16 Jun 2009

Tiada yang sia-sia

Terlalu lama sangat saya tak sediakan perbincangan menerusi weblog saya ini. Ampun dan maaf kepada pelayar setia. Jadual saya agak padat, bukan dengan temujanji tetapi undang ceramah di luar kawasan. Semalam anak-anak saya terpaksa ponteng sekolah disebabkan pagi semalam, baru bertolak balik dari Kedah ke Puchong.

Ahad 14hb baru ni, saya terlibat memberikan ceramah di Bandar Bharu/Kulim. Bercakap terus hampir 4 jam menyampaikan 3 modul (memang kat Kedah 3 modul tapi selalunya, ada 'rehat' antara modul iaitu acara perasmian) tapi dalam sesi baru ni, perasmian awal-awal maka saya perlu 'express' semuanya selepas itu. Walau penat tapi saya seronok tambah bila pada akhir sesi, kak Normah, puan pengacara majlis mengumumkan agar semua peserta memberikan saya 5 bintang kerana katanya, pengalaman pihak penganjur menjalankan program, belum pernah ada penceramah yang seperti saya... wallahu'alam tapi saya gembira dengan pujian tersebut. Subhanallah dan Alhamdulillah, memang berbaloi!!

Alhamdulillah, pihak JPW khususnya Kem. Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan saya peluang untuk berjumpa dengan orang ramai khususnya wanita bagi berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada. Memang sejak awal Mei, saya berpeluang sampai ke lima daerah (tiga di Kedah dan dua di Selangor) bagi membincangkan tentang menangani keganasan terhadap wanita. InsyaAllah, ada beberapa tempat lagi yang akan menyusul. Esok, saya akan ke Rompin, minggu depan ke Kota Tinggi. Hujung bulan ni di Vistana Hotel, KL. InsyaAllah, beberapa kawasan di Kedah akan ada lagi sekitar Julai ini, mengikut jadual yang diberikan oleh Kak Yan (JPW Kedah).

Hmmm... apa kaitannya tajuk perbincangan saya dengan cerita jadual kerja saya di atas? Sungguh, setiap yang berlaku dan segala yang terjadi, mempunyai rahsia dan hikmah yang tersendiri. Tiada yang sia-sia. Tak percaya? Tonton dulu video di bawah....


video


Anda dah saksikan klip video di atas? Dah pernah tonton sebelum ni? Nampak kan... hanya seekor binatang namun kejadiannya amat menakjubkan. Allah jadikan kelebihan yang ada pada diri haiwan ini bukan sia-sia. Untuk kita fikir dan renungkan. Bukan hanya pada haiwan ini, tapi juga setiap yang berlaku dalam kehidupan kita.

Seperti cerita saya tadi... jika anda pernah baca kisah kekalutan saya bila syarikat tempat saya bekerja sebelum ini (dulu saya Peguam Syarie sepenuh masa, berhenti daripada berguam selepas melahirkan anak kedua dan bekerja dengan syarikat multimedia sambil menjalankan khidmat konsultansi), kerap sangat mengalami masalah gaji. Terkini, awal tahun yang lalu, dikhabarkan masalah makin teruk. Setelah memohon petunjuk-Nya, saya melepaskan jawatan di syarikat tersebut dan memperjudikan nasib dengan bekerja sendiri sepenuhnya di dalam bidang konsultansi.

Bekerja sendiri bukan senang sebab kita lah yang perlu bagi pendapatan atau gaji kepada kita sendiri. Namun, semua tahu, bukan majikan penentu rezeki, juga bukan diri kita sendiri. Allah yang berikan kita rezeki. Hanya Allah yang menentukan jumlah pendapatan dan kewangan yang patut kita terima. Alhamdulillah, sejak bekerja sendiri, kebergantungan saya kepada-Nya lebih kuat. Alhamdulillah juga, rezeki yang Dia berikan dapat menampung keperluan harian.

Saya yakin, jika saya tidak diuji sekali lagi dengan masalah gaji di pejabat lama (dah lama sangat berlaku sejak 2007 dan berlarutan tapi saya masih bertahan), rasanya Bina Bahagia Services takkan dikenali oleh JPW, mungkin juga saya takkan berpeluang memberikan ceramah di bawah program anjuran KPWKM, rasanya saya takkan berpeluang menjadi panel tetap slot psikologi keluarga dan guaman syarie pada setiap Jumaat di Awani Pagi...

Malam tadi, sambil mendodoikan Sulaim, saya mengirimkan sms kepada klien-klien saya sebelum ini, bertanyakan khabar. Pagi ini (lepas sent, saya silentkan hp so pagi ni baru baca mesej balasan), semua sms jawapan yang saya terima, memberikan khabar gembira yang rata-ratanya, kehidupan mereka lebih baik daripada sebelum ini. Bukan bermaksud saya berjaya memberikan nasihat yang baik cuma seperti yang selalu saya tegaskan, dalam Resipi Hidup, dalam blog ini malah dalam sesi-sesi temujanji saya, kita perlu yakin dan percaya bahawa setiap yang berlaku di dalam kita meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini, adalah berupa ujian dan cabaran.

Ujian untuk kita berserah sepenuhnya kepada-Nya bagi memohon petunjuk dan jalan untuk mengharunginya dan menambahkan keimanan kita kepada-Nya. Cabaran untuk mematangkan kita dalam setiap tindakan yang bakal kita ambil. Ujian bererti kita perlu redha. Redha bermaksud kita perlu terima dengan pasrah dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya. Bukannya menunduk terima segala tanpa usaha dan ikhtiar untuk keluar daripada ujian dan cabaran tersebut.

Sungguh... setiap yang berlaku dan segala yang Allah tetapkan, mempunyai rahsia dan hikmah yang tersendiri. Terpulang kepada diri kita sendiri untuk berusaha mencari rahsia dan hikmah tersebut...

Jom sertai Kem Jati Diri: Wanita Lembut tetapi Bukan Lemah.

1 ulasan:

Cahatomic berkata...

pstt .. kak
yg iguana ni sebenarnya iklan Ray-ban :-s

bukan kejadian betul. :-s iguana tak boleh berubah secepat ni.