Suami sudah lama tidak memberi nafkah batin kepada saya. Sebelum ini dia memberi alasan penat dan masa tidak sesuai. Setelah berlaku krisis baru-baru ini, dia menjelaskan alasan sebenar nafkah batin tidak diberi kerana mahu mengajar. Saya keliru kerana kenyataannya itu seperti saya melakukan kesalahan besar sedangkan saya sendiri tidak pasti apa silap saya padanya.
JAWAPAN:
Sebelum
saya ulas mengenai kes yang puan kemukakan, saya nak kongsikan dua dalil naqli.
Pertamanya, satu hadis sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan
kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya:
Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak)
maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua
jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan
mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang
halal, pasti dia mendapat pahala.” - hadis riwayat Muslim.
Satu
dalil lagi, firman Allah SWT yang
bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang
kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati
mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau
mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan
mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu
mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” – surah
al-Nisa’ ayat 34.
Kedua-dua dalil ini merupakan antara dalil-dalil yang ada yang sesuai untuk saya kongsikan bagi menjawab persoalan kali ini. Merujuk kepada kes yang dikemukakan, mungkin sebahagian pembaca berpendapat: “Tak perlulah nak kecoh bila suami tak nak berikan nafkah batin. Dah suami tak nak, duduk diam-diam sudah. Tak kena cerai atau tak kena bermadu sudah cukup baik.” Percayalah! Pendapat sebegini bukan saja anda boleh dengar daripada pembaca lelaki tetapi juga terbit daripada mulut atau paling tidak pun dalam minda pembaca wanita termasuk yang bernama isteri.
Kedua-dua dalil ini merupakan antara dalil-dalil yang ada yang sesuai untuk saya kongsikan bagi menjawab persoalan kali ini. Merujuk kepada kes yang dikemukakan, mungkin sebahagian pembaca berpendapat: “Tak perlulah nak kecoh bila suami tak nak berikan nafkah batin. Dah suami tak nak, duduk diam-diam sudah. Tak kena cerai atau tak kena bermadu sudah cukup baik.” Percayalah! Pendapat sebegini bukan saja anda boleh dengar daripada pembaca lelaki tetapi juga terbit daripada mulut atau paling tidak pun dalam minda pembaca wanita termasuk yang bernama isteri.
Sebab? Tak ramai yang tahu, intimasi atau seks
atau hubungan suami isteri itu adalah hak bersama suami dan isteri. Bukan
sekadar melayani kehendak batin suami semata-mata tetapi seks yang halal di
dalam sesebuah perkahwinan, adalah untuk memenuhi kehendak batin suami dan
kehendak batin isteri juga. Anda tentu ingat salah satu tujuan dan hikmah
perkahwinan ialah untuk memenuhi kehendak batin seseorang. Seseorang ini
termasuklah isteri, bukan suami semata-mata. Rata-rata perkahwinan, bila memperkatakan
tentang intimasi, yang tergambar hanyalah isteri berhak memenuhi kehendak batin
suami.
Sementelah
pula, tak ada hadis atau ayat yang jelas mengatakan suami wajib memenuhi
kehendak batin isteri, tidak seperti banyaknya nas yang menjadi dalil betapa
isteri wajib memenuhi kehendak batin si suami. Tidak ada nas yang jelas ini
bukan membuktikan bahawa Islam menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak
ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di
dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya, ayat 19 surah an-Nisa’ yang
bermaksud: Gaulilah mereka dengan baik…
Ayat
ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami
perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya.
Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani
kehendak batin mereka menepati selera mereka. Saya yakin, ramai yang sedia
maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak
batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu
inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin
isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri
tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.
Biarpun
begitu, perbezaan kehendak si isteri berbanding si suami ini bukan menjadi
alasan untuk si suami membiarkan sahaja si isteri tanpa diberi hak nafkah
batinnya. Islam amat mengambil berat mengenai kehendak batin si isteri. Kenapa?
Kerana seorang isteri hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menyempurnakan
kehendak batinnya. Berbeza dengan suami, jika tak lagi ‘berselera’ dengan
isteri yang ada, suami diberikan pilihan untuk mempunyai isteri baru yang dapat
memenuhi hajatnya. Lantaran, Rasulullah SAW mengiangatkan para suami dalam
sabdanya yang bermaksud: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin
dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak
menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai
klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan
tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.
Malah para ulama’
melabelkan seorang suami yang sengaja enggan melayan kehendak batin isterinya
sebagai seorang suami yang nusyuz. Ya! Suami pun boleh jatuh disabitkan nusyuz.
Dalam surah yang sama ayat 128 pula Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan
nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi
kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik
(bagi mereka)”. Menurut Said Hawa dalam mentafsirkan ayat ini,
seorang suami yang nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang
dirinya daripada isteri (tidak menggaulinya atau berkomunikasi dengannya),
tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya
termasuklah kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang
telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau
ingin mencari yang lain. (Asas
fi at-Tafsir)
Kembali
kepada kes; perkara penting yang perlu puan lakukan ialah berbincang hati ke
hati dengan suami. Puan perlu dapatkan penjelasan mengenai kesilapan puan
hingga dihukum sedemikian. Benarlah sekarang ini suami puan melaksanakan saranan
dalam ayat 34 surah an-Nisa’ tapi tak adil kepada puan kerana pertuduhan kepada
puan tidak dinyatakan malah kesalahan belum disabitkan. Dah namanya manusia,
semua orang tak sempurna. Manusia dijadikan berpasangan sebagai suami dan
isteri untuk saling menyempurnakan. Dalam hubungan suami isteri, kesilapan
pasangan perlu dinyatakan. Bukan hanya diam kemudian tidak bertegur sapa
kemudian meminggirkannya tanpa belaian, pelukan, sentuhan atau aksi asmara.
Jika
suami jenis yang sukar dibawa berbincang ataupun sukar untuk menjelaskan,
dapatkan bantuan pihak ketiga berupa kaunselor perkahwinan agar masalah yang
membenak di minda suami dapat diluahkan. Ada jenis suami yang enggan bercerita
tetapi cerita itu akan terbit juga bila diasak secara lembut oleh kaunselor,
insyaAllah. Andai jelas dan nyata ada kesilapan dalam tingkah laku puan;
usahalah untuk memperbaiki diri. Mohon peluang daripada suami malah suami
memang wajib memberikan peluang tersebut seperti maksud firman-Nya dalam ayat yang
sama mengenai hukuman yang suami laksanakan kepada puan: “Kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu
mencari-cari jalan untuk menyusahkannya”.
Penting untuk puan dan para pembaca semua maklumi juga,
ayat 34 surah an-Nisa’ ini tentang cara yang perlu dilakukan oleh suami di
dalam mengajar isteri yang enggan menurut cakap suami agar menurut perintah
Allah SWT. Bukannya cakap suami yang mengikut emosi sendiri dan menyimpang
daripada suruhan dan larangan Allah SWT. Haram bagi si isteri mentaati suami
jika suruhan atau larangan si suami bertentangan dengan perintah Allah SWT.
Buat para isteri; belajarlah mengenai hak anda kerana
anda juga punyai hak dalam perkahwinan. Saya mohon kepada para suami, agar sentiasalah
membaca dan belajar tentang cara Rasulullah SAW mengendalikan rumahtangga
baginda kerana baginda adalah contoh tauladan yang terbaik. Firman Allah SWT
yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, bagi
kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi
orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari
akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati Allah sebanyak mungkin (di
waktu susah dan senang).” – surah al-Ahzab: 21.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan