18 Julai 2013

Suami bagaikan boss

Soalan DILEMA PERKAHWINAN, Mac 2012.

Suami berpangkat tinggi dan sering mengibaratkan hubungan suami isteri sama seperti bos dan pekerja di pejabat. Saya perlu hormat dalam melaksanakan arahan bos (suami). Bukankah antara suami dan isteri perlu ada rasa hormat di antara satu sama lain, bertolak-ansur, tolong-menolong dan faham-memahami?

JAWAPAN:
Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia - difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Fitrah ini milik semua makhluk bernama manusia, tidak terkecuali seorang pun walau dalam hubungan antara majikan dan pekerja apatah lagi dalam hubungan sebagai suami dan isteri.

Merujuk firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” - surah al-Rum ayat 21. Ayat ini menjelaskan hubungan suami isteri perlulah berasaskan kasih sayang dan belas kasihan yang sudah semestinya terangkum di dalamnya rasa hormat di antara satu sama lain, bertolak-ansur, tolong-menolong dan faham-memahami.

Merujuk kepada kes yang dikemukakan, berkemungkinan suami memegang prinsip dia sebagai ketua keluarga makanya isteri perlu akur dan taat tanpa sebarang rungutan dan bantahan. Memang diakui, Islam meletakkan suami berada pada status yang tinggi. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.” - Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi.

Di dalam al-Quran pula disebut: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita....” – an-Nisa’ ayat 34.

Dalam mentafsirkan hadis dan ayat ini, ulama menjelaskan kekuasaan yang diberi oleh Allah SWT itu menuntut agar seorang suami bersikap bertanggungjawab, bijaksana, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul di dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah Allah SWT bagi melayan isteri dengan sebaik mungkin. Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang.

Menjadi ketua keluarga juga bermaksud anda perlu jadi pelindung kepada isteri dan anak-anak anda. Jika anda sendiri bertindak memberikan tekanan kepada mental isteri dan anak-anak, anda telah gagal berperanan sebagai ketua keluarga. Bila suami gagal melaksanakan segala peranan tersebut, suami itu tergolong dalam kumpulan suami yang nusyuz.

Ya! Suami pun boleh nusyuz. Dalam surah an-Nisa’ ayat 128 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap  tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)”. Menurut Imam Said Hawa dalam Asas Fit Tafsir; nusyuz seorang suami bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri (tidak menggaulinya atau berkomunikasi dengannya), tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya termasuklah kurang bercakap dan bermesra dengan isteri.

Berdasarkan huraian Imam Said Hawa ini; para suami yang bersikap kasar dengan isteri, tidak suka berbincang dengan isteri, suka membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan isteri, tidak menghormati isteri, suka memerintah laksana member arahan kepada pekerja bawahan adalah tergolong sebagai suami yang nusyuz. Kenapa? Sebab Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” - hadis riwayat al-Tirmizi.

Mafhum ayat al-Quran dan al-Hadis yang saya kongsikan di atas ini adalah antara dalil dan bukti yang mewajibkan seorang suami menghormati isterinya, tanpa perlukan sebab, tak perlu juga alasan kerana akad nikah yang suami lafazkan adalah satu perjanjian untuk anda menjaga isteri dengan baik, menjaga kebajikan dan keperluan hariannya, menjaga hati dan perasaannya termasuk berkomunikasi dengan baik. Biar perkahwinan anda atas pilihan orang tua, biar tiada lagi rasa sayang dan cinta, bila dia masih bernama isteri anda, anda wajib menghormati isteri anda.

Perlu difahami! Hubungan suami isteri bukan hubungan demokrasi malah bukan juga autokrasi. Hubungan suami isteri adalah satu hubungan penuh toleransi. Perlu sama-sama menghormati malah perlu sama-sama memahami. Singkap kembali sejarah kehidupan Rasulullah SAW bersama isteri baginda. Biarpun terlalu sibuk dan kalut menyampaikan usaha dakwah, baginda masih mampu menjadi seorang suami yang romantik buat isteri baginda. Baginda memahami kehendak si isteri dan berusaha memenuhi kehendak tersebut.

Diriwayatkan daripada Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari Sudan. Katanya: “Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah r.anha) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya atau Rasulullah SAW yang berkata: Apakah kamu ingin melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” - hadis riwayat al-Bukhari.

Rasulullah SAW juga sering bergurau senda dengan para isterinya. Aisyah r.anha telah berkata yang bermaksud: “Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - hadis riwayat Abu Daud.

Dua contoh daripada begitu banyak perkara yang boleh dijadikan teladan. Fakta penting: sesungguhnya para suami wajib dan perlu melayan isteri dengan baik.

Saya yakin, isu ‘hubungan boss dan pekerja’ juga wujud kerana kegagalan puan berkomunikasi dengan baik bersama suami. Rata-rata, masalah utama komunikasi sesama setiap insan khususnya suami isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama-sama memahami akan dikecapi dan bahagia hidup berumahtangga akan dinikmati!

Tiada ulasan: