Bangun subuh, badan masih lemah dan kepala masih sedikit pening tapi saya kuatkan diri. Ya lah, nanti dah menyusahkan pihak Astro Awani pulak. Jadi makin kuat bila saya kejutkan Ayuni dan Suhail untuk ke sekolah, soalan pertama yang keluar daripada mulut puteri dan putera saya itu ialah: "Ummi dah sihat?" Alhamdulillah, saya mempunyai anak-anak yang prihatin.
Setelah memaksa diri hari Jumaat hingga ke petang menghadiri sesi temujanji bersama klien, bersambung ke hari Sabtu memberikan ceramah empat jam dalam Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Parlimen Kota Raja. Pertama kali saya bermasalah untuk melontarkan suara dalam sesi ceramah saya. Tekak perit tapi saya paksakan diri dan alhamdulillah, pada akhir sesi ceramah, maklumbalas yang saya terima memuaskan.
Sejak Khamis juga, saya dah bgtau PA saya, saya tak nak terima apa-apa temujanji bermula Isnin hingga Khamis minggu ini. Saya nak rehat. Badan saya dah lama tak rehat. Sejak terlibat dengan projek bersama Jabatan Pembangunan Wanita, memberikan ceramah dalam Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita bermula awal Mei, memang setiap minggu ada program ceramah tersebut. Ada tikanya, dua program dalam seminggu. Kiranya hujung minggu saya adalah hari bekerja walau mungkin hari Ahad atau Isninnya saya cuti tetapi masih dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat program.
Tak terasa penat, mungkin disebabkan seronok melakukan tugasan ini, peluang yang memang saya tunggu-tunggu. Berenggang dengan anak-anak? Tidak sama sekali sebab acapkali anak-anak menyertai sesi perantauan saya tersebut. Hinggalah Khamis 2hb baru ni, badan saya diizinkan Allah memberikan isyarat kepada saya agar saya rehat seketika. Hari keempat berehat, hanya tidak bertemu klien tetapi saya bekerja dari rumah, ada beberapa perkara yang perlu juga diselesaikan namun alhamdulillah, badan makin sihat walau suara masih serak-serak basah kata orang :)
Entahlah, agaknya dah jenis tak reti nak duduk diam. Bukan nak memuji diri sendiri, tapi terus terang, saya memang tak reti duduk saja. Ingat lagi masa bekerja di syarikat multimedia dulu (kepada yang belum tau, saya pernah bekerja sebagai instructional designer di sebuah syarikat multimedia selepas melepaskan sementara jawatan peguam syarie di samping menjalankan khidmat konsultansi dan kini, saya terlibat sepenuh masa dalam konsultansi), ada tikanya kami terpaksa menunggu team grafik siapkan kerja sebelum kami boleh lakukan tugasan kami semula. Masa ni lah saya akan merayau-rayau mencari apa-apa tugasan yang boleh saya lakukan dan jika tiada, saya akan menyediakan apa-apa perbincangan berkaitan konsultansi yang saya kendalikan. Duduk diam saja? Alamatnya saya akan menguap.... bosan dan mula mengantuk la...
Kadang-kadang, saya pelik juga memikirkan mereka yang malas bekerja. Terus terang, kes suami malas bekerja semakin banyak dan bertambah dari sehari ke sehari. Dalam satu kes yang saya terima awal Jun dulu, seorang isteri menyara si suami yang bukan saja enggan bekerja tetapi juga seorang penagih dadah. Yang sedihnya, ibu si suami (yang sepatutnya berehat di rumah bermain bersama cucu) yang berusaha keras bekerja membantu menantu menampung perbelanjaan harian. Itu kes si isteri ada pendapatan, mungkin juga menjadi faktor suami malas bekerja. Dalam satu kes lain, seorang isteri yang tidak mempunyai pendapatan tetap, berusaha mencari makanan untuk disuap ke mulut enam orang anak dengan mencari tin-tin aluminium. Anak-anak yang masih kecil diheret bersama mencari tin tersebut sedangkan suami, yang sihat walafiat, tidak ada apa-apa kecederaan, hanya berseronok menghayun kerusi malas sambil menonton televisyen.
Dua kes sahaja, banyak lagi kes yang serupa. Petanda dunia kini berada di hujung nyawa. Sebabnya? Suami dah mula selesa dengan keadaan tidak menunaikan tanggungjawab dan dengan gembira serta senang hati pula meletakkan bebanan tanggungjawab tersebut ke bahu isteri. Wanita bernama isteri, yang sinonim dengan seorang yang lembut tetapi tidak lemah, akan berusaha sedaya upaya untuk menyuapkan sebiji nasi ke mulut anak-anak, menyediakan susu dan apa juga keperluan si anak. Biar terpaksa berpanas atau berhujan, demi anak-anak... isteri dan ibu ini tetap gagah dan kuat menghadapi ranjau hidup.
Pelik? Tiada yang peliknya dunia kini. Namun, tetap ada jalan penyelesaiannya. Jika suami anda bekerja tetapi tidak memberikan nafkah yang sepatutnya kepada anda dan anak-anak, pergilah ke Mahkamah Syariah dan dapatkan perintah nafkah. Mahkamah boleh perintahkan agar gaji suami anda dipotong dan dimasukkan terus ke akaun anda untuk tujuan saraan nafkah anda dan anak-anak. Jika suami anda malas bekerja, saya minta agar anda juga jangan jaga kebajikan harian suami anda. Jangan peduli kalau dia tak makan, biarkan dia berlapar sebab tanggungjawab mengisi perut dia bukan di tangan anda. Suami baran? Jangan takut dan memendam perasaan sebaliknya bertindaklah.
Kenapa masih simpan suami yang tak berguna? Kalau dah ada suami tapi macam tak ada suami kecuali bila malam sahaja tidurnya mintak diulik dan dilayan, lebih baiklah tak ada suami... hati tak sakit, malam tak penat dan boleh rehat. Saya bukan menggalakkan perceraian tetapi saya menjelaskan hak anda. Prinsip perkahwinan menetapkan setiap individu iaitu suami dan isteri mampu merasa tenang dan bahagia dengan perkahwinan dan setiap individu juga mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam perkahwinan tersebut.
Dah kalau peranan dan tanggungjawab pihak satu lagi pun perlu dan terpaksa anda pikul, apa lagi prinsip perkahwinan yang nak anda pegang??? Sabtu ini, saya akan berikan ceramah yang sama dengan sesi ceramah sebelum ini, berkaitan menangani keganasan terhadap wanita di Batu Caves. Kiranya siri ceramah saya yang ke-10. Saya harapkan akan berlaku lebih banyak perkongsian ilmu dan saya dapat menyuntik semangat ke dalam diri wanita-wanita yang memerlukan.
Namun, seperti yang selalu saya tegaskan, saya hanya mampu berikan maklumat dan semangat. Jika anda terlibat dalam kes berkaitan, enggan mengubah keadaan diri anda, saya atau siapa pun juga, tak boleh berbuat apa-apa. Ya, saya faham, setiap yang berlaku dalam hidup anda itu adalah ujian. Tapi, ujian bukan bermaksud untuk kita terima hanya dengan tangan terbuka tanpa berusaha untuk menyelesaikan dan keluar dari ujian tersebut. Ingat!! Redha dengan ujian-Nya bermaksud anda perlu berusaha mencari jalan keluar dan memohon petunjuk-Nya.
Allah dah jelaskan, Dia takkan ubah nasib kita jika kita tak nak usaha mengubahnya... lantas... tepuk dahi, tanya minda sendiri.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan