05 Disember 2008

Salam Aidil Adha

InsyaAllah, Isnin ini ummat Islam di Malaysia, bersama-sama dengan saudara-saudara yang sedang menunaikan ibadah haji, akan menyambut Hari Raya Aidil Adha atau biasa sangat disebut Hari Raya Korban. Hari Raya Korban berbeza dengan Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Puasa kerana tika hari gemilang ini, selain bertakbir dan bersembahyang, umat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih korban sebagai bukti keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT di samping memperingati sunnah Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.

Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya telah melakukan pengorbanan demi menjunjung tinggi perintah Allah SWT. Pengorbanan menjadi ujian kepada ummat manusia sejauhmanakah mereka itu beriman dan mengabdikan diri kepada Allah yang menjadikannya, yang memberi rezeki dan segala kurniaan yang tidak terhingga kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya".- surah al-Baqarah ayat 28.

Hakikatnya, ummat Islam merayakan Aidil Adha sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi. Ia bukan sekadar kemenangan yang terkandung dalam ibadah haji itu sahaja malah mempunyai hubungan dengan satu peristiwa yang berlaku pada tahun kesembilan hijrah.

Dalam waktu ibadah haji pada tahun tersebut, suatu ketetapan telah diisytiharkan kepada masyarakat Arab Mekah ketika itu mengenai hubungan diplomatik antara orang-orang Islam dengan yang bukan Islam telah dimeterikan dan dikuatkuasakan.


Kota Mekah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai tanah haram. Musyirikin Quraisy tidak lagi dibenarkan untuk menziarahi Baitullah. Serentak dengan ketetapan ini Kota Mekkah dan sekelilingnya telah dibersihkan dari perkara-perkara syirik dan kekufuran. Kalimah tauhid telah ditegakkan dengan gagahnya di bawah naungan Kaabah dengan suatu pemerintahan Islam di bawah pimpinan baginda Rasulullah SAW.

Kegelapan kota Mekkah yang selama ini penuh dengan kebiadaban dan peradaban liar telah diganti dengan sinar yang gemerlapan dengan kesusilaan dan peradaban yang penuh hidayah dan bersopan. Undang-undang dan peraturan yang disukai oleh fikiran dan nafsu manusia telah ditukar ganti dengan undang-undang dan peraturan syariat Allah SWT.

Kota Mekkah diberi gelaran kota suci yang telah bersih dari sebarang bentuk syirik dan kufur. Laungan "Allah Akbar" dan talbiah "labbaikallah humma labbaik" berkumandang di segenap penjuru kota itu, dari rumah-rumah besar yang tesregam indah hingga ke rumah-rumah buruk di tepi bukit dan gunung.

Kesedaran dan kedaulatan Islam dengan risalah Allah mendapat tempat di hati manusia yang kufur pada mulanya. Mereka diberi hidayah dengan Nur Ilahi . Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan dan engkau melihat manusia beramai-ramai masuk agama Allah. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya sesungguhnya ia sangat-sangat menerima taubah ". - surah al-Nasr ayat 1-3.

Aidil Adha sebenarnya lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidil Fitri. Sejajar dengan kedudukan itu masa bertakbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya hinggalah ke hari yang keempat raya, iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari tasyrik.

Di samping bertakbir, ummat Islam digalakkan melakukan ibadah korban pada hari-hari tersebut. Bagi ummat Islam yang berada di tanah suci, hari-hari tersebut adalah hari untuk mereka melontar jamrah di Mina. Mereka meneruskan kerja-kerja ibadah haji dengan iringan talbiah :

لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَشَرِيْكَ لَكَ .

Maksudnya : "Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada pemerintah mu, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu, kami sahut seruan-mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu " .

Aidil Adha juga sebenarnya adalah hari bagi kita merayakan ulang tahun pelancaran gerakan tahunan korban. Gerakan ini telah dimulakan sejak ribuan tahun dahulu dan dimulakan oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Nabi Ismail adalah anak kesayangan Nabi Ibrahim dan anak ini diperolehi dalam usia baginda yang telah lanjut. Namun, bila diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan anaknya ini, Nabi Ibrahim a.s telah bersedia melaksanakan tugas ini dan Nabi Ismail pula penuh kerelaan dan sabar menurut perintah Allah SWT ini.

Kisah ini disebut di dalam Al-Quran: "Maka tatkala anaknya ini sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang bersabar. Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan Ibrahim dengan sesungguhnya telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang sebenar ". -surah al–Shaafat ayat 102 - 107.

Peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih putera baginda dan kepatuhan Nabi Ismail a.s. terhadap perintah Allah tersebut memaparkan kekuatan iman dan keteguhan mental yang perlu kita contohi.

Sejarah pengorbanan teragung itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah sahaja malah ianya telah dihayati sepanjang zaman demi menegakkan agama Ilahi ini. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam adalah pengorbanan yang amat agong. Baginda dan para sahabat telah mempertahankan Islam bukan sahaja dengan harta benda dan kekayaan mereka tetapi mereka telah mengorbankan nyawa. Tiada pergorbanan yang lebih agong dan utama daripada pergorbanan nyawa dan darah.

Realiti kehidupan kita hari ini, kita tidak diminta untuk mengorbankan nyawa dan darah walau di beberapa negara luar sana, masih ada yang perlu mempertahankan kesucian agama dan kebebasan hidup di tempat sendiri dengan darah dan nyawa. Seharusnyalah kita bersyukur. Bukan sekadar mengucapkan alhamdulillah atau menadah tangan kemudian menyapunya ke muka.

Sebaliknya kesyukuran perlulah disertakan dengan tindakan. Hambakan diri kepada-Nya menjadi abid dan abidah, menghormati orang lain terutamanya ibu bapa malah suami atau isteri dan anak-anak serta jiran sekeliling.

Ingat! Pengorbanan perlulah kena dengan kehendak-Nya. Kata orang kita berkorban biarlah bertempat.

Orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan, sanggup berkorban masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang bergolek.

Bukan sahaja ketika bergelar pelajar, malah kerjaya juga perlukan pengorbanan. Sama juga di dalam rumahtangga. Tapi, janganlah hanya mengharapkan orang lain berkorban untuk anda tanpa anda diri berkorban untuk diri anda sendiri....

Renung-renungkan dan cerminkan diri sendiri.... Salam Aidil Adha :)

1 ulasan:

Miss Neddy berkata...

salam aidiladha buat akak sekeluarga...