Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma, Disember 2012: "Perwatakan dan rupa paras suami kelihatan muda walaupun saya sebaya
dengannya. Tambahan pula, sikapnya yang peramah tidak kira lelaki atau
perempuan membuatkan saya selalu cemburu, bimbang ada yang akan jatuh hati
padanya."
JAWAPAN:
Mungkin
ada di kalangan pembaca yang pernah dengar pendapat orang tua kita; elakkan
berkahwin dengan lelaki sebaya kerana wanita akan lebih cepat tua berbanding
lelaki. Benarkah? Hakikatnya, tua yang dimaksudkan adalah menyamai maksud
luahan puan dalam kes kali ini. Secara fitrahnya, wanita khususnya yang
berkahwin dan melahirkan anak akan melalui proses perubahan hormon dalam tubuh
sekaligus menyebabkan perubahan pada bentuk fizikal. Bukan sahaja menyumbang
kepada bentuk tubuh yang besar tetapi mempengaruhi paras rupa.
Mungkin
sebahagian pembaca berfikir, sekarang telah ada teknologi yang mewujudkan pula
pelbagai jenis ubat-ubatan bagi menangangi kes seumpama ini. Betullah! Saya
setuju tetapi bantuan ubat-ubatan masih belum mampu mengembalikan keaslian diri
seseorang. Namun, isu yang utama dalam kes ini bukanlah asli atau original atau
barang kelas kedua atau apa sahaja. Perkara paling penting bagi mengukuhkan
hubungan suami isteri bukanlah berkaitan bentuk fizikal dan paras rupa
semata-mata. Sebaliknya bahagia dalam hidup berumahtangga akan dikecapi apabila
sama-sama saling kasih mengasihi, melaksanakan tanggungjawab yang perlu dan
wajar menurut syariat dan turut menerima kekurangan pasangan bukan sahaja
kelebihannya.
Berbeza usia, paras rupa, latar belakang keluarga dan pendidikan malah berbeza perwatakan, minat dan kecenderungan bukan alasan untuk tidak boleh hidup bahagia bersama.
Puan juga perlu berusaha untuk menambah mekarkan kasih sayang bersuami isteri. Biar nampak ‘perbezaan usia’ antara puan dan suami walau sebaya, andai kasih sayang kekal utuh dan segar antara kalian, takkan ada masalah biar suami disogok dengan wanita yang jauh lebih menarik dan baik berbanding puan. Ingatlah!
Yakinlah, andai masih wujud rasa cinta dalam diri
suami kepada puan, puan akan kekal di hatinya tanpa berkongsi dengan sesiapa.
Lantas, usahakanlah untuk tambah mekarkan kasih sayang. Tips paling utama: menjauhkan diri
daripada syak wasangka terhadap pasangan. Kesilapan anda terlalu mudah menaruh
syak kepada pasangan boleh menyebabkan kasih sayang bertambah hambar dan boleh
menjadi pudar. Anda juga perlu bajai kasih sayang anda bersama pasangan.
Ingat!! Kasih sayang bak benih tanaman. Jika benih tersebut sentiasa disiram
dan dibaja, ia akan tumbuh subur. Sebaliknya jika dibiarkan tanpa siraman dan
baja, ia akan layu dan mati.
Untuk kembali menyiram kasih yang mula
layu, anda perlu gunakan luahan sayang dan belaian mesra. Luahkanlah rasa kasih
anda dalam nada yang amat romantis dan menggoda, ciumlah pasangan anda dengan
penuh rasa cinta. Bimbang dikatakan buang tebiat? Ketepikan kebimbangan
tersebut!! Lakukan saja dan jika benar perkataan tersebut keluar dari mulut
pasangan anda, jawablah dengan penuh kasih sayang dan suara menggoda: Anda
lakukan semua tu sebab rasa cinta dan rindu yang amat sangat kepada pasangan
anda!!
Lakukanlah kejutan. Sebagai contoh,
jika selama ini hari jadi suami atau majlis ulangtahun perkahwinan hanya
disambut biasa, sekadar ucapan, kad dan hadiah, tukarlah kebiasaan tersebut
kepada satu majlis hari jadi agak luar biasa,tak perlu besar, cukup disambut
dengan bersama suami dan anak-anak tetapi dalam suasana yang berbeza daripada
sebelum ini. Anda juga perlu imbangi antara kerjaya dan rumahtangga.
Keseimbangan wujud apabila anda berjaya memberikan tumpuan tidak berbelah
bahagi kepada rumahtangga dan kerjaya. Tips paling penting; berdoa. Sentiasa
berdoa agar kasih sayang suami isteri sentiasa utuh, kekal dan mekar hingga ke
akhir hayat. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja sebaliknya berdoalah setiap
ketika kecuali tika qadha hajat – buang air kecil atau besar. InsyaAllah,
dengan segala ikhtiar dan doa anda kepada-Nya, kasih sayang suami isteri akan bersemarak
dan kekal hingga akhirnya, tanpa orang ketiga, insyaAllah!