Semalam, sedang saya bersiap untuk ke KL, rutin biasa setiap Jumaat pagi di Astro Awani, Ayuni dan Suhail sibuk mengira jumlah hari berpuasa dan jumlah wang yang bakal diperolehi nanti. Ya, semalam hari ke-20 puasa, puteri dan putera saya tu masih kekal bertahan, langsung belum pecah periuk walau sehari. Saya juga teruja dengan prestasi anak-anak terutamanya Suhail sebab Suhail baru berusia lima tahun, Ayuni dah mula puasa tahun lepas walau tak penuh sebulan dan tahun ni, dalam usia enam tahun, dia masih bertahan, alhamdulillah!!
Mak saya juga teruja, malah rakan-rakan saya juga. Petua? Bagaimana saya pujuk? Saya taklah merayu cuma tahun lepas, Ayuni berusia lima tahun, saya ajak dia berpuasa, sebagai latihan. Tapi bertahan puasa penuh lima hari sahaja, (masa ni kat rumah Mak saya, so tak banyak dugaan dari adik-adik) hari-hari lain dah tak dapat bertahan bila melihat Suhail dan Sulaim menjamah makanan.
Anak-anak saya ni penggemar Upin dan Ipin. Bila dapat tau Upin dan Ipin berpuasa cukup sebulan, Ayuni dan Suhail bertekad, akan puasa cukup sebulan juga tahun akan datang, tahun ni lah. Maka, untuk menambahkan semangat anak-anak, saya tawarkan insentif, kalau puasa penuh sehari, saya akan berikan RM2. Jika genap sebulan, ada insentif tambahan, anak-anak akan dapat kasut roda - dah lama juga anak-anak minta tapi biasa lah, ada syaratnya dulu :)
Alhamdulillah, setakat semalam, hari ke-20 puasa, Ayuni dan Suhail masih mampu bertahan. Yang paling buatkan saya teruja, anak-anak saya aktif seperti biasa, sama macam hari-hari tak berpuasa sebelum ni. Tidur siang hari? Jangan haraplah... ada saja aktiviti yang nak dilakukan oleh mereka. Sampaikan saya sendiri (yang sebelum ni penat mengemas sebab baru pindah rumah kan), plan nak baring sekejap pun terpaksa batalkan sebab takkan nak lelap dengan keadaan anak-anak bergerak aktif. Secara tak langsung, Ummi pun kena aktif sama :)
Alhamdulillah juga, anak-anak saya nak bangun waktu sahur. Mula-mula memanglah liat nak bangun tapi saya 'paksa' juga: kalau nak puasa, kena bangun sahur. Saya ikut petua Mak saya, kejutkan anak-anak lebih awal, bukan tika makanan dah terhidang. Bila dah kejut awal, pastikan muka anak-anak dicuci betul-betul dan berkumur hingga anak-anak rasa segar. Bila mata dah segar, sempat borak-borak lagi sebelum makan, barulah anak-anak betul-betul berselera nak makan waktu sahur tu. Saya juga amalkan menyuapkan makanan kepada kedua-dua anak-anak saya tu, jadi saya boleh tahu anak-anak betul-betul menikmati hidangan atau pun tak.
Waktu berbuka pula, saya akan ambil tahu selera anak-anak tapi bersyaratlah juga, bukan semua kehendak diikut, nanti Ummi juga yang makin bertambah berat badan. Hanya itu petua dan cara saya melatih anak-anak saya berpuasa dan paling seronok dan buatkan air mata Mak saya bergenang, bila Ayuni mengimamkan solat Maghrib bersama Suhail dan sepupu-sepupunya - anak Angah - Syimir dan Khairi. Memang terbalik sebab Ayuni kan perempuan tapi tak mengapa, untuk belajar kebetulan anak Angah belum cekap bacaan-bacaan sunat dalam solat.
Sungguh, insentif yang diberikan kepada anak-anak boleh membakar semangat mereka. Bukan saja untuk berpuasa tapi dalam apa juga perkara. Tapi kena tekankan, sebagai pemberi semangat sahaja, dah besar nanti, jangan mintak insentif lagi. Dah besar nanti, dah jadi satu perkara wajib dan sebagai tanggungjawab, bukan lagi satu latihan.
Latihlah sejak awal sebab bila anak-anak dah terbiasa, anak-anak akan mudah untuk melakukannya bila besar nanti walau jauh dari mata ibu bapa. Paling penting juga, sentiasa doakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...hamba yang sentiasa abid kepada-Nya.... amiinn!!!
1 ulasan:
Saya mempunyai 3 orang anak lelaki lebih kurang sebaya 12 thn, 10 thn dan 8 tahun. Ya, saya memang mempunyai pengalaman yg sama spt puan sebab masa anak2 saya kecil lbh kurang baya anak puan, memang saya lakukan spt puan aitu beri ganjaran satu hari rm1 tapi lama2 diorang faham sendiri bahawa puasa adalah tanggungjawab sebagai umat islam dan wajib dilakukan dan alhamdulillah sekarang saya dah tak risau sebab yakin diorang puasa sepenuhnya..Alhamdulillah
Catat Ulasan