21 April 2013

Suami rimas isteri obses dengan kebersihan



Soalan Dilema Perkahwinan, Pa&Ma bulan Februari 2012

"Isteri terlalu obses dengan kebersihan sehingga membuatkan saya rimas apabila berada di rumah. Setiap apa yang saya lakukan perlu dibersihkan serta-merta. Bagaimana mahu mendidik dia agar tidak terlalu memikirkan kebersihan sepanjang masa?"

JAWAPAN:

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.” - hadis riwayat lmam Muslim.

Saya ingin menarik perhatian tuan yang bertanya dan para pembaca semua kepada ayat pertama dalam terjemahan hadis yang saya kongsikan di awal jawapan ini iaitu “kebersihan itu sebahagian daripada iman...”. Saya yakin, ramai yang maklum mengenai maksud hadis ini. Hakikatnya, kebersihan mengambil banyak ruang keimanan kerana bersih itu adalah sesuatu yang mulia dan disukai bukan saja oleh Rasulullah SAW tetapi juga oleh Allah SWT. Di dalam surah at-Taubah ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Saya yakin, semua individu di dunia hari ini sukakan kebersihan. Tak mungkin wujud cantik dan indah andai tidak disertai dengan bersih. Sepohon mawar yang mekar dan segar pasti takkan sedap mata memandang persekitarannya tidak bersih. Lantas, sikap isteri tuan memang boleh dipuji kerana dia menghargai kebersihan dan keindahan yang sememangnya menjadi tuntutan syariat malah disarankan juga oleh ugama lain di dunia ini.

Merujuk kepada kes; persoalan utamanya ialah ‘isteri yang terlalu obses dengan kebersihan’ dan huraian bagi maksud obses ini seperti yang dikongsikan ialah Setiap apa yang saya lakukan perlu dibersihkan serta-merta.” Jika hanya itu penjelasannya mengenai obses yang dimaksudkan, saya tak nampak ada alasan wajar untuk anda dan saya ‘mendidik isteri anda agar tidak terlalu memikirkan kebersihan sepanjang masa’ kerana jelas sekali, obses isteri anda adalah bertempat. Saya tidak tahu status sebenar isteri anda; maksud saya ialah sama ada isteri anda suri rumah sepenuh masa atau isteri dwi kerjaya. Biarpun status itu memberikan dua keadaan berbeza tetapi faktanya adalah sama. Jika isteri anda seorang isteri dwi kerjaya, sudah pastilah dia mementingkan kekemasan dan kebersihan dan meminta anda membersihkan serta-merta saki baki hasil kerja anda sebagai satu cara agar bebannya untuk mengemas dan membersihkan semula dapat dikurangkan. Andai isteri anda suri rumah sepenuh masa, alasannnya juga sama iaitu agar bebannya untuk mengemas dan membersihkan semula dapat dikurangkan juga.

Ingat! Isteri bukan tukang kemas. Isteri juga bukan tukang cuci. Ya, amalan tradisi masyarakat kita, bukan saja orang Melayu malah juga kaum-kaum lain meletakkan tanggungjawab mengemas dan membersih di bahu kaum wanita atau lebih tepat lagi para isteri. Hakikat sebenarnya, kerja mengemas dan membersih rumah dan kawasan persekitarannya adalah tanggungjawab bersama suami dan isteri bermaksud suami dan isteri perlu sama-sama menggembeling tenaga untuk melaksanakan urusan tersebut. Dalam kes dikongsikan kali ini, saya yakin penggembelingan tenaga tersebut berlaku cuma si suami merasakan isterinya terlalu mendesak.

Bagi saya pula, tiada desakan atau paksaan jika si suami benar-benar memahami maksud kemas dan bersih. Sememangnya agama malah adat dan budaya masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman menitikberatkan agar BERSEGERA dalam melaksanakan setiap urusan apatah lagi urusan berkaitan kekemasan dan kebersihan. Andai ditangguhkan, sudah pasti saki baki kerja tadi akan nampak tidak kemas, comot, tak bersih malah tak sedap mata memandang. Jika tangguhan demi tangguhan berlaku akan menyebabkan keadaan menjadi tunggang langgang dan tidak teratur maka jadilah luahan ayat popular ‘seperti tongkang atau kapal pecah’. Keadaan ini juga akan menyebabkan proses mengemas dan membersih mengambil masa yang lama, memenatkan dan lebih merimaskan.

Buat tuan yang bertanya dan individu lain di luar sana yang mungkin mempunyai masalah serupa; bersikaplah secara terbuka dan berlapang dada. Fahami dan terima tabiat baik dan mulia yang diamalkan oleh pasangan anda. Bila dah tau sikap buruk anda (dalam perbincangan ini ialah tidak suka kemasan serta merta) tidak digemari oleh pasangan anda, usahakanlah untuk berubah. Ya! Mungkin anda telah terbiasa dengan sikap menangguhkan urusan mengemas dan membersih namun peringatan saya: Jangan hipokrit mengatakan: "aku memang macam ni!" kerana 'macam' tersebut boleh menjadi macam-macam jika berkehendak! Ingat! Hendak seribu daya! Mahu seribu cara! Sikap individu memanng dibina melalui didikan, persekitaran dan kebiasaan dalam cara hidup. Namun, seperti kuih yang dibentuk melalui acuannya; bentuk kuih masih boleh diubah kan? Sama rasa, lain bentuknya! Sama jugalah dengan kita bernama manusia; juga masih boleh mengubah sikap jika ia lebih baik untuk diri dan insan yang disayangi.
 
TETAPI andai obses yang tuan maksudkan adalah lebih buruk daripada desakan mengemas dan membersih serta merta iaitu mudah berasa jijik dan kotor walau dengan perkara yang kecil dan tidak jelas atau lebih mudah dipanggil ‘penyakit was-was’; sememangnya isteri tuan perlu dirawat. ” Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 97-98 bermaksud: “Dan katakanlah: Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisik rayuan syaitan. Dan aku berlindung, ya Tuhan, dari kehadiran syaitan itu kepadaku..” Perlu dimaklumi, antara bisik rayuan syaitan ialah meniupkan rasa ragu atau was-was dalam urusan berkaitan kebersihan. Was-was bukanlah satu sikap normal atau biasa sebaliknya was-was adalah satu penyakit berbahaya dan perlu diatasi dengan segera.

Antara sebab boleh timbulnya penyakit was-was ialah jahil dalam agama, lalai dalam ibadah, terlalu berhati-hati, lemah iman di samping terpedaya godaan syaitan. Syaitan memang suka jika manusia sentiasa berasa ragu mengenai kebersihan kerana rasa ragu ini akan menyukarkan seseorang itu untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Rasa ragu juga menyebabkan seseorang terlalu obsess dengan kebersihan sesuatu yang akan membuatkannya bertindak membersih dan membersih lagi dan membersih lagi walau hakikatnya bagi pandangan manusia normal, tempat atau sesuatu itu telah sempurna bersih dan kemas. Bagi menangani penyakit was-was ini, tuan boleh ajarkan isteri untuk mengamalkan doa yang diajarkan oleh para ulama yang bermaksud: Ya Allah! Lindungilah aku daripada syaitan. Ya Allah! Jagalah aku daripada syaitan. Ya Allah!Ttolonglah aku untuk mengingati-Mu yakni sentiasa berzikir kepada-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan menambahbaikkan ibadah kepada-Mu. Ya Allah! Jagalah aku daripada tipu daya musuh-Mu yakni syaitan.”

Isteri tuan juga perlu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, banyakkan membaca al-Quran dan sentiasa memohon bantuan Allah SWT ketika diterjah dengan penyakit was-was. Antara amalan yang boleh dolakukan ketika diterjah penyakit was-was ini ialah dengan meludah ( iaitu meniup dengan sedikit ludah sahaja) ke kiri tiga kali dan berta’awwuz daripada gangguan syaitan sebanyak tiga kali (menyebut ‘auzubillahi minassyaitonir rajim). Diriwayatkan; ketika Usman bin Abil As-Tsaqafi r.a mengeluh kepada Rasulullah SAW  tentang was-was yang dialaminya, Rasulullah SAW memerintahkannya untuk meludah ke kiri tiga kali dan berta’awwuz kepada Allah SWT. Usman pun melakukan saranan Rasulullah SAW dan dengan izin Allah SWT, rasa was-was Usman hilang.

Paling penting; perlu ada keyakinan dalam diri sendiri. Berdoa sahaja tidak cukup jika isteri tuan malah sesiapa sahaja di luar sana yang mempunyai penyakit was-was ini tidak berusaha untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik. Ingat! Was-was itu puncanya daripada syaitan lantas jangan benarkan syaitan menguasai diri dan minda anda. Benarlah bersih itu tuntutan syariat tetapi bukan kebersihan atau kekemasan yang melampau dan luar biasa. Islam adalah agama yang syumul yakni sempurna tetapi mudah dan tidak menyusahkan dan sebaik-baik amalan menurut tuntutan syariat ialah pertengahan atau sederhana, bukannya melampau! Moga kita semua dapat hidup dengan aman sejahtera bersama kekemasan dan kebersihan yang menyedapkan pandangan dan menenangkan hati tanpa wujudnya tekanan tak perlu dan tak wajar.

Tiada ulasan: