Harapnya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pelayar weblog saya ini. Maaf sebab tidak berpeluang mengucapkan eid mubarak ini lebih awal. Almaklum, balik awal ke kampung, bercuti sakan dua minggu, terus lupa segala kerja, terasa bagai kembali ke zaman remaja tika riuh mengadakan persiapan menyambut raya dengan macam-macam agenda :)
Hari ini, buat pertama kali saya menjenguk blog saya ini, buat kali kedua menjenguk emel (yang terlalu banyak, maaf awal-awal kepada pengirim, tak pasti bila berpeluang membalasnya) dan kali pertama juga menjenguk Facebook, tapi sekadar menjenguk je lah. Pengisian untuk weblog lebih perlu diutamakan.
Ada beberapa isu yang ingin saya ketengahkan dan untuk isu sulung selepas seronok menyambut Aidilfitri ini, saya nak sentuh tentang sikap sebahagian ahli masyarakat kita, khususnya yang beragama Islam, yang masih lagi dengan sikap lama... seolah menjadi badi, yang tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan: sikap mengumpat dan mengata.
Jika anda membaca perbincangan Resipi Hidup minggu nak sambut raya bertarikh 18hb September atau anda menonton slot Awani Pagi di Astro Awani pada tarikh yang sama, saya dah bincangkan tentang isu ini, tentang adab berkunjung di hari lebaran, bukan saja pada hari lebaran tapi pada bila-bila masa. Islam menetapkan, jika ingin berkunjung, sikakanlah tapi jangan sambil-sambil membuat dosa dengan mengumpat atau mencaci orang lain. Jika nak bersembang, silakanlah tapi jangan duk mengata orang itu orang ini, menceritakan kisah itu kisah ini.
Perlu diingat, bila kisah anda adalah kisah yang benar tetapi diceritakan tanpa kehadiran orang tersebut bererti anda telah mengumpat. Bila kisah yang dikatakan itu bukan kisah benar, bererti anda telah melakukan fitnah. Perlu diingat juga, hukum mengumpat dan fitnah adalah berdosa besar. Kesilapan dan kemaafan anda takkan diampunkan oleh Allah SWT jika anda tidak diampunkan terlebih dahulu oleh orang yang anda umpat dan fitnah tersebut.
Apa sakitnya anda jika tau ada sepupu anda bergaduh dengan suami? Apa masalah anda jika ada saudara anda bercerai? Apa yang mengacau anda jika jiran anda berkahwin lebih dari satu? Semua tu kisah peribadi mereka, tak perlu nak heboh dan nak kecoh. Anda bising satu Malaysia pun, sepupu anda tetap bergaduh dengan suaminya, saudara anda yang bercerai tetap dah bercerai, jiran anda tetap juga dah kahwin lagi. Jangan sibuk duk bercakap tentang rumahtangga orang dan paling tak berguna, jika apa yang anda cakap itu membuatkan cerita yang sepatutnya boleh dijadikan iktibar untuk diri sendiri bertukar menjadi cerita sensasi yang ditokok tambah. Bayangkan jika anda di tempat mereka itu, sukakah cerita anda dijaja ke sana sini?
Yang paling menyedihkan ialah yang duk mengata mengumpat tu kebanyakannya ialah wanita. Kenapa tak cuba fahami hati wanita yang terlibat? Mereka yang anda umpat, keji dan fitnah itu tak pernah minta rumahtangga mereka bermasalah. Koreksi diri... rumahtangga anda tu, elok sangat ker?
Seperkara lagi, tolonglah dalami ilmu agama. Dah tua-tua pun tak rugi belajar. Sedih sangat bila saya berpeluang solat berjemaah baru-baru ni, ramai lagi Muslimah yang belum tau cara solat jemaah yang sebetulnya. Saya akui, saya sendiri dah lama tak berpeluang berjemaah di surau atau masjid dan alhamdulillah, peluang tersebut bertamu juga baru-baru ini dan syukur beberapa kali. Bukan saja jemaah di kampung tapi juga di bandar malah bandaraya KL. Adab solat berjemaah, perlu rapatkan saf, bahu menyentuh bahu, bukannya duduk jauh sebatu mempertahankan sejadah sendiri. Dah tu pula, bila ditegur, tak dengar cakap pula. Alahai... tau la saya ni lebih muda tapi tak semestinya yang lebih muda tu tak tau segala dan jangan ingat yang tua tau semuanya...
Sedih... sungguh sedih... lebih sedih bila melihat perubahan yang berlaku tika Ramadhan dulu, kini berubah sekali lagi ke penampilan yang lama!! Apakah hukum Allah hanya valid dan relevan tika Ramadhan sahaja??
Ya Allah!! Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan berikanlah hidayah-Mu kepada kami semua ya Allah!! Moga kita berpeluang mengutip ganjaran pahala berganda sekali lagi pada Ramadhan yang akan datang, amiinnn!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan