23 Jun 2009

Bapaku Idolaku

Dah lepas dua hari, sambutan hari Bapa berlalu tapi saya tetap nak sediakan perbincangan yang juga merupakan luahan hati khusus untuk bapa saya tercinta, Ghazali Ebramsa.

Sungguh, seperti tajuk topik saya kali ini, Bapa saya adalah idola saya, penyokong dan pendokong kuat saya di dalam setiap perkara yang saya lakukan di dalam kehidupan ini. Bapa menyokong bukan dengan perkataan mendorong atau kata-kata pujian melambung tinggi sebaliknya setiap ayat yang Bapa lafazkan, penuh makna yang mendalam. Paling penting, memberikan semangat, motivasi dan keyakinan kepada saya.



Paling penting juga, Bapa tak pernah merendah-rendahkan saya atau adik-adik saya juga malah sepanjang 35 tahun mengenali Bapa, Bapa terlalu mudah untuk membantu orang dan terlalu cepat untuk memaafkan orang lain. Pernah satu tika dulu, saya tegur sikap Bapa yang boleh berlembut dengan seorang manusia yang bagi saya masa tu (awal 20-an) bertopengkan syaitan, sanggup menuduh dan memfitnah Bapa yang bukan-bukan hingga mencemar air muka dan harga diri Bapa. Tapi, bagi Bapa.... tak perlu nak aibkan orang lain, kalau kita jaga aib orang lain walaupun orang itu buka aib kita hatta dengan fitnah sekali pun, Allah tetap tau dan akan jaga juga aib kita bukan saja di dunia, malah akhirat. Sungguh, akhirnya manusia tersebut yang teraib dengan tindakannya sendiri.



Bapa juga terlalu sederhana. Saya masih ingat ayat hikmat Bapa; kita manusia ni macam sebuah kereta. Tak guna kalau badan kereta cantik dengan segala aksesori sebaliknya enjin tak elok, maka kereta akan selalu rosak dan meragam. Bermaksud, tak perlu nak tampilkan diri hebat bergaya sebaliknya mempunyai hati yang busuk dan jahat. Paling penting juga, kata Bapa; kita kena ukur baju ke badan sendiri. Jangan nak meniru orang lain, tak selesa jadinya. Jadilah diri kita sendiri asalkan segala perlakuan dan tingkah laku kita masih benar dan berada di landasan yang diredhai-Nya.

Bapa saya kini pesara guru. Dulu, tika bersekolah, Bapa ke sekolah membawa beg sekolah dan beberapa beg berisi kuih untuk dijual. Bapa anak seorang penarik beca tapi alhamdulillah, Bapa dan seorang abang serta adik-adiknya yang lain, berjaya dalam kehidupan mereka. Bapa pernah katakan kepada saya dan adik: Dulu, Wan (bapa kepada Bapa saya) kerja penarik beca, alhamdulillah Bapa berjaya jadi cikgu (Bapa saya pencen sebagai Guru Besar pada tahun 2006). Bapa harap, Bapa dah kerja sebagai cikgu, anak-anak Bapa boleh la lebih daripada Bapa.


Bapa saya tak mendesak dan tak juga menghalang. Kata-katanya yang lembut tetapi tegas, betul-betul memberikan semangat kepada kami adik beradik. Saya masih ingat, tika saya gagal dalam satu subjek tika peperiksaan tahun pertama di UM, saya betul-betul hilang semangat. Tiga hari saya asyik menangis, sedih dan kecewa tambah lagi memikirkan kegagalan saya memberikan contoh terbaik untuk adik-adik sekaligus menghampakan Bapa dan Mak. Pada hal, saya gagal dengan markah 84% tetapi disebabkan tidak menjawab soalan wajib, saya dikira gagal dalam subjek tersebut tetapi berpeluang untuk mengambil semula subjek tersebut.
Tak terfikir dah peluang kedua, saya hanya tahu menangis kerana kecewa. Hari ketiga saya asyik merintih kat ruang tamu, Bapa saya balik dari kerja (tika itu sebagai Penyelaras Pusat Kegiatan Guru, Sik). Melihat keadaan saya, Bapa bercakap satu ayat yang cukup memberi bekas kepada saya hingga sekarang: Bapa tak sangka, ini anak Bapa yang dulu.... Ya!! Sebelum itu saya seorang yang kuat semangat, saya akan usahakan apa juga hingga berjaya. Bagi saya hanya satu: Lakukan hingga berjaya walau apa juga cara. Tapi dek kerana gagal satu subjek??? Sungguh, ayat tersebut memberikan saya kekuatan dan Alhamdulillah, dengan dorongan, semangat dan kepercayaan yang sama Bapa berikan kepada saya dan adik-adik, saya berjaya hari ini, adik-adik saya juga punya kerjaya pilihan sendiri dan dua adik saya yang masih belajar: seorang kini di UITM kos mechanical engineering dan yang bongsu bakal daftarkan diri dalam jurusan perubatan 1hb Julai ini.


Kami tak bijak tapi kami punya Mak, walau seorang suri rumah tapi cukup mengambil berat tentang pendidikan malah Mak adalah guru al-Quran kami. Kami punya Bapa, yang sentiasa memberikan ruang dan peluang serta keyakinan kepada kami untuk melakukan apa sahaja, asalkan tidak menyalahi hukum syarak.
Sungguh... saya bangga menjadi anak Bapa... Bapa!!! Bapa lah idola dan sumber inspirasi saya.

16 Jun 2009

Maklumbalas Awani Pagi

Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya akan ke udara melalui slot khas dalam rancangan Awani Pagi, Astro Awani setiap Jumaat, jam 9am ke atas (dapat call dari Dang Suria tadi, akan ada pertukaran masa)

Bagi memudahkan pengurusan, pihak Astro Awani memohon maklumbalas terhadap slot yang disediakan tersebut. Maka, kepada yang berpeluang menonton slot berkenaan, saya mohon agar anda memberikan maklumbalas bagi meningkatkan lagi kualiti slot tersebut.

Sebelum ini, ada yang emelkan agar slot tersebut ditukar waktu siaran, ditambah waktu siaran dan diadakan sesi panggilan telefon. Jika anda ada maklumbalas berkaitan, boleh emelkan kepada saya, cc kan sekali kepada Dang Suria. Terima kasih atas kerjasama anda.

Jom sertai Kem Jati Diri: Wanita Lembut tetapi Bukan Lemah.

Tiada yang sia-sia

Terlalu lama sangat saya tak sediakan perbincangan menerusi weblog saya ini. Ampun dan maaf kepada pelayar setia. Jadual saya agak padat, bukan dengan temujanji tetapi undang ceramah di luar kawasan. Semalam anak-anak saya terpaksa ponteng sekolah disebabkan pagi semalam, baru bertolak balik dari Kedah ke Puchong.

Ahad 14hb baru ni, saya terlibat memberikan ceramah di Bandar Bharu/Kulim. Bercakap terus hampir 4 jam menyampaikan 3 modul (memang kat Kedah 3 modul tapi selalunya, ada 'rehat' antara modul iaitu acara perasmian) tapi dalam sesi baru ni, perasmian awal-awal maka saya perlu 'express' semuanya selepas itu. Walau penat tapi saya seronok tambah bila pada akhir sesi, kak Normah, puan pengacara majlis mengumumkan agar semua peserta memberikan saya 5 bintang kerana katanya, pengalaman pihak penganjur menjalankan program, belum pernah ada penceramah yang seperti saya... wallahu'alam tapi saya gembira dengan pujian tersebut. Subhanallah dan Alhamdulillah, memang berbaloi!!

Alhamdulillah, pihak JPW khususnya Kem. Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan saya peluang untuk berjumpa dengan orang ramai khususnya wanita bagi berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada. Memang sejak awal Mei, saya berpeluang sampai ke lima daerah (tiga di Kedah dan dua di Selangor) bagi membincangkan tentang menangani keganasan terhadap wanita. InsyaAllah, ada beberapa tempat lagi yang akan menyusul. Esok, saya akan ke Rompin, minggu depan ke Kota Tinggi. Hujung bulan ni di Vistana Hotel, KL. InsyaAllah, beberapa kawasan di Kedah akan ada lagi sekitar Julai ini, mengikut jadual yang diberikan oleh Kak Yan (JPW Kedah).

Hmmm... apa kaitannya tajuk perbincangan saya dengan cerita jadual kerja saya di atas? Sungguh, setiap yang berlaku dan segala yang terjadi, mempunyai rahsia dan hikmah yang tersendiri. Tiada yang sia-sia. Tak percaya? Tonton dulu video di bawah....


video


Anda dah saksikan klip video di atas? Dah pernah tonton sebelum ni? Nampak kan... hanya seekor binatang namun kejadiannya amat menakjubkan. Allah jadikan kelebihan yang ada pada diri haiwan ini bukan sia-sia. Untuk kita fikir dan renungkan. Bukan hanya pada haiwan ini, tapi juga setiap yang berlaku dalam kehidupan kita.

Seperti cerita saya tadi... jika anda pernah baca kisah kekalutan saya bila syarikat tempat saya bekerja sebelum ini (dulu saya Peguam Syarie sepenuh masa, berhenti daripada berguam selepas melahirkan anak kedua dan bekerja dengan syarikat multimedia sambil menjalankan khidmat konsultansi), kerap sangat mengalami masalah gaji. Terkini, awal tahun yang lalu, dikhabarkan masalah makin teruk. Setelah memohon petunjuk-Nya, saya melepaskan jawatan di syarikat tersebut dan memperjudikan nasib dengan bekerja sendiri sepenuhnya di dalam bidang konsultansi.

Bekerja sendiri bukan senang sebab kita lah yang perlu bagi pendapatan atau gaji kepada kita sendiri. Namun, semua tahu, bukan majikan penentu rezeki, juga bukan diri kita sendiri. Allah yang berikan kita rezeki. Hanya Allah yang menentukan jumlah pendapatan dan kewangan yang patut kita terima. Alhamdulillah, sejak bekerja sendiri, kebergantungan saya kepada-Nya lebih kuat. Alhamdulillah juga, rezeki yang Dia berikan dapat menampung keperluan harian.

Saya yakin, jika saya tidak diuji sekali lagi dengan masalah gaji di pejabat lama (dah lama sangat berlaku sejak 2007 dan berlarutan tapi saya masih bertahan), rasanya Bina Bahagia Services takkan dikenali oleh JPW, mungkin juga saya takkan berpeluang memberikan ceramah di bawah program anjuran KPWKM, rasanya saya takkan berpeluang menjadi panel tetap slot psikologi keluarga dan guaman syarie pada setiap Jumaat di Awani Pagi...

Malam tadi, sambil mendodoikan Sulaim, saya mengirimkan sms kepada klien-klien saya sebelum ini, bertanyakan khabar. Pagi ini (lepas sent, saya silentkan hp so pagi ni baru baca mesej balasan), semua sms jawapan yang saya terima, memberikan khabar gembira yang rata-ratanya, kehidupan mereka lebih baik daripada sebelum ini. Bukan bermaksud saya berjaya memberikan nasihat yang baik cuma seperti yang selalu saya tegaskan, dalam Resipi Hidup, dalam blog ini malah dalam sesi-sesi temujanji saya, kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap yang berlaku di dalam kita meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini, adalah berupa ujian dan cabaran.

Ujian untuk kita berserah sepenuhnya kepada-Nya bagi memohon petunjuk dan jalan untuk mengharunginya dan menambahkan keimanan kita kepada-Nya. Cabaran untuk mematangkan kita dalam setiap tindakan yang bakal kita ambil. Ujian bererti kita perlu redha. Redha bermaksud kita perlu terima dengan pasrah dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya. Bukannya menunduk terima segala tanpa usaha dan ikhtiar untuk keluar daripada ujian dan cabaran tersebut.

Sungguh... setiap yang berlaku dan segala yang Allah tetapkan, mempunyai rahsia dan hikmah yang tersendiri. Terpulang kepada diri kita sendiri untuk berusaha mencari rahsia dan hikmah tersebut...

Jom sertai Kem Jati Diri: Wanita Lembut tetapi Bukan Lemah.

12 Jun 2009

Ejen Buatmu Wanita di UKM

Kini, bagi mereka yang berada di UKM dan sekitarnya, anda boleh dapatkan buku Buatmu Wanita menerusi Puan Nor Azlina. Hubungi talian 0193869011.

Jom sertai Kem Jati Diri: Wanita Lembut tetapi Bukan Lemah.

10 Jun 2009

Kem Jati Diri Wanita

Maaf atas kelewatan memasukkan maklumat mengenai kem ini di dalam blog. Iklan mengenai kem ini telah disiarkan di dalam Resipi Hidup, Mingguan Wanita bermula tiga minggu lepas. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, saya terpaksa melambatkan hebahan maklumat kem jati diri wanita ini melalui blog.

Di bawah ini, saya paparkan maklumat lengkap mengenai kem tersebut.
-------------------------------------------------------------------------------------

KEM JATI DIRI: WANITA LEMBUT TETAPI BUKAN LEMAH

Tarikh: 23hb Ogos 2009 (2hb Ramadhan 1430)
Masa: 8.30am hingga 1.30pm
Tempat: Wisma Goshen, Plaza Pantai, Jalan Pantai Baru, KL (berdekatan TNB Bangsar dan UM)

Objektif:
1. Menjelaskan kelebihan dan kehebatan kaum wanita
2. Meyakinkan kaum wanita tentang kelebihan dan kehebatan yang ada di dalam diri
3. Menyuntik semangat dan motivasi agar kaum wanita kekal tabah dan gagah mendepani cabaran dan ujian mendatang

Agenda :
08.30am - Pengesahan pendaftaran peserta
09.00am - Terapi rohani
09.30am - Diskusi 1: Wanita Bukan Lemah
10.30am - Diskusi 2: Rahsia Kekal Sihat dan Ceria
11.30am - Diskusi 3: Membentuk Perkasa Wanita
01.30pm - Majlis tamat

**** Sesi Terapi Rohani, Diskusi 1 dan 3 akan disampaikan oleh saya sendiri.

Penyertaan terbuka kepada kaum wanita dan terhad kepada 50 penyertaan sahaja.
Yuran penyertaan RM50 sahaja.

Untuk mendaftar, sila bank in kan yuran penyertaan RM50 ke Bank Islam 12065010035871 kemudian fakskan slip bayaran berserta nama penuh, no. kad pengenalan, alamat dan nombor telefon bimbit ke 03-55114454.

Atau boleh bank in kan yuran penyertaan RM50 ke akaun Maybank 162227320752 (Suzalina- PA saya) kemudian smskan tarikh bayaran, nombor rujukan bayaran, nama penuh, no. kad pengenalan dan alamat ke talian 013-2545965.

Penyertaan terhad 50 peserta sahaja. Saya perlu hadkan penyertaan bagi memberi ruang kepada penceramah, khususnya saya sendiri berkomunikasi bersama semua peserta juga bagi mempastikan objektif kem ini dapat dicapai.

Sebarang persoalan berkaitan, sila hubungi 013-2545965.

02 Jun 2009

Antara empat isteri

Perkongsian yang amat menarik....
------------------------------------------------------------------------

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak.

Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!

--------------------------------------------------------
**Moga sama-sama mendapat pengajarannya.

****Bersama saya di UKM esok 3hb Jun di dalam BENGKEL KAUNSELING SESI 2008/2009