04 November 2013

Suami berhabis duit untuk kereta

Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma, Julai 2012: "Suami saya sangat gemar berhabis duit untuk keretanya. Hal ini merimaskan kerana kadang kala dia terpaksa “meminjam” duit saya untuk perbelanjaan seharian dirinya."

JAWAPAN:

Pernah dengar seorang lelaki bujang menyebut tentang ‘isteri’nya? Pertama kali mendengar ayat tersebut daripada seorang rakan lelaki selepas tamat pengajian dulu, terpinga-pinga juga saya. Ye lah! Belum kawin dah ada isteri? Bila diperkenalkan, tersengih sendiri sebab ‘isteri’ yang dimaksudkan ialah kereta kesayangannya. Memang diakui, ramai lelaki bujang malah si gadis juga, peluang memiliki kereta idaman sememangnya seperti mempunyai kekasih hati. Segalanya sanggup dikorbankan bagi mempastikan ‘kekasih hati’ cantik, berseri dan mampu menimbulkan rasa cemburu kepada yang memerhati.

Saya yakin, suami puan termasuk dalam kategori yang saya sebutkan ini. Hakikatnya melayan kereta bak kekasih hati bukanlah satu perkara yang salah dengan syarat hobi atau tabiat tersebut tidak menafikan hak insan terdekat yang lebih berhak menerima pelaksanaan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Dalam kes puan, jelas sekali suami puan telah gagal menepati syarat tersebut.

Diriwayatkan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah SAW bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - hadis riwayat Abu Daud.

Hadis ini menjelaskan mengenai antara tanggungjawab seorang suami yang menjadi hak isterinya ialah memberikan isterinya makan dan pakaian. Meneliti luahan puan, “Hal ini merimaskan kerana kadang kala dia terpaksa meminjam duit saya untuk perbelanjaan seharian dirinya.”- nyata dan jelas suami puan telah gagal malah sengaja menggagalkan dirinya daripada melaksanakan tanggungjawab utama ini kerana tabiatnya yang lebih sayangkan ‘madu’ tak rasmi puan itu.

Saya masih beranggapan positif bahawa perkahwinan puan masih di awal masa bermaksud puan masih belum agak terlambat untuk mengubah sikap suami. Jika perkara ini dah lama berlangsung, masih belum terlambat juga asalkan puan mahu bertindak. Untuk makluman puan, rata-rata kes kegagalan suami melaksanakan tanggungjawab nafkah sebegini melibatkan isteri yang terlalu memanjakan suami di awal perkahwinan dan bila keadaan bukan lagi seperti masa-masa manis tersebut, memang sukar untuk terus memanjakan suami malah boleh mengundang tekanan perasaan.

Lantas, perkara pertama yang perlu puan lakukan ialah berbincang secara baik dengan suami dan nyatakan puan tak suka dengan hobi buruknya itu. Puan boleh merayu dan memujuk agar suami menghentikan tabiat buruknya kerana dia sekarang adalah seorang suami yang mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan segala keperluan harian puan sebagai isterinya. Keutamaan suami kini ialah isteri, bukan keretanya lagi. Suami boleh teruskan hobinya dengan syarat tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak (jika ada) dilaksanakan terlebih dahulu. Jelaskan segalanya dengan baik.

Jika pujukan dan rayuan tidak berkesan, puan boleh bertegas. Siapa kata isteri tidak boleh bertegas? Ya! Syurga isteri terletak pada keredhaan suami terhadap isteri. Itu kata hukum dan jelas. Tapi jangan lupa, hukum juga menyebut bahawa perkahwinan adalah berteraskan mawaddah iaitu kasih sayang dan rahmah. Rahmah hanya akan diperolehi apabila masing-masing pihak menjalankan tanggungjawab dan kewajipan yang ditetapkan oleh syarak bagi menunaikan hak pasangan.

Puan dan suami perlu faham! Perkahwinan bukan semata-mata kata sepakat membuktikan kasih sayang sebaliknya adalah permulaan peranan besar memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Di dalam Islam, tanggungjawab isteri yang utama adalah patuh dan taat kepada suami namun kepatuhan pula mestilah tidak melanggar kehendak syarak. Kepatuhan juga bukan bererti hingga perlu menjadi hamba kepada suami sendiri. Apatah lagi hingga dibuli dan dianiayai hak sebagai isteri. Wanita mendapat tempat yang mulia di sisi Islam. Kaum lelaki dipertanggungjawabkan untuk menjaga, memelihara, membelai, menyayangi dan mengasihi wanita. Jika suami yang telah memegang janji untuk menjaga,  memelihara, membelai, menyayangi dan mengasihi anda gagal berbuat demikian maka anda berhak bertegas untuk mendapatkan hak-hak itu.

Bertegas juga bermaksud anda tidak membiarkan suami anda mengabaikan tanggungjawabnya. Mungkin ada tikanya suami betul-betul di dalam kesusahan tetapi membiasakan membantu suami akan menyebabkan suami jadi lebih ‘liat’, tidak berusaha menyelesaikan masalah sebaliknya mengharapkan bantuan isteri semata-mata. Apatah lagi seperti kes puan, kesusahan yang dibuat sendiri atau mudahnya, sendiri cari pasal!

Selepas dibincangkan bersama, puan perlu pastikan suami melaksanakan peranan dan tanggungjawab tersebut. Senaraikan segala keperluan rumahtangga secara tetap setiap bulan dan serahkan kepada suami agar suami tahu jumlah yang perlu diperuntukkan dan pastikan gaji yang diperolehinya didahulukan untuk membiayai segala keperluan tersebut. Dicampur dengan keperluan suami untuk ulang alik bekerja. Jika ada lebihan, barulah lebihan tersebut boleh digunakan bagi memenuhi hobinya. Suami masih boleh memenuhi hobinya dengan cara mengumpul sedikit demi sedikit baki perbelanjaan keperluan keluarga. Puan perlu bantu suami bertindak sedemikian. Jangan benarkan dia terus abaikan tanggungjawabnya.

Pengalaman saya mengendalikan kes, ramai isteri ambil mudah info gaji malah perbelanjaan si suami. Tak tau jumlah gaji suami dan tak tau pula ke mana perginya duit gaji suami? Alasannya sebab isteri pun ada pendapatan sendiri. Ya! Betullah tu tapi perlu diingat, isteri bekerja tidak dinafikan haknya oleh syarak untuk mendapat pembiayaan nafkah zahir daripada suami walaupun si isteri bekerja dengan izin suami. Si suami masih wajib membiayai segala keperluan si isteri. Puan perlu fahamkan suami mengenai perkara ini.

Andai puan tak mampu berbincang atau berbicara, gunakan teknologi yang ada, luahkan segalanya melalui emel atau pun surat. Jika masih tiada perubahan, puan perlu gunakan orang tengah bagi menyedarkan suami tentang tanggungjawabnya. Dalam masa yang sama, hentikan bantuan puan! Jangan bantu dia lagi! Tak kiralah apa pun alasan atau rayuannya, jangan beri dia wang! Cara terbaik, bila puan telah berterus terang, ingatkan suami jika dia gagal penuhi permintaan puan untuk laksanakan tanggungjawab yang perlu, puan tidak akan membantu suami lagi. Kotakan kata-kata puan! Jangan sekadar permainan lisan!

Saya bukan nak ajar puan berkira tetapi dalam keadaan puan, berkira memang perlu. Selama ini puan terlalu manjakan suami. Puan benarkan suami abaikan hak puan malah membenarkan diri mengambil alih tanggungjawab suami terhadap puan dengan cara puan pula yang membiayai keperluannya walaupun sebahagian. Tindakan tersebut menyebabkan suami makin lalai dan lupa dengan peranan yang perlu dilakukan setelah bernama suami.

Puan dan suami juga perlu bijak membezakan antara keperluan dalam rumahtangga dengan kemewahan apatah lagi dengan hobi yang merosakkan. Terus terang, tabiat suami puan tika ini termasuk dalam kategori hobi yang merosakkan. Kenapa merosakkan? Kerana menjadikannya gagal dalam melaksanakan peranannya yang perlu sebagai suami dan dia sendiri tidak mampu untuk melaksanakan hobinya itu.

Usahakanlah untuk mengubah suami puan dengan menegur tindakan salahnya itu secara baik. Dalam masa yang sama, dirikanlah solat dan berdoa agar dilembutkan hati suami, jadikan suami seorang yang soleh dan bertanggungjawab. InsyaAllah, jika puan berusaha beserta doa kepada-Nya, suami boleh berubah!

Tiada ulasan: