22 Ogos 2013

Suami gemar layari laman lucah

Soalan DILEMA PERKAHWINAN, majalah Pa&Ma April 2012

"Dengan kecanggihan teknologi masa kini, suami menggunakan kemudahan itu untuk melayari Internet dengan menonton laman web lucah. Ini membimbangkan kerana saya beranggapan ia boleh mengganggu kehidupan seks kami berdua."

JAWAPAN:
Berdasarkan pengalaman genap 14 tahun pada April ini dalam mengendalikan kes-kes rumahtangga, saya sempat membuat profil kes berkaitan kegemaran pasangan melayari laman web lucah atau menonton video lucah malah profil kes pasangan yang pernah melakukan onani. Berdasarkan pemerhatian saya, mana-mana individu yang gemar melayari laman web lucah atau menonton video lucah malah juga melakukan onani atau masturbasi akan gagal memberikan kepuasan kepada pasangannya tika melakukan hubungan intim malah mereka juga tidak puas tika bersenggama secara normal kerana mereka ini hanya menikmati kepuasan melalui tabiat buruk tersebut.

Kembali kepada persoalan, jelaskan kebimbangan puan memang mempunyai asas yang kukuh. Usah bimbang dianggap pentingkan seks kerana hakikatnya di dalam Islam, berjimak atau melakukan hubungan seks antara suami dan isteri termasuk di dalam perkara ibadat dan boleh mendatangkan pahala.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - hadis riwayat Muslim.

Realitinya, Islam tidak menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19.

Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka. Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka. Biarpun mempunyai mood tertentu, kehendak batin isteri tetap perlu dipenuhi ketika si isteri membutuhkan anda berbuat demikian.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Perkara ini amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Kegagalan suami memenuhi kehendak batin isteri boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Paling ditakuti, isteri mencari makan di luar. Kes-kes sebegini bukan lagi kes yang pelik atau luar biasa. Jika dulu kita biasa dengar nasihat kepada isteri supaya melayan suami dengan baik agar suami tak makan luar. Sekarang ini, bukan saja suami sebaliknya ramai juga isteri yang berani makan luar, nauzubillah!!

Malangnya, suami jarang ambil kisah sama ada isteri mau atau tidak. Malah, jika isteri perlu melayani kehendak batin suami, isteri bukan sekadar memenuhi kehendak suami tetapi isteri inginkan kehendak batinnya juga dipenuhi. Perlu diingat, tahap klimaks sesuatu hubungan intimasi antara suami dan isteri juga berbeza. Suami lebih cepat sampai ke destinasi berbanding isteri. Masalahnya berapa ramai suami yang endahkan perkara ini? Berapa ramai suami yang mengambil berat dan peduli tentang persoalan: Sudahkah aku memenuhi selera batin isteriku? Mungkin ada suami yang bertanya: Bagaimana nak tahu selera isteri dah dipenuhi atau belum?

Jawapannya mudah sahaja. Selesai hubungan, tanyalah isteri anda. Bukan sahaja suami, isteri juga perlu bertanya kepada suami, bagaimana layanan anda tadi? Ramai yang ambil mudah perkara ini. Dah selesai .... dah laaa… Anda jangan lupa, kejayaan intimasi anda adalah penentu kebahagian rumah tangga anda. Di sinilah pentingnya komunikasi. Bagaimana? Bersenda gurau sebelum intimasi dan mengambil berat kepuasan pasangan anda selepas intimasi; itulah antara bentuk komunikasi yang perlu anda praktikkan.

Paling penting, anda... sama ada suami atau isteri, perlu bersikap terbuka. Berbincanglah dengan pasangan untuk menjadikan hubungan intimasi anda sesuatu yang paling indah. Jangan jadikan intimasi sebagai satu alasan untuk anda keluar dari gerbang perkahwinan. Namun, jika masalah intimasi ini menganggu emosi anda, jangan makan luar tetapi carilah penyelesaian terbaik. Islam meletakkan jalan keluar bagi perkahwinan yang menghadapi masalah seperti ini.

Seperti dalam kes ini, puan perlu bantu suami untuk tinggalkan tabiat buruknya itu. Selami hati suami dan fahami sebab dan alasan suami gemar melayari web lucah tersebut. Ada lelaki yang rasa puas walau sekadar menonton aksi lucah kerana kegagalan si isteri beraksi menepati kehendaknya di ranjang. Lantas, usahakan untuk beraksi lebih hebat berbanding aksi yang menjadi igauan suami anda. Seks juga ada ilmu dan infonya yang tersendiri. Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh pasangan suami isteri agar anda dan pasangan anda betul-betul menikmati hubungan tersebut. Yang penting, masih benar mengikut landasan syarak.

Anda juga boleh menghalang suami anda daripada menonton web lucah tersebut. Caranya, tika anda tahu suami mula melayarinya, cepat-cepat mencelah dengan godaan dan rayuan anda hingga dia terpaut dan mengalihkan perhatiannya daripada web lucah tersebut kepada anda. Tak pandai? Jangan mengaku kalah! Setiap wanita diberikan kuasa ajaib untuk menggoda suami sendiri. Bergantung kepada anda untuk menggoda suami anda semahunya. Dia suami anda, bukan lelaki ajnabi yang haram ke atas anda lantas godalah semahunya! Boleh mulakan godaan dengan pakaian yang boleh merangsang nafsunya, kemudian mainkan jari jemari anda di tubuhnya, sentuhlah dengan lembut dan berahi beserta rayuan, pasti suami akan berahi dan mencari anda!

Suami luang masa layari internet lewat malam? Masa bukan penghalang. Jika anda benar-benar inginkan suami anda kembali ke pangkuan anda sepenuhnya, anda perlu berkorban. Jika ada bayi atau anak kecil yang perlu ditidurkan terlebih dahulu, tidurkanlah dahulu tetapi pastikan anda kuncikan jam untuk bangun semula bagi melayan suami anda. Dalam masa yang sama; jangan lupakan solat dan doa. Pastikan juga suami anda turut solat dan doa. Solat yang terjaga akan menghindarkan dirinya daripada terlibat dengan kemaksiatan sedemikian. Usahakan berserta doa dan tawakkal kepada-Nya, suami berpeluang berubah watak, insyaAllah!

Tiada ulasan: