09 Jun 2010

Cinta berbeza usia

1) Kini sudah menjadi trend lelaki berusia berkahwin dengan pasangan muda dan wanita berusia berkahwin dengan lelaki muda. Adakah trend seperti ini boleh menjamin kebahagiaan yang berkekalan atau sebaliknya?
Jawapan:
Wujudnya trend baru ni mungkin disebabkan fobia dengan kes-kes rumahtangga yang berantakan bila perkahwinan libatkan pasangan seusia. Hakikatnya, bukan umur penentu kebahagiaan. Sebaya atau lebih tua atau lebih muda tak penting.

Yang penting ialah mempunyai pengetahuan dalam ilmu-ilmu perkahwinan, rumahtangga, suami isteri dan berusaha untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang dipelajari. Kalau masing-masing sedar, faham dan berusaha menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya, perkahwinan akan bahagia walaupun mempunyai umur yang berbeza.

2) Boleh puan berikan beberapa tips bagaimana hubungan sebegini dapat diteruskan dengan jayanya?
Jawapan:
Tips utama; jalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Suami ada tanggungjawab yang menjadi hak isteri. Isteri pula mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak suami. Bila setiap individu jalankan peranan dan tanggungjawab yang perlu, keserasian akan wujud dan kebahagiaan akan dicapai.

Tips kedua; sedar siapa anda? Maksudnya, kalau anda suami, bersikap dan berperananlah sebagai suami walaupun usia anda lebih muda. Kalau anda sebagai isteri, bersikap dan berperananlah sebagai isteri walaupun anda lebih tua daripada suami.

Tips ketiga; simpan kemas dalam minda, pasangan anda adalah isteri atau suami anda, bukan adik atau abang atau kakak atau anak. Bermaksud, anda perlu layan pasangan anda selayaknya sebagai pasangan. Berkongsi suka, duka, masalah, cerita dan lain-lain. Anda boleh berkawan dengan pasangan tetapi tak boleh jadikan pasangan anda sebagai saudara atau anak anda.

Tips keempat; terima kelebihan dan kelemahan pasangan. Jika pasangan anda lebih muda atau lebih tua, selalunya tabiat dan minat berbeza. Anda perlu terima perbezaan tersebut sebagai kelebihan atau kelemahan yang tersendiri. Kecuali tabiat dan minat yang negatif, berusahalah untuk mengubahnya secara perlahan-lahan. Jangan bandingkan diri anda dan dia untuk mencari perbezaan sebaliknya usahakan untuk mencari keserasian dalam minat yang berbeza tersebut. Kebahagiaan bukan terletak pada persamaan tetapi keserasian.

Tips kelima; jangan jadikan umur sebagai alasan walau dalam apa juga perkara. Mungkin pasangan anda terlupa dan lupa itu tak boleh dikaitkan dengan usianya yang lebih tua atau menyindir usianya yang muda tetapi mudah lupa. Usia cuma angka yang tak berikan apa-apa manfaat dalam hubungan anda. Biar usia muda tetapi jika bertindak matang, itu lebih baik daripada usia tua tetapi bersikap sebaliknya.

3) Apa kriteria yang perlu ada dalam diri mereka yang terlibat dalam hubungan cinta sebegini?
Jawapan:
Kriteria paling penting ialah ikhlas. Perlu ikhlas tika menerimanya sebagai pasangan, bukan terima sebab rupa atau harta atau lain-lain. Ikhlas terima dia seadanya, terima kelebihan dan kelemahannya juga. Perlu juga bersikap sabar. Beza usia memungkinkan pelbagai perbezaan lain yang berkaitan. Maka, sabar penting bagi memastikan setiap perbezaan yang wujud dapat diatasi sebaiknya.

Perlu juga bersikap sentiasa bersemangat untuk terus belajar sebab anda perlu lebih banyak belajar untuk mengenali pasangan anda dan tidak boleh mudah putus asa. Anda tak perlu jadikan pasangan anda seperti anda tetapi anda boleh sebatikan diri anda bersamanya agar lebih mudah untuk berkomunikasi.

Tak boleh cepat melenting atau marah walaupun anda lebih berusia. Berapa pun usia anda, anda tetap seorang suami atau isteri yang perlu berbincang dan mencari jalan keluar bagi setiap masalah yang berlaku. Jangan mencari siapa yang salah sebaliknya carilah kesilapan dan kesalahan kemudian usahakan jalan penyelesaian bersama-sama.

Paling utama; sentiasa berdoa agar kasih sayang pasangan kekal di hati dan hubungan diberkati.

****Persoalan ini saya jawab bagi memenuhi kehendak wartawan akhbar Kosmo! siaran pada April 2010.

2 ulasan:

Airis Arissa berkata...

kalau kita betul2 ikhlas dan tau tanggungjawab masing2, perkara ni bkn mslh. mcm saya, kdg2 terlupa saya lebih tua dari suami (beza 2 thn jer).

Unknown berkata...

saya ada persoalan mengenai isu ini, saya dan pasangan berbeza umur 15 tahun di mana saya berusia 25 tahun dan beliau 40. saya bertemunya semasa beliau berusia 38 tahun dan kerana keserasian cara berfikiran kami,dan saya senang berkawan dengan orang yang lebih matang, kami tidak pernah bermasalah dalam hubungan ini.

Selepas 2 tahun berkawan, akhirnya dia setuju untuk bertemu ibu bapa saya. Pada mulanya, everything went well. Sehingga lah ibu bapa saya mengetahui umur sebenar teman lelaki saya itu (he looked younger than his age, but you can see that he's much older than me).

Sekarang ibu bapa saya mula bersoal-soal dengan cara seolah-olah "condemning", dan bertanya seperti saya patut mencari yang lain.

Saya agak risau dan sedih kerana beliau telah pun membawa ibu bapanya berjumpa ibu bapa saya, sehari selepas ibu bapa saya bertemunya (Atas permintaan ibu saya sendiri).

Apakah yang patut saya lakukan? Tidak sanggup melukakan hati mana-mana pihak. Teman saya itu ada menyatakan, jika hubungan ini tidak berhasil kerana tiada restu, mungkin dia akan membujang seumur hidup kerana dia sudah letih bercinta. Saya juga tidak pasti saya mampu mencari seseorang yang sepertinya lagi.

Sekian.