14 Oktober 2008

Ziarah di Aidil Fitri

Kita masih berada dalam suasana hari raya... masih ramai yang mengadakan rumah terbuka dan ramai juga yang mengatur jadual bergilir-gilir memenuhi undangan. Namun, ada juga yang tidak ambil pusing tentang ziarah di Aidilfitri ini. Malah, ada yang bertanyakan, perlu ker ziarah?

Saya lampirkan soalan-soalan berkaitan yang ditanyakan kepada saya oleh seorang wartawan bagi rencana mengenai ziarah di Aidilfitri yang khabarnya, akan disiarkan di dalam akhbar harian semasa cuti raya (saya tak berksempatan membelinya).

1. Bagaimana kita, sebagai pihak berwajib dan ibu bapa harus mendidik anak-anak supaya menziarahi keluarga atau saudara mara, sedangkan dalam zaman serba maju hari ini, masyarakat, terutama golongan muda tidak lagi mahu menghayati erti Syawal sebenar. Ini dapat dibuktikan bahawa amalan ziarah menziarahi sesama saudara, sahabat handai dan jiran tetangga misalnya, tidak lagi dianggap sebagai satu keperluan atau kewajipan.

Jawapan:
Jalan terbaik bagi mengatasi masalah golongan muda yang gagal menghayati erti Syawal yang sebenar, bermula dari rumah mereka sendiri. Ibu bapa adalah orang yang paling dekat dan paling layak menasihati golongan muda ini agar meneruskan amalan ziarah-menziarahi yang diamalkan sejak sekian lama malah dituntut oleh Islam.

Malangnya, ada ibu bapa sendiri yang tidak mempraktikkan amalan ziarah ini. Sebab itulah golongan muda tidak berminat untuk melakukan amalan tersebut. Malah, ada sesetengah ibu bapa yang malu dan enggan membenarkan anak-anak kecil beraya menziarah saudara dan jiran tetangga, bimbang dikatakan menyuruh anak-anak mengutip duit raya. Pendapat sebegini adalah salah. Sepatutnya, anak-anak diajar terus menziarahi saudara dan jiran untuk saling bermaafan dan mengeratkan persaudaraan. Jika ada yang memberikan duit raya, tak salah nak terima tetapi kalau tak ada, jangan meminta. Pesan sedemikian kepada anak-anak, bukan menghalang terus anak-anak daripada menziarah.

Ada juga yang berasa sayang nak keluar daripada rumah kerana bimbang terlepas cerita menarik yang ditayangkan di kaca televisyen. Sikap sebegini sepatutnya boleh dikikis sekiranya kelebihan amalan menziarah itu diketahui dan diambil peduli.

2. Adakah ia disebabkan sikap sombong, pentingkan diri sendiri atau berlagak sehingga amalan turun-temurun ini tidak lagi dihayati.
Jawapan:
Mungkin juga ada kesan daripada sikap sombong, pentingkan diri sendiri atau berlagak tersebut tetapi penyebab paling utama ialah kelebihan amalan menziarah yang gagal dihayati oleh pihak terlibat. Ada yang beranggapan, amalan menziarah adalah untuk bermaaf-maafan dan mereka ini berpendapat, mereka tidak melakukan kesalahan kepada jiran atau saudara tersebut maka tidak perlu lah menziarah. Hakikatnya, menziarah bukan sekadar untuk bermaaf-maafan sebaliknya untuk mengeratkan silaturrahim. Malah, setiap daripada kita digalakkan untuk saling bermaaf-maafan walaupun anda rasa tidak melakukan kesalahan kerana ada tikanya, kita terlupa kesilapan kita. Malah, mungkin bagi kita tidak ada apa-apa yang bersalah atau menyakiti orang lain sebaliknya bagi orang tersebut, kita telah bersalah. Ingat!! Dosa sesama manusia takkan diampunkan oleh Allah selagi manusia tersebut tidak memaafkan kesilapan anda.

Jika kelebihan ini dihayati bersama, insyaAllah amalan ziarah akan segar semula.

3. Adakah ia kesilapan remaja itu sendiri? Ini kerana, remaja hari ini lebih mementingkan kebebasan, dlm erti kata lain lebih gemar ke pusat beli-belah pada Hari Raya pertama.
Jawapan:
Seperti yang telah saya katakan di awal tadi, peranan paling penting wajib dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik generasi muda menyukai dan mengamalkan amalan menziarah. Jika ibu bapa gagal membentuk anak-anak menyukai amalan menziarah dan membiarkan anak-anak remaja berpeleseran di pusat membeli belah, ibu bapa juga harus dipersalahkan dan bukan hanya golongan remaja.

Mungkin ada ibu bapa yang tidak tahu tabiat buruk anak-anak. Tak boleh nak salahkan ibu bapa? Tak juga sebab ibu bapa memang memegang tanggungjawab mendidik anak-anak daripada usia bayi. Bayi yang lahir adalah umpama kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika corak anda corak batik, takkan nak jadi abstrak pula. Setiap ibu bapa perlu ambil tahu ke mana anak-anak pergi, dengan siapa anak anda berkawan malah segala pergerakan anak-anak anda perlu berada di dalam pengetahuan anda.

Bukan mengongkong tetapi apabila anak-anak tahu dirinya sentiasa diawasi, dia akan lebih berhati-hati untuk melakukan sesuatu yang tidak anda sukai.

4. Nyatakan prinsip ziarah-menziarahi saudara mara atau sahabat handai dlm Islam?
Jawapan:
Sebenarnya amalan ziarah-menziarahi saudara mara atau sahabat handai amat dituntut dalam Islam. Seseorang Muslim itu tidak akan sempurna imannya sekiranya dia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka.

Di dalam satu hadis yang bermaksud: “Dari Abi Hurairah ra katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” – hadis riwayat al-Bukhari.

Amalan ziarah atau kunjung mengunjung merupakan satu wasilah atau cara mengerat dan mengukuh tali silaturrahim sesama kita. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks perpaduan ummah. Amalan ziarah juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Jelasnya melalui amalan ziarah ini akan terbentuklah satu ikatan yang dinamakan hubungan silaturrahim.

Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturrahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat yang kuat, umat yang berjaya, umat yang tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”. Sebaliknya umat Islam itu bersaudara, saling kenal mengenal, bantu membantu antara satu dengan yang lain.

Pengertian silaturrahim dalam Islam amat luas serta amat mendalam. Contohnya, bila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturrahim, tidak kira di mana mereka berada, apa bahasa mereka, apa warna kulit mereka dan sebagainya. Pendek kata semua orang Islam adalah bersaudara dan berada dalam akidah yang satu seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertaqwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.”

Melalui amalan menziarah juga, hubungan sesama manusia menjadi erat dan bertambah akrab. Ini disebabkan asal kejadian manusia dari keturunan yang satu iaitu dari keturunan Nabi Allah Adam as. Dengan sebab itulah Islam mengajak manusia supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain, hormat menghormati, saling bekerjasama dan faham memahami sepertim firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia sesungguhnya kami telah ciptakan kamu lelaki dan perempuan dan telah kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang paling takwa di antara kamu.”

Jelas sekali, Islam menganjurkan agar ujarnya saling kenal mengenal kerana kesannya amat baik untuk perpaduan umat Islam sendiri. Jalan terbaik bagi saling mengenal ialah menziarah.

5. Aktivit berkumpul, adakah ia satu kemestian yang perlu dilakukan masyarakat hari ini. Cthnya: berkumpul saudara-mara sambil melalukan aktiviti spt membuat ketupat, lemang dll.
Jawapan:
Sewajarnya amalan berkumpul dan bekerjasama tersebut dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat. Selain dapat bekerjasama membuat persediaan menyambut raya, perkara yang paling penting ialah konsep tolong menolong yang dianjurkan oleh Islam. Malah, melalui kerjasama ini hubungan silaturrahim sesama umat Islam, sesama jiran dan saudara mara akan dapat dijalin dan dikekalkan.

6. Adakah remaja hari ini jauh berbeza dengan remaja dahulu. contoh terdekat, saya sendiri pada zaman kanak-kanak dahulu, tanpa perlu menunggu tibanya Hari Raya, saya akan dibawa ibu bapa berkunjung ke setiap rumah saudara mara atau jiran tetangga. Manakala setiap kali Syawal tiba, kami akan berkumpul dan kemudiannya bergilir-gilir `menyerbu' setiap rumah sambil bermaaf-maafan serta menikmati hidangan seperti ketupat, lemang, rendang dan bahulu.'
Jawapan:
Dulu, kini dan selamanya, konsep hari raya adalah sama. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk meneruskan amalan mulia setiap kali hari raya tersebut, atau tidak.

7. Peranan ibu bapa?
Jawapan:
Ibu bapa wajib menerapkan amalan menziarah di kalangan anak-anak. Sewajarnya ibu bapa mengajak anak-anak bersama-sama menziarah. Seperti yang biasa saya dan adik-adik lakukan, kami akan keluar beramai-ramai bersama Mak dan Bapa menziarah sanak saudara. Ada tikanya, kami kenal dengan saudara yang sebelum ini tak pernah jumpa. Masa inilah Mak dan Bapa akan mengenalkan kami sesama sendiri.

8. Bagaimana usaha untuk mengembalikan budaya sebegini agar berterusan sehingga ke generasi anak cucu kita nanti.
Jawapan:
Antaranya: Pihak berwajib boleh mengadakan kempen dan penerangan tentang kelebihan menziarah. Ibu bapa perlu menanamkan amalan menziarah di dalam diri anak-anak. Rancangan menarik di televisyen pula hanya ditayangkan pada malam hari bagi memberi peluang kepada anak-anak muda yang lebih gemarkan hiburan, melakukan amalan menziarah pada waktu siang hari.


Ayuni bersalaman dengan Bapa saya di pagi raya

Suhail bersalaman dengan Mak saya di pagi raya

Kanak-kanak menerima duit raya drpd Bapa saya (tak masuk ke rumah sbb kami dah kat luar nak bergerak ke rumah Tok (nenek) saya

Kami sekeluarga (Mak, Bapa dan kami lapan beradik bersama pasangan dan anak masing2) bergambar bersama Tok (bertudung putih -duduk) dan Wan (berbaju biru-duduk). Tok dan Wan adalah Mak dan Bapa kepada Mak saya. Tok dan Wan sebelah Bapa dah kembali kpd-Nya. (tiada di dalam gambar, adik saya Suzalina - sbg jurukamera)

Rakan sepengajian semasa sekolah menengah di Madrasah Infitah Khairiah atau lebih dikenali sbg Sek. Arab Sik - Latifah bersama suami dan anak2nya yang berkunjung ke rumah Bapa saya pd hari raya kedua

2 ulasan:

ummihurairah_83 berkata...

indah nian sebuah hubungan kekeluargaan..
mana satu suami puan..saya terintai-intai..
terima kasih atas segala tinta puan..saya menyukainya.. :)

Suzana Ghazali berkata...

Salam Ummi Hurairah;

Buat pertama kalinya saya dan anak-anak tidak beraya bersama suami sbb raya kali ni, suami terpaksa balik ke Sarawak. Kami balik ke Kedah pada 26hb dan suami balik ke Sarawak pd 28hb... sbb tu suami sy tak der dlm foto2 tersebut.

Terima kasih atas sokongan anda...