30 September 2013

Isteri hamil resah suami lebih terangsang

Soalan DILEMA PERKAHWINAN, Majalah Pa&Ma bulan Mei 2012:

"Suami nampaknya semakin bernafsu sejak saya hamil. Dia masih mahu melakukan hubungan intim walaupun kini saya semakin sarat. Bagaimana cara lembut untuk saya menolak ajakannya?"

JAWAPAN:

Pertama sekali, sekalung tahniah kerana anda tergolong antara wanita bertuah. Terus terang, kes seperti anda adalah kes yang jarang berlaku. Biasanya suami hanya bersikap biasa, tidak terlalu bernafsu malah dalam kebanyakan kes, ramai juga suami yang ‘makan luar’ dan meninggalkan isteri kesepian sepanjang tempoh kehamilan kerana tidak berminat lagi untuk bermesra apabila berlaku perubahan ketara pada bentuk fizikal isteri biarpun perubahan tersebut berpunca daripada ‘perbuatannya’. Situasi jarang dan luar biasa ini berlaku apabila suami menganggap kehamilan isterinya itu membuatkan si isteri semakin seksi. Tahniah sekali lagi!

Hakikatnya, hubungan seksual suami isteri bukan semata-mata pelaksanaan tanggungjawab atau mengapilkasikan hak individu di dalam perkahwinan. Di dalam Islam berjimak termasuk di dalam perkara ibadat dan boleh mendatangkan pahala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - hadis riwayat Muslim.

Dalam surah an-Nisa’ ayat 19 pula, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik termasuklah melayani isteri dengan baik dengan menjaga perasaan dan emosi mereka antaranya juga keselesaan dan kepuasan tika bersenggama atau melakukan hubungan kelamin. Dalam kes puan, sekiranya puan tidak lagi rasa selesa untuk berhubungan, puan boleh luahkan dengan baik kepada suami.

Namun sebelum itu, puan perlu tahu dua perkara penting berkaitan melakukan hubunga kelamin tika puan sedang sarat mengandung. Pertama: sarat hamil bukan alasan untuk menolak hubungan seksual. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, puan sepatutnya bersyukur kerana dianugerahkan suami yang menghargai dan ‘memerlukan’ puan walau tika puan sedang sarat mengandung. Saya pernah kendalikan beberapa kes mengenai para isteri yang ditinggalkan kesepian, tiada belaian, pelukan apatah lagi hubungan kelamin apabila perut mula membesar. Malah ada kes, suami mereka mencari makan luar. Berbeza sekali dengan kes puan. Ya! Kurang selesa tetapi ada cara untuk puan atasi ketidakselesaan tersebut.

Puan boleh bincangkan dengan suami mengenai ketidakselesaan yang puan alami tetapi bukan luahkan untuk menolak kehendaknya. Puan boleh belajar untuk melakukan aktiviti seksual yang berlainan dalam keadaan posisi puan dan suami berbeza. Tak perlu saya ceritakan dengan terperinci kerana puan dan suami pasti boleh dapatkan info penuh berkaitan cara bersenggama yang dibenarkan oleh syariat daripada bahan-bahan bacaan yang ada di pasaran malah di internet. Ingat ye! Yang menepati hukum syarak sahaja, jangan yang dilarang oleh syariat.

Selain menukar cara bersenggama, puan juga boleh bermesra dengan suami ke tahap maksima tapi bukan bersenggama. Suami mempunyai kehendak seks yang berbeza berbanding isteri. Keletihan, kepenatan malah tekanan bukan alasan untuk mereka menafikan kehendak seksual malah mengikut kajian, lelaki akan hilang stress atau tekanan jika melakukan hubungan seksual. Lantas, puan perlu faham situasi suami. Berikan dia kepuasan yang dia inginkan. Ada tikanya, suami akan puas walau tanpa hubungan kelamin. Puan hanya perlu berikan dia layanan hebat hingga kepuasan tersebut diperolehi. Sekali lagi, puan perlu belajar mengenai layanan tersebut.

Perkara kedua yang perlu puan ambil tahu ialah hubungan kelamin tika sarat mengandung boleh membantu memudahkan proses bersalin. Puan mesti sedia maklum, ‘pintu’ yang digunakan untuk hubungan kelamin adalah juga pintu yang sama untuk puan melahirkan bayi. Dengan adanya hubungan kelamin tika puan sarat mengandung, secara tidak langsung ia merupakan proses untuk melonggarkan lorong pintu tersebut. Bila lorong sentiasa tersedia, insyaAllah akan memudahkan jalan keluar buat bayi puan juga nanti. Berbanding dengan pintu yang dibiarkan tanpa ‘tetamu’, pastinya lorong makin lama makin ketat dan ia akan melambatkan malah menyusahkan proses kelahiran. Puan boleh rujuk perkara ini dengan doktor yang merawat kehamilan puan sendiri dan dapatkan pengesahannya.

Nasihat saya, jangan terlalu tertekan dengan perkara ini. Berbincanglah dari hati ke hati bersama suami. Carilah masa yang sesuai dan gunakan ayat yang betul. Jangan sampai suami tersilap faham hingga memberikan satu keputusan yang tidak diingini oleh puan sendiri. Saya masih nak ulang, puan sebenarnya bertuah. Cuma perlu betulkan situasi agar puan dan suami sama-sama nikmati hubungan kelamin tersebut. InsyaAllah, dengan adanya mawaddah dah rahmah dalam perkahwinan puan, keadaan akan bertambah baik.

Namun, sekiranya suami sukar terima perbezaan yang bakal puan cadangkan, saya mohon agar puan bertindak memulakan acara. Maksud saya, jika sebelum ini suami memulakan aksi asmara maka puan perlu ambil alih menjadi pencetus suasana. Bila puan yang memulakan, biasanya kecenderungan suami takkan sama dengan situasi jika dia yang memulakan. Maksud saya, aksinya akan berbeza, takkan selasak jika dia memulakannya kerana anda mendominasi keadaan dan dia akan capai kepuasan tersendiri bila dia sedar dia dihargai. Saya tak jamin cara ini mencapai kejayaan 100% tapi puan boleh usahakan. Jika tak mampu mengelak kekerapan sekurang-kurangnya membantu puan sendiri untuk menimbulkan berahi sendiri agar dapat memenuhi kehendak suami.

Berahi itu penting agar puan tidak tertekan melayan kehendak batin suami malah agar puan menikmati hubungan tersebut. Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks. Puan perlu bantu suami agar kepuasan puan dan suami sama-sama diperolehi.

Jangan rasa malu atau segan untuk berbincang bersama suami mengenai perkara ini. Seks bukan hanya hak suami tetapi hak anda juga sebagai isteri. Berbincang dan berterus terang dengan baik. Puan juga perlu ingatkan suami mulai sekarang – suami juga perlu ‘berpantang’ sementara tika puan selesai melahirkan nanti. Peringatan ini penting agar suami bersedia. Dia mungkin sudah tahu dan maklum tapi tak rugi mengingatkan. Ingat!! Jangan sesekali memenuhi kehendak suami tika puan masih dalam keadaan nifas, haram hukumnya! Setiap larangan Allah dalam syariat Islam bermanfaat. Hanya dalam tempoh nifas tetapi jika nifas telah tamat walau masih dalam berpantang – orang Melayu antara 44 hari hingga 100 hari kan – andai suami menginginkan, anda boleh melayaninya sebab waktu haram melayani kehendak batin suami hanya dalam masa haid atau nifas.

Dalam usaha, pastikan juga anda berdoa mohon bantuan-Nya agar memudahkan segala yang terbaik untuk anda, suami dan agama kalian. Selamat berusaha dan selamat menimang cahayamata. Moga puan, para pembaca dan kita semua sentiasa dalam rahmat Allah!