05 Januari 2012

Suami berat tulang

Persoalan DILEMA PERKAHWINAN, Majalah Pa&Ma, Mac 2011.

"Suami saya sejak awal berkahwin sememangnya sangat berat tulang dalam membantu saya menguruskan rumah tangga. Saya tertekan dengan sikapnya itu. Apakah bernas kata orang, sikap pemalas yang dimiliki suami saya berasal daripada didikan ibunya sewaktu kecil?"

JAWAPAN:

Pepatah Melayu ada menyatakan; bagaimana acuan begitulah juga bentuk kuihnya. Tapi ramai yang terlupa, ada tikanya kuih yang dibentuk oleh acuan tak kekal bentuknya disebabkan adunan bahan yang ada tidak tepat menyebabkan bentuk berubah terus berbeza daripada acuan. Sama jugalah dengan sikap dan tingkah seseorang. Bererti; tidak semestinya sikap malas suami yang enggan membantu kerja-kerja seorang isteri di rumah bermula dari sikap si ibu yang tidak membentuk anaknya agar rajin membantu.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan, cara hidup masyarakat Melayu sebenarnya membentuk situasi sebegini; bukan semata-mata asuhan ibu. Masyarakat Melayu mendidik agar anak perempuan bertumpu di dapur sementara anak lelaki dengan kerja-kerja luar rumah. Amalan tradisi ini diperjuangkan tanpa sedar turun temurun dan kini tika anak perempuan mula menjejak luar rumah, kebanyakan anak lelaki masih tidak disuruh malah tidak dibenarkan ke dapur.

Biar pun itu tradisi dan adatnya; bukan menjadi sebab untuk seorang suami enggan atau malas membantu isteri melaksanakan kerja-kerja di rumah. Setiap individu yang menjejakkan kaki ke dunia perkahwinan perlu faham dan maklum mengenai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di dalam perkahwinan. Mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian yang menjadi tugas rutin seorang wanita sebenarnya bukanlah tanggungjawab seorang isteri. Ulama menjelaskan; seandainya seorang lelaki mengambil gadis atau wanita dari rumah yang mempunyai pembantu rumah maka si suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah bagi membantu isterinya yang biasa dibantu dalam melaksanakan kerja-kerja rumah.

Bezanya; segala kerja yang sinonim dengan wanita yang sebelum ini dikhususkan untuk tinggal dan menetap di rumah sahaja – jika dilakukan akan menjadi bonus kepada suami malah isteri sendiri kerana mampu menambah kasih sayang suami kepada isteri. Satu perkara yang menukarkan bonus ini kepada wajib dilakukan ialah apabila pekerjaan ini disuruh oleh suami setelah segala kelengkapan bagi menyelesaikan tugasan tersebut disediakan oleh si suami. Sebagai contoh; jika suami belikan beras, ikan, sayur dan kelengkapan memasak yang lain kemudian suami perintahkan agar isteri memasak maka tika ini, isteri wajib memasak dan jika engkar, isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz.

Kembali kepada permasalahan kali ini; ada benarnya pendapat tersebut tetapi tidak tepat. Seperti huraian saya di awal jawapan; sikap sebenar seseorang bergantung kepada individu itu sendiri. Biarpun terdidik dengan cara ibu yang tidak biasakan anak lelakinya ke dapur tetapi jika si lelaki tersebut sedar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul selepas memasuki gerbang perkahwinan, tiada alasan wajar yang boleh dipegang lagi.

Setiap individu perlu sedar, di dalam sesebuah perkahwinan terdapat tiga siri tanggungjawab iaitu tanggungjawab tersendiri seorang suami, tanggungjawab tersendiri seorang isteri dan tanggungjawab bersama suami dan isteri. Tanggung tersendiri seorang suami ialah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumahtangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.

Tanggungjawab tersendiri seorang isteri pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormatkan suami dan menyenangkan hati suami. Tanggungjawab bersama suami isteri pula ialah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta bersama-sama menguruskan rumahtangga.

Dalam perkahwinan yang hanya melibatkan suami sahaja bekerja sementara isteri pula suri rumah sepenuh masa, wajarlah si isteri mengambil tugas menguruskan rumahtangga ketika si suami pula keluar mencari pendapatan keluarga. Tika waktu hujung minggu pula; sama-samalah bekerjasama menguruskan rumah. Bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja; wajarlah jika sama-sama mengembeling tenaga untuk menguruskan rumahtangga tika sama-sama kembali ke rumah atau cuti di hujung minggu.

Sebenarnya, perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan. InsyaAllah jika sejak mula anda telah biasakan suami anda membantu anda, takkan ada masalah lagi di belakang hari. Masalahnya, ramai isteri yang nak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia nak buat, suami nak tolong tak dibenarkan. Bila dah lama, dah ada anak atau anak-anak, suami yang dah terbiasa ‘order saja’, sukarlah nak ubah perangai. Saya faham dan tahu niat baik anda, nak jadi seorang isteri yang solehah. Jadilah, saya tak larang malah saya sokong tapi kenalah bijak mengatur cara.

Lantas, kepada isteri yang masih baru memasuki gerbang rumahtangga, jangan manjakan suami anda dalam kerja-kerja rumah. Terus terang, saya sendiri tika awal perkahwinan, jarang sangat nak hidangkan minuman untuk suami kecuali jika kami minum bersama. Kebiasaannya, saya hanya akan sediakan minuman dan tinggalkan di dapur. Saya akan beritahu suami, nanti kalau nak minum, dia akan ambil sendiri. Tika awal perkahwinan pula, kami belum ada mesin basuh baju. Jadi, kami sepakat untuk cuci baju sendiri. Memasak pula, ada gilirannya hinggakan suami yang hanya tahu goreng telur dadar, dah pandai masak kari dan sambal.

Saya bukan ‘queen control’ tapi sebagai seorang isteri yang bekerja, saya perlu lakukan semua itu. Alhamdulillah, agaknya sebab suami pun dah biasa daripada awal, dah tak banyak la kerenahnya. Ye lah, awal-awal kahwin masih tinggi cintanya, takkan nak melenting dek kerana kena buat kerja-kerja rumah. Padahal semua kerja-kerja tu adalah kerja-kerja biasa yang juga dilakukan oleh seorang lelaki bujang kan? Ingat!! Mempunyai isteri bukan bermaksud anda mempunyai pembantu rumah.

Cara paling baik nak minta suami tolong anda ialah dengan meminta suami menemankan anda melakukan kerja-kerja tersebut. Sebagai contoh, ketika sama-sama penat sampai ke rumah daripada tempat kerja, ajaklah suami temankan anda di dapur untuk memasak. Mungkin suami anda akan mengelak sebab nak rehat sambil membaca akhbar atau menonton televisyen. Jangan marah dulu. Pujuk dengan lembut. Anda boleh cakapkan ada cerita menarik yang anda nak kongsi dengannya ketika itu juga. Jika itu alasan anda, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.

Jika anda nak lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat di mana suami anda berada, selalunya sebelah malam di depan televisyen lah kan. Dalam anda melakukan kerja-kerja tersebut, luahkan rasa penat anda dan luahkan juga keseronokan anda jika suami anda dapat membantu. Jika suami masih pura-pura tak dengar, tika inilah anda perlu cakap terus terang, minta suami anda membantu anda. Nak minta suami bantu anda pula, kenalah secara berhikmah. Ingat!! Jangan mendesak atau mengarah!! Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan “tolong” dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Kalau guna perkataan tolong tapi dengan nada yang keras, takkan berkesan. Bimbang nanti anda pula ditempiknya.

Kepada isteri yang telah terbiasa melakukan segalanya seorang diri, jangan bimbang. Anda boleh mulakan daripada sekarang. Cara paling baik, luahkan hasrat hati anda yang pasti seronok jika suami dapat bantu anda uruskan rumahtangga seperti pasangan lain yang dah bersama melakukannya. Bila nak luah? Kata orang, masa paling baik ialah selepas sama-sama menyelesaikan hajat batin. Belai rambutnya, mainkan jari-jari di badannya dan cakaplah dalam nada suara yang lembut, mendayu dan merayu. Gunakan kuasa memikat anda sepenuhnya sampailah suami mengaku ‘YA’ akan tolong anda. Jika malam pertama gagal, cuba lagi malam esoknya dan jangan putus asa. Dalam masa yang sama, berdoa minta Allah lembutkan hati suami. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama, sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu, dapat juga lah sesekali anda beristirehat.

Kepada para suami, tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insyaAllah akan bertambah semarak cinta.

Tiada ulasan: