Semua maklum, hari ni keputusan SPM diumumkan. Tidak ada sesiapa yang dekat dengan saya menerima keputusan hari ni. Tapi, saya menerima perkongsian berita kejayaan drpd anak-anak didik yang menjadi pelajar saya dlm program PLKN awal tahun baru ni. Alhamdulillah, walau menjadi guru mereka untuk tempoh lima hari, mereka tetap mahu berkongsi, syukur!!
Tengahari tadi, ketika menunggu (dalam kereta bersama Suhail dan Sulaim) Ayuni balik dari sekolah (1.45pm- lambat 1 jam dari jadual kelas biasa sebab ikuti kelas Bhs Cina), terdengar perbualan dua ibu yang sama-sama menunggu, tak pasti pula anaknya kelas mana sebab tahap 2 pun masih belum dilepaskan lagi.
Perbualan bermula apabila seorang menanyakan keputusan SPM anak yang seorang lagi. Jawapan si ibu: "Tak tau la. Tak balik lagi pun tadi. Jumpa kawan-kawan la tu. Dah lama kan tak jumpa. Anak hang?"
"Sama la, tak tau jugak, tak balik pun lagi. Dengaq kata anak si *** tu dapat 4A."
"Haaa... tu la! Tak pa la. Anak dia memang budak pandai pun."
"Alaaaa... tak pa la tak pandai pun. Ngaji pandai pun bukan dapat keja elok. Hat masuk U pun keluaq tak dak keja. Semua ngaji pandai pun, sapa pulak nak wat bendang..."
Tak perlu la saya panjangkan lagi perbualan mereka. Cukup sekadar itu kerana tujuan saya berkongsi perbualan tadi di blog saya ini ialah tentang ayat yang saya boldkan di atas ini, amat menarik perhatian saya.
Tak pasti apa perasaan anda tatkala membaca luahan hati si ibu tersebut. Yang saya pasti, saya rasa amat sedih! Sedih memikirkan nasib anak-anak si ibu yang mempunyai prinsip hidup sedemikian. Prinsip yang mempercayai; belajar hanya untuk mendapatkan kerja yang baik, berpangkat tinggi dan bergaji besar. Lupa kepada tuntutan agama; menuntut ilmu itu wajib kepada setiap hamba-Nya bermula daripada saat dilahirkan hinggalah dikebumikan ke liang lahad.
Saya bukanlah ibu yang cemerlang. Ya lah! Anak sulung pun baru berusia 7 tahun tetapi saya percaya, ramai yang setuju dengan saya, sikap si ibu yang mempunyai prinsip sedemikian adalah tidak baik untuk kecemerlangan hidup anak-anak. Jika bukan si ibu atau si ayah yang berikan semangat dan dorongan, nak harapkan siapa lagi?
Saya bukan mahukan ibu bapa memaksa anak-anak berjaya dalam pelajaran. Yang saya sarankan ialah jangan putuskan semangat dan dorongan untuk anak-anak terus belajar. Kalau ramai ibu bapa yang berprinsip serupa, rosaklah generasi kita pada masa depan kerana ramai yang tidak berilmu.
Belajar perlu, pandai atau tidak itu kerja Tuhan. Kalau tak pandai, kena usahakan agar lebih pandai dan cuba cipta kejayaan. Paling tidak, ada juga ilmu yang diperolehi. Ya! Saya akui ramai lepasan universiti kini yang masih belum bekerja, terlalu ramai yang menganggur tapi kena ingat, berilmu bukan saja untuk dapatkan kerja yang baik tapi untuk berikan kita kewarasan dalam tindakan dan membuat keputusan.
Malangnya, kita diasuh dan ditanamkan dengan perlunya berjaya dengan cemerlang untuk dapatkan pekerjaan yang baik dan bergaji besar. Hakikatnya, tak jadi masalah pun jika berpendidikan tinggi, lepasan universiti tetapi bekerja di ladang. Dah ramai lulusan universiti yang jadi petani yang berjaya. Kalau ada ilmu, bekerja di bendang pun boleh berikan pendapatan yang lebih lumayan berbanding tak ada ilmu kemudian berpanas di tengah sawah. Kalau tak dapat peluang kerja tapi ada ilmu, boleh buat macam-macam pekerjaan lain juga. Yang penting, ada ilmu dan ada minat melakukannya. Kalau tak ada ilmu? Hmmm semedang ja la duk jadi hamba orang!
Saya minta maaf kalau ada yang rasa saya seperti menghina mereka yang tak habis belajar atau tak dapat sambung pengajian. Demi Allah! Mereka seperti ini tidak termasuk di dalam kategori yang saya maksudkan. Yang menjadi tumpuan dalam perbincangan saya ini ialah mereka yang mengambil sikap serupa dengan ibu tadi; tak perlu pandai yang bagi saya menurut maksud percalapan tadi bererti, tak perlu nak belajar. Kalau dah usaha tapi tak berjaya tu, lain lah ceritanya.
Seperti yang selalu saya tegaskan, setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Ada orang yang kurang berjaya dalam pelajaran tetapi mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang kemahiran. Kemahiran juga termasuk dalam ilmu, yang tetap perlu dipelajari dan jadi pandai. Nak keja bendang pun, kena pandai! Nak menoreh pun kena pandai! Pokoknya, walau apa pun pekerjaan yang kita nak lakukan, perlu pandai iaitu ada ilmu!!
Sebagai seorang ibu atau ayah pula, sikap sebegini tidak baik untuk perkembangan anak-anak. Anak-anak tidak mengerti dan tidak faham tentang masa depan yang perlu mereka hadapi, yang penuh dengan berbagai ragam manusia dan segala macam cubaan. Jika ibu bapa tidak sediakan anak-anak bagi menghadapi ragam dan cubaan tersebut, bagaimana dengan nasib anak-anak tu nanti?
Sebagai ibu bapa juga, sepatutnya bertindak mendorong semangat anak-anak untuk sentiasa berusaha mencapai yang terbaik. Jika anak-anak berjaya, ucapkanlah tahniah! Pesankan juga agar teruskan usaha sebab kat depan nanti, masih banyak liku yang perlu dilalui. Sebaliknya jika anak masih belum berjaya, jangan dicaci maki. Sabarkan si anak, jelaskan padanya rezekinya belum ada, pasti akan tiba juga masanya nanti. Pesankan, jangan berputus asa sebaliknya perlu terus berusaha. Kejayaan dan kegagalan hari ini bukan penamat. Masih ada masa dan peluang untuk berjaya dan lebih berjaya serta mengubat luka kegagalan lama.
Saya masih ingat lagi tika saya gagal dalam satu subjek tika tahun pertama di UM. Zaman saya, gagal kali pertama, ada peluang untuk ambil semula (sistem semester). Kalau gagal kali kedua, boleh belajar lagi tapi kena ulang semula semua subjek yang dah diambil tahun tu. Kalau 10, yang gagal cuma satu, kena ulang semula semua 10 tu. Saya gagal dalam Ulum al-Quran. Gagal pun dapat markah lebih 80% tapi disebabkan tak jawab soalan wajib, dikira gagal. Kegagalan yang betul-betul melupuskan semangat saya. Sebab saya tau saya dah kecewakan harapan Mak dan Bapa saya. Tapi Alhamdulillah, saya ada Mak dan Bapa yang sentiasa berikan saya semangat dan alhamdulillah, saya berada dalam kedudukan sekarang.
Paling penting juga, jangan keluarkan kata-kata nista yang bukan saja boleh menambah kecewa si anak tetapi boleh bertindak sebagai doa kepada mereka. Marahlah tapi berpada-pada. Elakkan menyebut perkataan yang tidak baik seperti; bodoh, tak boleh diajar, kurang ajar, bengong dan macam-macam lagi. Kalau dah selalu si anak tu dikatakan bodoh, bengong, memang jadi bodoh dan bengong sungguh lah dia.
Sentiasa doakan agar anak-anak berjaya dalam hidup mereka. Cakapkan yang baik, doakan yang baik, insyaAllah anak-anak akan jadi baik bukan saja untuk diri mereka tetapi juga untuk kita, ibu bapa mereka...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan