"Kenapa nak pindah ke Kedah?"
Ramai yang bertanyakan saya soalan di atas, bila dapat tau saya akan berpindah untuk menetap dan beroperasi dari Kedah mulai September ini. Malah, ramai yang terkejut termasuklah rakan-rakan rapat saya. Kenapa? Jawapan yang tak sukar malah tak terlalu mudah untuk saya berikan.
Ya!! Sejak mula bekerja pada awal April 1998, saya tak pernah terfikir untuk kembali menetap di Kedah. Tak pernah terlintas langsung. Bukan tak suka menetap di Kedah atau dah lupa tempat tumpah darah sendiri. Entah lah, mungkin keseronokan jiwa muda yang nak merantau menimba pengalaman di tempat orang.
Hanya Dia yang tahu dan Dia juga yang menentukan segalanya termasuklah Dia juga yang membuka pintu hati saya untuk kembali menetap di Kedah. Seperti yang saya nyatakan dalam entri saya sebelum ini, bermula daripada kerinduan terhadap anak sendiri, saya cuba memahami kerinduan Mak dan Bapa saya.
Kebetulan, sehari selepas saya kembali ke kampung mengambil Sulaim hari tu, saya, Mak Bapa dan adik-adik balik menziarah Tok dan Wan (Mak dan Bapa kepada Mak saya). Ketika kami nak balik, Tok dan Wan yang hanya tinggal berdua dan kedua-duanya dah bertongkat, berjalan pun lemah, sanggup bangun menuju ke pintu, menghantar kami balik dengan pandangan mata yang sayu. Agaknya terfikir, bila lagi nak meriah semula dengan anak cucu?
Tika itulah, minda saya tiba-tiba terdetik, apakah saya perlu tunggu hingga Mak dan Bapa saya juga begitu? Saban hari menunggu dan menanti anak-anak kembali ke sisi? Sakit pening terpaksa diharungi sendiri sebab anak-anak yang ramai sibuk dengan urusan keluarga masing-masing. Yang jauh satu perkara, yang dekat pun susah nak jumpa...
Terimbas semula di ingatan saya, tahun 2004, saya tak sempat 'berjumpa' dengan jenazah Tok (Mak kepada Bapa saya) sebab aruah meninggal pagi dan saya hanya dapat bertolak balik ke Kedah selepas Zohor, ditambah dengan kesesakan lalu lintas dek kerana runtuhan di Gua Tempurung tika itu... Kami sampai di Sg Petani awal pagi, jenazah dah pun dikebumikan sebab itu yg terbaik memandangkan jenazah dah sakit lama sebelum tu...
Semua itu bermain-main di minda saya. Ditambah dengan ujian yang saya lalui sebelum ini- jika anda pernah baca entri saya tentang ujian tanda kasih sayang-Nya- ujian yang mulanya dah jumpa jalan penyelesaian tapi diuji dengan masalah lain pula. Sampai akhirnya saya mohon petunjuk daripada Allah, berikan saya petunjuk dan jalan, apa yang perlu saya lakukan?
Alhamdulillah, segalanya di dalam perancangan-Nya. Dia berikan saya petunjuk, dah tiba masanya saya kembali ke tanah tumpah darah saya. Mak dan Bapa saya menetap di Sik, saya akan berpindah dan menetap di Sg Petani, tidaklah jauh sangat...
Ada yang tanya, senang ke nak dapat klien? Ya lah, kerja saya melibatkan orang ramai kan! Wallahua'lam... saya tak tahu. Yang saya tahu dan pasti, rezeki kita ditentukan oleh Allah SWT, bukan orang ramai, bukan tempat operasi. Dia yang tentukan segalanya dan Dia dah janji, jika kita nakkan sesuatu, mintalah daripada-Nya...
Harapan dan doa saya, Dia akan memudahkan lagi semua urusan saya selepas ini... amiinnn!!
1 ulasan:
niat yang baik takkan disia-siakan oleh Allah. insyaAllah.
Catat Ulasan