21 Ogos 2008

Beri Anak Anda Permulaan Awal dalam Pembacaan

Pernahkah anda bertemu dengan anak-anak pra-sekolah yang boleh membaca buku cerita dengan sendiri? Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri mengenainya:

Bagaimana anak itu belajar membaca pada umur yang semuda itu? Adakah penting anak saya belajar membaca dari awal?

Sekiranya saya bukan seorang guru adakah saya menyerahkan tanggungjawab kepada guru sahaja untuk mengajar anak saya membaca dan menulis?

APAKAH DIA PEMBACA AWAL?
Pembaca awal ialah kanak-kanak yang “mula membaca” tanpa sebarang jenis pembelajaran.
Pembaca awal tidak perlu bijak atau lebih dewasa dari kanak-kanak bukan pembaca dan tidak juga perlu dari keluarga ibu bapa berpendidikan tinggi. Malah kanak-kanak seperti ini datang dari keluarga yang telah memberikannya banyak peluang untuk membaca dan menulis.

ADAKAH PEMBACA AWAL MEMPUNYAI KELEBIHAN?
Kajian terhadap pembaca awal menunjukkan bahawa mereka gemar membaca dan seronok membaca berbagai jenis bahan. Minat dalam membaca membantu mereka lebih baik dalam pembacaan dan juga subjek-subjek sekolah yang lain.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH IBU BAPA?
BANYAK! Walau bagaimanapun perkara yang penting sekali yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi keupayaan membaca anak mereka ialah membantu anak mereka menyemai sikap GEMAR MEMBACA. Kemudian bila anak itu telah bersedia, anak itu akan mula minat membaca. Mendesak seseorang kanak-kanak belajar membaca hanya akan membuat dia benci atau takut untuk membaca. Mungkin juga dia akan terus benci membaca.

Apa yang patut dilakukan oleh ibu bapa:
- Biarkan anak melihat anda membaca sebagai satu keseronokan dan mencari maklumat sama ada membaca dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda.

- Galakkan anak anda “membaca” kepada anda (dan jangan lupa untuk memuji kerana usahanya itu.)

- Tunjukkan benda sekeliling anda yang ada tanda tulisan,seperti bahan makanan yang anda beli atau sebagainya.

- Biarkan dia melihat anda membaca dan menulis dalam kegiatan seharian seperti melihat resepi dan iklan, atau ketika menulis nota terima kasih kepada rakan dan sebagainya.

- Galakkan anak anda “menulis” dan kemudian “membaca” cerita, surat atau sebagainya (meskipun sekiranya dia “berlagak” dan belum boleh membaca. lagi)

- Simpan bahan-bahan membaca dan menulis seperti buku, majalah, pensel dan kertas di tempat yang mudah diambil.

SERINGLAH MEMBACA DAN BERBINCANG CERITA DENGAN ANAK ANDA.

Apa yang tidak patut dilakukan oleh ibu bapa:
- Jangan memaksa anak anda membaca.
- Jangan terlalu ghairah dengan kemajuan tahap pembacaannya.
- Jangan membandingkan anak anda dengan kanak-kanak lain.
- Jangan bertanyakan soalan seandai menguji apa yang telah dibacanya.
- Jangan menyuruhnya membaca buku yang lebih susah dari yang termampu dengan tahap pembacaannya.

JANGAN JADIKAN WAKTU MEMBACA SEBAGAI UGUTAN ATAU MASA YANG MENGGERUNKAN.

SEKIRANYA MEMBACA KEPADA ANAK SAYA BEGITU PENTING, BAGAIMANAKAH CARA SAYA MELAKUKANNYA?
Membaca cerita adalah salah satu cara yang penting bagi ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka belajar membaca. Adalah baik untuk membaca cerita tanpa mengambil kira masa, tetapi waktu hendak tidur adalah masanya anak anda berasa selesa dengan anda. Pertama, biarlah dia yang memilih buku, atau anda pilih buku yang mungkin ceritanya menarik anak anda.

Cuba memilih buku cerita yang mengandungi:
- gambar dan huruf yang jelas
- cerita yang mudah dan menarik
- watak-watak yang menggembirakan dan melakukan apa yang sering dilakukan oleh kanak-kanak
- rentak yang baik untuk bacaan atau kekata dan frasa yang menarik yang didapati dalam beberapa buku untuk pembaca awal
- cerita yang pendak, sesuai untuk dudukan sekali sahaja

Peluklah anak anda dan cuba menjadi masa membaca masa yang menyeronokkan dan selesa untuk anda dan anak anda. Tunjukkan buku cerita itu dan tanyakan anak anda apakah mungkin cerita dalam buku itu. Bincangkan mengenai tajuk cerita dan gambar-gambarnya. Berhenti untuk berbincang, bertanya dan menjelaskan. Jangan jadikannya sebagai suatu waktu pembelajaran.

Untuk kanak-kanak kecil, adalah lebih baik untuk menceritakan secara ringkas dan mudah atau menunjukkan benda-benda menarik dalam gambar dari membacakan keseluruhan cerita dalam buku itu.

Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa pula, adalah baik untuk menunjukkan padanya perkataan-perkataan yang anda baca kepadanya dan bacalah dalam nada seperti bercakap.
Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda kurang berminat akan cerita itu, tukar kepada buku lain atau terus saja berhenti membaca.

Jangan memaksa anak anda membaca. Cuba jadikan masa membaca masa yang menyeronokkan agar anak anda dapat memupuk MINAT MEMBACA.

****tulisan Gail Rahman untuk Persatuan Membaca dan Persuratan (Singapura)
*****Dua hari melayan sakit kepala, tak dapat teruskan perbincangan. Sekadar berkongsi ilmu.

Tiada ulasan: