13 Julai 2010

Jom koreksi diri


Kita dah berada di bulan Julai; separuh tahun 2010 telah pun berlalu. Bagaimana dengan azam tika satu Januari 2010 disambut? Jika azam anda turut sama berada separuh jalan sama seperti separuh tahun yang telah berlalu; syabas dan tahniah! Jika sekadar sebahagian atau sesuku atau belum menampakkan apa-apa perkembangan ke arah merealisasikan azam tersebut; anda perlu koreksi diri!!

Kenapa azam tersebut gagal berhasil hingga kini? Azam bukan sekadar niat atau tekad tetapi perlukan usaha dan ikhtiar bagi merealisaikan azam tersebut. Jika telah berusaha tetapi belum berjaya; tiba masanya untuk anda bertindak. Senaraikan setiap perkara yang menjadi sebab azam anda masih di langkah mula dan usahakan jalan penyelesaiannya!

Jangan mudah gembira dan jangan cepat patah semangat
Kepada yang berjaya; bersyukurlah!! Jangan mudah gembira atau sombong diri. Kekalahan Brazil tika kemeriahan Piala Dunia yang sedang berlangsung kini bukan saja kejutan sebaliknya sebagai satu peringatan bahawa kejayaan dan kecemerlangan takkan kekal bersama kita. Usah mendabik dada berbangga diri atau memperlekehkan orang lain kerana hidup kita umpama roda yang berputar. Bersyukur kepada-Nya bila kita di atas dan jangan lupa memandang ke bawah kerana nikmat-Nya hanya sementara dan boleh ditarik bila-bila masa.

Buat yang belum berjaya; jangan mudah mengalah atau melatah! Anda bukan gagal cuma belum berjaya. Teruskan berusaha tanpa kenal erti jemu dan penat. Meminjam kata-kata Napoleon Bonaparte: Kejayaan di hujung seribu kegagalan itu lebih bermakna!

Pasti ada rahsia besar yang tersembunyi
Paling penting; anda perlu percaya segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Allah SWT lebih tahu yang terbaik untuk anda dan yang terbaik itu hanya akan tiba tepat pada masanya. Seperti bidalan hikmah: kita mengharapkan sekuntum bunga yang cantik tetapi yang kita perolehi ialah sepohon kaktus. Namun, tiba masanya, kaktus tadi akan berbunga cantik sama seperti yang kita harapkan! Ada tikanya bunga yang cantik itu akan hadir seminggu, sebulan, setahun atau mungkin bertahun-tahun. Berusahalah sedaya upaya untuk terus mencapai misi dan visi yang ditetapkan. Yang penting; ia akan hadir kerana janji Allah pasti; tak ada yang sia-sia dalam segala takdir dan kehendak-Nya!

Jangan lupa SOLAT dan DOA
Di samping usaha; sebagai Muslim, perkara paling penting ialah solat dan doa. Ada yang usaha dan doa tapi tak solat. Ada yang usaha dan solat tapi tak doa. Ingat! Hamba Allah yang tidak berdoa kepada-Nya merupakan hamba yang sombong bodoh! Tak perlu hafaz doa yang panjang dan tidak difahami. Cukuplah luahkan segala isi hati, hasrat dan kehendak anda kerana DIA Maha Mendengar, Maha Memahami walau menggunakan bahasa ibunda sendiri. Solatlah dan berdoalah! Kepada kaum wanita; tidak boleh solat sebab uzur syarie bukan halangan untuk anda berdoa. Berdoalah setiap masa!
****Bahan ini disiarkan menerusi ruangan Cermin Diri akhbar Kosmo! bertarikh 9hb Julai 2010.

Tiada ulasan: