Sememangnya poligami tak perlukan izin isteri. Menurut hukum syarak
dan undang-undang keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia, suami memang tak
perlu dapatkan izin isteri pertama jika ingin berpoligami. Mengikut seksyen 23,
Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang hampir sama sahaja
dengan enakmen keluarga Islam di negeri-negeri lain, mana-mana suami yang ingin
berpoligami, hanya perlu membuat permohonan ke Mahkamah Syariah.
Permohonan
yang dikemukakan perlu memenuhi syarat seperti yang disebut menurut peruntukan
seksyen 23 (3) : Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada
Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan
menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan
perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan
dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya,
termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan
perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada keizinan atau pandangan isteri
atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap
perkahwinan yang dicadangkan itu.
Bererti
setiap permohonan perlu mempunyai:
- suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu,
- butiran pendapatan pemohon pada masa itu,
- butiran komitmen pemohon dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan,
- bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu,
- sama ada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.
Permohonan
yang memenuhi syarat akan diproses sebelum mendapat kelulusan. Sebelum
diluluskan, isteri atau isteri-isteri sedia ada akan dipanggil bagi membantu
Mahkamah Syariah membuat keputusan seperti disebut dalam seksyen 23 (4) dan
kelulusan hanya diberikan oleh Mahkamah Syariah jika berjaya memenuhi semua
empat syarat yang ditetapkan:
(a) bahawa
perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada,
antara lain, hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani,
tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi
perintah untuk pemulihan hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau
isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa
pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana
dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk
orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang
dicadangkan itu;
(c) bahawa
pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut
kehendak Hukum Syarak; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan
menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
Peruntukan
ini jelas; Mahkamah Syariah tak perlukan izin isteri untuk memberikan kelulusan
terhadap permohonan poligami. Bermaksud, andai isteri atau isteri-isteri sedia
ada mengizinkan sekali pun tetapi Mahkamah Syariah tidak berpuas hati mengenai
kewajaran berlakunya perkahwinan yang baru, permohonan tidak akan diluluskan.
Sebagai
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, saya berpuas hati dengan
ketetapan undang-undang yang ada. Biar tak perlukan izin isteri tetapi isteri
wajar dimaklumkan mengenai hajat suami. Perkahwinan poligami tanpa pengetahuan
isteri adalah tidak wajar dan merupakan satu penganiayaan terhadap isteri sedia
ada.
Masalah
yang berlaku kini ialah ramai suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah
Syariah sebagai contoh, berkahwin di sempadan dan kembali ke Malaysia untuk
pengesahan. Peruntukan pula menyebut, Mahkamah Syariah boleh sah dan daftarkan
jika perkahwinan tersebut sah menurut syariat. Ramai suami berbangga kerana
melaksanakan sunnah Rasulullah SAW untuk berpoligami tetapi dalam masa yang
sama, gagal melaksanakan tuntutan sunnah Rasulullah SAW yang lebih utama iaitu
untuk melayani isteri dengan baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara
kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah
orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap
isteriku.” - hadis riwayat al-Tirmizi. Berbuat baik seperti saranan
Rasulullah SAW bermaksud tidak mengkhianati isteri dalam diam. Bila suami
berkahwin secara diam atau rahsia walau suami berjaya menyembunyikan rahsia
tersebut hingga ke akhir hayat anda atau akhir hayat si isteri, sesungguhnya si
suami tetap seorang pendusta dan menganiayai isteri.
Undang-undang
tetapkan si isteri berhak memberikan pendapat dan pandangan walau tidak
mengikat keputusan hakim kerana hanya isteri yang lebih kenal dan faham dengan
suaminya. Kemampuan kewangan sahaja tak mencukupi jika isteri dan anak-anak
yang sedia ada tidak diberikan layanan sewajarnya seperti yang dikehendaki
syariat. Isteri berhak bersuara menyatakan pandangan dan membuktikan
ketidakwajaran si suami untuk berpoligami. Keputusan, Mahkamah Syariah yang
akan berikan. Saya mencadangkan, akan ada peruntukan yang menyatakan, mana-mana
lelaki yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah dan ketika permohonan
pengesahan untuk pendaftaran dibuat terbukti si lelaki tidak layak berpoligami
menepati kehendak undang-undang, maka hakim berhak memerintahkan farak –
putuskan hubungan. Peruntukan ini perlu bagi menjamin kehidupan isteri. Bukan
saja isteri pertama tetapi juga isteri yang dikahwini secara rahsia tersebut.
Satu
perkara yang pasti; bukan semua lelaki layak berpoligami. Bukan saja poligami,
dalam kehidupan masyarakat sekarang ini, bukan semua lelaki layak untuk
berkahwin monogami pun. Hukum syarak tentukan lima hukum berkaitan perkahwinan
berasaskan kelayakan seorang lelaki. Lelaki yang tidak mampu untuk membiayai
keperluan harian si isteri selepas berkahwin dikategorikan sebagai haram
berkahwin. Bererti, tak perlu bangga menjadi lelaki kerana boleh berpoligami.
Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang
diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988): “poligami bukanlah
suatu prinsip yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh
menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara
harus dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat.” Jelasnya, walaupun bahasa yang
digunakan di dalam ayat yang mengharuskan poligami ini berunsur perintah, ia
bukanlah membawa kepada makna wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati ia boleh
membawa kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami
tidak berupaya berlaku adil dan mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri yang
dikahwini.
Pengalaman saya, jika
suami mampu melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan syariat merangkumi
nafkah zahir, nafkah batin, mendidik isteri dan anak-anak dengan baik serta
tidak meminggirkan isteri dan anak-anak sedia ada ketika cuba mencari calon
isteri kedua, isteri takkan menghalang jika suami ingin berpoligami. Jika
sebelum sah perkahwinan, isteri sedia ada dan anak-anak sedia ada sudah
tersisih, bagaimana nak buktikan suami mampu berlaku adil jika berpoligami?
3 ulasan:
Assalam. .
Saya nak bertanya sedikit la...saya dan pasangan saya (bakal poligami) sudah buat dokumen untuk poligami sepertimana y diterangkan diatas melalui peguam saya..malangnya belum sempat kami mahu teruskan kes ke mahkamah si isteri dan kuarga mertua pasangan saya masuk campur..di sebelah kuarga saya dan ibu bapa pasangan saya tak ada halangan..bila saya bersemuka dengan si isteri pasangan saya dan bertanya apa sebabnya dia menghalang perkahwinan kami..alasannya tak sanggup dimadu..bila saya tanya alasan lain..dia kata tiada..saya tau pasangan saya memang baik.sepanjang kami berkawan dia tidak penah abaikan tanggungjawapnye pada keluarga dan anak..
Boleh bagi ulasan sikit pada pemasalahan saya ni
Nor Fatihah; mohon deal temujanji khidmat nasihat dgn PA saya untuk penjelasan ya. Info lanjut ada di blog yg sama. TQ
Assalamualaikum,,
saya sdh brumahtangga dan mmpunyai anak seramai 9 org. Suami sya tlh bernikah lagi satu tnpĆ pgethuan sya. Mrka bnikah sbnyak 3 kali hnya utk mdptkn surat kahwin. Sya tau suami sya x mmpu utk bpoligami , dan kbyakkan pbelanjaan pprem tu yg tanggung. Soalan saya layakkah mereka mdpt surat kahwin. Utk pengetahun puan mrka kahwin kmpung dan tanpa restu org tua pprem tu. Maksudnya ni kahwin bwalikan diri sendiri, pprem masih perawan.soalan sya lgi sahkan pernikahan mrka ni. Apa yg perlu sya buat. Tlg beri pnjelasan.
Catat Ulasan