12 Oktober 2011

Dilema isteri bila suami dibuang kerja

Soalan Dilema Perkahwinan majalah Pa&Ma Januari 2011.

"Usia perkahwinan atas dasar cinta saya baru masuk 6 tahun. Dua tahun kebelakangan ini, suami mula mengabaikan tanggung jawabnya sebagai suami lantaran tidak mencari nafkah selepas dibuang kerja. Hal ini merungsingkan saya apatah kami ada dua orang anak yang sedang membesar. Apa yang patut saya lakukan agar dia kembali rajin bekerja dan melunaskan tanggung jawab yang patut dipikulnya? Setakat ini, saya masih bertahan dan jika boleh tidak mahu menuntut cerai daripadanya."

JAWAPAN:

Puan yang bertanya serta sidang pembaca yang dihormati. Saya yakin, ramai yang maklum dengan maksud firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 34: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Diceritakan pula, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah SAW bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - hadis riwayat Abu Daud.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).” – surah al-Talaq ayat 7.

Dalil-dalil ayat al-Quran dan al-Hadis yang saya kemukakan pada awal jawapan kali ini adalah antara bukti seorang suami WAJIB dan MESTI bekerja dan berusaha untuk menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anaknya, tidak kira si suami berada dalam apa jua keadaan sekalipun. Malah jika suami seorang yang cacat anggota, tanggungjawab mencari nafkah keluarga tetap wajib dan mesti, bezanya memadai diusahakan menurut dayanya.

Secara jelas, antara sebab para isteri perlu menghormati suami ialah kerana suami dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk membelanjakan wangnya bagi menampung segala keperluan isteri dan anak-anak. Sememangnya seorang suami bertanggungjawab menyediakan segala keperluan harian isteri dan anak-anak merangkumi makan minum, pakaian, tempat tinggal, ilmu dan pendidikan, perubatan dan kesihatan serta segala jenis keperluan seorang isteri dan anak-anak menurut kemampuan si suami. Saya tegaskan; KEPERLUAN dan bukan kemewahan.

Kadar pemberian nafkah mengikut kemampuan seorang suami bermaksud suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau. Bermaksud juga; ketidakupayaan disebabkan tidak bekerja selepas dibuang kerja tidak termasuk di dalam kadar kemampuan yang dibenarkan syarak. Kembali kepada persoalan kes kali ini; suami puan adalah termasuk golongan suami yang dengan sengaja telah cuai dan mengabaikan tanggungjawab yang wajib dalam hal memberi nafkah zahir.

Berdepan kes seperti ini, perkara yang paling penting untuk para isteri lakukan ialah sentiasa sedarkan suami mengenai tanggungjawabnya. Adakan perbincangan hati ke hati, luahkan ketidakselesaan anda mengenai pengabaian tanggungjawab yang sedang dilakukan suami. Jelaskan mengenai keperluan anda dan anak-anak yang sepatutnya menjadi tanggungannya. Jika anda berkemampuan sekali pun, tanggungjawab suami tetap tidak berubah; masih tetap wajib dan perlu membiayai segala keperluan isteri dan anak-anak.

Suami sukar berbincang? Boleh luahkan suara hati dan emosi anda melalui surat dan serahkan kepadanya. Boleh juga melalui emel cuma perlu pastikan, sama ada surat atau emel, luahan hati anda dibaca dengan meletakkan satu jaminan di penghujung luahan hati anda itu. Jaminan tersebut boleh berupa satu masa tertentu untuk anda berbincang semula mengenai luahan hati anda itu. Berikan masa maksima tiga hari, jika suami berdiam, tanyalah mengenai masa yang sesuai tersebut. Jika suami faham dan mengerti, bererti dia membaca sepenuhnya luahan anda. Jika sebaliknya, bermaksud dia tak endahkan luahan hati anda dan sudah tiba masanya untuk anda merayu.

Carilah masa yang sesuai untuk anda meluahkan segala isi hati anda dalam nada rayuan dan memohon belas kasihan. Luahkan kesedihan anda kerana suami tidak berusaha jalankan tanggungjawabnya yang wajib seperti yang telah dijanjikan tika sama-sama menjejak mahligai bahagia selepas akad nikah disahkan. Merayu, bukan marah-marah atau berkeras. Ada jenis suami yang kalah dengan rayuan dna tangisan si isteri. Namun, jika suami anda bukan jenis yang boleh dibawa berbincang, bukan juga jenis yang nak baca luahan atau dengar rayuan isteri, usahakan untuk temukan suami dengan pihak ketiga bermula dengan pegawai penasihat di pejabat agama berkaitan.

Ingat ya! Pejabat agama melalui Unit Aduan dan Kaunseling bertanggungjawab untuk memberikan khidmat nasihat agar hubungan perkahwinan yang bermasalah dapat dipulihkan, bukan untuk perceraian. Jika suami masih enggan mendengar nasihat pegawai berkaitan, dapatkan pula bantuan ahli keluarga suami. Elakkan menceritakan masalah rumahtangga anda terus kepada keluarga, tak kira keluarga anda atau keluarga suami. Biarlah keluarga menjadi tempat rujukan terakhir sebab risikonya lebih besar jika keluarga tahu kekalutan rumahtangga anda dengan lebih cepat.

Anda perlu ingatkan keluarga suami; jika suami masih tetap gagal menjalankan tanggungjawabnya, mereka bertanggungjawab mengambil alih tanggungjawab suami anda. Peringatan ini perlu agar keluarga suami berusaha keras untuk mengubah sikap suami. Setelah suami diberikan peringatan oleh keluarganya, anda sudah boleh berikan tempoh masa untuk suami berubah. Tak perlu tunggu lama, memadai tempoh maksima tiga bulan agar suami berubah pendirian dan sikap serta berusaha untuk tunaikan tanggungjawabnya yang wajib.

Ingat ya!! Pastikan suami berusaha sedaya upaya untuk tunaikan tanggungjawab. Jangan berikan kadar minima tertentu untuk dia buktikan perubahannya tetapi boleh diterima perubahan sedikit demi sedikit tetapi pastikan ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh; anda boleh tetapkan, dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini, suami perlu usahakan untuk bekerja dan tunaikan tanggungjawabnya sebagai suami sepenuhnya. Jika suami bekerja tetapi pendapatan hanya dapat menampung sebahagian kecil keperluan keluarga, berikan sokongan agar suami terus berusaha! Jika suami layak dapatkan pekerjaan yang lebih baik, bertahan dengan pekerjaan sedia ada tetapi dalam masa yang sama, usahakan untuk dapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Hingga tempoh itu, suami boleh usahakan kerja-kerja sampingan lain di luar waktu kerja. Penting!! Pastikan berapakah pendapatan sebenar kerja tetap suami, apakah pekerjaan sampingannya dan berapakah pula pendapatan sampingannya itu? Maklumat ini penting agar hak anda dan anak-anak terbela, agar suami tidak tersasar daripada peranannya yang sebenar sebagai suami dan bapa. Daripada jumlah tersebut, tetapkan berapa yang perlu diberikan kepada anda dan anak-anak. Jika anda masih perlu membantu, catatkan ia sebagai hutang yang perlu dibayar bila suami berkemampuan. Ini bukan hal berkira tetapi ia adalah kehendak syarak. Isteri boleh membantu tapi jangan sampai suami lupa diri.

Sekiranya nasihat keluarga sendiri juga tidak dipeduli oleh suami, jalan terakhir ialah dengan mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah, bukan untuk bercerai tetapi perintah agar suami dan mereka yang bertanggungjawab (ahli keluarga suami) memberikan jumlah nafkah yang perlu dan patut kepada anda dan anak-anak. Jika suami anda masih mempunyai bapa, maka bapa suami anda bertanggungjawab mengambil alih tanggungjawab suami anda. Jika bapa suami anda tidak berdaya, tanggungjawab boleh dibebankan pula kepada saudara lelaki suami – abang atau adik- mereka tak mungkin dapat menafikan tanggungjawab tersebut kerana mereka adalah waris keras dan turut bertanggungjawab ke atas anda dan anak-anak.

Di samping segala ikhtiar, panjatkan doa kepada Allah mohon bantuan agar segala usaha dan ikhtiar anda dimudahkan. Berdoalah, jika suami anda masih baik untuk perkahwinan anda, untuk anda dan anak-anak anda, ubahkan sikap suami anda menjadi suami yang soleh dan bertanggungjawab. Jika sebaliknya, berikan anda petunjuk dan kekuatan untuk hadapi apa jua keputusan yang terbaik yang ditentukan-Nya untuk anda.

Buat para suami; ingatlah!! Malaikat akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - hadis riwayat al-Bukhari.

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” – hadis riwayat Abu Daud.

Tiada ulasan: