24 Oktober 2012

Poligami tak perlu izin tapi perlu beritahu isteri



Sememangnya poligami tak perlukan izin isteri. Menurut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia, suami memang tak perlu dapatkan izin isteri pertama jika ingin berpoligami. Mengikut seksyen 23, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang hampir sama sahaja dengan enakmen keluarga Islam di negeri-negeri lain, mana-mana suami yang ingin berpoligami, hanya perlu membuat permohonan ke Mahkamah Syariah.
 
Permohonan yang dikemukakan perlu memenuhi syarat seperti yang disebut menurut peruntukan seksyen 23 (3) : Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.

Bererti setiap permohonan perlu mempunyai:
  1. suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu,
  2. butiran pendapatan pemohon pada masa itu,
  3. butiran komitmen pemohon dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan,
  4. bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu,
  5. sama ada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.
Permohonan yang memenuhi syarat akan diproses sebelum mendapat kelulusan. Sebelum diluluskan, isteri atau isteri-isteri sedia ada akan dipanggil bagi membantu Mahkamah Syariah membuat keputusan seperti disebut dalam seksyen 23 (4) dan kelulusan hanya diberikan oleh Mahkamah Syariah jika berjaya memenuhi semua empat syarat yang ditetapkan:
(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak; dan
 (d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

Peruntukan ini jelas; Mahkamah Syariah tak perlukan izin isteri untuk memberikan kelulusan terhadap permohonan poligami. Bermaksud, andai isteri atau isteri-isteri sedia ada mengizinkan sekali pun tetapi Mahkamah Syariah tidak berpuas hati mengenai kewajaran berlakunya perkahwinan yang baru, permohonan tidak akan diluluskan.

Sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, saya berpuas hati dengan ketetapan undang-undang yang ada. Biar tak perlukan izin isteri tetapi isteri wajar dimaklumkan mengenai hajat suami. Perkahwinan poligami tanpa pengetahuan isteri adalah tidak wajar dan merupakan satu penganiayaan terhadap isteri sedia ada.

Masalah yang berlaku kini ialah ramai suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah sebagai contoh, berkahwin di sempadan dan kembali ke Malaysia untuk pengesahan. Peruntukan pula menyebut, Mahkamah Syariah boleh sah dan daftarkan jika perkahwinan tersebut sah menurut syariat. Ramai suami berbangga kerana melaksanakan sunnah Rasulullah SAW untuk berpoligami tetapi dalam masa yang sama, gagal melaksanakan tuntutan sunnah Rasulullah SAW yang lebih utama iaitu untuk melayani isteri dengan baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” - hadis riwayat al-Tirmizi. Berbuat baik seperti saranan Rasulullah SAW bermaksud tidak mengkhianati isteri dalam diam. Bila suami berkahwin secara diam atau rahsia walau suami berjaya menyembunyikan rahsia tersebut hingga ke akhir hayat anda atau akhir hayat si isteri, sesungguhnya si suami tetap seorang pendusta dan menganiayai isteri.

Undang-undang tetapkan si isteri berhak memberikan pendapat dan pandangan walau tidak mengikat keputusan hakim kerana hanya isteri yang lebih kenal dan faham dengan suaminya. Kemampuan kewangan sahaja tak mencukupi jika isteri dan anak-anak yang sedia ada tidak diberikan layanan sewajarnya seperti yang dikehendaki syariat. Isteri berhak bersuara menyatakan pandangan dan membuktikan ketidakwajaran si suami untuk berpoligami. Keputusan, Mahkamah Syariah yang akan berikan. Saya mencadangkan, akan ada peruntukan yang menyatakan, mana-mana lelaki yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah dan ketika permohonan pengesahan untuk pendaftaran dibuat terbukti si lelaki tidak layak berpoligami menepati kehendak undang-undang, maka hakim berhak memerintahkan farak – putuskan hubungan. Peruntukan ini perlu bagi menjamin kehidupan isteri. Bukan saja isteri pertama tetapi juga isteri yang dikahwini secara rahsia tersebut.

Satu perkara yang pasti; bukan semua lelaki layak berpoligami. Bukan saja poligami, dalam kehidupan masyarakat sekarang ini, bukan semua lelaki layak untuk berkahwin monogami pun. Hukum syarak tentukan lima hukum berkaitan perkahwinan berasaskan kelayakan seorang lelaki. Lelaki yang tidak mampu untuk membiayai keperluan harian si isteri selepas berkahwin dikategorikan sebagai haram berkahwin. Bererti, tak perlu bangga menjadi lelaki kerana boleh berpoligami.

Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988): “poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara harus dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat.” Jelasnya, walaupun bahasa yang digunakan di dalam ayat yang mengharuskan poligami ini berunsur perintah, ia bukanlah membawa kepada makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri yang dikahwini.

Pengalaman saya, jika suami mampu melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan syariat merangkumi nafkah zahir, nafkah batin, mendidik isteri dan anak-anak dengan baik serta tidak meminggirkan isteri dan anak-anak sedia ada ketika cuba mencari calon isteri kedua, isteri takkan menghalang jika suami ingin berpoligami. Jika sebelum sah perkahwinan, isteri sedia ada dan anak-anak sedia ada sudah tersisih, bagaimana nak buktikan suami mampu berlaku adil jika berpoligami?

Iktibar Aidil Adha



Bila sebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidil Adha, ramai yang terbayangkan kumpulan jemaah yang sedang menunaikan ibadah rukun Islam kelima di Bandar mulia Makkah al-Mukarramah. Tak kurang juga yang membayangkan lembu dan kambing yang disembelih untuk korban, hampir tiap-tiap hari menikmati hidangan daging hingga badan pun jadi demam. Hakikatnya, Aidil Adha adalah lebih daripada sekadar kerja haji atau korban. Aidil Adha adalah sejarah besar mengenai bukti cinta suci dan pengorbanan. Cinta suci dan pengorbanan suami isteri malah cinta suci dan pengorbanan dalam hubungan ibu bapa dan anak.

Cinta dan Pengorbanan Suami Isteri

Menurut sejarah, Nabi Ibrahim dan Siti Sarah sudah lama berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim berkahwin seorang lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya. Pada mulanya Nabi Ibrahim keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah tidak luntur. Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju memperisterikan Siti Hajar. Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira. Namun, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu. Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran Ismail hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu. Nabi Ibrahim dan Siti Hajar serta anak mereka lantas menuju ke Baitul Haram.

Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anak kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada perintah suaminya. Kisah ketabahan Siti Hajar diaplikasikan ketika umat Islam menunaikan ibadat haji malah umrah. Para jemaah difardukan untuk menunaikan sai iaitu berulang alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah pengorbanan Siti Hajar tika itu.

Inilah iktibar kisah daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, pastilah hanya bahagia yang akan dikecapi. Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani. Siti Hajar tidak mempertikaikan haknya sebagai isteri tetapi lebih kepada berusaha melaksanakan tanggungjawabnya. Nabi Ibrahim juga mengorbankan perasaannya semata-mata akur kepada perintah Ilahi. Lantaran, buat para suami dan isteri; lengkapkanlah diri anda untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah, insyaAllah anda akan mampu menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab dan membahagiakan pasangan anda.


Cinta dan Pengorbanan Seorang Anak

Pengorbanan ibu bapa untuk anak-anak adalah perkara biasa. Seperti pepatah kata; kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah membawa bahagia. Namun, Aidil Adha mengajar kita mengenai besarnya cinta dan pengorbanan seorang anak kepada bapanya. Nabi Ismail a.s berlapang dada menerima hajat ayahanda baginda yang diperintahkan oleh Allah agar menjadikan anakanda kesayangan sebagai korban. Tiada bantahan, tiada larangan, tiada pujukan sebaliknya hanya sokongan. Nabi Ismail berpesan kepada ayahandanya agar dirinya diikat kemas supaya dirinya gagal untuk meronta tika kesakitan hingga memungkinkan ayahandanya mengengkari perintah Allah. Betapa cintanya si anak kepada bapanya; hanya inginkan agar bapanya sentiasa berada dalam redha Allah SWT.

Semangat pengorbanan ini yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak hari ini. Saya akui; hari demi hari, banyak kes kegagalan si ayah dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan wajar kepada anak-anak. Ramai ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah yang sepatutnya terutama apabila berlakunya perceraian dan si anak diletakkan di bawan jagaan si ibu maka si ayah dengan senang hati, sengaja lupa dirinya pernah dan masih punyai anak. Ramai juga yang tidak ambil tahu, tidak peduli mengenai anaknya.

Kesan tidak ambil kisah dan tidak ambil tau menyebabkan anak-anak gagal untuk sayangkan si ayah malah tak mampu untuk hormatkan si ayah. Satu kes saya baru ni; seorang lelaki bertanya: "Apa hukumnya seorang anak tidak mendoakan ayahnya?" Jawapan saya: Antara amalan untnk murah rezeki ialah mendoakan kedua ibu bapa.
"Masalahnya puan, ayah ni tak ambil tau langsung pasal anak, tak pernah sayang anak, tak kisah langsung tentang hidup anak. Kawin sampai 4 tapi tak ambil tau langsung kebajikan anak-anak."
"Tanggungjawab seorang anak ialah untuk kekal hormatkan ayahnya tak kira siapa pun si ayah, walau si ayah gagal laksana tanggungjwabnya. Ayah yang gagal, itu antara dia dengan Allah, ayah dah derhaka amanah dia dengan Allah. Sebagai anak, jangan pula jadi anak derhaka. Mungkin doa anak tu mampu ubah sikap ayah."
"Ayah dah mati dah puan."  "Tak pe lah dah meninggal pun, boleh bantu dia kat 'sana'. Maafkan lah dia, biar dia aman kat sana."
"Tapi kan ke ayah jadi punca anak jadi derhaka sebab ayah tu tak didik anak dengan baik?" "Memang tanggungjawab ibu bapa utk didik anak-anak tapi bila anak dah mukallaf bermaksud layak terima tanngungjawab, si anak bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri juga, untuk buat yg baik dan tinggalkan yang buruk. Tak boleh salahkan ayah semata-mata."

Saya akui, rasa sakit bila tak dipeduli tetapi ingatlah, pengorbanan Nabi Ismail amat besar dan takkan pernah ada anak lain dalam dunia hari ini yang sanggup melaksanakannya. Jika pengorbanan yang perlu seorang anak lakukan belum mencapai besarnya pengorbanan yang dibuat oleh Nabi Ismail, bukankah selayaknya kita berusaha untuk mencintai ibu dan bapa kita sebagaimana cintanya Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim? Buktikanlah cinta kepada kepada ibu bapa dengan memaafkan kesilapan mereka dan tetap kekal mendoakan kesejahteraan mereka, bukan hanya di dunia tetapi kehidupan di ‘sana’. Hidup kita sementara! Kalau tak mampu nak bantu ibu bapa berada dalam redha Ilahi, cukuplah sekadar kita dapat mengelakkan diri daripada terus menyusahkan mereka. Ingatlah! Doa anak yang soleh antara tiga perkara dibawa bersama tika maut menjemput kita... Salam Eidul Adha buat semua...

****Siaran Cermin Diri, Kosmo! tika Aidil Adha 1432 yg lalu....

19 Oktober 2012

Diskaun lagi + temujanji bersemuka di Sungai Petani

Sempena bakal tibanya Hari Raya Aidil Adha pada 26 Oktober nanti, saya mengumumkan harga diskaun untuk sesi konsultansi bagi setiap tempahan bermula hari ini 19 Oktober hingga 24 Oktober 2012, bererti kos perlu bayar ialah:-
*temujanji bersemuka hanya RM100 (tanpa bayaran tambahan),
*temujanji menerusi telefon RM50 dan
*temujanji via YM hanya RM70.

Untuk tempahan, sila buat bayaran dengan jumlah ditetapkan ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan temujanji pilihan anda. Booking temujanji boleh dibuat bagi tarikh2 akan datang juga (selepas 24 Oktober).

Saya akan terima temujanji bersemuka di Sungai Petani pada 29 Oktober terhad untuk TIGA sesi sahaja. Untuk info, setakat update status ini, temujanji bersemuka di KL yg terdekat ialah pada 23 Oktober. Seterusnya untuk temujanji bersemuka di KL ialah pada 10 Oktober.

Tiada temujanji bersemuka diterima untuk tarikh lain dalam jangka masa tersebut kerana saya selepas Aidil Adha, berada di Kedah dan Penang untuk program dan temujanji bersemuka di Kedah. Pada minggu awal Nov, jadual saya penuh dengan program. Namun, saya terima temujanji tru fon atau chat pada sebelah malam. Tolong deal dgn PA saya - yg menguruskan jadual kerja saya, SMS ke 013-2545965 atau emel ke binabahagia@gmail.com untuk maklumat terperinci. Terima kasih atas sokongan rakan2... (",)

12 Oktober 2012

Dilema isteri kedua dinafikan hak



Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma, September 2011.

"Saya merupakan isteri kedua dan mempunyai 3 orang anak dengan suami yang kahwini sejak 7 tahun yang lalu. Apa yang memusykilkan saya, isteri pertama (tidak mempunyai anak) mendapat segala-galanya. Rumah, kereta, pembantu rumah dan lain-lain. Sedangkan saya, suami biarkan kami anak-beranak menetap di rumah pusaka nenek saya. Saya beranggapan ini tidak adil. Bagaimana saya mahu menuntut hak saya dan anak-anak daripadanya?"

JAWAPAN:

Bagi sebahagian orang, kes yang puan kongsikan ini mungkin luar biasa. Ye lah! Biasanya isteri pertama yang merana sebab isteri kedua adalah ‘orang baru’. Namun realitinya, orang baru atau orang lama bukan jaminan hak akan diperolehi jika pemberinya tidak melaksanakannya kan!

Seperti yang selalu saya tegaskan, isteri pertama atau isteri kedua malah isteri ketiga atau yang keempat; mempunyai kedudukan yang sama, hak yang sama malah tanggungjawab yang sama. Yang tua bukan ratu, yang muda pula bukan puteri. Islam tidak membezakan mana-mana isteri dengan syarat anda adalah isteri yang sah menurut syariat. Seperkara yang penting, bagi mempastikan kedudukan anda di samping suami, sah menurut syariat tidak cukup kerana hakikat hidup di dunia ini mempunyai peraturan dan undang-undang maka anda juga perlu mempunyai status yang sah sebagai isteri kepada suami anda menurut Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia.

Jika anda menepati kedua-dua kelayakan tersebut, bersyukurlah! Jika anda isteri yang sah menurut syariat tetapi belum sah menurut Undang-undang Keluarga Islam, tugas paling penting ialah untuk mengesahkan status anda menurut undang-undang. Sama ada anda bernikah secara sindiket atau nikah di sempadan, segera hadirkan diri ke Mahkamah Syariah yang berdekatan dan mohon untuk mengesahkan perkahwinan anda.

Tak perlu tunggu suami! Anda boleh pergi sendiri. Bawa salinan kad pengenalan anda, salinan kad pengenalan suami dan dokumen yang membuktikan perkahwinan anda berupa surat nikah sempadan atau pas masuk anda ke sana. Bila kes anda didaftarkan, suami akan dipanggil untuk tujuan pengesahan kes. Anda juga boleh kemukakan saksi-saksi yang boleh membantu kes anda. Bila anda mempunyai status sebagai isteri yang sah menurut syariat dan undang-undang, anda layak menerima segalanya yang wajar diterima oleh seorang isteri, biarpun anda adalah isteri kedua.

Kembali kepada kes, ada perkara yang perlu dipastikan sebelum saya mensabitkan  suami anda sebagai suami yang tidak adil dalam poligami. Ya! Berdasarkan perkongsian anda, seakan jelas suami anda adalah suami yang tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah dalam perkahwinan poligami. Namun, kulit tidak mengisahkan isinya kan! Sama seperti kes puan, perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum jawapan diputuskan. Perkara yang perlu dipastikan ialah harta yang sedang dinikmati oleh isteri pertama milik suami puan atau milik madu puan? Kalau harta-harta tersebut milik madu puan yang berpunca daripada madu puan sendiri sama ada harta warisan atau hasil kerjanya sendiri, suami puan tergolong dalam kategori lelaki tidak mampu untuk menyediakan nafkah yang perlu untuk isteri atau isteri-isteri dan sudah tentulah juga lelaki yang tidak layak untuk berpoligami.

Jika itu realitinya, maaf sebab saya terpaksa katakan, puan tidak berhak mempertikaikan keistimewaan yang diperolehi oleh madu puan. Jika suami puan mampu menyediakan keperluan harian untuk makan minum, pakaian, kos untuk sakit demam dan persekolahan anak-anak, suami puan dikira sebagai telah melaksanakan tanggungjawabnya yang wajar sebagai suami biarpun tidak mampu menyediakan pembantu rumah, kereta dan terpaksa menetap di rumah pusaka. Andai puan maklum mengenai keadaan kewangan suami dan percaya suami mampu untuk sediakan rumah, pembantu dan kereta puan boleh mendesak suami agar menyediakan semua itu menurut kemampuannya dan tanpa menafikan hak isteri pertama.

Namun, jika sememangnya segala kemudahan dan kemewahan yang dinikmati oleh madu puan adalah berpunca daripada suami puan sepenuhnya atau sebahagian besarnya, betullah puan dan anak-anak tidak diberikan hak yang sepatutnya dan suami puan telah bertindak tidak adil di dalam poligami. Perkara paling utama yang perlu puan lakukan ialah berterus terang mengenai rasa tidak puas hati puan kepada suami dan berbincang untuk selesaikan perkara ini secara baik. Mohon agar suami bertindak secara adil dalam melaksanakan kewajipannya sebagai seorang suami dan ayah.

Bersedia untuk menerima pelbagai alasan suami. Antaranya mungkin tindakan tidak adilnya disebabkan rasa bersalah atau menghargai pengorbanan isteri pertama yang membenarkannya berkahwin dengan puan. Jika itu alasan yang dikemukakan, puan berhak mempertahankan diri. Jelaskan alasan tersebut tidak wajar menurut syarak dan tidak boleh diterima akal yang waras juga. Atas apa pun alasan, puan dan anak-anak tidak wajar diperlakukan seperti sekarang kerana syariat dan undang-undang menentukan puan dan anak-anak mempunyai hak tertentu. Sebagai seorang suami dan seorang ayah, suami puan perlu menyediakan keperluan makan minum yang mencukupi, pakaian yang sesuai, tempat tinggal yang selesa, pendidikan yang baik untuk anak-anak dan keperluan lain yang munasabah dengan kehidupan hari ini sesuai dengan kemampuan suami.

Jika suami berkeras atau enggan mendengar nasihat puan, boleh adukan masalah puan kepada Unit Aduan dan Kaunseling Perkahwinan di Pejabat Agama yang berdekatan. InsyaAllah, akan ada pegawai bertugas yang boleh membantu puan menjelaskan kepada suami mengenai hak puan dan anak-anak yang diabaikan secara sengaja oleh suami puan. Andai nasihat daripada pihak ketiga ini tetap menemui jalan buntu, dalam erti kata lain suami masih dengan pendirian lamanya, puan boleh kemukakan kes puan ke Mahkamah Syariah yang berdekatan.

Mohon untuk dapatkan perintah agar suami berlaku adil dalam poligami. Perincikan segala tuntutan puan merangkumi hak nafkah meliputi keperluan yang patut untuk puan dan anak-anak termasuk juga hak untuk diberikan layanan yang adil merangkumi hak bermalam dan hari perayaan. Menurut undang-undang, suami puan boleh dikenakan hukuman kerana gagal bertindak adil di dalam poligami namun nasihat saya, usahakan untuk mendapatkan hak puan terlebih dahulu. Hak pun lebih penting daripada menghukum suami.

Di samping segala usaha yang telah disebutkan tadi, puan juga perlu berserah kepada Allah. Jangan abaikan solat dan berdoalah kepada-Nya agar dilembutkan hati suami dan hati madu puan juga untuk sama-sama dapat kecapi hidup bahagia berumahtangga. Puan boleh amalkan Doa Rabitah (rujuk buku berkaitan antaranya buku Himpunan Doa-doa al-Ma’thurat, doa Rabitah ini ada di bahagian hujung doa-doa tersebut). Bila membaca bahagian berbunyi ‘hati-hati kami’, pejamkan mata seketika dan bayangkanlah wajah suami dan madu pun. InsyaAllah! Allah akan memberikan bahagia sejati untuk puan, suami, anak-anak termasuk madu puan dalam melayari hidup di dunia ini.

09 Oktober 2012

Cantiknya wanita



Cantiknya seorang wanita itu sebagai GADIS
Bukan kerana merah kilauan lipstik
Pada bibir memekar senyuman kosmetik
Tetapi pada keperibadian terpelihara
Kelembutan kesopanan menghiasi jiwa

Cantiknya seorang wanita itu sebagai REMAJA
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah
Untuk menggoda pandangan nafsu mata
Tetapi pada kehidupan terjaga
Dari menjdai mangsa tohmahan dunia

Cantiknya seorang wanita itu sebagai HAWA
Tidak kerana bijak meruntun iman kaum Adam
Sehingga turunkan insan ke dunia
Tetapi menjdi pembakar semangat perwira
Menjadi tunjang perjuangan syuhada

Cantiknya seorang wanita itu sebagai ANAK
Tidak menjerat diri pada lembah kedurhakaan
Mengalir mutiara di kelopak mata
Tetapi menjadi penyelamat ibu bapa
Pada hari kebangkitan bermula

Cantiknya seorang wanita itu sebagai ISTERI
Bukan kerana peneraju kerjaya dalam rumahtangga
Tetapi sentiasa bersama
Menempuh badai disisi suami tercinta

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MENANTU
Bukan kerana kemewahan dimata
Tetapi bijak dalam menjauhi persengkolan ipar lamai
Menjadi penghibur hati permata kehidupan

Cantiknya seorang wanita itu sebagai IBU
Bukan terletak pada kebangkitan anak
Dalam setiap pertelingkahan
Tetapi dibawah lembayung kejayaan
Membuai anak dikala suami menjalin impian

Cantiknya seorang wanita itu sebagai MERTUA
Tidak kerana berjaya meruntuh istana
Tetapi jalinan kasih sayang
Tulus hati mengagih kasih setara pada semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai NENEK
Bukan memberi harta dunia
Sehingga generasi lupa
Tetapi menjadi pada pendita
Menjaring teladan para anbia pada anak bangsa

Cantiknya seorang wanita itu sebagai WARGANEGARA
Bukan kerana menyandang puncak dunia
Tetapi bijak menangkis rintangan
Peka membela nasib dan maruah negara
Menjadi tulang belakang keteguhan semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai WARGA TUA
Bukan kerana jernihnya mutiara
Mengalir deras di kelopak mata
Tetapi senantiasa mengumpul cahaya
Menghitung hari dengan selembar nasihat

Cantiknya wanita itu sebagai INTELEKTUALIS
Bukan kerana menjadi sebutan
Sehingga menjulang keegoaan
Tetapi dalam mencari ilmuan
Menyala obor mewangi setanggi profesionalis

Cantiknya wanita itu sebagai MUSLIMAH
Bukan kerana keindahan paras rupa
Sehingga menjadi igauan mata
Tetapi berpegang Akidah Solehah
Di sebalik tirai jiwa
Mengandam rindu kekasih pasrah di atas sejadah
Mengharap keredhaan kehidupan awana

**** Tak tau nukilan siapa. Saya terima melalui emel. Moga bermanfaat buat semua...