Hari ni, 6hb Januari bererti hari keenam kita semua berada di tahun baru 2010. Terus terang, masih segar di ingatan saya betapa meriahnya sambutan tahun baru tika di ambang tahun 2000 dan kini, 10 tahun telah berlalu. Betapa cepat dan pantas. Pelbagai peristiwa dan kisah tersendiri berlaku di dalam hidup kita. Ada antaranya yang tak pernah terlintas langsung di fikiran kita. Ada antaranya juga yang memang kita harap dan berdoa agar dijauhkan daripada mendekati perjalanan hidup kita tetapi dengan kehendak dan kuasa-Nya, kita didekati jua.
Memandang kepada diri sendiri, tika ambang 2000, saya seorang wanita muda yang baru menyambut ulangtahun kelahiran ke 25. Masih belum bertemu jodoh, sedang bersemangat mengejar impian menjadi seorang Peguam Syarie yang dedikasi. Tika itu saya digelar 'lawyer rugged' disebabkan penampilan saya menggunakan motosikal ke mahkamah.
Kini, setelah 10 tahun berlalu, saya bukan lagi seorang Peguam Syarie (masih boleh ke mahkamah sebab mempunyai sijil perlantikan yang sah cuma tidak aktif sejak 2004) sebaliknya seorang Perunding, berkhidmat memberikan nasihat, panduan atau apa-apa saja yang sewaktu dengannya. Sedangkan, menjadi Peguam Syarie adalah cita-cita saya malah saya memilih untuk putus tunang apabila tunang saya tika itu tidak bersetuju dengan cita-cita saya. Sungguh, Allah SWT lebih tau yang terbaik untuk kita.
Saya yakin, ramai yang masih hangat dengan azam tahun baru. Semalam, dalam perjalanan menghantar anak-anak ke sekolah, DJ sebuah stesyen radio mengkhabarkan, satu kajian yang dibuat mengatakan; kebanyakan masyarakat Malaysia mempunyai semangat untuk merealisasikan azam baru dalam tempoh masa lima hingga enam minggu sahaja. Saya percaya, kajian tersebut bukan tidak boleh dipercayai. Sebab? Seperti status FB saya hari ni, awal pagi tadi: Hari keenam tahun 2010. Sudah sediakah segala perancangan bagi mencapai azam dan tekad di tahun baru? Azam akan tetap tinggal sebagai azam jika tiada perancangan untuk berusaha menjadikannya realiti bagi menikmatinya penghujung tahun nanti...
Ya!! Azam bukan sekadar satu tahap pencapaian atau kedudukan atau cita-cita atau apa juga yang kita hasratkan tika tibanya tahun baru. Azam sebenarnya adalah satu matlamat yang perlu kita usahakan agar matlamat tersebut dicapai. Untuk menjadikan azam atau matlamat kita satu realiti maka perlu ada usaha termasuk juga perancangan yang berkaitan.
Ya! Tidak semua perancangan menjadi kenyataan. Jika itu yang anda tanamkan dalam fikiran anda, insyaAllah, tika sambutan tahun baru 2020 pun, azam anda awal tahun ini akan terus menjadi azam yang tinggal azam. Kenapa berfikiran negatif? Menjadi kenyataan atau tidak, bukan kerja kita, bukan kerja anda, bukan kerja saya malah bukan kerja sesiapa pun juga. Nyata atau tidak adalah kerja Dia. Berusaha sedaya upaya, mungkin perlu ada pelan A atau B atau C atau mungkin hingga pelan Z, teruskan usaha sebab berusaha adalah kerja kita dan menjadi nyata atau sebaliknya itu kerja Dia, biar Dia yang tentukan.
Sebab itu lah juga kita disarankan agar mendoakan yang terbaik. Saya sama seperti anda, tak tau mana yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Seperti yang selalu saya tegaskan, berdoa mohon yang terbaik bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk insan tersayang di sekeliling anda. Sekiranya anda telah berusaha sesungguhnya, mungkin hingga dah habis semua pelan A to Z tapi masih juga azam anda belum menjadi nyata, pasti ada sebab dan hikmahnya.
Saya nak terus kongsi kisah sendiri. Bermula sebagai peguam sebab memang itu cita-cita saya, tak kira apa berlaku saya nekad untuk menjadi peguam. Takdir Allah SWT, selepas melahirkan anak kedua, saya nekad untuk berundur diri sebab nak berikan tumpuan kepada suami dan anak-anak. Tika itu, saya mula melibatkan diri dalam pembangunan multimedia, satu bidang yang terlalu asing buat saya dan dalam masa yang sama, saya mula menulis bersama Mingguan Wanita. Tak pernah terniat langsung untuk meninggalkan bidang multimedia disebabkan rasa seronok dengan bidang baru tersebut malah tika itu, saya menjalankan kerja-kerja konsultansi secara sambilan.
Namun, Dia mengatur segalanya, awal tahun lepas saya terpaksa menarik diri sepenuhnya dari bidang multimedia dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja konsultansi. Alhamdulillah, buku saya diterbitkan dan saya menerima tawaran bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita. Sejak bekerja awal 1998 juga, saya tak pernah merancang untuk balik bekerja di Kedah namun dengan kehendak-Nya, kini sudah lebih empat bulan saya beroperasi di Kedah. Insya Allah, bermula Februari nanti, saya terlibat sebagai jurulatih PLKN pula.
Lain hasrat dan keazaman dan perancangan, berbeza jawapan dan keputusan kerana saya yakin, setiap yang berlaku di dalam hidup saya adalah dengan kehendak-Nya yang ternyata adalah yang terbaik untuk saya dan insan-insan tersayang di sekeliling saya.
Lantas, jangan patah semangat walau apa juga rintangan dan halangan mendatang dalam usaha mencapai segala azam dan tekad anda. Rintangan dan halangan tersebut bukan untuk menggagalkan anda sebaliknya untuk menjadikan anda lebih baik daripada sebelumnya.
Paling penting, bukan tahun baru, bukan azam baru, bukan rumah baru, bukan baju baru, bukan tempat kerja baru, bukan isteri baru atau suami baru, bukan harga gula baru atau harga roti baru sebaliknya ANDA PERLU JADI ORANG BARU. Bertukarlah menjadi seorang yang lebih baik.
Jika sebelum ini anda kurang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami atau ibu atau bapa atau anak atau pekerja atau majikan atau apa saja yang sewaktu dengannya, anda perlu pastikan anda adalah LEBIH BAIK sebagai seorang isteri atau suami atau ibu atau bapa atau anak atau pekerja atau majikan atau apa saja yang sewaktu dengannya, pada tahun baru ini. Lebih baik bukan pada hari pertama atau minggu pertama atau bulan pertama sahaja sebaliknya lebih baik sepanjang tahun. Malah, seorang individu yang cemerlang adalah orang yang harinya pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam.
Mungkin ada yang terfikir; kalau hari ni ditimpa kecelakaan, contohnya terjatuh daripada tangga, sudah pasti hari ini bukan lebih baik daripada semalam. Betulkah begitu?
Jawapan saya; bergantung kepada diri anda sendiri! Jika anda terima kecelakaan yang menimpa anda sebagai satu muhasabah diri, menjadikan anda lebih dekat kepada-Nya, bererti hari yang anda rasakan celaka itu adalah lebih baik daripada semalam yang tidak celaka.
Perlu diingat, LEBIH BAIK bukan bererti lebih berjaya, lebih cemerlang, lebih dihormati, lebih dikenali atau pelbagai kelebihan lain sebaliknya hari yang lebih baik wujud apabila anda berjaya mendekati Dia yang Maha Esa, lebih pasrah dan redha mengharapkan petunjuk dan pertolongan-Nya atau dalam erti kata lebih mudah, LEBIH BERTAWAKAL DAN BERSERAH KEPADA-NYA SERTA BERSEDIA MENERIMA APA JUGA KEHENDAK-NYA selepas segala usaha dan ikhtiar telah anda lakukan.
Bercakap mudah lah, cuba harungi sendiri, baru tau langit tu tinggi ke rendah... mungkin ada yang berpendirian demikian. Saya faham, bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham bukan sekadar faham tetapi faham sangat-sangat. Cuma satu perkara yang nak saya kongsikan; Allah dah tegaskan, setiap ujian yang diberikan kepada hamba-Nya adalah bersesuaian dengan kemampuan hamba-Nya tersebut. Bererti, Allah SWT tau kita mampu tangani segala ujian yang diberikan oleh-Nya.
Jika Allah SWT yakin dengan kemampuan kita, kenapa kita tidak yakin dengan kemampuan kita sendiri? Percayalah, walau apa juga halangan, masalah atau dugaan, pasti ada jalan penyelesaian yang tersendiri.
Yang penting, gunakan sepenuhnya minda anda. Biarkan otak anda ligat berfikir, mencari jalan usaha untuk menjadi yang lebih baik dari hari ke hari, bukan memikirkan malang dan malang dan malang yang menimpa diri. Jika malang yang anda fikirkan, pasti malanglah hari-hari anda.
JOM!! Pinggirkan perkara negatif! Sematkan perkara positif. InsyaAllah.... biar perkara negatif mendekat, ia pasti akan nyah sendiri nanti... atas kehendak-Nya jua!! Tahun baru.... JOM JADI SEORANG YANG BARU!!!
P/S: Boleh dapatkan buku Anda Yang Baru karangan Faizal Yusuf .
1 ulasan:
a good post kak! terima kasih..
Catat Ulasan