11 Jun 2010

Jenayah seks suami terhadap isteri

1- Boleh puan berikan pandangan mengenai kepincangan dalam hubungan kekeluargaan khususnya dalam kalangan suami isteri hingga ada suami yang sanggup menyimbah asid ke atas isterinya atas sebab menolak ajakan mengadakan hubungan kelamin. Mengapakah kejadian sebegini boleh berlaku dan apakah faktornya?
Jawapan:

Berdasarkan statistik kes keganasan dalam rumahtangga yang terkini daripada Jab. Kebajikan Masyarakat malah statistik perceraian terkini yang dilaporkan oleh JAKIM; sememangnya diakui institusi kekeluargaan khususnya hubungan suami isteri berada di tahap kritikal.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:
1. Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat
a. Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Bila seks menjadi keutamaan, kegagalan menerima layanan seks menjadikan individu mampu bertindak ganas; seperti mencari nikmat seks di luar, menceraikan pasangan atau memukul malah membunuh.
b. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama. Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin; kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumahtangga berantakan.
c. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta; apabila harta tiada atau rupa tidak seperti tika mula hati jatuh cinta; perkahwinan akan goyah dan goncang.

2. Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri
a. Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba. Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak; suami dan isteri.
b. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi; bukan satu kata putus tanpa perbincangan. Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai; bukan saja berikan keperluan nafkah, kasih sayang, perhatian malah termasuk juga mendidik isteri dan anak-anak; bukan sebagai kuasa untuk mengarah itu ini, agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberikan pendapat dan pandangan.
c. Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat; tak perlu ditaati.
3. Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan
a. Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami. Bila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya.
b. Berdasarkan kes yang saya pernah kendalikan; keengganan isteri melayani kehendak seks suami adalah berpunca daripada sikap suami sendiri yang gagal dalam menjalankan tanggungjawan yang perlu sebagai seorang suami; gagal dalam pemberian nafkah zahir; gagal dalam menjaga dan membelai hati dan perasaan isteri; bersikap kasar, bengis malah memukul isteri. Seorang isteri yang terluka atau mengalami bebanan perasaan, akan hilang keinginan untuk layanan seks.
4. Kesilapan memahami konsep hubungan seksual suami isteri
a. Ramai yang maklum tentang keperluan dan tanggungjawab isteri untuk melayani kehendak seks seorang suami dan ramai yang lupa bahawa tanggungjawab suami juga untuk memberikan layanan seks kepada isterinya.
b. Pokok asasnya, wanita dan lelaki memang ditakdirkan mempunyai kehendak nafsu syahwat. Lelaki perlukan wanita untuk melampiaskan nafsunya, wanita pula perlukan lelaki untuk melampiaskan nafsunya. Malah, hubungan sejenis adalah diharamkan sama sekali.
c. Bererti, jika benarpun kajian bezanya kehendak nafsu syahwat wanita berbanding lelaki, ia bukan menafikan kehendak para isteri atau menafikan hak isteri untuk mendapatkan kepuasan sepenuhnya daripada suami sendiri.
d. Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.
e. Hadis ini terlalu jarang diketengahkan kepada masyarakat kerana masyarakat lebih maklum dan arif dengan hadis yang meletakkan bebanan tanggungjawab kepada wanita atau isteri semata-mata. Isteri diingatkan; kena layan suami tak kira bila dan di mana sebab hadis cakap, kalau suami minta, atas bonggol unta pun kena layan. Ada hadis cakap, kalau isteri tak layan suami, malaikat akan melaknat si isteri hingga ke pagi. Dua mafhum hadis yang cukup popular dan sering digunapakai. Tapi hadis yang saya nyatakan di atas tadi? Beberapa hadis lain termasuk kisah hidup Rasulullah SAW melayan para isteri, cara menggauli isteri yang sepatutnya dan lain-lain lagi? Kenapa tak nak hazamkan bersama?
f. Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut? Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri.
g. Satu persoalan lagi, apakah isteri tetap wajib melayani kehendak batin suami yang sengaja gagal menunaikan tanggungjawab? Hakikatnya, terdapat dua jawapan bagi soalan ini iaitu ya dan tidak!
# Ya - jika suami anda daripada kalangan yang sukar menahan nafsunya dan jika anda tidak melayaninya, membolehkan dia terjebak ke lembah maksiat.
# Tidak - jika anda tahu dan yakin dengan penolakan anda itu tidak menyebabkan suami anda mencari kepuasan di luar.
h. Ingatlah! Jika suami mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak syarak, maka tika itu, isteri tidak wajar mentaati suami. Sama juga dengan kehendak batin suami yang sengaja gagal dan tidak bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, kehendak suami ini boleh ditolak dan isteri tidak akan berdosa sekiranya menolak permintaan suami. Kenapa? Kerana suami sengaja mengabaikan tanggungjawab. Hadis menyuruh isteri mentaati suami yang betul-betul seorang suami.
Apa maksud betul-betul seorang suami?
Seorang suami yang betul-betul seorang suami ialah seorang suami yang berusaha menunaikan tanggungjawab nafkah zahir dan batin seorang isteri, bukan menunaikan nafkah batin sahaja. Masalahnya, menunaikan kehendak batin tu, bukan memenuhi kehendak isteri sangat sebenarnya tetapi lebih kepada memenuhi kehendak sendiri.
2- Pernahkah puan berdepan kes serupa dan boleh puan kongsikan beberapa insiden yang pernah puan kendalikan sepanjang menjadi perunding psikologi dan peguam syarie?
Jawapan:
Hari ni (10 April 2010) genap 12 tahun saya terlibat dalam mengendalikan kes-kes berkaitan kekeluargaan. Memang banyak kes serupa yang saya terima; antaranya:
1. suami simbah minyak tanah kepada isteri dan bersedia untuk menyalakan api disebabkan suami tak dapat layanan seks daripada isteri yang sedang sarat mengandung dan sedang menunggu hari;
2. suami memaksa dan memukul isteri hingga lebam-lebam semata-mata kerana isteri enggan melayani kehendak seks luar tabie;
3. isteri benarkan suami tidur dengan anak sendiri asalkan diri tidak diceraikan kerana terlalu malu untuk memegang status ibu tunggal buat kali ketiga;
4. kes minggu lepas; suami berikan pilihan kepada isteri sama ada benarkan dia tidur dengan anak tiri (anak isteri dengan isteri pertama) atau cukup benarkannya melihat dan memegang alat sulit anak perempuan berusia 11 tahun tersebut; dan isteri berikan kebenaran untuk melihat dan memegang alat sulit si anak hingga sanggup memaksa anak tersebut;
3- Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memulihkan kepincangan dalam sistem kekeluargaan?
Jawapan:
1. Perbetulkan niat tika memasuki gerbang perkahwinana.
Niatkan ikhlas kerana Allah, untuk menjadi seorang suami atau isteri yang bertanggungjawab dalam perkahwinan;

2. Berusaha sedaya upaya untuk menjalankan segala tanggungjawab dalam perkahwinan dan rumahtangga;
Perlu ada tekad, semangat dan usaha serta doa untuk menjalankan segala tanggungjawab tersebut
3. Bersikap toleransi, bekerjasama, amalkan sikap berterus-terang, selalu berbincang dengan pasangan;
Jadikan pasangan sebagai kawan dan juga sahabat di samping seorang pasangan yang ideal dan romantik
4. Pelajari ilmu-ilmu yang berkaitan;
Hubungan suami isteri, komunikasi dan juga keibubapaan
5. Jangan tinggal solat
Kebanyakan kes yang saya kendalikan, punca utama kepincangan berlaku ialah kerana pasangan suami isteri gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada Allah; tidak solat, melakukan perkara yang ditegah oleh Allah;b. solat punya rukun dan syarat, perlu pelihara solat beserta rukun dan syaratnya, insyaAllah solat tadi mampu mencegah daripada individu terlibat dalam perkara keji dan tak baik yang memungkinkan wujudkanya masalah dalam rumahtangga.
6. Jangan putus doa
Penting untuk sentiasa berdoa agar rumahtangga sentiasa dalam rahmat dan barakah-Nya, supaya hubungan suami isteri kekal bahagia, supaya rasa kasih dan cinta kekal di hati sendiri dan hati pasangan, supaya masing-masing dapat menjalankan tanggungjawab yang patut dan perlub. Berdoa tak kira masa, bukan saja masa solat dan berdoalah dalam ayat sendiri yang difahami.
****Jawapan di atas disediakan bagi menjawab soalan wartawan akhbar Sinar Harian. Perbincangan ini disiarkan di dalam Laporan Khas akhbar Sinar Harian pada 12hb April 2010

11 ulasan:

Bawang Goreng berkata...

Cik su,

Saya link entry ini ke http://laman-seri.blogspot.com/.

Saya ada masukkan entry http://laman-seri.blogspot.com/2010/06/benarkah-islam-membolehkan-suami-pukul.html, tapi sayangnya, CUMA cik Su sorang aje yg berani mengulas tentang ini.

Mengapa pihak yang berkuasa DIAM saja, seolah-olah keganasan rumahtangga atau lebih tepat lagi, JENAYAH SEKS, dibenarkan oleh agama Islam?!

Hairan saya...

Suzana Ghazali berkata...

Salam BG; silakan lah. Sy usahakan sekadar terdaya :)

Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli berkata...

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Baru-baru ini saya terbaca kolum puan di dalam sebuah majalah, Mingguan Wanita rasanya.

Puan menulis tentang bolehnya isteri menolak ajakan suami untuk melakukan hubungan seks.

Saya bukan mahu memberikan komentar kepada isu tersebut, kerana tulisan puan itu perlu diperincikan lagi, pada bila masa dibenarkan menolak ajakan suami, dan pada bila masa wajib. Dan hukum asalnya ialah wajib taat. Saya cadangkan puan mencari rujukan daripada fatwa-fatwa para ulama' agar tulisan puan lebih mantap, pembaca lebih yakin, dan puan sendiri akan rasa lebih selamat dalam menulis.

Hanya sahaja saya tertarik tatkala puan menyatakan puan tidak menemui hadis yang menyatakan wajib penuhi kehendak seksual suami hatta di atas unta. Puan, saya search di google, sahaja dengan mudah saya jumpa teks hadis tersebut, berserta dengan sumber kitab hadis dan nombor hadis tersebut.

Ini teks arabnya:

فإني لو كنت آمرا أحد أن يسجد لغير اللَّه، لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها. والذي لزوجها. والذي نفس مُحَمَّد بيده! لا تؤدي المرأة حق ربها حتى تؤدي حق زوجها ولو سألها نفسها، وهي على قتب لم تمنعه)).

hadis ini diriwayatkan di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 1853, Sunan at-Tirmizi: 1159, ulama' hadis seperti Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani menyatakan hadis ini sahih di dalam Sahih Sunan Ibn Majah:1515

Terjemahannya banyak diinternet. Ini antara terjemahan yang saya jumpa bila search:

Maka sesungguhnya jika seandainya saya memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada selain Alloh sungguh saya akan memerintahkan seorang wanita untuk bersujud kepad suaminya. Demi jiwa Muhammmad yang ada ditangan-Nya, tidaklah seorang wanita akan menunaikan hak Robbnya hingga ia menunaikan hak suami. Kalau seandainya suami mengajak istri (ke ranjang) tidaklah ia menolak ajakannya walaupun ia berada di atas punggung unta


Wallahua'lam.

Suzana Ghazali berkata...

Salam
Tn Abu Usamah; terima kasih byk kerana berkongsi. Terus terang, sy tak jmpa yg lengkap dgn matan dan sanadnya, bantuan tuan mmg sy hargai. Utk makluman, perbincangan sy berkaitan hbgn suami isteri di ruangan Resipi Hidup ada 4 siri, boleh dptkan semuanya dan insyaAllah, penjelasan sy yg tentang perkara berkaitan adalah lengkap. Terima kasih sekali lg :)

Bawang Goreng berkata...

Rasanya, yg menjadi persoalan Abu Usamah : apakah isteri tetap wajib melayani kehendak batin suami yang sengaja gagal menunaikan tanggungjawab?

Saya tertarik utk menyebut firman Allah SWT mafhumnya, “…Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya….” (QS 2:228)

Yang saya faham, seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana. Taat membuta adalah kurang pandai/bijak (a.k.a BODOH la).

Lihat juga QS 4:34, mafhumnya, “…Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka…”

Jika dilihat pada seluruh ayat yang sebenarnya bermula dengan menyebutkan bahawa lelaki yang bergelar rajul adalah pelindung wanita disebabkan rajul mempunyai kelebihan di atas wanita disebabkan lelaki rajul membelanjakan dari pendapatannya untuk wanita. Ini bererti bukan sebarang lelaki yang mempunyai kelebihan di atas wanita tetapi lelaki yang mempunyai sedikit kelebihan adalah lelaki yang memberi nafkah kepada wanita (isterinya). [NB : Suami yang culas berikan hak isteri, maksudnya yang tidak bertanggungjawab dalam nafkah zahir dan batin, BUKAN seorang rajul. Jika suami BUKAN seorang rajul, layakkah dia ditaati tanpa kompromi?]

Malangnya, hari ini, RAMAI lelaki bergelar suami tak nak faham atau mereka saja buat-buat tak faham...

Bawang Goreng berkata...

Cik Su,

Thought you might want to read this: http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bil1_bhg2-2010.pdf

Just sharing...

Nak cari fatwa di MAIS/JAIS syusah skit..

NB: Su, letaklah shoutbox balik. Senang nak tinggalkan pesan pendek-pendek...

Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli berkata...

Bawang goreng,

Isteri wajib mentaati suami di dalam hal-hal yang tidak melanggar syara'. Seorang suami yang kaki maksiat wajib ditaati di dalam hal yang ma'ruf.

Jika seorang suami peminum arak, dan dia mahu melakukan hubungan seks dengan isteri, si isteri tetap wajib mentaatinya, kecuali apa yang diminta ialah sesuatu yang bertentangan dengan syara', contohnya liwat, seks ketika haidh, atau dalam keadaan yang akan memudharatkan kesihatan atau keselamatan.

Yang haram ditaati ialah di dalam maksiat.

Sama seperti kita dengan ibu bapa, jika ibu bapa kita jahat sekalipun, akan tetapi kita wajib taat dalam hal-hal yang tidak melanggar syara'.

Saudari tidak dapat membawakan satu dalil sekalipun yang menunjukkan bahawa jika suami tidak bertanggungjawab, maka si isteri tidak wajib taat. Apa yang saudari bawakan hanyalah pandangan semata-mata, sedangkan apa yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah, lain daripada apa yang saudari sebutkan.

Dalil yang saudara bawakan hanyalah menceritakan tentang tanggungjawab seorang suami, kedudukan seorang suami dan isteri. Ia tidak menunjukkan apa-apa maksud yang menyatakan bahawa jika suami tidak bertanggungjawab, maka si isteri tidak wajib lagi taat dalam hal-hal yang tak melanggar syara'.

Lalu apa yang boleh si isteri buat?
Jika dia merasa hak telah terabai, dia boleh buat perkara-perkara yang harus dilakukan seperti meminta fasakh, dan selagi mana mereka masih bergelar suami isteri, selagi itu tanggungjawab sebagai isteri mesti dilakukan. Kezaliman tidak boleh dibalas dengan kezaliman.

Mendapat seorang suami yang tidak bertanggungjawab, tidak bermakna kita juga perlu menjadi isteri yang tidak bertanggungjawab.

Hal ini mestilah difahami dengan benar. Jangan kezaliman dibalas dengan kezaliman, dosa dibalas dosa.

Dalam kita mahu memperjuangkan hak wanita, hendaklah kita sedar kepada batas, dan hendaklah kita tunduk kepada apa yang digariskan al-Quran dan as-Sunnah.

Selagi mana kita memahami al-Quran dan as-Sunnah mengikut kehendak kita, bukan sebagaimana yang Allah kehendaki dan difahami Rasulullah SAW, selagi itulah lelaki-lelaki zalim akan terus menggunakan al-Quran dan al-Hadis untuk menjustifikasi kezaliman mereka, dan perempuan-perempuan yang derhaka akan terus menggunakan al-Quran dan al-Hadis untuk menjustifikasi kederhakaan mereka.

Wallahua'lam.

Suzana Ghazali berkata...

Salam

Tn Usamah; tlg teliti perbincangan2 sy, sy jelaskan kesemuanya. Bkn pertahankan hak wanita hg melanggar syariat. Mohon dijauhkan. Sy ada berikan ulasan lengkap tentang beza wajib taat dan hormat termasuk bila masa permintaan suami boleh ditolak; ada hujah berdasarkan sunnah. Jgn judge berdasarkan satu artikel yg tak lengkap. Apa pun, terima kasih atas pandangan. Sy amat hargai peringatan trsebut. Terima kasih :)

Bawang Goreng berkata...

Assalamualaikum warahmatullah,

Su, sekadar berkongsi. Kemusyilan sudah dijawab JAKIM.

Rujuk : http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf, bahagian SYARIAH - Munakahat - Isu Rumahtangga.

Saya C&P jawapan JAKIM di sini, nombor rujukan PanelSJAIana26052010 :

Berdasarkan ayat dan hadis yang saudara kemukakan menunjukkan bahawa tanggungjawab seorang suami ialah menyediakan nafkah untuk isteri (wajib) dan tanggungjawab isteri ialah taat kepada suami (wajib) kedua-dua tanggungjawab ini mengikat antara suami dan isteri selama mana kedua-duanya menjalankan tanggungjawab masing-masing. Apabila suami gagal menyediakan nafkah maka kewajipan taat akan gugur bagi isteri, bermaksud kalau isteri tidak taat isteri tidak berdosa kalau isteri tetap taat tidak mengapa terpulang kepada isteri. Begitu juga apabila isteri tidak taat kepada suami maka tanggungjawab menyediakan nafkah akan gugur ke atas suami, bermaksud kalau suami tidak sediakan nafkah suami tidak berdosa tetapi kalau suami sediakan juga tidak mengapa terpulang kepada suami. Wallahua'lam.

Terpulang kepada akhi Abu Usamah dan suami-suami lainnya mahu pakai jawapan JAKIM atau tidak...

Salah anggap isteri wajib taat kepada suami fasik WAJIB diperbetulkan. Jangan salah guna kuasa!

Jasmin berkata...

sangat berinformasi..
terima kasih atas perkongsian ini

tinie berkata...

pn suzana..suka baca pendapat dan komentar dalam majalah pa&ma julai.. tq..