02 September 2012

Suami melenting bila suarakan tentang anak


Dilema Perkahwinan Ogos 2011:

"Saya dan suami berkahwin pada usia yang agak lewat. Kini saya sudah 32 tahun. Saya tahu tahap kesuburan wanita akan mula menurun setelah mencecah usia 35 tahun. Ini membimbangkan saya kerana suami masih tidak mahu menimang cahaya kerana mahu mengejar kerjayanya. Saya bingung kerana setiap kali membicarakan hal ini suami akan melenting. Bagi saya kalau sekadar dapat seorang anak pun sudah mencukupi asalkan kami ada penyambung zuriat."

JAWAPAN:

Anak biasanya dinobatkan sebagai permata hati atau cahayamata; membuktikan kehadiran seorang anak di dalam sesebuah perkahwinan adalah amat bererti dan bermakna. Tidak cukup syarat jika sesebuah perkahwinan tidak mempunyai cahayamata. Malah ada kes perkahwinan berakhir semata-mata kerana pasangan, sama ada isteri atau suami, tidak mampu memberikan anak kepada perkahwinan tersebut. Bukan sekadar kehendak masyarakat sebaliknya kehadiran cahayamata adalah antara hikmah perkahwinan disyariatkan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu daripada asalnya seorang diri (Adam) dan daripadanya pula diciptakan seorang isteri (pasangan) dan daripada kedua-duanya melahirkan keturunan yang banyak, yang terdiri daripada pasangan lelaki dan wanita.” Ayat ini menjelaskan, perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita menjadi satu wadah atau jalan untuk meneruskan keturunan keluarga.

Berbalik kepada kes puan, sebenarnya bukan kes luar biasa walaupun kes sebegini hanya satu daripada 25 atau 30 kes. Saya pernah berdepan dengan kes serupa; suami enggan mempunyai anak dan setelah bersabar hampir enam tahun, si isteri melawan dalam diam. Dia ditakdirkan mengandung dan melahirkan kembar lelaki seiras. Dengan harapan suami akan berubah setelah kehadiran anak, malangnya dirinya diceraikan.

Saya kongsikan kes ini bukan untuk menakutkan puan tetapi sebagai satu pengajaran dan peringatan. Hakikatnya, tindakan isteri dalam kes tadi tidak salah atau dalam erti kata mudah; tidak boleh disabitkan nusyuz sebab tidak mematuhi kehendak suami untuk tidak mempunyai anak. Perlu difahami, seorang isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz dengan dua alasan. Bagi Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, nusyuz isteri ialah kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling membenci antara keduanya termasuklah keluar rumah tanpa izin suami. (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu). Isteri juga dianggap nusyuz jika meninggalkan rumah dengan tiada sebab syarie atau enggan mengikut suami berpindah ke rumah lain.

Di dalam kitab Nizam al-Usrah fil Islam menjelaskan perempuan nusyuz ialah perempuan yang meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhkan diri daripadanya, mengelak diri dari suaminya atau menyebabkan suaminya marah. Prof. Dr Wahbah menjelaskan dua tanda isteri dianggap nusyuz. Pertama; melalui perbuatan dengan menjauhkan diri, bermasam muka dan bersikap degil atau enggan ketika dipanggil. Semua ini berlaku setelah sebelumnya dia bersikap mesra. Kedua; melalui perkataan seperti berinteraksi dengan suami dengan perkataan yang kasar, ia berlaku setelah sebelumnya dia bercakap lembut.

Dalam kes tadi termasuklah kes puan jika puan mempunyai hasrat untuk bertindak membiarkan diri puan hamil secara diam-diam; tindakan tersebut tidak termasuk dalam kategori nusyuz seperti dijelaskan. Kenapa bukan nusyuz sedangkan suami melarang daripada hamil? Kita kembali kepada kaedah asas, hamil atau tidak bukan kehendak kita sebaliknya kehendak Allah SWT. Ada pasangan yang melakukan pelbagai ikhtiar dan usaha agar dapat hamil tapi masih tidak berjaya hamil. Malah ada pasangan yang berusaha keras untuk tidak hamil tetapi kerap juga terjadi kehamilan yang biasanya dilabelkan sebagai “accident”.

Namun; biarpun perbuatan tersebut bukan nusyuz, saya nasihatkan agar puan tidak berusaha untuk hamil secara diam-diam. Jalan terbaik ialah puan berbincang dengan suami; berapa lama masa yang suami perlukan untuk membina kerjayanya? Jika sukar berbincang kerana suami cepat melenting, tak perlu bercakap sebaliknya tulislah surat atau kirimkan emel. Gunakan bahasa yang mudah tetapi dengan antonasi mendayu dan merayu. Luahkan hasrat puan untuk menjadi seorang ibu. Ceritakan keseronokan yang bakal diperolehi bila memiliki anak. Sebagai contoh, kepenatan seharian bekerja akan hilang bila balik kerja disambut keletah si kecil. Puan boleh juga ceritakan mengenai kepayahan hidup masa depan andai tiada anak walau mempunyai pekerjaan yang baik. Tapi pastikan, penjelasan berhikmah. Kalau ada kes terdekat yang berkaitan dan boleh dikongsikan, ceritakalah dengan suami dalam surat atau emel tersebut.

Andai tidak mendapat maklumbalas positif daripada suami, puan sendiri berterus terang dengan suami; berikan suami tempoh masa setahun untuk melaksanakan sebahagian impian kerjayanya dan selepas tempoh tersebut, puan mohon ihsan suami untuk benarkan puan hamil dan mempunyai anak. Puan luahkan kesanggupan untuk menguruskan anak tersebut nanti tanpa mengganggu suami puan. Pengakuan tersebut memang seolah perangkap makan diri tetapi ia sebagai satu umpan. Biar suami benarkan puan hamil dulu dan nanti puan boleh usahakan pula untuk menarik hati suami mendekati, menyayangi dan turut serta menguruskan anak tersebut, insyaAllah.

Ingat! Kita merancang tetapi segala keputusan bergantung kepada Allah. Puan masih belum terlalu terdesak sebenarnya jadi saya mohon, jangan terlalu stress atau tertekan dengan masalah dihadapi. Tekanan akan mengganggu hormon dan pembentukan kualiti telur. Saya akui, mengikut ilmu perubatan, risiko bagi wanita yang berumur lebih dari 35 tahun untuk hamil adalah tinggi terutamanya bagi mereka yang baru pertama kali hamil.

Antara risiko seperti yang ditemui dari kajian perubatan ialah :
  1. Kualiti telur yang dihasilkan oleh ovari adalah rendah – menyebabkan risiko yang tinggi untuk mempunyai zuriat yang lemah dan mudah sakit.
  2. Wanita yang hamil di usia yang lanjut selalunya mudah terkena diabetes (kencing manis) sewaktu hamil kerana kesukaran untuk mengawal kandungan gula dalam darah melalui diet, senaman dan gaya hidup.
  3. Kemungkinan untuk bersalin normal adalah rendah kerana faktor usia menyebabkan puan tidak kuat untuk meneran sewaktu proses bersalin. Oleh itu kemungkinan untuk puan bersalin cesarean adalah tinggi
  4. Risiko keguguran juga adalah tinggi apabila mengandung di usia melebihi 35 tahun
  5. Kemungkinan besar akan berlaku masalah risiko chromosome yang tidak normal iaitu bayi yang dikandung boleh mengalami Down Syndrome.

Namun, kemajuan teknologi moden kini banyak membantu mereka yang beurmur lebih dari 35 tahun untuk hamil. Terdapat hospital yang menyediakan rawatan dan pemeriksaan diawal kehamilan bagi menentukan sama ada janin yang dikandung adalah sihat dan normal atau sebaliknya. Jika janin yang dikandung tidak normal, doktor akan menasihatkan pesakitnya untuk menggugurkan kandungan tersebut. Tetapi jika sebaliknya, maka kandungan tersebut boleh diteruskan.

Perlu difahami, setiap yang berlaku itu mempunyai sebab dan hikmah. Cara terbaik, berusaha dapatkan persetujuan suami. Saya bimbang, andai tiada persetujuan suami dan ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak dikehendaki oleh puan, suami akan berterusan menyalahkan puan dan kesan jangka panjang akan lebih buruk berbanding risiko hamil di usia lewat. Panjatkan doa kepada-Nya, jika mempunyai anak itu terbaik untuk masa depan perkahwinan kalian, lembutkan hati suami untuk menerima cadangan puan mempunyai anak dan jika sebaliknya, tabahkan hati puan untuk terus redha dan bersabar hingga tiba waktu dan ketika yang sesuai. Segala rahsia hidup ini dalam ketentuan-Nya, percayalah!!

Tiada ulasan: