22 September 2011

16 alasan fasakh

Ada yg emel dan SMS minta saya jelaskan mengenai 16 alasan fasakh seperti yg saya sebutkan dlm Wanita Hari Ini pd 20 Sept lalu. Sy kongsikan petikan buku sy, BUATMU WANITA. Nasihat sy, utk lebih jelas, dapatkan buku tersebut melalui Buku Prima atau dr Karangkraf Mall.

-----------------------------------------------------------------------------

Semua Undang-undang Keluarga Islam yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf hak seorang isteri iaitu dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah Syariah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Walau berbeza ayat atau seksyen, maksud bagi peruntukan-peruntukan ini adalah sama.

Sebagai contoh, seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan memperuntukkan: seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang yg dinyatakan.

Mari kita teliti satu persatu alasan fasakh dan pembuktian yang perlu dikemukakan:

1. tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;- bagi kes seperti ini, kehilangan suami perlu dilaporkan ke Balai Polis yang berhampiran terlebih dahulu. Isteri juga perlu kemukakan bukti atau saksi yang boleh memberikan pengakuan mengenai kehilangan suami atau suami tidak pernah menghubungi isteri sejak tempoh kehilangan. Isteri juga perlu kemukakan bukti atau saksi yang dapat membuktikan usaha pencarian yang tidak berhasil kerana hakim yang mengadili kes berdasarkan alasan hilang ini, akan mengambil kira usaha mencari yang dilakukan oleh isteri, bagi memberikan keadilan yang saksama kepada kedua-dua pihak.

Ada kes suami yang hilang akal disebabkan kemalangan tetapi dikatakan hilang oleh isteri setelah usaha mencari dilakukan. Selepas kes fasakh diluluskan dan si isteri berkahwin dengan lelaki lain, tiba-tiba si suami muncul. Seakan kisah drama tetapi ia adalah kisah benar. Yang dapat saya katakan hanyalah, setiap yang berlaku adalah kehendak-Nya dan ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku.

2. suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;- bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti berupa daftar wang keluar daripada akaun isteri sendiri atau resit perbelanjaan menggunakan wang isteri. Jika isteri sendiri tidak bekerja dan terpaksa berhutang bagi menampung perbelanjaan kesan kecuaian atau kegagalan suami menunaikan tanggungjawab maka dokumen catatan hutang atau kenyataan pemberi hutang perlu dikemukakan sebagai bukti kes. Perlu diingat, tiga bulan yang diambil kira ialah tiga bulan yang berturut-turut dan bukannya yang berselang.

Ada kes permohonan fasakh menggunakan alasan ini ditolak oleh hakim apabila suami berjaya membuktikan dia tidak cuai tetapi telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah isteri selama tempoh tiga bulan disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan dan dia telah berusaha tetapi belum berjaya malah suami tidak pernah gagal atau cuai sebelum ini. Nasihat saya kepada para isteri, berhati-hati di dalam tindakan anda. Ada kes isteri yang sengaja mencari peluang kegagalan suami menunaikan tanggungjawab sedangkan hakikatnya kasih telah berpaling kepada lelaki lain. Ingatlah! Undang-undang untuk menjaga kebajikan anda dan bukan untuk anda mengambil kesempatan.

3. suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;- bagi kes seperti ini, isteri perlu menunggu hingga hukuman penjara itu dikemukakan dan suami telah pun menjalani sekurang-kurangnya satu tahun daripada tempoh hukuman tersebut. Mahkamah tidak akan mengeluarkan perintah fasakh kecuali syarat tersebut telah dipenuhi.

4. suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;- saya selalu menerima soalan berkaitan alasan ini, bagaimana nak buktikan? Isteri boleh mengemukakan bukti lisan daripada doktor bagi mengesahkan dakwaannya. Mungkin ada yang malu untuk berbuat demikian namun harus diingat, tiada istilah malu atau segan jika benar anda inginkan hak anda.

5. suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;- bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti perubatan tentang sakit si suami. Jika suami menentang dakwaan isteri, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan suatu perintah meminta suami memuaskan hati Mahkamah dengan mengemukakan bukti dia tidak lagi mati pucuk, dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah tersebut. Jika suami berjaya memuaskan hati Mahkamah, permohonan isteri akan ditolak sebaliknya jika tidak, permohonan akan diluluskan.

6. telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;- bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti perubatan tentang sakit si suami. Biasanya bukan sekadar bukti dokumentasi atau laporan perubatan tetapi isteri perlu kemukakan kenyataan lisan daripada pakar atau doktor berkenaan.

7. isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;- bagi kes seperti ini, bukti yang perlu dikemukakan ialah surat akuan nikah yang menyatakan tarikh nikah sebelum si isteri mencapai umur baligh dan perakuan daripada wali mujbir yang bertanggungjawab. Sama seperti kes suami tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun, kes ini juga memerlukan isteri mengemukakan akuan lisan doktor yang memeriksanya.

8. suami menganiayainya, iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; - bagi kes seperti ini, isteri yang dipukul atau didera perlu melaporkan kejadian pukul tersebut kepada pihak polis. Isteri juga perlu segera dapatkan rawatan doktor dan nyatakan dengan telus mengenai kejadian yang berlaku. Ada kes isteri yang enggan membuat laporan polis malah menipu ketika pemeriksaan doktor. Kesannya kes menjadi sukar kerana tiada bukti yang boleh dikemukakan bagi menyokong kes.

Ada isteri yang bimbang akan dipukul lebih teruk jika membuat laporan polis. Saya faham kebimbangan anda tetapi itu bukan jaminan anda tidak dipukul lagi oleh suami. Sebaiknya anda bertindak sejak awal, bukan tunggu keadaan menjadi lebih parah. Saya akan bincangkan dengan lebih terperinci dalam fasakh kerana keganasan yang berlaku dalam rumahtangga- selepas ini.

9. suami menganiayainya, iaitu berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; - bagi kes seperti ini, isteri boleh kemukakan bukti berupa gambar tetapi perlu juga ada saksi yang menyokong fakta kes.

10. suami menganiayainya, iaitu cuba memaksa isteri hidup secara lucah; - bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.

11. suami menganiayainya, iaitu melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; - bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan bukti dokumentasi pelupusan harta atau kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.

12. suami menganiayainya, iaitu menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;- bagi kes seperti ini, isteri perlu kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.

13. suami menganiayainya, iaitu jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;- bagi kes seperti ini, isteri perlu dokumen berkaitan dan kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.

14. walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;- Sama seperti kes suami tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun, kes ini juga memerlukan isteri mengemukakan akuan lisan doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atasnya.

15. isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak; dan

16. pada masa perkahwinan itu, isteri sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

- bagi kedua-dua kes seperti ini, isteri perlu dokumen berkaitan dan kemukakan saksi yang boleh menyokong kes.

Perkara paling penting yang perlu dititikberatkan semasa permohonan ialah jelaskan keseluruhan fakta kes dan jangan berselindung. Pastikan saksi anda ialah saksi yang melihat atau mendengar sendiri perkara berkaitan permohonan anda dan bukannya saksi yang mendengar luahan perasaan anda semata-mata. Saksi sebegini tidak akan membantu kes anda. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang saksi, cukuplah Allah SWT sebagai saksi dan nyatakan sumpah anda sungguh anda bercakap benar. Berusaha, berdoa dan bertawakallah kerana Allah SWT tidak akan menganiayai hamba-Nya yang tidak berputus asa.

***Untuk khidmat nasihat kekeluargaan atau guaman syarie, hubungi 013-2545965 untuk temujanji - boleh bersemuka dgn saya di UM, boleh bercakap tru fon atau chat YM.

1 ulasan:

Lela Lie berkata...

Assalamualaikum....sy skarag dlm kes tuntutan fasakh terhadap suami sy...awal taun 2012 sy tggalkan umah dan tggal bersama sepupu sy....sy dh x sggup lg tggal bersama suami sy yg terlibat dgn dadah...dh 7 thun sy tggal bersama suami...dh byk kali sy nsihatkan dia spaya brhenti ambil dadah...sepnjang prkhwinan kmi jga dia tidak brkerja...plg lama pown keja 3 bulan jer..lps 2 dh x keja..dia ada bg nfkah kat sy tp x mncukupi n duit yg dia bg kat sy adalah hasil duit dia jual dadah...sy wat tuntutan fasakh sbb dia x bg nfkah slama sy tggalkan dia...wajarkh sy wat tntutan tersebut sbb sy yg tggalkan dia..tp sy tggalkan dia bersebab..sy xnk terbabit dlm kegiatan dadah dia lg...dia pown sblum ni dh beberapa kali dtangkap oleh phak polis sbb dadah..tp blum pernah dpenjarakan...apakah btl tindakan sy skung ni???