19 Januari 2014

Isteri bimbang suami garang kepada anak


Soalan DILEMA PERKAHWINAN, Majalah Pa&Ma, Ogos 2012:

"Setiap kali anak-anak membuat kesalahan, hukumannya sangat berat. Dia juga pernah memukul mereka sehingga meninggalkan kesan yang ketara. Saya takut untuk menegur suami kerana dia terlalu sensitif. Jika boleh, saya mahu suami kembali menyayangi anak-anak seperti sediakala."


JAWAPAN:

Melakukan kesalahan atau kesilapan adalah fitrah manusia apatah lagi bagi anak-anak yang baru belajar mengenali hidup. Sebagai ibu dan bapa, anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah SWT adalah satu amanah dan tanggungjawab agar anak-anak ini dibentuk dengan baik hingga mampu menjadi seorang yang berjaya dan berguna bukan saja untuk dirinya sendiri tetapi juga buat ibu bapa dan ahli masyarakat.

Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya bersikap seperti perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Anak-anak perlu dididik dan dibimbing, boleh dihukum tetapi bukan mendera.
Lantaran itulah; syarak menetapkan pukulan dengan tujuan untuk mendidik dan mengajar berada di peringkat akhir. Dalam mendidik, Islam tentukan; mulakan dengan teguran. Setelah banyak kali teguran diberikan, pulaukan atau asingkan agar individu yang ingin dididik itu (sama ada isteri atau anak) terasa terasing yang memungkinkan dia berubah sikap. Jika keterasingan tersebut tidak berjaya mengubah sikap, barulah dibenarkan memukul. Perlu difahami, memukul juga ada syaratnya. Perlu rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Pukulan diberikan dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung.

Dalam mendidik anak-anak pula, pakar psikologi menjelaskan; seorang kanak-kanak perlu ditegur mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Sebagai contoh, melarang anak menconteng di dinding. Teguran dan larangan perlu diberikan minima 200 kali, barulah anda berhak memarahi anak tersebut. Jika anda terus marah bila anak mula menconteng; anak akan terus menconteng dan anda pula akan terus marah dan marah dan tidak mustahil, kemarahan yang tidak anda bendung akan sebabkan anda mula memukul dan pukulan demi pukulan dan jadikan anda pemukul tegar seterusnya pembelasah walaupun kepada anak anda sendiri.

Paling penting, perlu fahamkan dengan betul maksud ‘wadhribu’ dalam ayat 34 surah an-Nisa’ berkaitan pukulan untuk mendidik yang sering menjadi alasan suami atau ibu bapa. Mengikut qiyas dalam satu hadis; Rasulullah SAW melaksanakan perbuatan ‘wadhribu’ diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai memukul dalam satu riwayat apabila baginda menggambarkan rasa gembiranya dengan ‘memukul bahu’ seorang sahabat. Para ulama’ mengambil kira riwayat ini dengan menjelaskan memukul yang dibenarkan di dalam Islam tidak sampai menyakitkan apatah lagi mendera. Takkanlah Rasulullah SAW luahkan kegembiraan hingga menyakitkan sahabat?

Dalam isu memukul isteri, perlu jelas tentang tiga perkara iaitu: [1] Islam bukan menggalakkan memukul isteri, tetapi sebagai satu penyelesaian berhadapan dengan isteri yang menderhaka setelah melalui pelbagai peringkat; [2] Pukul yang dimaksudkan bukanlah seperti pukulan ahli gusti dan sebagainya tetapi pukulan yang lembut, tidak bersangatan atau pukulan isyarat; dan [3] Untuk tidak memukul adalah lebih hampir kepada sifat Rasulullah SAW.

Sama juga dalam isu memukul anak-anak. Menghukum anak-anak adalah dibenarkan, mendera tidak sama sekali. Kalau membelasah anak-anak hingga berbekas dan berbirat di badan, itu bukan menghukum tetapi mendera. Anak-anak takkan melawan malah takkan mampu melawan tetapi kesan yang anda nampak di badan mereka akan melekat di hati hingga anak tersebut dewasa. Betul kata orang tua: sayang anak tangan-tangankan! Fahami maksud tangan-tangankan! Sekadar pukulan kecil, bukan menggunakan rotan besar atau tali pinggang atau getah paip atau kerusi atau apa-apa juga peralatan lain yang memudharatkan.


Peringatan untuk diri saya sendiri, puan yang bertanya dan para pembaca semua; seseorang takkan berubah menjadi lebih baik dengan kekerasan berpanjangan. Pukulan demi pukulan hanya akan memberinya kekebalan tersendiri. Dia takkan rasa apa-apa lagi; bukan pada badannya, bukan juga pada minda dan hatinya! Lantas, jangan salah dalam menghukum kerana bimbang hukuman anda yang mendera akan jadikan anak didik anda lebih teruk, bukan saja untuk dirinya tapi boleh membahayakan diri anda sendiri.

Realitinya, terdapat tiga perkara utama yang perlu diusahakan dalam membentuk keperibadian anak-anak iaitu laksanakan komunikasi unggul, tunjukkan teladan yang baik dan paling penting; utamakan solat dan berdoa.

Komunikasi Unggul
Ramai ibu bapa yang menganggap disiplin anak-anak akan dibentuk melalui kekerasan. Hakikat sebenarnya; peribadi mulia anak-anak akan wujud hasil daripada komunikasi unggul antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa perlu sentiasa berdampingan dengan anak-anak, bercakap dengan mereka, mengambil berat mengenai setiap kehendak mereka dan jangan sampai anak-anak merasakan mereka tersisih. Sikap degil dan keras kepala si anak boleh wujud hasil daripada rasa tidak puas hati yang wujud dalam diri anak tersebut. Mereka bersikap degil sebagai tanda protes dan memberontak agar mereka diberi perhatian.

Anak perlukan kasih sayang dan belaian. Manjakan anak-anak tetapi jangan berlebihan. Belajar untuk katakan tidak bila perlu dan tepat pada masa dan keadaannya. Jika anak bersalah, jangan terus menengking marah. Praktikkan untuk menegur terlebih dahulu, jelaskan kesilapannya dan pesankan; jangan ulangi kesilapan tersebut. Pakar psikologi menjelaskan; seorang anak kecil perlu ditegur dan diperingatkan mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Selepas 200 kali teguran diberi, barulah anak tersebut boleh dimarahi.

Marah yang berpada-pada; jangan gunakan kata-kata kesat dan keras. Jiwa anak-anak terlalu lembut, mudah untuk mengingati sesuatu yang melukakan hati dan terlalu payah untuk melupakannya malah banyak kes; segala keperitan dan kepedihan yang dialami tika kecil akan diingati hingga dewasa malah paling membimbangkan; sikap tersebut diwarisi kepada anak-anaknya pula. 

Jangan biasakan memukul anak hanya kerana perkara kecil. Pukulan hanya langkah terakhir apabila teguran berulang kali diberikan dan pemulauan anak-anak dilaksanakan. Pemulauan bermaksud; pinggirkan anak tersebut seketika; tak dilayan kehendaknya, tak dibawa bersembang sama; sebagai menjelaskan anda merajuk hati dengan sikap tidak pedulinya dengan teguran anda.
Setelah teguran diberi, pemulauan dilakukan barulah pukulan boleh dilaksanakan. Itupun hanya dengan tujuan mengajar; gunakan rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Pukulan diberikan dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung. Tempat terbaik ialah di tapak kaki. Untuk makluman; pakar kesihatan mengakui, pukulan di tapak kaki membantu pengaliran darah yang sudah semestinya baik untuk kesihatan.

Teladan yang baik
Ramai ibu bapa yang bersikap seperti ketam; menyuruh si anak berjalan betul tetapi diri sendiri gagal berjalan betul. Ibu bapa sepatutnya bersikap “Walk your talk!”- tunjukkan sikap yang baik untuk anak-anak agar anak-anak boleh teladani sikap tersebut. Jika tak suka anak-anak lewat mandi, ibu bapa seharusnya mandi awal pagi. Jika tak suka anak-anak bercakap keras dan kasar, ibu bapa perlu bercakap baik dan berhikmah.

Jangan sesekali kelirukan anak-anak dengan arahan. Sebagai contoh; si ibu menegur kesilapan si anak tetapi si bapa pula memarahi si ibu. Anak akan keliru, mana satu yang betul sebenarnya? Sama juga; jangan tonjolkan sikap buruk yang telah menjadi tabiat anda kepada anak-anak. Anda tentu tahu, anak anda diajar di sekolah merokok itu tidak elok untuk kesihatan. Jika anda merokok di depan anak, mereka akan keliru dengan ajaran guru, sekaligus tidak hormatkan guru dan lebih sadis apabila mereka gagal untuk hormati anda sebagai ibu atau bapa. Penting; jika ada perselisihan faham antara anda dan pasangan anda, elakkan bermasam muka atau bertengkar di hadapan anak. Sikap keras anda akan mudah diteladani oleh mereka.

Utamakan solat dan berdoa
Sebagai individu Muslim, anda perlu mendidik agar anak anda mengutamakan solat lima waktu. Solat bukan semata-mata tanda syukur kepada Allah atau ibadat kepada-Nya sebaliknya solat adalah sebagai satu pembentukan akhlak dan disiplin yang baik. Ajar anak-anak mengaji Muqaddam atau al-Quran sejak mula, boleh diajar tika anak sudah mula berkata-kata. Ajarkan anak solat, biar tidak betul pergerakannya, pembentukan sejak usia muda akan membentuk kebiasaan agar solat bukan lagi menjadi satu bebanan. Jiwa yang menghayati solat akan terhindar daripada perkara tidak baik seterusnya melahirkan akhlak yang terpuji, insyaAllah!

Sebagai ibu bapa; sentiasa praktikkan untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Jangan biasakan kata-kata kesat dan negatif kerana ia mudah menjadi doa untuk anak anda. 

Ingatlah!!
Jika anak anda hidup dalam kekasaran, dia akan belajar melawan orang lain;
Jika anak anda hidup dalam kritikan, dia akan belajar menyalahkan orang lain;
Jika anak anda hidup dalam ketakutan, dia akan belajar jadi pengecut;
Jika anak anda hidup dalam iri hati, dia akan belajar berasa bersalah;
Jika anak anda hidup dalam kesabaran, dia akan belajar menjadi penyabar;
Jika anak anda hidup dalam galakan, dia akan belajar menjadi yakin;

Jika anak anda hidup dalam pujian, dia akan belajar menghargai;
Jika anak anda hidup dalam persetujuan, dia akan belajar menyayangi diri sendiri;
Jika anak anda hidup dalam kejujuran, dia akan belajar memahami kebenaran;
Jika anak anda hidup dalam keadilan, dia akan belajar menjadi adil;
Jika anak anda hidup dalam keselamatan, dia akan belajar menyayangi diri dan orang lain;
Jika anak anda hidup dalam kemesraan, dia akan belajar untuk menyayangi masyarakat.

Anda tentukan siapa anak anda pada masa depan....

Tiada ulasan: