Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma, September 2011.
"Saya merupakan isteri kedua dan mempunyai 3 orang anak dengan suami yang kahwini sejak 7 tahun yang lalu. Apa yang memusykilkan saya, isteri pertama (tidak mempunyai anak) mendapat segala-galanya. Rumah, kereta, pembantu rumah dan lain-lain. Sedangkan saya, suami biarkan kami anak-beranak menetap di rumah pusaka nenek saya. Saya beranggapan ini tidak adil. Bagaimana saya mahu menuntut hak saya dan anak-anak daripadanya?"
"Saya merupakan isteri kedua dan mempunyai 3 orang anak dengan suami yang kahwini sejak 7 tahun yang lalu. Apa yang memusykilkan saya, isteri pertama (tidak mempunyai anak) mendapat segala-galanya. Rumah, kereta, pembantu rumah dan lain-lain. Sedangkan saya, suami biarkan kami anak-beranak menetap di rumah pusaka nenek saya. Saya beranggapan ini tidak adil. Bagaimana saya mahu menuntut hak saya dan anak-anak daripadanya?"
JAWAPAN:
Bagi
sebahagian orang, kes yang puan kongsikan ini mungkin luar biasa. Ye lah!
Biasanya isteri pertama yang merana sebab isteri kedua adalah ‘orang baru’.
Namun realitinya, orang baru atau orang lama bukan jaminan hak akan diperolehi
jika pemberinya tidak melaksanakannya kan!
Seperti
yang selalu saya tegaskan, isteri pertama atau isteri kedua malah isteri ketiga
atau yang keempat; mempunyai kedudukan yang sama, hak yang sama malah
tanggungjawab yang sama. Yang tua bukan ratu, yang muda pula bukan puteri.
Islam tidak membezakan mana-mana isteri dengan syarat anda adalah isteri yang
sah menurut syariat. Seperkara yang penting, bagi mempastikan kedudukan anda di
samping suami, sah menurut syariat tidak cukup kerana hakikat hidup di dunia
ini mempunyai peraturan dan undang-undang maka anda juga perlu mempunyai status
yang sah sebagai isteri kepada suami anda menurut Undang-undang Keluarga Islam
di Malaysia.
Jika
anda menepati kedua-dua kelayakan tersebut, bersyukurlah! Jika anda isteri yang
sah menurut syariat tetapi belum sah menurut Undang-undang Keluarga Islam,
tugas paling penting ialah untuk mengesahkan status anda menurut undang-undang.
Sama ada anda bernikah secara sindiket atau nikah di sempadan, segera hadirkan
diri ke Mahkamah Syariah yang berdekatan dan mohon untuk mengesahkan
perkahwinan anda.
Tak
perlu tunggu suami! Anda boleh pergi sendiri. Bawa salinan kad pengenalan anda,
salinan kad pengenalan suami dan dokumen yang membuktikan perkahwinan anda
berupa surat nikah sempadan atau pas masuk anda ke sana. Bila kes anda
didaftarkan, suami akan dipanggil untuk tujuan pengesahan kes. Anda juga boleh
kemukakan saksi-saksi yang boleh membantu kes anda. Bila anda mempunyai status
sebagai isteri yang sah menurut syariat dan undang-undang, anda layak menerima segalanya
yang wajar diterima oleh seorang isteri, biarpun anda adalah isteri kedua.
Kembali
kepada kes, ada perkara yang perlu dipastikan sebelum saya mensabitkan suami anda sebagai suami yang tidak adil dalam
poligami. Ya! Berdasarkan perkongsian anda, seakan jelas suami anda adalah
suami yang tidak adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami dan
ayah dalam perkahwinan poligami. Namun, kulit tidak mengisahkan isinya kan!
Sama seperti kes puan, perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum jawapan
diputuskan. Perkara yang perlu dipastikan ialah harta yang sedang dinikmati
oleh isteri pertama milik suami puan atau milik madu puan? Kalau harta-harta
tersebut milik madu puan yang berpunca daripada madu puan sendiri sama ada
harta warisan atau hasil kerjanya sendiri, suami puan tergolong dalam kategori
lelaki tidak mampu untuk menyediakan nafkah yang perlu untuk isteri atau
isteri-isteri dan sudah tentulah juga lelaki yang tidak layak untuk
berpoligami.
Jika
itu realitinya, maaf sebab saya terpaksa katakan, puan tidak berhak
mempertikaikan keistimewaan yang diperolehi oleh madu puan. Jika suami puan
mampu menyediakan keperluan harian untuk makan minum, pakaian, kos untuk sakit
demam dan persekolahan anak-anak, suami puan dikira sebagai telah melaksanakan
tanggungjawabnya yang wajar sebagai suami biarpun tidak mampu menyediakan
pembantu rumah, kereta dan terpaksa menetap di rumah pusaka. Andai puan maklum
mengenai keadaan kewangan suami dan percaya suami mampu untuk sediakan rumah,
pembantu dan kereta puan boleh mendesak suami agar menyediakan semua itu menurut
kemampuannya dan tanpa menafikan hak isteri pertama.
Namun,
jika sememangnya segala kemudahan dan kemewahan yang dinikmati oleh madu puan
adalah berpunca daripada suami puan sepenuhnya atau sebahagian besarnya,
betullah puan dan anak-anak tidak diberikan hak yang sepatutnya dan suami puan
telah bertindak tidak adil di dalam poligami. Perkara paling utama yang perlu
puan lakukan ialah berterus terang mengenai rasa tidak puas hati puan kepada
suami dan berbincang untuk selesaikan perkara ini secara baik. Mohon agar suami
bertindak secara adil dalam melaksanakan kewajipannya sebagai seorang suami dan
ayah.
Bersedia
untuk menerima pelbagai alasan suami. Antaranya mungkin tindakan tidak adilnya
disebabkan rasa bersalah atau menghargai pengorbanan isteri pertama yang
membenarkannya berkahwin dengan puan. Jika itu alasan yang dikemukakan, puan
berhak mempertahankan diri. Jelaskan alasan tersebut tidak wajar menurut syarak
dan tidak boleh diterima akal yang waras juga. Atas apa pun alasan, puan dan
anak-anak tidak wajar diperlakukan seperti sekarang kerana syariat dan
undang-undang menentukan puan dan anak-anak mempunyai hak tertentu. Sebagai
seorang suami dan seorang ayah, suami puan perlu menyediakan keperluan makan
minum yang mencukupi, pakaian yang sesuai, tempat tinggal yang selesa,
pendidikan yang baik untuk anak-anak dan keperluan lain yang munasabah dengan
kehidupan hari ini sesuai dengan kemampuan suami.
Jika
suami berkeras atau enggan mendengar nasihat puan, boleh adukan masalah puan
kepada Unit Aduan dan Kaunseling Perkahwinan di Pejabat Agama yang berdekatan.
InsyaAllah, akan ada pegawai bertugas yang boleh membantu puan menjelaskan
kepada suami mengenai hak puan dan anak-anak yang diabaikan secara sengaja oleh
suami puan. Andai nasihat daripada pihak ketiga ini tetap menemui jalan buntu,
dalam erti kata lain suami masih dengan pendirian lamanya, puan boleh kemukakan
kes puan ke Mahkamah Syariah yang berdekatan.
Mohon
untuk dapatkan perintah agar suami berlaku adil dalam poligami. Perincikan segala
tuntutan puan merangkumi hak nafkah meliputi keperluan yang patut untuk puan
dan anak-anak termasuk juga hak untuk diberikan layanan yang adil merangkumi
hak bermalam dan hari perayaan. Menurut undang-undang, suami puan boleh
dikenakan hukuman kerana gagal bertindak adil di dalam poligami namun nasihat
saya, usahakan untuk mendapatkan hak puan terlebih dahulu. Hak pun lebih
penting daripada menghukum suami.
Di
samping segala usaha yang telah disebutkan tadi, puan juga perlu berserah
kepada Allah. Jangan abaikan solat dan berdoalah kepada-Nya agar dilembutkan
hati suami dan hati madu puan juga untuk sama-sama dapat kecapi hidup bahagia
berumahtangga. Puan boleh amalkan Doa Rabitah (rujuk buku berkaitan antaranya
buku Himpunan Doa-doa al-Ma’thurat, doa Rabitah ini ada di bahagian hujung
doa-doa tersebut). Bila membaca bahagian berbunyi ‘hati-hati kami’, pejamkan
mata seketika dan bayangkanlah wajah suami dan madu pun. InsyaAllah! Allah akan
memberikan bahagia sejati untuk puan, suami, anak-anak termasuk madu puan dalam
melayari hidup di dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan