31 Julai 2008

Isteri queen control?

Semalam, satu emel meminta saya membincangkan tentang isu isteri queen control. Teringat, saya pernah menjawab beberapa soalan berkaitan satu ketika dulu, ada disiarkan di Ruangan Wanita dan Keluarga, Berita Harian. Saya kongsikan dengan anda semua di sini:

1. Masih adakah zaman sekarang ini wanita yang bersikap queen control?
Jwpn: Ya. Masih ada. Terdapat dua jenis wanita queen control iaitu:
1. Queen control yang memberikan kebahagiaan kepada suami dan rumah tangga
2. Queen control yang membebankan suami dan menimbulkan kekecohan di dalam rumah tangga.

2. Adakah sikap lelaki membuatkan wanita bersikap queen control?
Jwpn: Boleh dikatakan ya. Wanita boleh bersikap queen control disebabkan beberapa sebab yang asasnya berpunca daripada lelaki:
1. Suami gagal berperanan sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri perlu mengambil alih peranan suami sepenuhnya
2. Suami pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga menyebabkan isteri bertindak mengawal segala tindak tanduk suami dengan harapan pengabaian tanggungjawab suami tidak berulang lagi
3. Suami gagal mengawal isteri hingga membiarkan diri dikawal sepenuhnya oleh isterinya

3. Adakah lelaki akan jemu dengan wanita yang bersikap queen control?
Jwpn: Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki takkan rasa jemu malah tak mustahil lelaki akan rasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri.

Namun, jika control si isteri dengan hasrat mengawal pergerakan suami supaya tidak mengulangi kesilapan lalu, memang lelaki akan rasa jemu dan bosan. Sebabnya, lelaki akan mula rasa segala pergerakannya tidak bebas dan terkawal.

Sama juga dengan sikap wanita yang memang sejak awal gemar mengawal dan bila bersama dengan teman lelaki atau suami, dia tidak dapat membuang sikap suka mengawal tersebut ditambah pula dengan kegagalan si lelaki mengawal wanita tadi, lelaki pasti rasa jemu dan bosan.

Kalau sebagai teman lelaki, tidak mustahil wanita tadi akan ditinggalkan dan jika sebagai suami, tidak mustahil juga si suami akan mula pasang mata mencari wanita lain yang boleh memberikan ketenangan kepadanya. Paling buruk, lelaki akan mengambil pendirian keluar daripada perkahwinan.

4. Apakah panduan lelaki untuk berdepan dengan queen control?
Jwpn: Mana-mana lelaki yang berdepan dengan queen control yang menyesakkan dada, perkara paling penting yang perlu anda lakukan ialah menjadi lelaki yang sebenarnya. Maksud saya, jadilah lelaki yang tegas dan menjalankan tanggungjawab.

Jika anda pernah tersilap, yakinkan isteri atau teman wanita anda bahawa anda telah berubah dan takkan ulangi kesilapan lalu. Pastikan juga anda betul-betul berubah. Ingatlah, teman wanita atau isteri anda mengawal anda kerana sayangkan anda dan ingin hidup bahagia dengan anda.

Jika teman wanita atau isteri anda memang bersikap queen control sejak awal dan bukan kerana kesilapan anda, anda perlu ubah sikap teman wanita atau isteri anda itu. Anda perlu sedarkan dirinya tentang kesilapan sikapnya. Sedarkan bahawa dia ialah wanita yang perlu taatkan suami dan tidak boleh sesenang hati mengarah suami itu ini.

Sebagai permulaan, tanamkan dalam diri teman wanita atau isteri anda untuk bersikap toleransi dan sering berbincang di dalam menetap sesuatu perkara atau keputusan. Ingatkan wanita anda, walau siapa pun dirinya di luar rumah hatta jika dia adalah boss anda sendiri, di rumah dia adalah wanita yang perlu menghormati dan mentaati perintah suami selagi perintah suami tidak menyalahi ketetapan syarak.

5. Mungkin puan ingin berkongsi perkara lain mengenai queen control.
Jwpn: Daripada pemerhatian saya terhadap kes-kes queen control, sikap queen control di dalam rumah tangga kebanyakannya bermula sejak pra perkahwinan lagi. Bakal suami dengan mudah mengikut segala kata dan kehendak bakal isterinya. Putih kata bakal isteri, putihlah juga katanya walau hakikatnya, si lelaki sukakan hitam atau selain putih.

Bila masuk ke dunia perkahwinan, sikap ini terbawa-bawa hingga kadang-kadang si isteri sendiri merasa rimas sebenarnya. Tidak semua wanita suka bersikap queen control tetapi terpaksa bersikap sedemikian demi menyelamatkan sebuah hubungan kasih sayang. Kes queen control juga sering berlaku di dalam perkahwinan yang melibatkan pasangan lelaki dengan wanita yang lebih berusia, lebih berharta atau lebih berpendidikan daripada si lelaki.

Dengen kelebihan yang ada pada diri wanita, ada kalanya mereka akan lupa diri maka tugas si lelaki adalah untuk mengingatkan peranan wanita tadi dan untuk melakukan tugas tersebut, lelaki perlu tegas dan bijak menangani si wanita.

Perkara paling penting, lelaki dan wanita, suami dan isteri perlu faham dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam rumahtangga. Jika masing-masing memahami dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, tak kisahlah king control atau queen control, rumah tangga akan aman dan bahagia, insyaAllah.

Wallahua’lam.

29 Julai 2008

Poligami: pertimbangkan berkali-kali

Kalau anda masih ingat, saya pernah beberapa kali umumkan bahawa saya mempunyai yahoogroups bersama rakan-rakan sepengajian ketika undergraduate dalam kursus Syariah (Undang-undang) di UM dulu. Selalunya perbincangan kami menyentuh banyak perkara dan yang terkini, isu gempaq seluruh negera dibincangkan semula entah kali yang ke berapa. Perbincangan kali ini lebih hangat bila ada SEORANG RAKAN LELAKI TIDAK MENCADANGKAN KAUM LELAKI BERPOLIGAMI (rakan saya ini seorang peguam syarie) dan saranan tersebut mendapat pelbagai reaksi. Saya kongsi perbincangan kami di bawah ini:

Emel cadangan:
Salam. Untuk suami2, x yah la kawin 2 kalau x mampu. Setakat mampu kewangan saja x cukup. Paling penting masa bersama keluarga. Rasanya ramai yg x boleh nak bg full comitmen, byk yg porak peranda nanti termasuk diri sendiri

Emel respons 1:
go go R go.... hehehe

betui sangat2..ramai ingat mampu kewangan tu boleh beli apa saja termasuk kebahagiaan. .

ya..masa bersama keluarga tu amat berharga. kalau dah suami isteri sibuk bekerja seharian..masa yang singkat nak jumpa tu nak penuhi sebaik mungkin. kalau dah berpoligami, lagilah cabarannya camner. lainlah kalau dua madu duduk berjiran sebelah menyebelah..

teringat sorang kawan ni, bermadu. masa pregnant, waktu giliran suami kat rumah madu, bila anak sakit..dia drive sendiri malam2 p bawak anak ke klinik. nak call suami takut mengganggu pulak masa ngan madu.. susah oo..ingat senang.

lagi satu, yg si pelaksana poligami pun tentu banyak pening kepala sebab seboleh mungkin nak jaga hati dua pihak..

itu baru dua isteri, belum lagi melibatkan 2 keluarga mertua

Emel respons 3:
bila ko bercakap soal keluarga mertua tu....hmmm, aku nampak betapa komplikatednya. ..
yer la, raya setahun sekali kita yg satu suami, satu isteri pun duk ooo som gilir...apa lagi kalau bertiga gitu yer...lama no nunggu giliran nak bersama as satu keluarga yg sempurna pd pagi raya..

pnh la aku tengok ada org berpoligami ni kalau tahun tu bukan turn dia dgn suami dia beraya bersama...dia dgn anak2 jer pulang ke kg...hmmmmmmm itu la kan...
mujur juga R bg nasihat gitu...mgkin dia bercakap berdasarkan kes2 yg dia bawa...insafffffff. ....

Emel respons 4 (setakat entri ini):
salam,

mmg gitulah adatnya org berpoligami ni..

ada sorang hamba Allah tu, org pantai timur. Isteri pertama pun org pantai timur. isteri kedua org negeri selatan. jadi tiap2 tahun mmg sehari dua sblm raya dia akan hantar isteri pertama n anak2 balik kampung isteri, dan lepas solat raya pertama tu baru dia berkejar balik ke KL utk raya ngan second wife n anak2 kat KL..raya k 3 baru blik kg. isteri kedua (mertua di sana)..ni dah rutin depa..setau S, isteri kedua malas nak ikut balik beraya ke pantai timur sbb letih dlm perjalanan.. tu yg dia mengalah tu. lg satu, dia kurang mesra ngan isteri pertama..tu yg malas nak sekapal.

ckp pasal 2 keluarga mentua, teringat perbualan S ngan sorang driver teksi masa naik teksi dia. Dia ni kawin dua, dua2 isterinya muda..jadi kerenahnya pun kerenah org mudalah. pernah balik rumah isteri pertama, isteri bising..pas tu balik rumah isteri kedua, isteri bising gak..sudahnya tidur kat tgh jalan..pernah sampai satu tahap tu dia rasa nak lepaskan dua2 isterinya.hinggakan dia cakap, lepas ni kalau orang nak bagi dia kawin ke3 percuma pun dia tak mau..itu belum lagi campur tangan ngan kedua2 keluarga mertua..masa depa duk bising2 tu, nak buat apa..diam ajelah, dia kata. sekali dengar, mmg nak kata padan muka..dua kali dengar tu, simpati pun ya..nak buat camner, itulah risiko yg perlu diambil.

yelah, sedangkan kawin satu ni pun bukan senang nak capai titik bahagia, ini pula nak tambah yang lagi satu. tpkan,ada kes, suami bila beristeri satu, tak reti nak handle keluarga, tp bila kawin dua, barulah reti pulak nk handle keluarga..hmm, mcm2 style ada

sbnrnya suamilah paling letih bila berpoligami ni, yelah nak kena amik tau hal dua keluarga; perangai dua isteri, anak2 drp dua isteri lagi. tanggungjawab 2 buah rumah;mana ngan nafkah anak isteri. boleh imagine tak, suami nak kena bayar duit sewa rumah / ansuran rumah utk 2 buah, bil api air untuk 2 rumah, duit dapur 2 rumah..tp, ada suami beruntung, dpt 2-2 isteri bekerja, kuranglah beban kewangan dia..ada gak isteri pertama tak kerja, isteri kedua kerja..yg paling haru, suami boleh pinjam duit isteri kedua sbb nak support isteri pertama..sian isteri kedua tu kan tak pasal2 kena tlg tanggung keluarga sebelah sana..tp kalau redha, no hal lah..

itu belum sakit pening anak2 kecil tgh malam..bygkan ngan isteri pertama ada anak kecil, isteri kedua ada anak kecil gak..buatnya dua2 sakit tgh malam..isteri pertama call suruh bawak anak p klinik, pas tu isteri kedua call pulak suruh bawak anak p klinik..nak bawa kedua2 ke klinik serentak, oklah..boleh aje, itupun kalau dua2 isteri baik..kalau tak baik, asal jumpa nak bertekak..dah kena gilir2..itu pun gilir2 kalau isteri2 tak merajuk, syukurlah. buatnya dua2 merajuk, yelah, kalau bawak yang no.1 dulu, merajuk yg no. 2 kononnya lebih sayangkan no. 1 tu sebab bawak anak no. 1 dulu, begitu juga sebaliknya.. hush, mmg serba salah dibuatnyakan. .

ha, itu belum kira lagi kalau jarak antara rumah isteri tu. kalau dekat2, setaman ke sepelaung ke jaraknya, ok lagi..buatnya jarak rumah sampai setengah jam..tak penat? lenguh oo kaki duk tekan minyak, brek..itu kalau keta manual..kalau auto tahan lagi..badan ajelah letihkan..sapa yang makan panadol lebih??suami jugak..adus. .

itu belum bab bawak pegi shopping at least ke pasar malam..kena bergilir..kalau baik..boleh aje 2 madu tu pegi sama2.. ni ada kes, ada madu kuat jeles, kalau suami bawak isteri pertama ke giant, isteri kedua mesti nak ke giant gak..tak mo ke carrefour..jangan gelak, mmg berlaku tau..S mula2 tau pun tergelak gak. sampai camtu sekali..

itu belum nak hadiri kenduri saudara mara sebelah suami..kalau madu2 ok, boleh bawak dua2 serentak..tp kalau k.o, samada bawak bergilir atau sorang tak dibawak langsung.

ada satu kes tu, sian kat madu no. 2, dia nak p kenduri kawin anak sedara suami, tp sbb madu no. 1 anti ngan madu no.2 ni, patutnya bawak bergilir,mksudnya no. 1 pergi dulu, then suami antar no. 1 balik rmh, baru amik no.2, tp madu no.2 mengalah tak pergi, sbb kenduri kawin anak sedara kat KL..madu no. 1 dan 2 duduk kt n.sembilan, jd, bila bawak madu no. 1 ke kenduri , duduk dua 3 jam kat majlis, pastu suami nk hantar balik ke rumah di n9, dah lah perjalanan sehala lebih kurang 2jam lebih - 3 jam, dah tu nak amik pulak madu no.2 utk ke kenduri, kena drive lagi ke KL dlm 2 jm lebih..kan penat tu..siapa yang mengalah, isteri jugak kena mengalah..dek kesian mengenangkan penat suami..sapa yang makan ati..isteri gak yang makan ati..ada suami boleh fikir perasaan isteri yg hampa kena mengalah???? camner nak ganti tu?

kiranya, mmg susahlah nak jumpa mcm family tok mat ganu tu.. yg lagi sorang org kampung J tu..mcm depa ni, isteri2 duduk dekat..senanglah. .ni baru dgr, kes madu2 baik lah, anak isteri pertama buat majlis kawin kat rumah madu k 2..rezekilah tu..pokok pangkal pada suamilah mentadbir camnerkan..

pendek kata, wahai lelaki2 yg nak berpoligami... lebihkan munajat ngan taqarrub ngan ALlah bila dpt berpoligami tu..minta Allah sentiasa mudahkan urusan berpoligami. .jangan fikir sedap aje..mcm su pernah cakap, poligami bkn utk berbangga2.. betul tu..ingatlah, dalam ramai2 lelaki susah atau lambat dpt jodoh, ada yg berpeluang dpt sampai 4 isteri..AMANAH ALLAH TU NAK JAGA PEREMPUAN dan tanggungan2 di bawahnya..

korang lelaki yang ada ilmu agama lebih ni, ha..nak poligami tu cepat2 bukak kitab, baca bab pembahagian giliran ngan isteir, baca sirah rasulullah ttg layanan dia terhadap semua isteri..lepas tu praktikkan.. jangan takat baca aje, tp tak mo praktik..ingat, sunnah nabi tu bukan takat poligami..tapi layanan baik terhadap isteri2 juga adalah arahan Allah dan sunnah Nabi..jgn terpedaya ngan luaran isteri aje, naknya dpt isteri baru yg cantik n solid molid, lupa yang kurang cantik..teringat keluhan seorang teman, dia anak isteri pertama. dia mengadu, bapanya bias sangat2, bukan takat ngan isteri, ngan anak2 pun beza sangat kasih sayangnya ..ngan isteri pertama layan gitu2 aje, sampailah ke anak2, mudah nak marah, nak merajuk..tp ngan isteri kedua dan anak2nya, layanannya masyaAllah.. punyalah baik.

yg korang lelaki ni tau tak, kalau kawin lagi satu ngan anak dara atau ngan janda tu, ada pembahagian harinya bila pertama kali kawin tu? kalau tak tau, ni nak bagitau, kalau Sh or J dpt kawin ngan anak dara, jd dptlah seminggu kat rumah bini no.2 yg anak dara tu, ni dlm quran dan hadith ada cakap..kalau Sh kawin ngan janda, dpt 3 hari aje..sbb apa nampak bezanya? justifikasinya sbb kawin ngan anak dara ni, peranan suami bukan nak sedap hari2, tp sbb utama nak suruh suami tu ajar isterinya ni ngan tanggungjawab berumahtangga, sesuaikan diri ngan kehidupan berumahtangga, yelah anak dara, belum ada pengalaman uruskan rumahtangga. .jaga makan minum suami..dan janda dpt 3 hari, sbb janda dah ada pengalaman jd isteri sebelum ni, tu yg masanya pendek drp anak dara..lepas tu giliran kembali normal, ikutlah gilir2 nak berapa hari sorang..tp kalua kalian dah tau, anggaplah ni sbgai satu ingatan kembali.

ingatlah lelaki.., kami yg wanita ni, anak2 dan harta adalah ujian bagi kaum lelaki di dunia ini..ingat tu...

-------------------------------------------------------------
Emel terakhir ni memang panjang dan bernas. Terima kasih kawan-kawan semua. Moga semua mendapat pengajarannya...

28 Julai 2008

Ubah yang patut dan perlu

Seorang rakan memanjangkan hasil pena mufti ini ke emel saya. Ulasan yang menarik untuk dikongsi bersama:

----------------------------------------------------
Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan.

Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: 'Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir 'nasi lemaknya'. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol.

Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah 'ceroi' akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak.

Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum 'dijakimkan' , "Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?" Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Pembaziran:
Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.

Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan. Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi.

Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan. Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan al-An- Nahy 'an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat.

Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa 'Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. 'Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?" (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat 'Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu 'Umar bertanya: "Dari mana diperoleh ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap 'berjiwa rakyat', hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti 'Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Tanggungjawab:
Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Hasil pena Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

Mandul dan anak angkat

Maklumat berkaitan tempe (seperti entri saya sebelum ini) turut saya panjangkan ke emel yahoogroup rakan-rakan sepengajian dulu. Seorang rakan bertanya, kenapa perlu dihebahkan pasal ni sebabnya berita tersebut tak perlu dirisaukan sangat.

Saya akui kebenaran pendapat tersebut namun, apalah salahnya mengambil tahu dan berwaspada. Walaupun ianya satu kajian dan mungkin sekadar satu antara sebab mandul, tidak bererti maklumat sedemikian tidak perlu diberikan perhatian. Perkara paling penting yang boleh dijadikan iktibar ialah bukan semua masalah kemandulan berpunca daripada kaum wanita.

Teringat beberapa kes yang pernah saya kendalikan dan kes terbaru, aduan seorang isteri pada hujung minggu yang lalu: suami enggan menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti punca lambat mendapat zuriat.

Sememangnya jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan anak adalah kerja Allah. Dia yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya. Ada pasangan yang dikurniakan anak cepat dan ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Namun, ketetapan tersebut tidak menafikan keperluan kita makhluk-Nya untuk berusaha dan berikhtiar.

Ikhtiar terpenting adalah berjumpa dengan pakar kesihatan. Bukannya menuding jari menyalahkan isteri kemudian sibuk pulak nak cari pengganti. Telah dibuktikan, bukan semua kes gagal mendapatkan cahayamata berpunca daripada isteri sebaliknya ada juga kes berpunca daripada suami.

Kenapa enggan mengakui kebenaran? Tak perlu ego tak bertempat. Tak rosak harga diri jika anda berjumpa pakar bagi menentukan keadaan kesihatan anda. Takkan hilang nilai diri jika benar andalah punca kegagalan.

Sebagai manusia, anda ada kelebihan dan perlu terima kelemahan sendiri sama juga anda perlu terima hakikat kelemahan pasangan. Allah tak kejam sebaliknya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Lantaran itulah juga, Islam membenarkan pengambilan anak angkat.

Saya pernah ditanya, bolehkah mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat? Apa salahnya?? Yang berdosa adalah ibu bapanya, bukan anak tersebut. Anak luar nikah adalah sama statusnya dengan anak sah taraf lainnya, mereka adalah bersih dan suci. Tak perlu percaya cerita perbuatan zina akan tetap berlanjutan 12 atau tujuh keturunan. Itu semua karut. Kepercayaan anda itulah yang boleh merosakkan masa depan anak yang suci tersebut.

Ambillah anak-anak tersebut, asuh dan bentuk mereka menjadi insan soleh dan solehah. INGAT!!! Jangan kutuk atau ungkit kesilapan ibu bapa mereka atau kaitkan sikap mereka dengan perlakuan salah ibu bapa kandung kereka. Walaupun mereka hanya anak angkat, mereka berhak mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada anda sama seperti anak sendiri. Mereka juga adalah amanah Allah. Jangan abaikan mereka!!

Tempe: Khasiat dan bahayanya

Sedang sibuk meneliti satu kerja, seorang rakan mengirimkan link ini .

Maklumat berguna sebab di samping khabarnya boleh menyerikan wajah, rupa-rupanya membahayakan juga...

Saya kongsi dengan anda semua:
--------------------------------------------------------
Makan tempe boleh 'mandul'

Lelaki kena kurang diet bersoya: Kajian

BOSTON: Lelaki mengamalkan diet sayur-sayuran berasaskan soya dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan itu apabila penyelidik mendapati ia berisiko menjejaskan kesuburan golongan itu dengan mengurangkan bilangan sperma.

Kajian mendedahkan, lelaki yang makan purata separuh makanan berasaskan soya menghasilkan bilangan sperma kurang berbanding mereka yang tidak memakannya. Di kalangan lelaki yang memiliki berat badan berlebihan atau obes, kesannya lebih nyata.

Kurang bilangan sperma diketahui menyukarkan lelaki menghamilkan isteri atau pasangannya. Menurut penyelidik, bahan digelar isoflavones dalam soya yang menyerupai hormon seks wanita, oestrogen, dipercayai menjadi punca. Kajian ke atas haiwan mengaitkan pengambilan tinggi isoflavones dengan masalah ketidaksuburan.

Dalam kajian terbaru, penyelidik Amerika Syarikat mendapati lelaki yang mengamalkan pengambilan tinggi makanan berasaskan soya memiliki bilangan sperma jauh lebih sedikit berbanding lelaki yang tidak memakannya langsung.

Diketuai Dr Jorge Chavarro dari Jabatan Kesihatan Awam Harvard di Boston, mereka menyoal lelaki mengenai pengambilan 15 jenis makanan berasaskan soya. Ia termasuk tofu, tempe, sosej soya, burger, susu soya, keju, dadih dan ais krim, hasil soya seperti kacang panggang dan minuman.

Lelaki dalam kumpulan mengamalkan pengambilan paling tinggi diberi makanan berasaskan soya secara purata setengah hidangan sehari. Kaitan antara pengambilan soya dan bilangan sperma lebih kuat di kalangan lelaki obes atau memiliki berat badan berlebihan, kerana tubuh mereka mengeluarkan lebih banyak oestrogen berbanding lelaki kurus, kata penyelidik.

24 Julai 2008

Hak isteri yang diceraikan

Seseorang bertanyakan kepada saya tentang pendapat yang diperolehinya menerusi satu forum di internet; benarkah menurut Islam, seorang bekas suami bertanggungjawab ke atas bekas isterinya hinggalah bekas isteri tersebut berkahwin?

Saya tak pasti siapa yang memberikan pendapat tersebut atau ruangan forum mana yang menyiarkannya. Yang membuatkan saya berminat untuk menceritakan mengenai persoalan tersebut ialah pendapat tersebut tidak benar sama sekali. Saya mohon kepada semua pelayar web agar berhati-hati dengan setiap info atau maklumat yang anda perolehi. Jangan sampai anda memperolehi maklumat yang salah.

Sebenarnya, seorang wanita yang diceraikan oleh suami berhak mendapat nafkah eddah, mut'ah, harta sepencarian, nafkah tertunggak (jika ada) dan tuntutan hutang (jika ada) di samping berhak mendapatkan hak hadhanah atau jagaan anak dan nafkah anak-anak. Sinonim dengan namanya nafkah eddah, sudah pastilah ianya bermaksud nafkah hanya di dalam tempoh eddah. Tempoh eddah pula bergantung kepada keadaan isteri semasa diceraikan.

Jika diceraikan dalam keadaan suci (bukan dalam keadaan haid) dan tidak hamil, tempoh eddahnya ialah tiga kali suci. Kalau rutin haid bekas isteri sekali pada setiap bulan, bererti tempohnya tiga bulan. Jika rutin haidnya sekali dalam dua bulan maka tempoh eddahnya ialah selepas tiga kali suci iaitu enam bulan.

Jika isteri diceraikan dalam keadaan haid, talak tetap berlaku dan sah walau hukum perceraian pada tika itu ialah haram. Eddah dikira bermula haid pertama selepas suci daripada haid ketika talak dijatuhkan. Islam mengharamkan perceraian dilafaz ketika isteri dalam keadaan haid adalah untuk mengelakkan isteri menjalani tempoh eddah yang lama.

Sama juga keadaannya jika isteri diceraikan dalam keadaan hamil. Hukum perceraian adalah haram tetapi talak dikira berlaku dan sah. Tempoh eddah bagi isteri yang diceraikan ketika hamil ialah selepas melahirkan anak yang dikandung. Larangan menceraikan isteri dalam keadaan hamil ialah kerana dibimbangi tempoh eddah yang lama. Contohnya isteri dicerai ketika baru sebulan hamil maka isteri perlu melalui saat-saat sukar bersendirian dan dalam waktu yang lama iaitu lebih lapan bulan sedangkan seorang wanita perlu mempunyai wali atau penjaganya.

Jumlah nafkah eddah pula bergantung kepada persetujuan setiap pihak dan biasanya dikira keperluan harian bekas isteri tersebut selama tempoh eddah. Apabila selesai tempoh eddah, suami tidak lagi bertanggungjawab ke atas bekas isterinya. Lantaran itulah, diperuntukkan pemberian mut'ah iaitu saguhati perceraian. Jumlah mut'ah bergantung kepada persetujuan setiap pihak. Isteri boleh menuntut jumlah yang dikehendaki, bekas suami berhak meminta pengurangan dan keputusan ditetapkan oleh hakim.

Harta sepencarian pula adalah pembahagian harta yang dikumpul sepanjang tempoh perkahwinan. Walaupun anda sebagai suri rumah, anda tetap berhak mendapat harta sepencarian iaitu kiraan 1/3 daripada jumlah harta. Suri rumah berhak kerana mengambil kira sumbangan isteri menjaga kebajikan suami hingga suami mampu mengumpul harta-harta tersebut.

Namun, tidak semua isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah eddah dan mut'ah. Isteri-isteri yang disabitkan nusyuz tidak berhak mendapat nafkah eddah. Mut'ah pula menjadi hak isteri yang diceraikan tanpa sebab yang berpunca daripada isteri. Sebagai contoh, perceraian dimohon oleh isteri kerana kegagalan suami menjalankan tanggungjawab, isteri masih berhak memohon mut'ah. Sebaliknya jika perceraian atas kehendak suami dan isteri menerima tetapi isteri adalah penyebab perceraian contoh gagal menunaikan tanggungjawab yang patut, isteri tidak berhak memohon mut'ah.

Mengenai hak jagaan anak, bekas isteri (ibu) mempunyai hak penuh ke atas anak-anak perempuan di bawah usia 11 tahun dan anak-anak lelaki di bawah usia sembilan tahun. Selepas usia tersebut, anak-anak akan disuruh memilih antara ibu atau ayah. Namun, hak ini bukan hak mutlak bererti boleh dicabar oleh suami berdasarkan alasan-alasan tertentu (akan saya terangkan nanti). Isteri yang mendapat hak jagaan anak berhak menuntut nafkah untuk anak-anak juga. InsyaAllah, akan ada penjelasan lanjut nanti.

23 Julai 2008

Hargai ibu bapa selagi hayat masih ada

Ramai yang dah tau baru-baru ini saya bercuti lama atas urusan penting di Kedah. Bila anda tengok foto-foto di atas, pasti anda dapat agak kenapa saya bercuti? Ya! Saya balik kampung (Sik) kerana Bapa saya menjalani pembedahan Hernia di Hospital Sungai Petani.

Semua adik-adik (kami lapan orang) juga balik hatta yang belajar di IPT. Mak dan Bapa memang melarang kami balik. Alasannya bukanlah teruk sangat tapi bagi saya dan adik-adik, takkan lah nak tunggu teruk atau nazak baru nak balik kan?!

Saya yakin, bukan saya dan adik-adik saja yang berpendirian sedemikian malah ramai lagi. Namun, tidak saya nafikan, ada juga kes anak-anak yang terlupakan ibu bapa masing-masing dek kerana kesibukan kerjaya dan menguruskan keluarga sendiri. Ada juga yang berpendirian, duit dah dikirim setiap bulan, cukup lah!

Ingat yer! Kebanyakan ibu bapa tak mengharapkan duit anda (sebab ada juga kes ibu bapa yang pentingkan duit) sebaliknya mengharapkan kunjungan dan perhatian anda. Tanyakan pada diri, bila kali terakhir anda mengunjungi ibu bapa anda? Bila kali terakhir anda mencium tangan dan pipi ibu bapa anda? Bila kali terakhir anda makan bersama ibu bapa anda? Bila kali terakhir anda berkomunikasi dengan ibu bapa anda? Semalam? Minggu lepas? Bulan lepas? Tahun lepas? Anda sendiri tau jawapannya.

Jika jawapan anda semalam atau minggu lepas atau bulan lepas, alhamdulillah, moga ada lagi detik-detik manis tersebut dalam masa terdekat. Sebaliknya jika hampir setahun yang lalu dan dalam perancangan anda, hanya akan pulang ke kampung berjumpa ibu bapa anda pada musim perayaan yang akan datang hampir dua bulan lagi, renung dan fikirkanlah:

- Apakah anda yakin anda punya peluang untuk menunggu hingga tempoh itu?

- Apa yang akan berlaku jika anda dijemput mengadap Ilahi sebelum tiba saat itu?

- Apa akan terjadi jika tiba-tiba anda mendapat berita, mereka telah pergi dulu mengadap Ilahi?

Kematian akan datang bila tiba masanya, tidak akan tercepat atau terlewat walaupun seminit. Sama ada anda atau ibu bapa anda yang dijemput dulu, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Itu kerja Dia, serahkan kepada-Nya. Kerja anda, hargailah peluang yang ada selagi hayat anda dan mereka masih ada.

Ada yang mengadu kepada saya, kecewa dengan sikap ibu bapa. Ada yang disisih kerana hidup susah, kurang bijak berbanding adik-beradik yang lain. Ada yang dimarahi kerana tetap dengan pilihan hati sendiri. Malah pelbagai alasan lagi.

Ingatlah! Mereka adalah ibu bapa anda. Walau apa pun kesilapan mereka, walau seluka mana pun hati anda diperlakukan mereka, ibu dan bapa tetap insan terulung dan teragong yang perlu anda hormati, kasihi, cintai, sayangi dan hargai sepenuh jiwa.

Biar seteruk mana anda dicemuh atau dicaci atau dimaki, jangan padam nama mereka dari hati anda. Jangan juga jadikan segala cemuhan sebagai alasan untuk anda membenci mereka. Mungkin anda di pihak yang benar namun sebagai anak, anda perlu mengalah dan percayalah, mengalah bukan bererti anda kalah. InsyaAllah, kebenaran akan terserlah juga bila tiba masanya.

Jernihkanlah yang keruh. Hubungilah ibu bapa anda sekarang. Ziarahlah mereka hujung minggu ini. Hargailah dan sayangilah mereka selagi masih berkesempatan...

17 Julai 2008

Kekal tabah terima takdir-Nya

Malam tadi saya sampai ke rumah agak lewat kerana terlibat dengan satu program. Usai menguruskan diri (anak-anak dah pun tidur), saya membelek telefon bimbit. Ada panggilan tak berjawab dan beberapa sms. Semuanya daripada klien-klien saya. Ya! Apabila anda telah bersemuka dengan saya, anda akan mendapat nombor telefon bimbit saya sendiri tetapi awal-awal lagi saya dah cakap, anda boleh sms dan saya akan cuba balas sms anda. Tak perlu telefon sebab saya tak janji akan dapat jawab panggilan-panggilan anda itu.

Dalam beberapa sms tersebut, ada satu sms daripada seorang wanita yang berjumpa dengan saya hujung Mei lalu. Wanita ini keliru tentang hala tuju perkahwinannya memandangkan suami mengabaikan nafkah, jarang ambil tau pasal anak-anak. Mempunyai hubungan dengan wanita lain dan tika itu, suaminya dah lama tak balik ke rumah. Hanya balik bila dia tiada di rumah. Dalam masa yang sama, suami mengabaikan nafkah batin malah berhutang dalam jumlah yang banyak dengan si isteri. Dah pernah janji akan berubah tetapi janji tinggal janji. Bukan sehari dua tetapi sejak awal perkahwinan suaminya bersikap sedemikian dan makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini hingga keluar dari rumah dan langsung tidak endahkan panggilan telefon isteri.

Bila saya tanya, masih sayang? Jawapan wanita tersebut: Memang sayang dan dia masih mengharapkan agar suami berubah dan kehidupan rumahtangga mereka akan bahagia.

Itulah wanita yang luhur kasihnya. Biar suami memberikan seribu penderitaan, berjuta peluang masih mampu diberi. Namun, Islam menganjurkan perkahwinan perlu menepati hikmah dan prinsip mawaddah dan rahmah. Setiap pihak samada suami atau isteri perlu bahagia dengan perkahwinan tersebut, tidak boleh hanya satu pihak yang bahagia sedangkan pihak lain tak habis-habis berkorban hingga mengganggu emosi dan perasaan sendiri. Memang segala masalah itu ujian dan sebagai makhluk, kita perlu terima ujian Ilahi tetapi meneriman bukan bererti membiarkan diri derita tanpa mencari jalan keluar daripada penderitaan tersebut.

Jalan terbaik, berserah dan mohon yang terbaik kepada-Nya. Itulah yang saya pesankan kepada wanita tadi. Berdoa kepada Allah mohon yang terbaik. Sekiranya perkahwinan ini baik untuk masa depan dirinya, suami dan anak-anak, mohon Allah ubah sikap suami menjadi seorang suami yang soleh dan menjalankan segala tanggungjawab. Sekiranya yang terbaik adalah sebaliknya, mohon agar Allah memudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan untuk menerima kehendak-Nya itu. Beberapa kali juga kami ber'sms' menceritakan perkembangan kes.

Malam tadi, sms yang saya terima menyebut, kes ditetapkan pada 24hb ini untuk perceraian. Dia mohon nasihat saya tentang hak-hak yang boleh dituntut di mahkamah nanti. Setelah beberapa sms, dia berpuas hati namun di akhir sms ada luahan rasa, dia sedih dengan takdir perkahwinannya.

Jawapan saya: Kita merancang namun hanya Allah yang tau setiap perkara yang terbaik untuk kita. Kita dah mohon dan Allah dah tunjukkan jalan. Sewajarnya kita terima dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Memang mulanya agak sukar tetapi bertahanlah dan kekal tabah serta kuatkan semangat kerana akan tiba masanya, anda akan rasa betapa berharganya ketentuan Allah ini. Sungguh... setiap kehendak dan takdir-Nya bukanlah sia-sia!

****Mulai esok (18hb) hingga 22hb (Selasa depan) saya berada di luar pejabat, agak sukar untuk saya menjenguk blog. InsyaAllah, saya akan bersama dengan anda semula pada 23hb ini.

****KHAS UNTUK ORANG UTARA: Saya akan berada di sekitar Sungai Petani dan Sik mulai 19hb hingga 21hb Julai ini. Jika anda berhajat untuk berjumpa dengan saya, boleh hubungi pembantu saya dan tetapkan temujanji. Jika kena dengan jadual kerja saya, kita boleh bertemu insyaAllah!!

16 Julai 2008

Mengadu hanya kepada yang berhak

Seseorang mengirimkan petikan emel seperti di bawah kepada saya:

...cuma saya dalam keadaan dilema di mana bolehkah saya menceritakan hal rumahtangga kepada orang lain? Kerana dalam Islam, kita diajar jangan buka aib suami dan jangan ungkit kebaikan diri sendiri. Saya benar2 keliru...

Saya yakin bukan pengirim emel ini sahaja malah ramai lagi yang keliru. Saya akui, rumahtangga adalah rahsia mutlak milik pasangan suami isteri. Mana-mana pihak yang sengaja mendedahkannya adalah berdosa.

Namun, terdapat pengecualian di dalam perkara kerahsiaaan ini iaitu hal-hal yang berkaitan dengan tanggungjawab dan hak pasangan terlibat. Contohnya, semua sedia maklum bahawa suami bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Sekiranya suami dengan sengaja gagal menjalankan tanggungjawab tersebut, isteri wajar meminta pendapat seseorang yang boleh dipercayai untuk menegur sikap suami sekiranya dia sendiri gagal mengubah sikap buruk suami.

Yang penting, rahsia tersebut diceritakan kepada yang boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia anda dan boleh membantu anda mengatasi permasalahan tersebut. Islam adalah agama yang adil. Allah takkan menganiayai hamba-Nya dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan-Nya.

Sebenarnya, menceritakan tentang hal pasangan adalah termasuk di dalam kategori mengumpat atau ghibah.

Di dalam satu hadis Rasulullah SAW: Ghibah ialah engkau menceritakan saudaramu tentang sesuatu yang ia benci.” Si penanya kembali bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu bila apa yang diceritakan itu benar ada padanya ?” Rasulullah SAW menjawab, “Kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat buhtan (mengada-adakan cerita -fitnah).”
(HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad).

Hukum asal bagi ghibah ialah haram hinggakan sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut dikira sebagai memakan daging saudaranya sendiri. Namun, ulama menentukan pengecualian bagi beberapa keadaan antaranya orang yang mazlum (teraniaya) boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berkuasa memutuskan suatu perkara dalam keadaan menuntut haknya.

Hal ini dijelaskan dalam Al-Qur’an surat An-Nisa ayat 148 bermaksud: “Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang teraniaya boleh menceritakan keburukan perbuatan orang yang menzaliminya kepada orang lain iaitu seseorang yang mempunyai kekuasaan, kekuatan dan mampu untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, seperti seorang pemimpin atau hakim atau pihak-pihak tertentu, dengan tujuan mengharapkan bantuan atau keadilan.

Orang yang teraniaya adalah termasuk para isteri yang tidak mendapat hak yang wajib sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum Islam bererti anda boleh menceritakan perihal sikap suami anda itu. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, luahkan kepada seseorang yang boleh dipercayai dan boleh membantu anda mengatasi masalah tersebut.

Kepada mereka yang terpilih untuk berkongsi rahsia seseorang, tanggungjawab anda adalah untuk menyimpannya kemas dan tidak didedahkan kepada orang lain. Anda memegang amanah seseorang dan gagal menunaikan amanah bererti anda munafik!!

KHAS UNTUK ORANG UTARA: Saya akan berada di sekitar Sungai Petani dan Sik mulai 19hb hingga 21hb Julai ini. Jika anda berhajat untuk berjumpa dengan saya, boleh hubungi pembantu saya dan tetapkan temujanji.

15 Julai 2008

Ceramah motivasi di IKBN Dusun Tua

Pertama kali dalam sejarah kerjaya saya, bercakap di depan 390 orang. Sebelum ni, paling ramai pun dalam 200 orang sahaja. Pengalaman berharga ini saya dapat menerusi siri ceramah motivasi bertajuk Rahsia Kekal Cemerlang, yang saya bincangkan bersama-sama pelajar-pelajar baru IKBN Dusun Tua pada 11hb Julai baru-baru ini.

Mulanya agak risau memandangkan adik-adik tersebut telah keletihan (malam terakhir minggu orientasi) dan petang sebelumnya, mereka gelut bersukan. Alhamdulillah, sesi hampir 2 jam tersebut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada adik-adik IKBN dan yang mengharukan saya ialah apabila saya dah nak tutup sesi saya itu, masih ada yang bertanyakan soalan dan minta saya sambung lagi sesi ceramah saya...

Tahniah adik-adikku semua. Moga kejayaan dan kecemerlangan milik kalian...

** Saya masukkan antara foto dan video berkaitan sebagai mengenang sejarah berharga ini:



video

video

** Masih ada video yang belum berjaya di'upload'. Saya akan cuba lagi di lain masa.

10 Julai 2008

Berkahwin hanya jika anda mampu

Undian tentang siapakah yang memperuntukkan perbelanjaan bagi segala kos keperluan rumahtangga telah tamat beberapa hari yang lalu. Terima kasih kepada yang sudi mengundi. Walaupun sekadar 52 pengundi tetapi undian tetap boleh dikira sebagai undian rawak. Keputusan seperti yang boleh anda saksikan sebelum ini:

- Suami sepenuhnya 15%

- Suami dengan bantuan isteri 65%

- Isteri dengan bantuan suami 15%

- Isteri sepenuhnya 7%

Seperti yang selalu saya tegaskan, hidup berumahtangga adalah satu perkongsian. Walaupun suami yang dipertanggungjawabkan untuk menanggung segala keperluan rumahtangga, bukan bererti isteri tidak boleh membantu.

Yang menjadi masalah ialah apabila kewajipan seorang suami terpaksa dipikul oleh isteri atau lebih banyak dipikul oleh isteri (seperti kes ketiga dan keempat yang mewakili 15% dan 7%). Saya akui, peratusannya tak besar tetapi sewajarnya, kedua-kedua tersebut tidak berlaku. Malangnya, ia tetap berlaku dan seringkali alasan yang diberikan ialah suami tidak mampu. Dah kalau tak mampu, kenapa nak jugak jadi suami orang??

Ramai orang yang tak nak belajar tentang ilmu perkahwinan yang sebenarnya. Malah ketika kursus perkahwinan, perkara-perkara yang wajib dan perlu tahu jarang sangat diambil peduli malah kurang diberi penekanan. Sebagai contoh, tahukah anda hukum untuk berkahwin itu terbahagi kepada lima?

Anda dikira WAJIB berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan. Sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.

Anda dikira SUNAT berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Sekiranya tidak berkahwin, tidak khuatir terlibat dengan zina.

Anda dikira HARAM berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin, atau perkahwinan yang bertujuan untuk memudaratkan isterinya.

Anda dikira MAKRUH berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.

Anda dikiran HARUS berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin, dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

Di mana kelayakan anda untuk berkahwin? Ada di kalangan lelaki yang menyimpan hasrat, kahwinlah dengan gadis/wanita yang kaya raya, dapatlah tumpang kekayaannya. Jika dari awal lagi niat dah tak betul, bagaimana nak teruskan kehidupan berumahtangga dengan aman damai?
Berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan hampir 70% melibatkan masalah kecuaian suami dalam menjalankan tanggungjawab yang perlu berkaitan nafkah zahir.

Walau hukum asal adalah makruh tetapi bila anda mengabaikan tanggungjawab hingga memberikan penderitaan dan penyiksaan kepada isteri dan anak-anak anda, hukumnya adalah berdosa. Ya! Rezeki ketentuan Ilahi tetapi dah kalau dari awal tak mampu dan tak der usaha nak mencari atau menambah rezeki, itu namanya 'cari pasal'.

Sekiranya para suami memahami hukum perkahwinan dan berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan sedaya upaya, statistik kes berkaitan akan dapat dikurangkan dan matlamat asal perkahwinan akan berjaya dicapai.

08 Julai 2008

Harus saling membantu

Dipetik dari Kosmo!
Oleh NOORHASLIZA NUSI

Peranan suami bukan sekadar memberi nafkah zahir batin, kasih sayang dan perlindungan, malah membantu isteri melaksanakan kerja-kerja rumah.

"DUA tahun mendirikan rumah tangga, dia seolah-olah tidak memahami apa yang diinginkan si isteri. Membasuh pakaian, pinggan atau mengemas rumah jarang sekali dibuatnya."

"Tanggungjawabnya melayan isteri bagai menatang minyak yang penuh. Dia tidak putus-putus memberi nafkah zahir dan batin. Ini patut dipuji. Tetapi, sikapnya yang tidak pernah mengambil peduli hal berkaitan pengurusan rumah tangga, menyebabkan si isteri merasakan dirinya semakin dibebani tanggungjawab yang lebih besar."

"Saat dilamun cinta, kepercayaan yang diberikan hampir 100 peratus tetapi bila sudah mendirikan rumah tangga, rupa-rupanya ada lagi perkara yang perlu diketahui dan dikongsi bersama."

Meneliti komen di atas, ternyata masih ramai menganggap percintaan tidak semestinya membuatkan kita mengenali pasangan secara menyeluruh. Walaupun sudah memasuki gerbang perkahwinan selama bertahun-tahun, masih ada segelintir daripada kita terpaksa bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan pasangan.

Menurut Perunding Psikologi Keluarga, Suzana Ghazali, sikap bertoleransi, kerjasama, memahami antara satu sama lain, tanggungjawab dan percaya pada diri sendiri memainkan peranan penting dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Katanya, walaupun bercinta bertahun-tahun lamanya dan kemudian mendirikan rumah tangga, ia tidak bermakna pasangan sudah mengenali antara satu sama lain.

"Tempoh lima tahun pertama perkahwinan adalah proses mengenali pasangan. Sekiranya tempoh tersebut berakhir tetapi si suami tidak menunjukkan perubahan pada dirinya, maka pasangan tersebut perlu mendapatkan khidmat perunding psikologi keluarga.

"Tetapi jika sikap sambil lewa suami berpunca daripada sikap isteri yang terlalu memanjakan pasangannya sehingga mereka 'naik lemak', maka isteri sepatutnya dinasihatkan,'' katanya kepada KOSMO!.

Memang tidak dinafikan, setiap wanita perlu memanjakan suaminya seperti menjaga kebajikan dan melayan kehendaknya, tetapi janganlah sampai melampau batasan.

"Sungguhpun majoriti wanita kini bekerjaya dan lebih banyak menghabiskan masa di pejabat, mereka tetap memikul tanggungjawab menyediakan makan minum suami dan anak-anak.

Cuma dalam hal ini, suami wajar menghulurkan bantuan kerana masing-masing bekerja dan tentu sekali, kedua-duanya juga penat apabila pulang ke rumah.

Justeru, peranan suami kini bukan sahaja memberi nafkah zahir batin, kasih sayang dan perlindungan, malah membantu melaksanakan kerja rumah bagi meringankan beban isteri dalam mengurus rumah tangga," tegasnya.

Bagaimanakah memupuk sikap bekerjasama dan rasa tanggungjawab selepas mendirikan rumah tangga? Suzana berkata, sebaik-baiknya ia dipupuk sebelum pasangan mendirikan rumah tangga.

"Membuat perjanjian dengan menyatakan keinginan yang diimpikan setelah bergelar pasangan suami isteri adalah satu keputusan yang bijak dalam menjana rumah tangga yang bahagia.

Daripada situ, pasangan dapat merancang dan mengubah kelemahan yang ada pada dirinya demi memastikan kebahagiaan istana yang baru dibina tetap kukuh," katanya sambil menjelaskan, walaupun cara itu dilihat seperti queen control, tetapi hakikatnya ia dapat mengukuhkan hubungan cinta suami isteri.

Untuk mendapatkan keredaan dalam melayari rumah tangga jelasnya, setiap pasangan seharusnya saling tolong-menolong antara satu sama lain, tidak kira dalam apa perkara sekalipun. Contohnya, membantu si isteri di dapur ataupun mengemas bilik tidur.

"Sekiranya takut menegur kesalahan atau melahirkan ketidakpuasan hati terhadap pasangan, cuba luangkan masa berdua untuk sama-sama meluahkan perasaan yang terpendam ini pada waktu dan tempat yang sesuai. Perbincangan menjadi lebih efektif sekiranya dilakukan secara komunikasi dua hala.

Walaupun realitinya, lelaki pantang sekiranya dia diarah atau dipaksa melakukan sesuatu, namun menerusi layanan dan belaian kasih sayang seorang isteri, suami akan menurut jua," katanya tidak salah sekiranya suami membantu isteri di dapur kerana ia dapat mengeratkan lagi kasih sayang.

Masa terbaik berkomunikasi
* Di kamar beradu
Cuba luahkan keinginan yang terpendam sewaktu anda dan pasangan berada di kamar. Ucapan manja sambil diselitkan dengan keinginan yang diimpikan itu sememangnya dapat direalisasikan ketika waktu kemuncak anda berdua.

* Pulang dari tempat kerja
Saat pulang ke rumah berdua adalah masa paling sesuai untuk anda meluahkan pendapat dan keinginan yang belum dicapai itu. Sambil berkongsi penat bekerja, anda boleh menarik perhatiannya dengan bercerita tentang perkara yang terjadi sepanjang hari tersebut. Di samping itu, anda bolehlah menyelitkan beberapa perkara yang perlu diketahuinya.

Perkara yang perlu dilakukan pada lima tahun pertama perkahwinan
1. Kenal hobi pasangan
Sertai minatnya itu. Jangan sesekali menyekat pergaulan suami dengan rakan-rakannya. Luangkan masa menyertai acara atau aktiviti yang diminati pasangan. Pada masa yang sama, anda berpeluang menarik pasangan menyertai aktiviti yang anda minati.

2. Sikap berterus-terang
Sekiranya anda merasakan sesuatu yang berlaku atau tidak kena pada pasangan, jangan sesekali memendamkan perasaan itu. Berani berterus-terang dan jangan mudah berputus asa, sebaiknya cari jalan penyelesaian dengan baik.

3. Sentiasa berdoa
Memohon keberkatan daripada-Nya sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan seseorang, di samping dapat memelihara keutuhan sesebuah rumah tangga. Jadi, anda dinasihati agar sentiasa memohon rahmat dan perlindungan daripada Allah s.w.t.

Boleh juga klik Petikan Kosmo!

07 Julai 2008

Pastikan sayang anda berbaloi

Seminggu lepas, hari-hari saya penuh dengan kes-kes baru. Bukan sahaja temujanji sebaliknya kes-kes melalui sms yang disampaikan oleh PA saya dan juga melalui emel. Sekali lagi ingin saya maklumkan, talian 013-2545965 adalah untuk anda tetapkan temujanji berjumpa dengan saya. Talian tersebut bukan talian penyelesai masalah melalui sms. Maaf! Saya tak berkesempatan nak balas sms-sms anda itu.

Namun, jika anda sukar berjumpa dengan saya, anda boleh hubungi PA saya dan ceritakan kes anda. PA saya akan catatkan kes anda dan dapatkan penjelasan daripada saya. Anda boleh telefon semula untuk dapatkan jawapan kepada masalah anda cuma saya tak berani janji, anda akan dapat jawapan segera memandangkan jadual tugas saya juga agak padat.

Sebenarnya, berdepan dengan kes baru bukanlah pelik. Dah itu rutin kerja saya. Yang menambahkan sesak di minda saya ialah sepanjang minggu lalu, terlalu banyak kes melibatkan wanita yang terlalu sayangkan pasangan melebihi sayangkan diri sendiri. Bukan tak boleh, sayangilah pasangan anda sebanyak buih di lautan atau sebanyak titis air di awan atau apa sahaja ASALKAN KASIH SAYANG ANDA ITU BERBALOI.

Apa maksudnya? Bukannya bererti anda juga perlu mendapat jumlah kasih sayang yang serupa sebab kasih sayang tak boleh ditimbang ukur tetapi anda perlu pastikan KASIH SAYANG ANDA ITU TIDAK MEMBERIKAN PENDERITAAN KEPADA ANDA. Ya!! Pastikan ANDA BAHAGIA DENGAN KASIH SAYANG ANDA KEPADANYA.

Apa erti jika anda mengasihinya separuh mati atau kata setengah orang, bagai nak rak, sedang hakikatnya saban hari anda menangis?? Saban hari hati anda sakit mengenangkan sikapnya? Saban hari fikiran anda berkecamuk memikirkan dia yang tak pedulikan anda? Sampai ada tikanya anda membahayakan nyawa sendiri kerana terlau runsing memikirkan apa lagi penderitaan yang akan ada terima? Berbaloikah menyintai dan menyayangi insan sedemikian?? Mungkin di mulutnya terucap sayang tapi cukupkah dengan perakuan lisan jika tidak disusuli dengan tindakan?

Apa bukti kasih sayang? Bukan perlu renangi lautan api, bukan perlu belah dada operate hati. Kasih sayang yang tulus adalah menyayangi dan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan tanpa memberikan alasan. Juga tanpa meminta anda menerima keadaan secara terpaksa. Seorang yang amat menyayangi anda akan bersedia melakukan apa sahaja yang termampu untuk membahagiakan anda. Seorang yang amat mengasihi anda takkan tega melihat anda bersusah payah atau menderita.

Cinta perlukan pengorbanan. Itu kata ramai orang. Saya akui tetapi ingatlah, jangan jadi lilin, membakar diri demi menerangi orang lain. Jadilah matahari, memberikan cahaya dan haba tanpa perlu musnahkan diri sendiri. Sayangilah diri anda lebih daripada menyayangi orang lain...

04 Julai 2008

Wujudkan suasana ceria

Dah lama saya nak bincangkan tajuk ini tetapi tertangguh kerana 'bahan' untuk topik ini tiada pada saya. Yang saya maksudkan adalah foto-foto yang diambil semasa hari sukan tahunan Tadika Idealis 2008 yang diadakan pada 24hb Mei tak lama dulu. Saya sertakan beberapa foto dan video pada hari tersebut.






video


video

Tujuan sebenar saya bukan nak tayangkan foto-foto ini sahaja sebaliknya nak menyatakan penghargaan saya kepada Puan Fauziah, Pengusaha dan Pengetua Tadika Idealis di atas usaha beliau menganjurkan sukan ini yang bukan hanya mampu menceriakan pelajar dan guru-guru sebaliknya membantu merapatkan hubungan kasih sayang suami isteri iaitu ibu bapa kepada para pelajar.

Saya yakin, anda semua faham kenapa saya katakan sukan tersebut membantu merapatkan hubungan kasih sayang suami isteri kan? Terus terang, pertama kali saya berjumpa dengan sukaneka kerusi muzik berpasangan. Melucukan tetapi penuh kasih sayang. Anak-anak riuh bersorak memberi sokongan kepada ibu bapa masing-masing. Satu suasana yang amat ceria dan gembira.

Suasana sebeginilah yang diperlukan oleh anak-anak. Anak-anak bukan perlukan suasana disiplin yang keras sebaliknya penuh kasih sayang, perhatian, tolak ansur, kerjasama dan ceria. Anak yang sentiasa melihat kegembiraan, keceriaan, kerjasama dan kasih sayang antara kedua ibu bapanya akan membesar dengan penuh kasih sayang juga, jiwanya akan tenang, mudah untuk fokus kepada pembelajaran.

Sebaliknya anak yang sering melihat atau mendengar percakaran dan pergaduhan ibu bapa, mindanya akan serabut, kusut, terganggu dan kacau bilau. Saya pernah menerima beberapa kes berkaitan antaranya seorang remaja berusia 16 tahun dari utara tanahair yang tertekan kerana ibu bapanya sering bergaduh hingga tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran. Remaja tersebut juga serba salah apabila terpaksa memilih satu antara dua: ibu atau bapanya, sedangkan dia menyayangi kedua-duanya.

Itu cuma satu kes. Banyak lagi kes lain yang agak serupa. Saya faham, bak lirik lagu P.Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit... cuma satu saya mohon, jangan bergaduh di depan anak-anak. Sekeruh mana pun keadaan, cuba untuk bersikap seperti biasa di depan anak-anak. Jangan libatkan anak-anak di dalam kemelut masalah anda.

Sekiranya masalah tidak dapat dibendung lagi, keluarlah daripada perkahwinan. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan sedangkan hakikatnya anda menambahkan beban kepada anak-anak sendiri. Ada tikanya perceraian adalah lebih baik dan cakaplah dengan baik mengenai hakikat tersebut kepada anak-anak. Jika betul terjadi perceraian, jangan halang hubungan anak-anak dengan pasangan anda.

Ingatlah! Anak-anak adalah amanah Allah kepada anda. Jagalah mereka dengan baik. Jika anda tidak berusaha mengukir keceriaan di wajah mereka hari ini, anda akan sukar melihat keceriaan di wajah mereka pada masa akan datang.

Lantas, wujudkanlah suasana ceria demi anak-anak tercinta....

03 Julai 2008

Takliq bukan mainan

Terlalu sibuk, dua hari yang penuh dengan temujanji hingga tak sempat menjenguk blog. Hari ini pun jadual saya padat. Kebetulan hari ni berpuasa (puasa ganti bersalinkan Sulaim 23 hari, baru berbayar sehari je), saya mengambil kesempatan ini untuk menjenguk emel dan blog.

Agak mengejutkan bila terdapat 25 keahlian baru untuk kelab menjadikan semua ahli berdaftar sejak pelancaran 1hb Jun berjumlah 75 orang. Terima kasih kepada setiap ahli, insyaAllah saya akan usahakan untuk mengadakan program pertama awal Ogos nanti. Maklumat lanjut akan saya umumkan kemudian.

Kembali kepada topik hari ini. Rasanya semua orang sudah maklum, perkahwinan dan perceraian adalah perkara serius, bukan perkara lawak atau mainan. Malangnya, masih ramai lagi yang sanggup mempermainkan ikatan yang sewajarnya disanjung dan dipelihara dengan baik. Antaranya ada kes suami yang sesenang hati melafazkan ucapan takliq bagi mengugut isteri.

Takliq bermaksud menggantung perkahwinan kepada syarat yang tertentu yang jika berlaku syarat tersebut, perkahwinan akan dibubarkan. Sebagai contoh, suami melarang isteri keluar dari rumah dan menyebut; Jika kamu (isteri) keluar dari rumah, jatuh talak (sama ada disebut jumlah talak atau tidak). Dalam kes ini, perkahwinan digantung kepada syarat isteri tidak boleh keluar dari rumah. Bererti, sekiranya isteri keluar dari rumah walau dengan apa alasan sekalipun, talak dikira jatuh.

Ya! Takliq ada di dalam hukum syarak dan di dalam peruntukan undang-undang. Namun, takliq bukan satu jalan untuk anda menggantung perkahwinan anda sesuka hati mengikut emosi anda sendiri. Takliq dibenarkan di dalam Islam untuk kemaslahatan khasnya kebajikan isteri dan itulah juga yang ditetapkan oleh undang-undang. Takliq bukan senjata untuk anda mengongkong, mengancam atau mengugut isteri.

Di dalam satu kes, seorang isteri disuruh oleh suami agar balik ke rumah (dari pejabat) pada pukul tiga. Jika isteri engkar, akan jatuh talak tiga. Isteri yang bimbangkan kata-kata suami segera meninggalkan pejabat pada pukul tiga dan tiba di rumah selepas pukul tiga. Sebaliknya suami marah-marah kerana suami maksudkan isteri perlu ada di rumah pada pukul tiga. Isteri yang sedang sarat mengandung hanya mampu menangis.

Keadaan jadi gawat apabila selepas seminggu suami meminta maaf dan ingin kembali kepada isteri, dengan alasan dia tidak memaksudkan kata-katanya sebelum itu. Apa lagi yang nak dimaksudkan jika jelas perkataannya jika isteri tak balik pukul tiga, jatuh talak tiga. Bukan talak rajie sebaliknya talak bain kubra, tak boleh rujuk malah tak boleh nikah semula kecuali selepas isteri bernikah dengan lelaki lain dan kemudiannya bercerai.

Di dalam satu kes yang lain pula, seorang lelaki yang baru selesai melafazkan akad nikah, membisikkan kepada isterinya; Jika I tak dapat U malam ni, jatuh talak tau. Mungkin bergurau tetapi kuasa Allah, memang benar si suami gagal 'mendapat' isteri pada malam tersebut. Kecohlah bila sehari kahwin dah terpaksa bercerai.

Itu antara ucapan takliq selain ucapan yang perlu diucapkan oleh suami selepas akad nikah. Bila keadaan takliq begini berlaku, pengesahan perlu dibuat di Mahkamah Syariah.

Namun ingat!! Jangan menipu fakta kes. Ada kes isteri yang menipu Mahkamah, memberikan bukti-bukti palsu malah ada yang sanggup menipu alamat terkini suami dengan harapan suami tidak hadir ke Mahkamah dan kes boleh diteruskan tanpa pembelaan suami. Sekiranya permohonan takliq anda disahkan dan bekas suami merasakan anda menipu, bekas suami mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan membicarakan semula kes di Mahkamah.

Setiap individu ada haknya tetapi jangan sampai menipu kerana matlamat tidak menghalalkan cara.