus terang, masih segar di ingatan saya betapa meriahnya sambutan tahun baru tika di ambang tahun 2000 dan kini, 10 tahun telah berlalu. Betapa cepat dan pantas. Pelbagai peristiwa dan kisah tersendiri berlaku di dalam hidup kita. Ada antaranya yang tak pernah terlintas langsung di fikiran kita. Ada antaranya juga yang memang kita harap dan berdoa agar dijauhkan daripada mendekati perjalanan hidup kita tetapi dengan kehendak dan kuasa-Nya, kita didekati jua.

Memandang kepada diri sendiri, tika ambang 2000, saya seorang wanita muda yang baru menyambut ulangtahun kelahiran ke 25. Masih belum bertemu jodoh, sedang bersemangat mengejar impian menjadi seorang Peguam Syarie yang dedikasi. Tika itu saya digelar 'lawyer rugged' disebabkan penampilan saya menggunakan motosikal ke mahkamah.

Kini, setelah 10 tahun berlalu, saya bukan lagi seorang Peguam Syarie (masih boleh ke mahkamah sebab mempunyai sijil perlantikan yang sah cuma tidak aktif sejak 2004) sebaliknya seorang Perunding, berkhidmat memberikan nasihat, panduan atau apa-apa saja yang sewaktu dengannya. Sedangkan, menjadi Peguam Syarie adalah cita-cita saya malah saya memilih untuk putus tunang apabila tunang saya tika itu tidak bersetuju dengan cita-cita saya. Sungguh, Allah SWT lebih tau yang terbaik untuk kita.

Saya yakin, ramai yang masih hangat dengan azam tahun baru. Semalam, dalam perjalanan menghantar anak-anak ke sekolah, DJ sebuah stesyen radio mengkhabarkan, satu kajian yang dibuat mengatakan; kebanyakan masyarakat Malaysia mempunyai semangat untuk merealisasikan azam baru dalam tempoh masa lima hingga enam minggu sahaja. Saya percaya, kajian tersebut bukan tidak boleh dipercayai. Sebab? Seperti status FB saya hari ni, awal pagi tadi: Hari keenam tahun 2010. Sudah sediakah segala perancangan bagi mencapai azam dan tekad di tahun baru? Azam akan tetap tinggal sebagai azam jika tiada perancangan untuk berusaha menjadikannya realiti bagi menikmatinya penghujung tahun nanti...

Ya!! Azam bukan sekadar satu tahap pencapaian atau kedudukan atau cita-cita atau apa juga yang kita hasratkan tika tibanya tahun baru. Azam sebenarnya adalah satu matlamat yang perlu kita usahakan agar matlamat tersebut dicapai. Untuk menjadikan azam atau matlamat kita satu realiti maka perlu ada usaha termasuk juga perancangan yang berkaitan.

Ya! Tidak semua perancangan menjadi kenyataan. Jika itu yang anda tanamkan dalam fikiran anda, insyaAllah, tika sambutan tahun baru 2020 pun, azam anda awal tahun ini akan terus menjadi azam yang tinggal azam. Kenapa berfikiran negatif? Menjadi kenyataan atau tidak, bukan kerja kita, bukan kerja anda, bukan kerja saya malah bukan kerja sesiapa pun juga. Nyata atau tidak adalah kerja Dia. Berusaha sedaya upaya, mungkin perlu ada pelan A atau B atau C atau mungkin hingga pelan Z, teruskan usaha sebab berusaha adalah kerja kita dan menjadi nyata atau sebaliknya itu kerja Dia, biar Dia yang tentukan.

Sebab itu lah juga kita disarankan agar mendoakan yang terbaik. Saya sama seperti anda, tak tau mana yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Seperti yang selalu saya tegaskan, berdoa mohon yang terbaik bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk insan tersayang di sekeliling anda. Sekiranya anda telah berusaha sesungguhnya, mungkin hingga dah habis semua pelan A to Z tapi masih juga azam anda belum menjadi nyata, pasti ada sebab dan hikmahnya.

Saya nak terus kongsi kisah sendiri. Bermula sebagai peguam sebab memang itu cita-cita saya, tak kira apa berlaku saya nekad untuk menjadi peguam. Takdir Allah SWT, selepas melahirkan anak kedua, saya nekad untuk berundur diri sebab nak berikan tumpuan kepada suami dan anak-anak. Tika itu, saya mula melibatkan diri dalam pembangunan multimedia, satu bidang yang terlalu asing buat saya dan dalam masa yang sama, saya mula menulis bersama Mingguan Wanita. Tak pernah terniat langsung untuk meninggalkan bidang multimedia disebabkan rasa seronok dengan bidang baru tersebut malah tika itu, saya menjalankan kerja-kerja konsultansi secara sambilan.

Namun, Dia mengatur segalanya, awal tahun lepas saya terpaksa menarik diri sepenuhnya dari bidang multimedia dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja konsultansi. Alhamdulillah, buku saya diterbitkan dan saya menerima tawaran bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita. Sejak bekerja awal 1998 juga, saya tak pernah merancang untuk balik bekerja di Kedah namun dengan kehendak-Nya, kini sudah lebih empat bulan saya beroperasi di Kedah. Insya Allah, bermula Februari nanti, saya terlibat sebagai jurulatih PLKN pula.

Lain hasrat dan keazaman dan perancangan, berbeza jawapan dan keputusan kerana saya yakin, setiap yang berlaku di dalam hidup saya adalah dengan kehendak-Nya yang ternyata adalah yang terbaik untuk saya dan insan-insan tersayang di sekeliling saya.

Lantas, jangan patah semangat walau apa juga rintangan dan halangan mendatang dalam usaha mencapai segala azam dan tekad anda. Rintangan dan halangan tersebut bukan untuk menggagalkan anda sebaliknya untuk menjadikan anda lebih baik daripada sebelumnya.

Paling penting, bukan tahun baru, bukan azam baru, bukan rumah baru, bukan baju baru, bukan tempat kerja baru, bukan isteri baru atau suami baru, bukan harga gula baru atau harga roti baru sebaliknya ANDA PERLU JADI ORANG BARU. Bertukarlah menjadi seorang yang lebih baik.

Jika sebelum ini anda kurang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami atau ibu atau bapa atau anak atau pekerja atau majikan atau apa saja yang sewaktu dengannya, anda perlu pastikan anda adalah LEBIH BAIK sebagai seorang isteri atau suami atau ibu atau bapa atau anak atau pekerja atau majikan atau apa saja yang sewaktu dengannya, pada tahun baru ini. Lebih baik bukan pada hari pertama atau minggu pertama atau bulan pertama sahaja sebaliknya lebih baik sepanjang tahun. Malah, seorang individu yang cemerlang adalah orang yang harinya pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam.

Mungkin ada yang terfikir; kalau hari ni ditimpa kecelakaan, contohnya terjatuh daripada tangga, sudah pasti hari ini bukan lebih baik daripada semalam. Betulkah begitu?

Jawapan saya; bergantung kepada diri anda sendiri! Jika anda terima kecelakaan yang menimpa anda sebagai satu muhasabah diri, menjadikan anda lebih dekat kepada-Nya, bererti hari yang anda rasakan celaka itu adalah lebih baik daripada semalam yang tidak celaka.

Perlu diingat, LEBIH BAIK bukan bererti lebih berjaya, lebih cemerlang, lebih dihormati, lebih dikenali atau pelbagai kelebihan lain sebaliknya hari yang lebih baik wujud apabila anda berjaya mendekati Dia yang Maha Esa, lebih pasrah dan redha mengharapkan petunjuk dan pertolongan-Nya atau dalam erti kata lebih mudah, LEBIH BERTAWAKAL DAN BERSERAH KEPADA-NYA SERTA BERSEDIA MENERIMA APA JUGA KEHENDAK-NYA selepas segala usaha dan ikhtiar telah anda lakukan.

Bercakap mudah lah, cuba harungi sendiri, baru tau langit tu tinggi ke rendah... mungkin ada yang berpendirian demikian. Saya faham, bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham bukan sekadar faham tetapi faham sangat-sangat. Cuma satu perkara yang nak saya kongsikan; Allah dah tegaskan, setiap ujian yang diberikan kepada hamba-Nya adalah bersesuaian dengan kemampuan hamba-Nya tersebut. Bererti, Allah SWT tau kita mampu tangani segala ujian yang diberikan oleh-Nya.

Jika Allah SWT yakin dengan kemampuan kita, kenapa kita tidak yakin dengan kemampuan kita sendiri? Percayalah, walau apa juga halangan, masalah atau dugaan, pasti ada jalan penyelesaian yang tersendiri.

Yang penting, gunakan sepenuhnya minda anda. Biarkan otak anda ligat berfikir, mencari jalan usaha untuk menjadi yang lebih baik dari hari ke hari, bukan memikirkan malang dan malang dan malang yang menimpa diri. Jika malang yang anda fikirkan, pasti malanglah hari-hari anda.

JOM!! Pinggirkan perkara negatif! Sematkan perkara positif. InsyaAllah.... biar perkara negatif mendekat, ia pasti akan nyah sendiri nanti... atas kehendak-Nya jua!! Tahun baru.... JOM JADI SEORANG YANG BARU!!!

P/S: Boleh dapatkan buku Anda Yang Baru karangan Faizal Yusuf .