08 Mei 2008

Selamat Hari Ibu


Hujung minggu ini, setiap wanita yang mempunyai anak (tak kisahlah anak sendiri, anak tiri atau anak angkat asalkan di antara wanita dan anak tersebut wujud hubungan kasih sayang ibu dan anak) layak menerima ucapan SELAMAT HARI IBU.

Tahun ini adalah tahun kelima saya menyambut hari ibu. Alhamdulillah, pada tahun kelima ini, saya telah mempunyai tiga cahayamata penyejuk hati dan emosi. Terasa sekejap sangat masa berlalu. Bagai tak percaya pun ada.

Saya masih ingat lagi, tika sahabat baik saya, Syikin, bakal melahirkan anak keduanya hampir lapan tahun lepas, saya pernah menyuarakan: "Jika aku tak ditakdirkan bertemu jodoh tika dah berusia 30 tahun, aku nak mintak seorang anak kau jadi anak angkat aku..." Memang permintaan melampau tetapi itulah hasrat saya tika itu.

Alhamdulillah, dua tahun selepas hasrat itu saya luahkan, saya ditakdirkan bertemu jodoh dan tika meraikan ulangtahun perkahwinan yang pertama, saya sudah memiliki puteri sulung saya, Ayuni Syafiqah yang lahir di stesen minyak Petronas Sg Perak arah utara pada jam 2.40am 12hb Januari 2003. Seterusnya Allah anugerahkan saya dengan kelahiran Azfar Suhail dan Afkar Sulaim. Alhamdulillah... anak-anak adalah kebahagiaan saya.

Benarlah kata orang, anak-anak adalah permata hati. Walau penat yang amat sangat, segala lelah akan rasa berlalu begitu sahaja setelah melihatkan senyum tawa anak-anak. Jika dulu Mak selalu cakapkan pada saya yang sering pertikaikan sikap Mak yang selalu sangat risau tentang saya dan adik-adik: "Hang tak jadi Mak lagi, hang tak faham la... hang jadi Mak nanti baru hang tau..."

Betul kata Mak, kini saya mula faham kerisauan Mak. InsyaAllah, esok pagi saya akan bertolak balik ke kampung untuk bertemu dengan Mak dan Bapa. Kali ni semua adik-adik turut balik dan kami akan berkumpul. InsyaAllah, akan ada sambutan istimewa untuk Mak kali ni...

Kepada semua wanita bergelar Mak, Ibu, Mama, Ummi atau apa saja panggilan anda, saya ucapkan Selamat Hari Ibu. Kepada anda yang bernama anak, luahkan rasa kasih kepada ibu anda selagi hayatnya masih ada...

***Saya akan bercuti mulai 9hb hingga 14hb Mei. Jumpa lagi nanti....

1 ulasan:

AINJASH DAMIA berkata...

bestnyer ada mak...mak i dah 12 tahun meninggal dunia...saat teringin nak makan masakan mak, tagih pada keprihatinan mak sudah takde galang-ganti...