05 Januari 2013

Kembali percaya


Soalan Dilema Perkahwinan, Disember 2011

Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati untuk mempercayai kembali suami yang pernah curang? Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.

JAWAPAN:

Sebelum saya kupas persoalan kali ini, ingin saya menarik perhatian para pembaca semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak boleh delete masuk recycle bin kemudian delete terus langsung payah nak dicari semula. Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Saya akui, memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.

Saya pernah kongsikan; usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca dari satu sumber iaitu minda anda. Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut. Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.

Saya faham, memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri. Di dalam agama kita sendiri, Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup kita. Semua maklum, cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh eddah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumahtangga.

Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain. Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.

Rasulullah SAW, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.

Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insyaAllah. Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda. Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.

Pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan. Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?

Malah, hakikatnya tak perlu melupakan segala kisah lama yang menderitakan anda untuk anda kembali mempercayai pasangan dan memulakan sebuah kisah baru.  Tekad dan berazamlah untuk betul-betul memulakan hidup baru. Jangan sesekali ungkit kisah lama, teruskan hidup anda dengan kisah baru, pengalaman baru tetapi belajar daripada kesilapan lama. Masih payah nak kembali percaya? Takkan payah jika anda benarkan diri anda untuk percaya!

Tak boleh juga? Itu bukan kata anda tapi kata emosi anda yang dihasut dek syaitan dan nafsu yang ada di dalam diri anda. Ingatlah! Syaitan memang suka jika perkahwinan yang halal musnah. Lantas, bila emosi diganggu, kepercayaan diberi mula timbul ragu, ucapkanlah zikir mengingati Allah agar hati segera tenang, segera berserah dan mohon bantuan-Nya agar mahligai dibina akan kembali bercahaya, ceria, bahagia dan dirahmati-Nya hingga ke akhirat!

4 ulasan:

Mama Rizqi berkata...

assalamualaikum...
sy sedang mengalami situasi ini.. sy sedang cuba membina kepercayaan terhadap suami sy. tp semakin sy cuba, perasaan syg itu semakin hilang.. sy nk memberi peluang tp sy tkt disakiti lagi...

Unknown berkata...

Salam pn...sy pernah berkali-kali melalui situasi ini..malahan sy tiada sesiapa yg blh sy kongsikan masalah sy,krn sy tidak mahu org lain tahu masalah rmh tngga sy. Bila ingin mencari seseorg yg pakar sprti pn dlm bidang ini,sy tidak mempnyai pengalaman berjmpa pakar kaunselor..sedangkan sy amat memerlukan seseorg seperti pn untuk menyuntik semangat utk sy bangun dn trus kuat dlm meneruskn kehidupan ini..Pn,bagaimana agaknya sy blh berhubung dgn pn agar pn dpt membantu sy memulihkn semangat sy semula.

Suzana Ghazali berkata...

Pn Suzana, rujuk info yg ada kat blog ini utk prosedur khidmat bersama saya ye..

Take me as who I am. berkata...

Saya 2 kali dikhianati suami. Kepercayaan dan peluang kedua yg saya berikan dimusnahkannya, dengan ppuan yang sama. Selama setahun mereka menipu saya, mengambil kesempatan atas keadaan saya yang terikat dgn urusan rumahtangga menguruskan anak2 pagi petang. Sedangkan jika suami mahukan teman utk berhibur, saya selalu ada utk menemani krn saya tidak bekerja. Namun suami memilih wanita lain, seorg ibu tunggal anak 3 yg faham tentang derita kecewa rumahtangganya gagal namun masih sampai hati melakukan perkara yg sama terhadap wanita lain...hmmmm. Dek krn skandal mereka, saya keguguran 2 kali krn tekanan perasaan hingga tpaksa rujuk kpd unit psikitri Hospital Sg Buloh. Hingga kini setelah 4 tahun berlalu, saya masih terkial2 utk membina kepercayaan terhdp suami namun sikap suami langsung tidak membantu, ditambah lg dgn ppaun itu juga masih bekerja di tempat yg sama. Saya ingin hidup bahagia yg mana saya rasa saya mampu melakukannya jika tidak krn anak2 yg 'mengikat' saya masih berada dlm kemurungan selama 4 tahun ini...saya benar2 helpless hinggakan saya selalu berdoa agar Allah 'menjemput' saya awal agar segalanya akan terlerai. Sesungguhnya hidup dlm perkahwinan yg sudah 'tawar' amat2 menyiksakan perasaan seorg isteri yg tiada lelaki lain dlm hidupnya selama berbelas2 tahun.