09 September 2008

Hanya Dia tahu yang terbaik

gambar terkini Afkar Sulaim diambil pagi ni sebelum saya keluar kerja.

Tika perbincangan ini disediakan, waktu sahur hampir habis. Waktu yang sama setahun yang lalu (kiraan bulan Hijrah), saya sedang menyusukan bayi saya yang baru berusia empat jam. Sehari sebelumnya, hari kelapan Ramadhan, tika hampir azan Asar, saya mula rasa sedikit kontraksi pada kandungan saya. Bila ke bilik air, saya dapati tanda-tanda akan melahirkan telah ada. Suami dah mula kecoh tetapi saya yakinkan padanya, bayi saya hanya akan keluar selepas tengah malam nanti, insyaAllah. Bukan kerana memiliki ilmu kedoktoran sebaliknya pengalaman melahirkan dua cahayamata sebelum ini memberikan saya pengetahuan tersebut.

Saya membatalkan puasa saya dan jamah sedikit nasi sebagai bekalan tenaga untuk saya bersalin malam nanti. Selepas selesai solat Maghrib, saya dan suami bergerak ke rumah seorang rakan sekerja yang juga rakan sepengajian di UM dulu cuma berbeza pengkhususan (dia pengkhususan Ekonomi). Ayuni Syafiqah dan Azfar Suhail kami tinggalkan di sana, kesian pulak nak bawa ke hospital. Tika itu, tiada orang lain bersama kami yang boleh diharapkan untuk menjaga mereka di rumah.

Tika menerima pemeriksaan doktor, bukaan baru jer 2cm. Kontraksi pun tak terasa sangat. Doktor nasihatkan saya agar kembali semula ke rumah kerana menurutnya, saya hanya akan bersalin petang esok atau paling cepat pun, tengahari esoknya. Saya berkeras enggan balik ke rumah kerana saya yakin, saya akan bersalin selepas tengah malam nanti. Bukan melawan cakap doktor tetapi pengalaman saya melahirkan kedua-dua anak saya sebelum ini cukup meyakinkan saya. Anak sulung saya lahir di dalam kereta di pam minyak nombor empat, stesen minyak Petronas Sungai Perak arah utara. Anak kedua pula, disambut oleh jururawat di hujung katil kerana tidak menyangka saya akan bersalin cepat - saya dah cakap baby nak keluar tapi jururawat kata tak :)

Mendengar penjelasan saya, doktor benarkan saya tinggal di wad walau di mulut, dia masih pertahankan pendapatnya. Hampir jam 11.30pm, saya dimasukkan ke wad. Suami pulang mengambil anak-anak di rumah rakan setelah saya selamat berada di katil saya. Selepas tengah malam, lebih kurang jam 12.45, saya mula rasakan kontraksi, makin lama semakin kuat dan kerap. Jam 1.15 saya panggil jururawat bertugas. Setelah diperiksa bukaan 6cm. Saya minta dibawa ke bilik bersalin segera. Jururawat mengikut permintaan saya.

Sampai di bilik bersalin, segala peralatan berkaitan disediakan. Doktor yang sama memeriksa saya sebentar tadi, memeriksa saya sekali lagi. Terngiang-ngiang lagi cakapnya; “Akak ni degil la, saya dah cakap belum masanya, akak degil. Ni takkan nak tunggu jer kat sini.” “Alahai!! Aku yang sakit atau kau yang sakit.” Jawapan tersebut hanya keluar dalam hati. Saya hanya diam dan berdoa agar Allah SWT memudahkan saya bersalin dan menyelamatkan saya dan bayi saya. Setelah segala peralatan disiapkan, tiga jururawat bersama saya keluar, meninggalkan saya bersendirian di bilik tersebut. Kontraksi saya makin kerap dan kuat.

Tiba-tiba saya rasa baby cam nak keluar, segera saya tekan butang memanggil jururawat. Seorang jururawat masuk dan tanyakan kenapa? Saya cakaplah saya rasa baby dah nak keluar. Jururawat mengherdik; “lambat lagi lah Kak.” Saya diam. Dia keluar semula. Jam 1.32am. Tak lama, sekali saya rasakan kontraksi yang kuat, dah terasa baby memang nak keluar sangat dah. Sekali lagi saya tekan butang memanggil jururawat. Jururawat yang sama masuk; ‘Kenapa dengan akak ni? Lambat lagi lah, sabar lah sikit.” Ya Allah!! Agaknya Kau izinkan aku bersalin sendirian lagi seperti kelahiran anak keduaku." Itu yang saya fikirkan tika itu. Jam 1.37am. Saya hanya berdoa dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Tak lama, sekali lagi saya rasakan kontraksi yang kuat. Jam 1.42am. Saya hanya melafazkan Allah berulang kali sambil meneran. Bila terasa kepala bayi dah di luar, saya tekan butang memanggil jururawat. Tak pasti siapa yang masuk sebab mata saya pejamkan sambil meneran, yang kedengaran hanya suara; “Ya Allah!! Kak, kepit dulu Kak, kepit!! Woi! Cepatttt, tolongg niii!!” terasa paha saya dirapatkan dan terdengar lebih banyak suara dan bunyi peralatan besi berkerincing. Dalam sekelip mata, saya dah rasa bayi saya keluar sepenuhnya. Sungguh, telinga saya menangkap bunyi tangisan pertama bayi saya. Walaupun saya mengalami banyak luka yang perlukan jahitan (dek kerana jururawat merapatkan kaki saya ketika bayi dah mula keluar), saya tetap bersyukur kerana saya dan bayi saya selamat. Ada rakan-rakan yang menyarankan saya menyaman sahaja mereka yang buat perangai tu tapi bagi saya, yang penting saya dan bayi saya selamat.

Alhamdulillah, hari ini bayi saya berusia setahun mengikut kelendar Hijrah (tarikh bulan Masihi jatuh pada 21hb September). Hidup saya tambah ceria dan bahagia dengan kehadirannya walau hakikat sebenarnya, saya tidak mengharapkan kelahirannya. Sungguh, ketika mendapat berita saya hamil lagi buat kali keempat (kandungan ketiga gugur ketika usia tiga bulan pada awal Januari 2006), memang agak sukar saya menerimanya. Bukan tak suka tetapi saya tidak bersedia.

Tidak seperti ketika mendapat berita mengandungkan anak-anak sebelum ini. Saya memang merancang sendiri (tidak mengambil pil kerana memberi kesan kepada ‘pembesaran’ tubuh saya seperti kes selepas bersalinkan anak kedua) kerana saya tidak yakin saya bersedia menambahkan anak dalam tempoh terdekat. Rutin kerja saya sebagai Instructional Designer di sebuah syarikat multimedia yang kerap kali juga terpaksa bekerja lebih masa di samping kerjaya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, memerlukan saya memberikan komitmen yang tinggi. Tambah lagi kedua-dua anak saya makin membesar, juga memerlukan perhatian sepenuhnya daripada saya.

Saya memang tidak bersedia untuk mempunyai anak lagi. Hanya kepada Allah SWT saya berserah, memohon yang terbaik. Hampir dua minggu saya memujuk hati. Tika itu, hanya Dia tempat saya bersandar harapan. Saban waktu saya berdoa: "Ya Allah! Aku tidak mengharapkan kandungan ini. Jika anak ini tidak memberikan masalah yang besar kepadaku, aku redha dengan kehadirannya dan bukakan pintu hatiku untuk menerimanya. Jika anak ini bakal menyusahkan masa depanku, aku rela jika kandungan ini gugur ya Allah!!" Itulah doa saya sepanjang melepasi trimester pertama kehamilan malah sebahagian trimester kedua. Saya berhenti berdoa sedemikian ketika usia kandungan lima bulan apabila satu hari saya terlibat di dalam kemalangan jalan raya (motosikal saya dilanggar oleh sebuah Kenari- saya memang selesa bermotosikal jika bergerak ke mana-mana tanpa anak-anak). Perlanggaran yang tidak kuat tetapi cukup untuk menghumbankan saya ke tepi jalan. Saya jatuh terhempas dan terlentang ke tanah. Motosikal menghempap kaki saya.

Sungguh Allah Maha Kuasa, kejadian tersebut tidak menjejaskan langsung kandungan saya malah doktor yang memeriksa sukar mempercayai saya terlibat di dalam kemalangan tersebut. Syukurlah terdapat luka-luka di tangan dan lebam di bahagian kaki bagi membuktikan saya tidak menipu. Kejadian tersebut memberikan keyakinan kepada saya, bayi saya ditakdirkan untuk bersama saya dan sejak itu, saya berdoa agar bayi saya selamat dilahirkan dan menjadi anak yang soleh/solehah dan membahagiakan saya sekeluarga.

Alhamdulillah hingga detik ini, Afkar Sulaim (bermaksud daya fikir yang tinggi menyempurnakan orang lain) tidak pernah memberikan masalah kepada saya. Bukan sahaja ketika membesarkannya, tetapi juga tika bersalin dan hamil. Malah, ramai juga rakan sekerja (berlainan bahagian) yang tidak perasan saya hamil kerana saya sentiasa sihat dan cergas tambah faktor fizikal yang menolong saya menyembunyikan kandungan saya.

Syukur kepada Allah, segala perasaan yang saya alami ketika awal kehamilan dulu, tidak menggganggu saya tika ini. Saya diberikan peranan untuk mengatur sendiri jadual kerja saya (sebagai Pengurus antara projek syarikat) dan saya berjaya memperolehi pembantu yang amat sayangkan anak-anak saya, tak perlu risau lagi tentang keselamatan mereka ketika saya keluar bekerja.

Kenapa saya ceritakan semua ini? Kerana saya mahu anda semua di luar sana melakukan yang serupa. Sentiasa menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang berlaku di dalam hidup anda kerana hanya Dia lebih tahu yang terbaik untuk anda.


Tiada ulasan: