29 Ogos 2008

Salam Ramadhan al-Mubarak

InsyaAllah, hari Isnin ni seluruh umat Islam akan memulakan ibadah puasa. Jika masih ada puasa yang belum diganti, masih ada masa walau agak tenat di saat-saat akhir ini.

Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Hadis ini menjelaskan kepada kita betapa Ramadhan adalah bulan rahmah dan barakah. Apakah anda telah bersedia untuk menyambut ketibaan bulan mulia ini? Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah:

1. Persediaan diri untuk berpuasa:
Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

2. Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi:

3. Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadhan.

4. Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah.

5. Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan dan tadarrus al-Quran.

6. Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat.

7. Meninggalkan sifat mazmumah iaitu sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

8. Memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Tahukah anda, ada satu riwayat menceritakan, malaikat Jibril a.s telah berdoa ketika saat menjelang Ramadhan:

"Ya Allah! Tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
2. Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
3. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah SAW pun mengaminkan doa tersebut sebanyak tiga kali.

Saya tidak pasti kedudukan periwayatan hadis ini tetapi yang penting, perkara yang disampaikan adalah perkara yang perlu diberikan perhatian. Rata-rata berpendirian, tunggu raya nantilah mohon maaf... sedangkan hakikatnya, kita semua perlu bermaaf-maafan sejak sebelum memulakan puasa lagi.

Mungkin ada yang berpendirian, anda tidak perlu memohon maaf sebab anda tidak pernah melukakan hati sesiapa. Tambahan lagi jika anda tersenarai antara yang suka bergurau atau kelakar. Bagi mereka yang berprinsip sebegini, saya nasihatkan, mohonlah juga kemaafan kerana anda tidak akan rugi apa-apa.

Manusia mempunyai pelbagai perwatakan dan perangai. Ada tikanya anda bermaksud gurauan tetapi diambil serius oleh orang lain. Ada tikanya anda merasakan ianya luahan ikhlas tetapi ada yang mengambil kesempatan daripada luahan ikhlas tersebut untuk menjatuhkan anda.

Sama-samalah kita memohon maaf sesama kita. Saya juga memohon ribuan kemaafan jika tanpa sedar, saya melukakan hati anda semua.

Semoga kita dapat menjalani ibadah Ramadhan dengan rahmat dan barakah daripada-Nya.

1 ulasan:

cikgooden berkata...

selamat berpuasa....

dan selamatkan puasa anda!

salam.