23 Jun 2009

Bapaku Idolaku

Dah lepas dua hari, sambutan hari Bapa berlalu tapi saya tetap nak sediakan perbincangan yang juga merupakan luahan hati khusus untuk bapa saya tercinta, Ghazali Ebramsa.

Sungguh, seperti tajuk topik saya kali ini, Bapa saya adalah idola saya, penyokong dan pendokong kuat saya di dalam setiap perkara yang saya lakukan di dalam kehidupan ini. Bapa menyokong bukan dengan perkataan mendorong atau kata-kata pujian melambung tinggi sebaliknya setiap ayat yang Bapa lafazkan, penuh makna yang mendalam. Paling penting, memberikan semangat, motivasi dan keyakinan kepada saya.



Paling penting juga, Bapa tak pernah merendah-rendahkan saya atau adik-adik saya juga malah sepanjang 35 tahun mengenali Bapa, Bapa terlalu mudah untuk membantu orang dan terlalu cepat untuk memaafkan orang lain. Pernah satu tika dulu, saya tegur sikap Bapa yang boleh berlembut dengan seorang manusia yang bagi saya masa tu (awal 20-an) bertopengkan syaitan, sanggup menuduh dan memfitnah Bapa yang bukan-bukan hingga mencemar air muka dan harga diri Bapa. Tapi, bagi Bapa.... tak perlu nak aibkan orang lain, kalau kita jaga aib orang lain walaupun orang itu buka aib kita hatta dengan fitnah sekali pun, Allah tetap tau dan akan jaga juga aib kita bukan saja di dunia, malah akhirat. Sungguh, akhirnya manusia tersebut yang teraib dengan tindakannya sendiri.



Bapa juga terlalu sederhana. Saya masih ingat ayat hikmat Bapa; kita manusia ni macam sebuah kereta. Tak guna kalau badan kereta cantik dengan segala aksesori sebaliknya enjin tak elok, maka kereta akan selalu rosak dan meragam. Bermaksud, tak perlu nak tampilkan diri hebat bergaya sebaliknya mempunyai hati yang busuk dan jahat. Paling penting juga, kata Bapa; kita kena ukur baju ke badan sendiri. Jangan nak meniru orang lain, tak selesa jadinya. Jadilah diri kita sendiri asalkan segala perlakuan dan tingkah laku kita masih benar dan berada di landasan yang diredhai-Nya.

Bapa saya kini pesara guru. Dulu, tika bersekolah, Bapa ke sekolah membawa beg sekolah dan beberapa beg berisi kuih untuk dijual. Bapa anak seorang penarik beca tapi alhamdulillah, Bapa dan seorang abang serta adik-adiknya yang lain, berjaya dalam kehidupan mereka. Bapa pernah katakan kepada saya dan adik: Dulu, Wan (bapa kepada Bapa saya) kerja penarik beca, alhamdulillah Bapa berjaya jadi cikgu (Bapa saya pencen sebagai Guru Besar pada tahun 2006). Bapa harap, Bapa dah kerja sebagai cikgu, anak-anak Bapa boleh la lebih daripada Bapa.


Bapa saya tak mendesak dan tak juga menghalang. Kata-katanya yang lembut tetapi tegas, betul-betul memberikan semangat kepada kami adik beradik. Saya masih ingat, tika saya gagal dalam satu subjek tika peperiksaan tahun pertama di UM, saya betul-betul hilang semangat. Tiga hari saya asyik menangis, sedih dan kecewa tambah lagi memikirkan kegagalan saya memberikan contoh terbaik untuk adik-adik sekaligus menghampakan Bapa dan Mak. Pada hal, saya gagal dengan markah 84% tetapi disebabkan tidak menjawab soalan wajib, saya dikira gagal dalam subjek tersebut tetapi berpeluang untuk mengambil semula subjek tersebut.
Tak terfikir dah peluang kedua, saya hanya tahu menangis kerana kecewa. Hari ketiga saya asyik merintih kat ruang tamu, Bapa saya balik dari kerja (tika itu sebagai Penyelaras Pusat Kegiatan Guru, Sik). Melihat keadaan saya, Bapa bercakap satu ayat yang cukup memberi bekas kepada saya hingga sekarang: Bapa tak sangka, ini anak Bapa yang dulu.... Ya!! Sebelum itu saya seorang yang kuat semangat, saya akan usahakan apa juga hingga berjaya. Bagi saya hanya satu: Lakukan hingga berjaya walau apa juga cara. Tapi dek kerana gagal satu subjek??? Sungguh, ayat tersebut memberikan saya kekuatan dan Alhamdulillah, dengan dorongan, semangat dan kepercayaan yang sama Bapa berikan kepada saya dan adik-adik, saya berjaya hari ini, adik-adik saya juga punya kerjaya pilihan sendiri dan dua adik saya yang masih belajar: seorang kini di UITM kos mechanical engineering dan yang bongsu bakal daftarkan diri dalam jurusan perubatan 1hb Julai ini.


Kami tak bijak tapi kami punya Mak, walau seorang suri rumah tapi cukup mengambil berat tentang pendidikan malah Mak adalah guru al-Quran kami. Kami punya Bapa, yang sentiasa memberikan ruang dan peluang serta keyakinan kepada kami untuk melakukan apa sahaja, asalkan tidak menyalahi hukum syarak.
Sungguh... saya bangga menjadi anak Bapa... Bapa!!! Bapa lah idola dan sumber inspirasi saya.

2 ulasan:

asilahmuhajer berkata...

tahniah kerana berjaya menjadi anak yg baik

Catwoman berkata...

Salam Akak Suzana....

Salam perkenalan dan persahabatan.
Sy selalu mengikuti ruang Resepi Hidup yg Akak kongsikan dlm Mingguan Wanita.

Banyak info yg berguna dlm ruangan tersebut, terutamanya mengenai kehidupan berumahtangga. :)