Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma, Januari 2012:
"Sebulan
selepas bernikah, isteri saya hamil. Kemudian kami menimang cahaya mata. Sejak bergelar suami, saya tidak pernah dilayan
seperti yang selayaknya. Sejak hamil, isteri sibuk dengan kehamilannya. Kini,
dia sentiasa sibuk melayan anak. Ini membuatkan saya lama-kelamaan menjadi
bosan dengan sikapnya yang lupa pada tanggung jawab sebagai isteri."
JAWAPAN:
Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya
sebagai manusia iaitu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian,
diberi sokongan dan dipercayai. Fitrah ini sama sahaja kepada semua tak kira
dia lelaki atau wanita. Meneliti hikmah perkahwinan pula, isteri
bertanggungjawab untuk membahagiakan si suami malah si suami juga
bertanggungjawab untuk membahagiakan si isteri. Biarpun akad perkahwinan di
dalam Islam tidak memperincikan mengenai kesanggupan untuk meneruskan hidup
dalam susah senang bersama-sama seperti lafaz ijab dan qabul bagi perkahwinan
Mat Saleh, hakikatnya lafaz ijab dan qabul dalam perkahwinan Muslim adalah
lebih besar dan bermakna.
Merujuk kepada kes, jelas tuan tidak menerima
hak yang sepatutnya daripada seorang isteri. Menurut hukum syarak, seorang
isteri berkewajipan untuk melayan suaminya dengan baik dalam erti kata melayani
kehendak seks suami dan menyenangkan hati si suami. Saya yakin, si isteri sedar
dan faham mengenai tanggungjawab ini cuma menghadapi beberapa kekangan untuk
melaksanakannya. Kita perhatikan
kronologi kes. Tuan menyatakan perubahan berlaku terhadap layanan isteri kepada
tuan selepas isteri disahkan hamil. Saya tidak pasti bagaimana isteri tuan
melalui proses kehamilannya namun kebiasaannya, pengalaman pertama kehamilan
adalah satu perkara amat bermakna malah berbeza.
Ada wanita yang mengalami alahan yang teruk
hingga tidak berupaya untuk dekat dengan suami. Maksud saya, kepenatan yang
dialami kesan alahan melampau menyebabkan si isteri tidak mampu untuk melayan
kehendak batin si suami lantas si isteri cuba menjauhkan diri. Keadaan alahan
tersebut juga membuatkan si isteri lebih menumpukan kepada urusan menjaga
kehamilannya. Selepas bersalin pula, isteri mempunyai tambahan tanggungjawab
sebagai seorang ibu pula. Bayi anda perlu diberikan perhatian sepenuhnya, bukan
sekadar menyusukan dan membiarkan begitu sahaja. Biarpun begitu, bukan
bermaksud si isteri yang telah menjadi ibu tidak lagi berpeluang atau mempunyai
masa untuk melayan kehendak suami.
Berpandukan kes-kes yang pernah saya
kendalikan, seorang isteri yang baru bersalin terutama bersalin secara normal
akan mengalami satu fobia; bimbang alami kesakitan jika melakukan hubungan
seksual bersama suami. Ada kes, isteri perlukan masa hampir satu tahun untuk
kembali melakukan hubungan seksual dengan suami. Jangan ambil mudah! Isteri
bersalin ibarat seperti menyabung nyawa. Setiap bayi yang lahir atau keluar
melalui saluran yang sepatutnya bukan melalui satu jalan yang lurus dan kosong.
Alat kelamin wanita mempunyai lapisan yang unik dan sekiranya ia terhiris atau
luka, memang mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Lantaran, hukum syarak menetapkan adanya
tempoh nifas, bukan sekadar untuk mengeluarkan darah kotor kesan daripada
kehamilan tetapi sebagai peluang untuk menyembuhkan semula saluran faraj
wanita. Adat masyarakat kita juga menentukan tempoh berpantang 44 hari minima
dan 100 hari maksima sebagai memberi peluang agar wanita membina semula
keyakinan dan kekuatan diri. Wanita pula mempunyai semangat dan kekuatan yang
berbeza. Jika ada yang berupaya untuk pulih segera, hari ke 45 suami dah boleh
bersamanya semula. Bagi yang lambat, isteri ini perlukan bimbingan dan
sokongan.
Berdasarkan luahan tuan, saya tak nampak
wujudnya perbincangan antara tuan dan isteri dalam menangani permasalahan ini.
Untuk makluman tuan, masalah utama komunikasi sesama setiap insan termasuk suami
dan isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan
sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri
untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan
berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah.
InsyaAllah! Sama2 memahami akan dikecapi.
Seperti kes tuan, jalan terbaik ialah tuan
perlu luahkan kegelisahan dan keinginan tuan. Mohon pertimbangan isteri untuk
memberi tuan peluang agar hajat dan kehendak batin tuan dapat dilangsaikan.
Jangan luahkan dengan kasar dan keras tetapi luahkan dengan berhikmah. Tuan
boleh mulakan dengan bersama isteri ketika isteri melayan anak tuan bermain.
Sama-sama melayani kerenah si kecil bukan saja dapat merapatkan kembali hubungan
tuan bersama isteri sebaliknya layanan dan perhatian tersebut juga merupakan
hak seorang anak.
Ya! Tuan kini bukan lagi hanya seorang suami
tetapi juga adalah seorang ayah. Tuan wajib melayan anak tuan, memberinya
perhatian, kasih sayang dan belaian. Jika tuan usahakan untuk bersama melayani
si anak, pasti isteri punya masa lebih untuk melakukan kerja rumah yang
pastinya juga dipertanggungjawabkan oleh tuan kepadanya. Kesan daripada itu
akan memberikan isteri tuan luang masa yang lebih dan insyaAllah dia akan mampu
untuk melayani tuan.
Tuan
juga perlu berbincang dengan isteri mengenai kepuasan tuan dan dirinya dalam
melaksanakan hajat batin masing-masing. Perlu difahami, terdapat perbezaan yang
ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami
mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya
dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika
penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak
batin mereka.
Namun
begitu, isteri juga berhak untuk merasa puas dan menikmati hubungan kelamin
tersebut. Saya bimbang, isteri tidak berminat untuk melayan kehendak batin tuan
kerana dirinya tidak merasai nikmat ketika berhubungan. Oppss! Jangan cepat
melatah! Mampu hamil dan melahirkan bukan bukti kehendak seksual isteri telah
dipenuhi sebaiknya. Jangan lupa, wanita yang dirogol juga boleh hamil. Kepuasan
seorang isteri dalam menjalinkan hubungan seksual bersama suami diambil berat
oleh syarak. Rasulullah SAW mengingatkan para suami dalam sabdanya yang
bermaksud: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin
dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak
menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai
klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan
tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.
Kenapa?
Kerana seorang isteri hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menyempurnakan
kehendak batinnya. Berbeza dengan suami, jika tak lagi ‘berselera’ dengan
isteri yang ada, suami diberikan pilihan untuk mempunyai isteri baru yang dapat
memenuhi hajatnya. Tuan perlu dapatkan penjelasan daripada isteri mengenai
masalah ini. Andai isteri tidak mempunyai masalah berkaitan kepuasan cuma mohon
lebih masa untuk kembali yakin dan percaya tentang seronoknya berhubungan biar
selepas melahirkan; jangan putus asa!
Tika
inilah tuan perlu mainkan peranan. Jangan biarkan isteri begitu sahaja. Rapat
dengannya, bermesra macam biasa cuma jangan memaksanya untuk ‘bersama’.
Lakukanlah aksi-aksi pra hubungan agar isteri rasa teruja dan timbul keinginan
untuk bersama. Belajarlah teknik-teknik merangsang syahwat isteri. Usahakan
beserta doa, insyaAllah akan ada penyelesaiannya.
Ingat!
Rom tidak dibina dalam satu hari. Sama juga dengan bahagia hidup berumahtangga,
perlukan masa berhari-hari, mungkin berbulan, mungkin juga bertahun. Terus
berusaha dan bersabarlah melayani kerenah isteri. Ingat! Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Orang yang
paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang
paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” -
hadis riwayat al-Tirmizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan