Saya adalah peminat ruangan puan dalam majalah mingguan wanita dan saya berasal dari Brunei ingin mengajukan beberapa soalan berkaitan dengan hal rumahtangga.
Persoalan saya seperti berikut:-
1) Adakah seorang isteri yang mencadangkan perceraian sulh kerana tidak sanggup berpoligami dan mengakui tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, masih berhak menuntut nafkah muta'ah sedangkan perceraian itu adalah kehendak dan kemahuan isteri?
2) Saya pernah terbaca di dalam internet ( tetapi saya lupa laman web nya ) bahawa tuntutan nafkah muta'ah itu hanya wajib di tuntut sekiranya perceraian itu bukan disebabkan isteri? Dalam kefahaman saya jika isteri yang menuntut dan mencadangkan perceraian beerti tidak berhak menuntut muta'ah, Adakah hal ini benar, tolong penjelasan.
3) Sekiranya suami mempersetujui cadangan perceraian sulh dari pihak isteri adakah suami masih boleh menggunakan cerai secara khuluq?
4) Apakah pandangan puan mengenai isteri yang menuntut cerai daripada suami dengan alasan tidak sanggup berpoligami.
Saya benar-benar berharap segala persoalan saya ini mendapat maklum balas dari pihak puan dengan seberapa segera , saya tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.."
-----------------------------------------------------------------------------------
Di atas adalah petikan satu emel yang dikirimkan kepada saya tika awal Aidilfitri dulu. Seperti yang pernah saya maklumkan, saya tidak mempunyai masa khusus untuk menjawab persoalan anda melalui emel. Lantaran, ada emel (sekarang ni dah penuh dengan mesej peribadi tru Facebook plak) yang ambil masa yang lama untuk saya balas atau saya beri maklumbalas melalui blog atau ruangan Resipi Hidup. Malah, saya akui, ada emel-emel yang tak dibalas atau diberi maklumbalas disebabkan kes-kes serupa dah banyak yang saya bincangkan. Jalan terbaik, hubungilah PA saya di talian 013-2545965 (call or SMS) dan tetapkan temujanji. Anda boleh berjumpa terus dengan saya atau bercakap melalui telefon TAPI PERLUKAN TEMUJANJI TERLEBIH DAHULU.
Kes dikemukakan melalui emel di atas mendapat perhatian saya untuk diberikan maklumbalas melalui blog ini memandangkan kes yang diutarakan adalah persoalan yang boleh dikongsi dengan ramai orang di luar sana. Kepada Puan pengirim emel, berikut jawapan saya berdasarkan persoalan yang Puan kemukakan:
1) Adakah seorang isteri yang mencadangkan perceraian sulh kerana tidak sanggup berpoligami dan mengakui tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, masih berhak menuntut nafkah muta'ah sedangkan perceraian itu adalah kehendak dan kemahuan isteri?
JAWAPAN: Perkara yang perlu dibetulkan di dalam soalan di atas ialah 'nafkah mut'ah'. Untuk makluman, nafkah dan mut'ah adalah dua perkataan dan perkara yang berbeza. Nafkah adalah perkara yang wajib diberikan oleh suami dalam tempoh perkahwinan dan selepas diceraikan, nafkah dalam tempoh eddah juga wajib diberikan oleh suami kepada isteri kecuali bagi kes isteri yang disabitkan nusyuz. Mut'ah pula bukan nafkah sebaliknya pemberian saguhati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak. Jika isteri yang tuntut cerai dan diceraikan oleh isteri tetapi alasan dan punca perceraian adalah daripada pihak suami, isteri tetap berhak menuntut untuk dapatkan mut'ah dan terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk menentukannya. Selain faktor penyebab perceraian, mut'ah juga diambil berdasarkan susah payah yang dihadapi oleh isteri ketika hidup bersama dengan suami dalam tempoh perkahwinan. Dalam kes Puan, jika Puan mempunyai sejarah menghadapi kepayahan hidup bersama suami, berkorban demi kerukunan hidup bersama suami dan mungkin dengan pengorbanan tersebut memungkinkan suami Puan bersedia untuk berkahwin lagi, Puan boleh menuntut hak mut'ah tersebut walaupun bercerai secara baik dan atas kehendak Puan. Tuntut adalah satu usaha, lampirkan bukti-bukti yang menyokong dakwaan Puan dan selebihnya berdoa dan serahkan kepada-Nya...
2) Saya pernah terbaca di dalam internet ( tetapi saya lupa laman web nya ) bahawa tuntutan nafkah muta'ah itu hanya wajib di tuntut sekiranya perceraian itu bukan disebabkan isteri? Dalam kefahaman saya jika isteri yang menuntut dan mencadangkan perceraian beerti tidak berhak menuntut muta'ah, Adakah hal ini benar, tolong penjelasan.
JAWAPAN: Telah dijawab bersama dengan soalan pertama.
3) Sekiranya suami mempersetujui cadangan perceraian sulh dari pihak isteri adakah suami masih boleh menggunakan cerai secara khuluq?
JAWAPAN: Jika kes perceraian sulh telah didaftarkan, suami Puan perlu berikan alasan yang kukuh untuk membatalkan kes dan memulakan kes baru (khuluq). Walaupun begitu, Puan berhak untuk menentang tuntutan khuluq yang dikemukakan oleh suami dengan alasan-alasan yang kukuh.
4) Apakah pandangan puan mengenai isteri yang menuntut cerai daripada suami dengan alasan tidak sanggup berpoligami?
JAWAPAN: Jawapan yang saya berikan ini bukanlah berdasarkan pandangan saya sebaliknya berdasarkan hukum syarak. Secara jelas, poligami diharuskan oleh syarak dengan hikmahn yang tersendiri, bukan sahaja kepada suami sebaliknya kepada isteri juga. Namun, tidak semua lelaki layak berpoligami. Jika suami Puan tergolong dalam kategori lelaki yang layak, mampu serta boleh berlaku adil, Puan tidak boleh mengenepikan kelayakan suami Puan hanya dengan alasan Puan tidak sanggup berpoligami.
Hukum talak sama ada suami memberi atau isteri menuntut, pada asalnya adalah harus, tetapi hukum harus ini boleh berubah mengikut keadaan kes. Talak boleh menjadi wajib sekiranya perkahwinan gagal mencapai hikmah dan tidak boleh dpulihkan lagi atau tidak ada tanda-tanda boleh diperbaiki atau diselamatkan. Talak juga menjadi wajib jika suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.
Hukum talak adalah haram jika menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haid atau hamil atau ketika suci tetapi baru disetubuhi. Walaupun haram tetapi talak tetap jatuh. Hukum talak adalah sunat jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin. Hukum talak adalah makruh dan boleh membawa kepada haram jika menceraikan isteri atau isteri menuntut cerai tanpa sebab yang munasabah menurut syarak.
Tidak sanggup berkongsi kasih bukan alasan yang munasabah berdasarkan syarak sebaliknya berdasarkan emosi dan hukum menuntut cerai dalam keadaan tersebut adalah haram berdasarkan satu hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” -riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.
Lantas, mohonlah petunjuk-Nya dan sentiasa berdoa mohon yang terbaik dan percayalah, Allah SWT tidak akan menganiayai hamba-Nya. Wallahua'lam....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan