Jumaat 30hb Julai, usai tugasan saya di Astro Awani, saya bergegas pulang ke rumah, berkemas mana yang perlu untuk balik ke kampung, selepas Ayuni dan Suhail balik dari sekolah. Sibuk itu ini, selepas zohor barulah kami bertolak meninggalkan bumi Selangor menuju ke utara. Dalam hati, hanya satu hasrat saya, tak sabar nak jumpa dengan Sulaim.
Lebih kurang jam 6.07pm, kereta saya berhenti di depan rumah Bapa. Adik saya Suzalina dah menjenguk di muka pintu, bersama dengan Sulaim. Segera saya dapatkan Sulaim. Saya peluk Sulaim. Saya sayang Sulaim. Sulaim juga sama, memeluk saya erat, kedua-dua kakinya melingkar di pinggang saya, kemas seolah-olah tak nak lepaskan saya. Pelukannya juga erat dan kemas, tak pernah saya rasa pelukannya yang sebegitu. Dia cium saya di pipi berulang kali. Mengalir air mata saya...
Itulah kerinduan seorang anak.... dan juga kerinduan seorang ibu.... Pertama kali saya berpisah dengan Sulaim dalam tempoh masa yang lama, 2 minggu. Sebelum ini, tak pernah saya berpisah dengan anak-anak sebegitu lama kecuali penghujung 2006, juga lebih kurang 2 minggu bila Ayuni mengikut Mak dan Bapa saya kembali ke kampung. Walaupun Ayuni dah pun hampir 4 tahun masa tu dan saya ada Suhail bersama saya, kerinduan kepada Ayuni tetap ada. Sama seperti kerinduan kepada Sulaim baru-baru ini. Saya luahkan kepada Mak. Jawab Mak mudah: dah jadi Mak, macam tu la....
Saya faham maksud Mak. Dulu, saya selalu bising bila Mak risaukan tentang saya atau tentang adik-adik yang jauh di mata. Tika dah bekerja dan berkeluarga sendiri, baru ja sampai balik ke rumah sendiri, Mak dah tanya lagi, bila nak balik kampung pulak? Ya!! Mak rindu. Rindu pada anak-anak. Bapa juga. Kata Mak, kalau nak tengok Bapa makan bertambah, bila Mak dan Bapa datang ke rumah saya atau adik-adik ataupun kami balik ke kampung.
Hati ibu, hati bapa... biar usia makin lanjut, biar anak-anak makin dewasa, kasih sayang dan kerinduan kepada anak-anak tetap sama dan tak pernah berubah. Sedih bila ada ibu bapa yang ditinggalkan kesepian oleh anak-anak. Berpeluang berjumpa dengan anak-anak setahun sekali. Ada kes, 2,3 tahun sekali baru boleh jumpa dengan anak-anak. Bayangkan betapa seksanya hati si ibu dan si bapa menanggung rasa rindu yang tak terhingga kepada anak-anak.
Kerinduan mendalam yang saya lalui baru-baru ini membuatkan saya mengambil satu keputusan yang tak pernah saya terfikir untuk melakukannya sebelum ini... saya akan meninggalkan bumi KL dan Selangor, tempat saya menimba ilmu dan mencari rezeki sejak tahun 1992. Saya akan kembali untuk menetap di Kedah (insyaAllah di Sungai Petani), agar lebih dekat dengan Mak dan Bapa saya.
Kebetulan, Mak dan Bapa tinggal sendiri sekarang, adik-adik sedang mencari impian dan cita-cita masing-masing dan sebagai anak sulung dan bekerja sendiri, saya yakin, keputusan yang saya ambil adalah yang terbaik untuk saya sekeluarga dan untuk Mak dan Bapa saya juga.
Ya Allah.... Kau mudahkan segala urusanku... amiinnnn!!!
2 ulasan:
Alhamdulillah dapat balik ketempat asal. seronok kan dapat jumpa ibu dan ayah selalu. walaupun kita sering dimarahi, tetapi kasih sayang ayah dan ibu yang diberikan selama kita hidup menyebabkan anak-anak tetap hemoi. bahasa orang kedah ja faham.
alhamdulillah kan su..sesungguhnya janji ALLAH itu pasti..Yag penting kita yakin akan kekuasaanya..Dan tlh terbukti skrg..wlu di mana Su sekalipon...klu dh ditakdirkan rezeki kita...pasti jd milik kita...ALL THE BEST SU....Guna kan sega la anugerah yg ada utk menjadi hamba yg di sayangi- Nya....aminnnn...
Catat Ulasan