26 Januari 2010

Jangan biar benci bercambah

“Jika satu hari nanti anak saya 'membuang' ayahnya, saya harap orang ramai tidak menyalahkan mereka kerana mereka terlebih dulu 'dibuang' ayah sendiri,” katanya. Ayat yang saya boldkan di atas ini adalah petikan kata-kata seorang wanita yang masih bernama isteri dan semestinya akan kekal sebagai seorang ibu, kepada wakil sebuah akhbar tempatan, semalam. Saya yakin ramai yang tahu tentang ayat keramat ini sebab saya terjumpa banyak komen berkaitan dikemukakan di Facebook. Tak mustahil, ramai yang memanjangkannya ke kumpulan emel masing-masing.

Saya yakin, ayat keramat di atas menjadi perbincangan hangat disebabkan kebelakangan ini, kes buang ayah dah mula popular. Daripada komen-komen berkaitan, ramai yang menyuarakan tentang hukum karma, what you give you get back dan pelbagai reaksi yang secara tersiratnya, mengikut pandangan saya secara peribadi, seakan-akan menyokong fenomena seperti ini berlaku.

Kalau dikutkan, memang padan lah dengan muka si ayah yang membuang anaknya satu masa dahulu yang menyebabkan kini, si ayah pula dibuang oleh anaknya sendiri. Bagi ibu tunggal yang diceraikan suami ataupun ibu tinggal yang bekas suami atau suami hilang tanpa khabar, mungkin bersetuju 100% dengan kenyataan si ibu di dalam kes yang saya kemukakan di awal tadi.

Saya hormati pendapat anda! Namun, saya membantah keras pendapat tersebut! Maafkan saya! Saya bukan tak faham malah saya faham sangat-sangat. Seperti yang saya pernah maklumkan, saya juga adalah ibu tunggal yang diceraikan oleh suami yang enggan bekerja dan kini, tika perceraian bakal menyambut ulangtahun kedua pada awal Mac nanti, saya bersendirian menjaga, membesarkan, mendidik, melayan dan macam-macam lagi rutin wajib seorang ibu termasuk rutin wajib seorang bapa iaitu menyara tiga orang cahayamata berusia dua tahun hingga tujuh tahun. Sungguh! Saya faham sangat kekalutan, ketegangan, kerisauan, kepenatan malah tekanan yang dialami.

Satu perkara yang pasti, biar apa pun emosi yang kita sebagai ibu alami, jangan sesekali wujudkan rasa benci kepada ayah sendiri di dalam diri anak-anak. Mungkin ada kes si anak menyaksikan penderitaan yang dialami oleh si ibu menyebabkan rasa benci kepada si ayah wujud. Jika itulah keadaannya, menjadi tugas utama seorang ibu untuk mendidik anak-anaknya agar memaafkan kesilapan dan kesalahan si ayah. Pesankan juga, jangan sesekali diulangi kesalahan dan kesilapan tersebut. Pesankan juga, jangan putus mendoakan agar si ayah berubah sikap dan menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab satu hari nanti.

Kenapa perlu dipesan semua itu? Sebab hukum syarak pasti: setiap anak wajib hormatkan ibu dan bapa! Nak kata 'uh' pun dilarang sama sekali, ini kan pula sikap-sikap tidak baik seperti tidak pedulikan ibu bapa atau membuang mereka terus.

Terus terang, bekas suami saya dah lama tak hubungi anak-anak. Nak bagi nafkah memang jauh sekali sebab kerja dia pun tak menentu. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak disaman di mahkamah? Boleh ja nak saman tapi di dalam kes saya, menyaman bekas suami sebab gagal memberikan nafkah bukan yang terbaik disebabkan dia sendiri tidak bekerja tetap. Jika disaman kemudian dipenjarakan, akan lebih memudharatkan keadaan. Sebab itulah, saya mengambil langkah berlembut tapi tegas. Saya balas SMS bekas suami tika tanyakan khabar anak-anak dengan satu pesanan: kalau sekadar bertanya khabar melalui SMS yang sah-sah saya akan baca, tiada gunanya. Perceraian antara kami tidak memutuskan hubungan dia dengan anak-anak. Bererti tanggungjawab sebagai Abi tetap perlu dilaksanakan: beri nafkah, kasih sayang dan perhatian! Kalau tak nak beri semua tu, baik tak perlu SMS sekadar tanya khabar.

Mungkin marah dengan SMS tersebut, sejak lepas raya puasa ari tu, hingga kini tiada lagi khabar daripadanya. Ulangtahun kelahiran Ayuni pun tidak diberi ucap selamat. Saya yakin, Ayuni faham bila saya jelaskan, mungkin Abi sibuk bekerja sebab tu lupa nak ucapkan birthday!!

Alhamdulillah, hingga kini anak-anak tak benci Abi. Malah baru-baru ni ja, Mak saya tanyakan kepada Suhail yang memang lebih rapat dengan Abi, tak nak jumpa Abi ker? Suhail jawab, nanti bila Abi datang, Bang Chik jumpa la!!

Saya takkan halang. Jika itu yang berlaku satu hari nanti, silakanlah bertemu. Sebab saya tak nak anak-anak yang saya cintai menjadi anak yang derhaka. Biar Abi tidak menjalankan tanggungjawabnya sebelum ini, bukan bererti anak-anak boleh lupakan Abi begitu sahaja. Anak-anak takkan lahir ke dunia ini hanya dengan ada ibu atau ayah sahaja. Perlukan ibu dan ayah untuk satu kelahiran bermakna!

Darah ibu atau ayah yang mengalir dalam diri si anak, tidak boleh dinafikan biarpun si anak tidak dijaga atau diasuh oleh ibu atau bapa mereka. Manusia bersalah dan mereka yang bersalah berhak dimaafkan walau mereka masih belum memohon maaf! Kita yang masih waras dan sedar mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu mereka yang bersalah ini agar segara sedar dan kembali ke jalan yang benar dan diredhai Ilahi. Cara paling mudah ialah berdoa, berdoa dan terus berdoa.

Saya nak tanya kepada para ibu semua; nak ke anak yang kita didik dengan penuh kasih sayang menjadi anak derhaka? Walau bukan kepada kita tetapi jika si anak bertindak biadap kepada si ayah mereka yang tidak pedulikan mereka selama ini, ia tetap dikategorikan sebagai anak derhaka! Nauzubillah!!

Tolonglah!! Saya merayu kepada semua ibu; jangan biarkan kebencian bercambah! Jangan benarkan anak-anak kita hidup dalam emosi benci. Kebencian akan mewujudkan dendam. Malang lagi jika dendam yang disimpan diluahkan kepada bukan yang sepatutnya. Kajian membuktikan, kes keganasan rumahtangga dan penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada kebencian dan dendam yang disimpan sejak kecil.

Kata-kata hikmah yang tidak b0leh dinafikan lagi: tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia! Kita sebagai ibu yang bertanggungjawab ke atas peribadi anak-anak pada masa depan, atas peranan dan tanggungjawab yang patut sebagai seorang anak, juga sebagai seorang ibu dan ayah bila tiba masa anak-anak memegang status itu nanti.

Rayuan saya: jangan panjangkan kebencian! Ajarkan kemaafan! Berikan anak-anak ketenangan fikiran, penuhi dada mereka dengan ilmu dan iman, insyaAllah, mereka akan menjadi anak yang soleh kepada kita juga bekas pasangan kita. Mungkin kita tidak ditakdirkan bersama di dunia namun tidak mustahil, berkat usaha dan doa bersama, satu keluarga akan kembali bersama di akhirat nanti, insyaAllah!!

4 ulasan:

alihassan berkata...

Saya setuju dengan pendapat puan. Ini kerana saya adalah salah seorang yang pernah mengalami hidup tanpa mendapat kasih sayang seorang bapa. Saya cemburu dengan rakan sebaya yang punya ayah .Ibu dan ayah berpisah tika saya berumur setahun, tapi ibu tak pernah menceritakan keburukan ayah dan sering mengingatkan saya agar menjenguk ayah bila saya pulang bercuti
Kini ayah dah tiada , saya tetap terasa kehilangan beliau dan saya tak akan lupa mendoakan beliau bila habis solat. Ini kerana dendam hanya akan membuatkan kita menjadi insan yang tidak berterima kasih akan nikmat yang Allah berikan .

ahliacikgukhairul berkata...

Salam ziarah.. saya setuju dgn artikel puan.. walau mcm mana teruk pun ibu atau bapa kita.. mereka tetap ibu bapa kita dan lebih baik dari kita.. bala akan diturunkan jika kita membenci ibu bapa kiter sendiri.. nauzubillah.. mudahan Allah beri petunjuk dan hidayahNya pada kita semua.. InsyaAllah

ayu johani berkata...

Salam puan,
Hanya beberapa hari yg lalu, baru saya terbaca artikel puan dlm MW 24-30 July 2009 bertajuk "Usah Gadai Hak Sendiri". Hati saya tak sedap lepas baca artikel ini.....adilkah bila perkahwinan kedua itu harus didaftarkan just so that isteri kedua boleh menuntut haknya????

What if selama ini, harta (walaupun tak banyak) yang selama ini terkumpul, adalah dengan isteri pertama? Sama-sama melalui pahit getir, senyum tawa, susah senang, bersama dah hampir 20 tahun.....tiba-tiba satu hari suami katakan dia nak cuba sesuatu yang baru, tinggalkan kerja yg selama ini amat diminati, in & out of the country ever so often, sebulan sana sebulan sini, isteri tinggal seorang uruskan semuanya, bills, sekolah anak, semua ini, sambil manyapu airmata kerinduan yang amat sangat pada suami tercinta.

Tahu-tahu satu hari isteri pertama dapat tahu, suami ada orang baru............dan hanya beberapa bulan kemudian, orang baru dah jadi isteri kedua...tak tahu lah betul ke tidak, wallahualam.......

& all these, while si suami tu tak bekerja (dah setahun), dan dengarnya si isteri kedua pun sudah diberhentikan kerja....

Jadi puan, adilkah? Adilkah jika apa-apa berlaku pada si suami (minta dijauhkan Allah, krn suami masih amat dicintai oleh isteri pertama), jika si isteri kedua dibenarkan untuk menuntut sesuatu yang bukan miliknya in the first place?

Artikel di atas membuatkan saya teruja untuk check out blog puan....maka terjumpalah saya satu lagi artikel di blog puan, "Poligami & Payung Emas" 10/08/2009 di mana puan ada katakan bhw pendapat payung emas ini adalah "...pendapat yg salah & tidak benar......." & kemudiannya, artikel ini membawa saya kpd satu artikel lain di laman "Resipi Hidup Bersama Suzana" di mana artikel "Hak Isteri Dlm Poligami" 22/07/2009 ada mengatakan "....ingatlah janji yang Allah berikan, sebuah payung emas menanti anda di Syurga."

Saya jadi makin bingung puan....hikmah poligami? Ada ke hikmahnya? Apa dia? & payung emas- betul ke atau hanya kata manis sang suami utk dapat lampu hijau pasang lagi satu? & keadilan....wujudkah ia puan?

Yang Amat Menderita,
chevy_mummy@yahoo.com.sg

(Maaf krn pendapat yg panjang-lebar ini)

BEE AGENCY berkata...

mulia sungguh hati ibu ini...semoga saya boleh jadi semulia dia...