23 September 2008

Salam Aidilfitri

Salam semua pengunjung setia laman ini,

Saya mohon maaf kerana tidak sempat mengemas kini blog saya ini. InsyaAllah, bila perkara yang lebih penting dan perlu diberikan keutamaan dapat saya kurangkan, saya akan kembali mengemas kini blog ini. Hingga saat itu, saya memohon ribuan kemaafan.

Saya juga ingin mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali saya.

Jumpa lagi....

15 September 2008

Telefon bimbit hilang

Saya ingin maklumkan kepada semua rakan-rakan dan klien-klien yang mempunyai nombor telefon bimbit saya, buat sementara waktu nombor tersebut tidak akan dapat dihubungi kerana telefon bimbit saya hilang dalam kejadian pecah rumah yang berlaku awal pagi semalam (Ahad, 14hb Sep).

Saya akan mencari masa untuk ke pusat Celcom berhampiran bagi mendapatkan simkad baru. Hingga masa tersebut, sila hubungi pembantu saya dan tinggalkan mesej anda.

Terima kasih.

10 September 2008

Kuantiti vs Kualiti

Sebelum saya jelaskan tentang apakah pokok perbincangan saya kali ini, ingin saya tanyakan beberapa soalan. Tahukah anda, berapa jam sehari anda luangkan masa bersama anak-anak anda? Berapa jam dalam seminggu? Dalam sebulan? Setahun? Pernahkah anda melakukan kiraan masa-masa tersebut? Dalam tempoh masa tersebut pula, apakah yang anda lakukan bersama anak-anak? Tak perlulah saya senaraikan, nanti penuh satu ruangan ni dengan senarai-senarai tersebut sahaja. Anda senaraikanlah sendiri. Bagaimana? Cuba perhatikan senarai dan jumlah masa yang anda luangkan bersama anak-anak, mana yang lebih? Kuantiti masa anda atau kualitinya?

Sebelum ni, saya selalu dengar dan baca penyataan tentang keperluan meluangkan masa bersama anak-anak. Tak perlu masa yang lama tetapi memadai masa yang sedikit tetapi digunakan sepenuhnya. Ada yang mencadangkan, cukuplah digunakan masa satu hari siang di hari minggu untuk bersama isteri atau suami dan anak-anak. Kalau sebelum ni, tika zaman belum berteknologi sepenuhnya, mungkin pendapat ini boleh diterima. Tapi zaman kebelakangan ini, tika anak yang baru pandai mengagah sebutan Mama sudah pandai bercakap menggunakan telefon bimbit, saya tak rasa pendapat tersebut masih relevan.

Sebabnya? Pertama: Anda masih boleh meluangkan masa bersama anak-anak walaupun anak-anak tiada di depan mata. Kedua: Anak-anak mampu mencari ‘pengganti anda’ andai anda terlupakan mereka sesaat pun walau tanpa sengaja. Ketahuilah, kesan dan natijah sebab kedua adalah amat besar dan terlalu payah untuk anda berpatah balik jika ianya berlaku. Bagi mengelakkan masalah besar inilah, anda perlu selarikan antara kuantiti dan kualiti masa anda bersama pasangan anda dan anak-anak anda khasnya.

Bagi saya sendiri, jika dulu saya mempunyai dua orang anak- yang beza umurnya hanya setahun, saya tak rasa sangat perbezaan dalam melayan kerenah mereka. Tetapi sejak kehadiran bayi ketiga, saya mula rasakan perbezaan yang nyata dalam menguruskan anak-anak. Apatah lagi Ayuni sudah bersekolah walaupun di tadika. Jika diamati, saya hanya mempunyai masa maksima empat jam sehari untuk bersama anak-anak. Saya yakin, anda juga sama seperti saya.

Tak percaya?? Fikirkan!! Anda meninggalkan rumah sekitar jam 8am, menghantar anak ke taska atau tadika. Ada yang perlu keluar lebih awal dari rumah jika tempat kerja agak jauh atau waktu kerja lebih awal. Balik kerja dan sampai ke rumah lingkungan jam 7pm. Kalut itu ini, paling cepat jam 8pm barulah boleh bersama anak-anak. Sekitar jam 10pm, dah nak suruh anak-anak masuk tidur. Kiralah sendiri berapa masanya anda dapat luangkan bersama anak-anak? Dengan masa yang ada tersebut, jika anda tidak menggunakan sepenuhnya, tidak mustahil anda akan mengabaikan anak-anak anda tanpa sedar. Bila terasa mereka diabaikan, anak-anak akan mencari pengganti anda. Mungkin pembantu anda. Mungkin pengasuh atau mungkin juga kawan-kawan mereka.

Sebab itulah saya katakan, anda perlu gunakan sepenuhnya peruntukan masa di siang hari untuk anak-anak anda. Segala kemudahan ada di hujung jari. Rata-rata ahli masyarakat hari ni mempunyai kemudahan telefon bimbit hatta anak-anak juga telah diberikan hak menggunakan telefon bimbit. Bererti, tiada alasan untuk anda rasa sukar untuk meluangkan masa dengan anak-anak anda. Saya tak suruh anda gunakan telefon bimbit yang ada kemudahan 3G atau yang seumpamanya. Meluangkan masa bersama anak-anak mempunyai pelbagai cara. Antaranya cukuplah dengan anda menefon bertanyakan apakah aktivitinya tika itu? Atau paling tidak pun, gunakan sepenuhnya masa empat jam setiap malam anda bersama mereka dicampur waktu pada hujung. Paling penting, anak-anak dapat merasakan keakraban hubungan antara anda dan mereka. Sekurang-kurangnya mereka tahu segala tindakan mereka diambil peduli dan anda mengambil berat mengenai kehidupan mereka.

Ingatlah! Setiap daripada kita mempunyai jumlah masa yang sama iaitu 24 jam. Rutin harian ialah 8 jam untuk bekerja tetapi kita selalunya mengambil masa hingga 10 jam, mengambil kira waktu pergi dan balik. Ditolak daripada 24, masih berbaki 14 jam. 14 jam adalah waktu yang agak bebas untuk anda gunakan, bezanya waktu tersebut bukanlah keseluruhannya waktu yang sesuai untuk anda meluangkan masa dengan anak-anak selain daripada dua hingga tiga jam yang pertama. Tahu kenapa saya membuat kiraan ini? Saya yakin, ramai yang mempunyai hasrat untuk bekerja lebih masa bagi menampung nafkah keluarga tambahan dengan isu kenaikan harga minyak ini.

Tak kisahlah apa juga yang ada ingin lakukan, perlu diingat: anak-anak adalah harta paling berharga berbanding segala harta lainnya di dunia ini...

Moga kita semua dapat menguruskan masa kita sebijaknyaa....

09 September 2008

Hanya Dia tahu yang terbaik

gambar terkini Afkar Sulaim diambil pagi ni sebelum saya keluar kerja.

Tika perbincangan ini disediakan, waktu sahur hampir habis. Waktu yang sama setahun yang lalu (kiraan bulan Hijrah), saya sedang menyusukan bayi saya yang baru berusia empat jam. Sehari sebelumnya, hari kelapan Ramadhan, tika hampir azan Asar, saya mula rasa sedikit kontraksi pada kandungan saya. Bila ke bilik air, saya dapati tanda-tanda akan melahirkan telah ada. Suami dah mula kecoh tetapi saya yakinkan padanya, bayi saya hanya akan keluar selepas tengah malam nanti, insyaAllah. Bukan kerana memiliki ilmu kedoktoran sebaliknya pengalaman melahirkan dua cahayamata sebelum ini memberikan saya pengetahuan tersebut.

Saya membatalkan puasa saya dan jamah sedikit nasi sebagai bekalan tenaga untuk saya bersalin malam nanti. Selepas selesai solat Maghrib, saya dan suami bergerak ke rumah seorang rakan sekerja yang juga rakan sepengajian di UM dulu cuma berbeza pengkhususan (dia pengkhususan Ekonomi). Ayuni Syafiqah dan Azfar Suhail kami tinggalkan di sana, kesian pulak nak bawa ke hospital. Tika itu, tiada orang lain bersama kami yang boleh diharapkan untuk menjaga mereka di rumah.

Tika menerima pemeriksaan doktor, bukaan baru jer 2cm. Kontraksi pun tak terasa sangat. Doktor nasihatkan saya agar kembali semula ke rumah kerana menurutnya, saya hanya akan bersalin petang esok atau paling cepat pun, tengahari esoknya. Saya berkeras enggan balik ke rumah kerana saya yakin, saya akan bersalin selepas tengah malam nanti. Bukan melawan cakap doktor tetapi pengalaman saya melahirkan kedua-dua anak saya sebelum ini cukup meyakinkan saya. Anak sulung saya lahir di dalam kereta di pam minyak nombor empat, stesen minyak Petronas Sungai Perak arah utara. Anak kedua pula, disambut oleh jururawat di hujung katil kerana tidak menyangka saya akan bersalin cepat - saya dah cakap baby nak keluar tapi jururawat kata tak :)

Mendengar penjelasan saya, doktor benarkan saya tinggal di wad walau di mulut, dia masih pertahankan pendapatnya. Hampir jam 11.30pm, saya dimasukkan ke wad. Suami pulang mengambil anak-anak di rumah rakan setelah saya selamat berada di katil saya. Selepas tengah malam, lebih kurang jam 12.45, saya mula rasakan kontraksi, makin lama semakin kuat dan kerap. Jam 1.15 saya panggil jururawat bertugas. Setelah diperiksa bukaan 6cm. Saya minta dibawa ke bilik bersalin segera. Jururawat mengikut permintaan saya.

Sampai di bilik bersalin, segala peralatan berkaitan disediakan. Doktor yang sama memeriksa saya sebentar tadi, memeriksa saya sekali lagi. Terngiang-ngiang lagi cakapnya; “Akak ni degil la, saya dah cakap belum masanya, akak degil. Ni takkan nak tunggu jer kat sini.” “Alahai!! Aku yang sakit atau kau yang sakit.” Jawapan tersebut hanya keluar dalam hati. Saya hanya diam dan berdoa agar Allah SWT memudahkan saya bersalin dan menyelamatkan saya dan bayi saya. Setelah segala peralatan disiapkan, tiga jururawat bersama saya keluar, meninggalkan saya bersendirian di bilik tersebut. Kontraksi saya makin kerap dan kuat.

Tiba-tiba saya rasa baby cam nak keluar, segera saya tekan butang memanggil jururawat. Seorang jururawat masuk dan tanyakan kenapa? Saya cakaplah saya rasa baby dah nak keluar. Jururawat mengherdik; “lambat lagi lah Kak.” Saya diam. Dia keluar semula. Jam 1.32am. Tak lama, sekali saya rasakan kontraksi yang kuat, dah terasa baby memang nak keluar sangat dah. Sekali lagi saya tekan butang memanggil jururawat. Jururawat yang sama masuk; ‘Kenapa dengan akak ni? Lambat lagi lah, sabar lah sikit.” Ya Allah!! Agaknya Kau izinkan aku bersalin sendirian lagi seperti kelahiran anak keduaku." Itu yang saya fikirkan tika itu. Jam 1.37am. Saya hanya berdoa dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Tak lama, sekali lagi saya rasakan kontraksi yang kuat. Jam 1.42am. Saya hanya melafazkan Allah berulang kali sambil meneran. Bila terasa kepala bayi dah di luar, saya tekan butang memanggil jururawat. Tak pasti siapa yang masuk sebab mata saya pejamkan sambil meneran, yang kedengaran hanya suara; “Ya Allah!! Kak, kepit dulu Kak, kepit!! Woi! Cepatttt, tolongg niii!!” terasa paha saya dirapatkan dan terdengar lebih banyak suara dan bunyi peralatan besi berkerincing. Dalam sekelip mata, saya dah rasa bayi saya keluar sepenuhnya. Sungguh, telinga saya menangkap bunyi tangisan pertama bayi saya. Walaupun saya mengalami banyak luka yang perlukan jahitan (dek kerana jururawat merapatkan kaki saya ketika bayi dah mula keluar), saya tetap bersyukur kerana saya dan bayi saya selamat. Ada rakan-rakan yang menyarankan saya menyaman sahaja mereka yang buat perangai tu tapi bagi saya, yang penting saya dan bayi saya selamat.

Alhamdulillah, hari ini bayi saya berusia setahun mengikut kelendar Hijrah (tarikh bulan Masihi jatuh pada 21hb September). Hidup saya tambah ceria dan bahagia dengan kehadirannya walau hakikat sebenarnya, saya tidak mengharapkan kelahirannya. Sungguh, ketika mendapat berita saya hamil lagi buat kali keempat (kandungan ketiga gugur ketika usia tiga bulan pada awal Januari 2006), memang agak sukar saya menerimanya. Bukan tak suka tetapi saya tidak bersedia.

Tidak seperti ketika mendapat berita mengandungkan anak-anak sebelum ini. Saya memang merancang sendiri (tidak mengambil pil kerana memberi kesan kepada ‘pembesaran’ tubuh saya seperti kes selepas bersalinkan anak kedua) kerana saya tidak yakin saya bersedia menambahkan anak dalam tempoh terdekat. Rutin kerja saya sebagai Instructional Designer di sebuah syarikat multimedia yang kerap kali juga terpaksa bekerja lebih masa di samping kerjaya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, memerlukan saya memberikan komitmen yang tinggi. Tambah lagi kedua-dua anak saya makin membesar, juga memerlukan perhatian sepenuhnya daripada saya.

Saya memang tidak bersedia untuk mempunyai anak lagi. Hanya kepada Allah SWT saya berserah, memohon yang terbaik. Hampir dua minggu saya memujuk hati. Tika itu, hanya Dia tempat saya bersandar harapan. Saban waktu saya berdoa: "Ya Allah! Aku tidak mengharapkan kandungan ini. Jika anak ini tidak memberikan masalah yang besar kepadaku, aku redha dengan kehadirannya dan bukakan pintu hatiku untuk menerimanya. Jika anak ini bakal menyusahkan masa depanku, aku rela jika kandungan ini gugur ya Allah!!" Itulah doa saya sepanjang melepasi trimester pertama kehamilan malah sebahagian trimester kedua. Saya berhenti berdoa sedemikian ketika usia kandungan lima bulan apabila satu hari saya terlibat di dalam kemalangan jalan raya (motosikal saya dilanggar oleh sebuah Kenari- saya memang selesa bermotosikal jika bergerak ke mana-mana tanpa anak-anak). Perlanggaran yang tidak kuat tetapi cukup untuk menghumbankan saya ke tepi jalan. Saya jatuh terhempas dan terlentang ke tanah. Motosikal menghempap kaki saya.

Sungguh Allah Maha Kuasa, kejadian tersebut tidak menjejaskan langsung kandungan saya malah doktor yang memeriksa sukar mempercayai saya terlibat di dalam kemalangan tersebut. Syukurlah terdapat luka-luka di tangan dan lebam di bahagian kaki bagi membuktikan saya tidak menipu. Kejadian tersebut memberikan keyakinan kepada saya, bayi saya ditakdirkan untuk bersama saya dan sejak itu, saya berdoa agar bayi saya selamat dilahirkan dan menjadi anak yang soleh/solehah dan membahagiakan saya sekeluarga.

Alhamdulillah hingga detik ini, Afkar Sulaim (bermaksud daya fikir yang tinggi menyempurnakan orang lain) tidak pernah memberikan masalah kepada saya. Bukan sahaja ketika membesarkannya, tetapi juga tika bersalin dan hamil. Malah, ramai juga rakan sekerja (berlainan bahagian) yang tidak perasan saya hamil kerana saya sentiasa sihat dan cergas tambah faktor fizikal yang menolong saya menyembunyikan kandungan saya.

Syukur kepada Allah, segala perasaan yang saya alami ketika awal kehamilan dulu, tidak menggganggu saya tika ini. Saya diberikan peranan untuk mengatur sendiri jadual kerja saya (sebagai Pengurus antara projek syarikat) dan saya berjaya memperolehi pembantu yang amat sayangkan anak-anak saya, tak perlu risau lagi tentang keselamatan mereka ketika saya keluar bekerja.

Kenapa saya ceritakan semua ini? Kerana saya mahu anda semua di luar sana melakukan yang serupa. Sentiasa menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang berlaku di dalam hidup anda kerana hanya Dia lebih tahu yang terbaik untuk anda.

video


08 September 2008

Balik raya: fahami perasaan orang lain juga

Jadual saya agak padat bulan puasa ini. Tak dapat nak selalu menjenguk blog ini. Ada yang meminta saya membincangkan isu balik beraya. Saya dah pernah bincangkan tentang perkara ini di dalam Resipi Hidup pada tahun 2005. Saya masukkan perbincangan tersebut di sini. Harapan saya, menjawab persoalan anda. Maaf kerana tidak dapat aktif mengemaskini blog. Saya akan 'qadha' bila berkesempatan nanti, insyaAllah!
----------------------------------------------

Tak lama lagi, Aidil Fitri akan menjelma. Memang ramai ler yang dah merancang untuk balik berhari raya. Bila cakap bab balik berhari raya ni, satu perkara yang sering dihadapi oleh pasangan suami isteri ialah, nak balik rumah siapa? Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini setelah menerima satu emel daripada seorang isteri yang telah mendirikan rumahtangga sejak enam tahun yang lalu dan sejak tempoh tersebut, setiap kali tibanya Aidil Fitri, beliau memaksa diri supaya rela untuk balik ke rumah mertuanya. Hari raya ketiga atau keempat, barulah beliau berpeluang beraya bersama ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Bukan tak pernah menyuarakan hasrat hati untuk berhari raya bersama keluarganya pula, sekurang-kurangnya, adakan giliran mengikut selang tahun. Tapi suaminya membantah, konon alasan, kesiankan ibunya yang dah tak der suami. Bapa mertuanya meninggal beberapa bulan selepas perkahwinan mereka. Walaupun mempunyai adik beradik yang lain namun, sebagai anak lelaki sulung, suaminya berasa bertanggungjawab untuk menggembirakan hati ibunya ketika semua orang sedang bergembira. Paling malang, suaminya takkan mahu berbincang lagi pasal balik beraya ni. Kata-katanya adalah muktamad.

Hmmmmm… bukan satu dua kes sebegini rasanya kan, mesti ramai yang menghadapi situasi sebegini. Yang paling sadis, pernah ada satu kes ketika awal-awal kerjaya saya di dalam bidang guaman dan kaunseling keluarga ini, sepasang suami isteri yang baru menimang cahayamata, bercerai gara-gara tidak mencapai kata sepakat tentang balik beraya. Hari raya yang sepatutnya disambut dengan suasana ceria dan gembira dengan semua ahli keluarga, dah bertukar menjadi gerbang percaturan hidup berumahtangga. Sebenarnya, situasi yang kelam kabut dan memendam rasa seperti kes-kes yang saya sebutkan tadi boleh dielakkan sekiranya setiap individu, samada suami, isteri, ibu, bapa dan semua sanak saudara mengambil sikap memahami hati dan perasaan orang lain juga. Paling penting, setiap suami perlu memahami perasaan isteri dan tidak terkecuali, para isteri juga perlu memahami hati dan perasaan si suami.

Semua orang sedia maklum, Aidil Fitri adalah hari yang paling bermakna bagi setiap individu Muslim. Hari inilah, semua sanak saudara berkumpul. Yang jauh dan yang dekat, semuanya mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama, bermesra setelah sekian lama tidak bersua. Ada antaranya pula, hari raya inilah sahaja peluang untuk bertemu ahli keluarga. Sudah tentulah hari raya ini memberikan seribu satu makna yang tersendiri kepada setiap individu. Lantas, setiap orang berhak untuk menunaikan segala hajat dan hasrat yang terpendam di hati. Sebaik-baiknya, bagi mereka yang telah berumahtangga, perbincangan hati ke hati perlu dibuat agar kebahagiaan yang ada tidak tergugat. Saya yakin, ramai yang bertindak mengadakan giliran. Raya tahun ni, balik kampung abang. Raya tahun depan, balik kampung ayang pula. Alhamdulillah, jika dapat sepakat seperti ini.

Masalahnya, bila timbul kes seperti pengirim emel tadi. Ya, semua orang boleh terima hasrat murni si suami untuk menggembirakan ibunya. Tetapi, perlu diingat, apakah si isteri tidak ingin menggembirakan ibunya? Setiap suami dan setiap isteri juga adalah anak kepada seorang ibu dan seorang bapa. Jika anda ingin menggembirakan ibu bapa anda, sama juga dengan pasangan anda. Alasan ibu anda yang keseorangan bukanlah satu alasan yang munasabah untuk menafikan hak pasangan anda balik beraya bersama ibu bapanya. Adik beradik yang lain juga ada untuk menemani ibu buat seketika. Jika anda adalah anak tunggal sekalipun, tak salah jika anda mengajak ibu anda beraya bersama-sama anda di rumah mertua. Satu perkara lagi, selepas sahnya satu-satu perkahwinan, tiada lagi istilah ibu bapa awak atau ibu bapa saya. Ibu bapa anda adalah ibu bapa pasangan anda dan ibu bapa pasangan anda adalah juga ibu bapa anda. Kesemuanya perlu dijaga sama rata. Kesemuanya perlu dihormati dan dijaga hati mereka. Perkahwinan juga bukan sekadar menyatukan dua individu lelaki dan wanita sebagai suami isteri, tetapi turut menyatukan dua buah keluarga menjadi satu kumpulan bersaudara.

Lantas, bukan sahaja suami atau isteri, ibu bapa dan sanak saudara lainnya juga perlu memahami perasaan orang lain. Ibu bapa perlu memahami perasaan menantunya yang juga berkeinginan untuk menyambut hari raya bersama ibu bapa sendiri. Ibu bapa perlu memahami bahawa anak mereka bukan lagi hak mutlak mereka. Anak mereka kini mempunyai satu tanggungjawab kepada pasangannya dan keluarga pasangannya juga. Tidak wajarlah ibu bapa bermasam muka sekiranya anak menantu tidak balik beraya di rumahnya kerana tahun ini, tiba giliran bisannya pula. Sekiranya masing-masing dapat meletakkan diri mereka di tempat orang lain, cuba merasai apa yang orang lain rasai, insyaAllah, masalah pergaduhan dan persengketaan setiap kali tibanya Aidil Fitri tidak akan berlaku.

Kepada semua pembaca, gunakan juga kesempatan hari yang mulia ini untuk saling memaafkan. Jika ada ibu bapa yang terasa hati dengan perlakuan anak-anak, paling ketara bagi kes-kes perkahwinan tanpa restu orang tua, ampunkanlah kesalahan anak dan menantu anda. Fahamilah rasa cinta dan kasih sayang mereka. Anak dan menantu anda hanya akan bahagia jika mendapat restu daripada anda. InsyaAllah, jika tibanya Aidil Fitri kali ini, kita semua saling memahami, bahagia akan kita temui. Ingatlah, bukan hanya kita yang ada hati dan perasaan, semua orang mempunyai hati dan perasaan. Sama-samalah menjaganya…..

03 September 2008

Amalan agar murah rezeki

Allah SWT memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Amalan-amalan di bawah ini menjadi sebab Allah melimpahkan hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya:


1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW: "... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingatkan Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda SAWjuga bersabda: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya..." (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma'ul Husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)." (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

****Sumber: Emel seorang rakan...