07 Disember 2010

Curiga suami dingin seks


Saya kongsikan soalan Dilema Perkahwinan Majalah Pa&Ma siaran bulan September. Moga bermanfaat!

------------------------------------


Kesibukan tugas di pejabat dan beban menggalas tanggung jawab menguruskan rumah tangga menjadikan saya kurang berminat untuk melakukan hubungan asmara. Sering kali ajak suami saya tolak dengan baik. Saya tahu saya bersalah tetapi kepenatan mengatasi segala-galanya. Kini, suami tidak lagi seperti dahulu yang kerap mahu mengadakan seks. Saya mula curiga pada kejujurannya. Perlukah saya berbincang dari hati ke hati dengannya?

JAWAPAN:

Sebelum persoalan puan saya jawab; saya ingin kongsikan bersama puan dan pembaca semua mengenai seks menurut syarak. Perlu difahami; seks bukan semata-mata melampiaskan kehendak nafsu sebaliknya Islam mengiktiraf seks atau berjimak termasuk di dalam perkara ibadat dan boleh mendatangkan pahala.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - hadis riwayat Muslim.

Hadis ini menjelaskan lagi antara hikmah perkahwinan disyariatkan di dalam Islam. Antara hikmah perkahwinan ialah bagi memupuk perasaan kasih sayang di antara suami dan isteri, kerana fitrah manusia inginkan kasih sayang dan belaian daripada orang yang tertentu.

Fitrah berkasih sayang ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan menjadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan….”

Perkahwinan juga disyariatkan bertujuan untuk mengelakkan manusia daripada melakukan perbuatan maksiat, khususnya zina. Perkahwinan menyelamatkan seseorang daripada perbuatan zina kerana tuntutan syahwat dapat disalurkan melalui cara yang halal. Anjuran perkahwinan juga sebagai cara untuk menikmati ketenteraman dan kedamaian jiwa dan perasaan. Hidup sebagai suami isteri dalam sebuah rumahtangga yang aman bahagia dapat memberikan kedamaian kepada jiwa kerana sentiasa mendapat berkat daripada Allah SWT.

Ramai yang salah faham tentang layanan seks di dalam sesebuah perkahwinan. Rata-rata kes, kewajipan melayan keperluan seks diletakkan sepenuhnya kepada isteri. Hakikatnya, keperluan layanan seksual adalah kehendak kedua-dua pihak iaitu kehendak suami dan juga kehendak isteri. Jika suami berkehendak maka isteri perlu melayan. Sama juga jika isteri berkehendak maka suami perlu melayan.

Kembali kepada persoalan puan; ingin saya kongsikan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan melayani ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.” – hadis riwayat sebahagian Ahli Sunnah.

Hadis ini memberikan satu fakta: jika suami marah disebabkan ajakannya ditolak maka si isteri akan dilaknat oleh malaikat hingga ke pagi. Menjelaskan bahawa jika suami tak marah dan bersedia memahami, terlepaslah si isteri daripada dilaknat malaikat. Kalau sekali dua, mungkin suami tak marah. Kalau dah selalu ditolak? Mengikut fitrah lelaki dan wanita; kedua-duanya mempunyai kehendak seks yang berbeza. Kebanyakan wanita tak kisah sangat dengan seks tambah bila keadaan tidak menyenangkan diri, hati dan fikiran. Bagi kebanyakan lelaki pula, biar apa pun keadaan; seks menjadi pengubat menghilangkan segala keresahan dan tekanan. Maklumat berharga ini sepatutnya diketahui oleh para isteri dan suami; agar lebih memahami kehendak masing-masing.

Maaf jika kata-kata saya tidak disenangi oleh puan. Terus terang; bagi saya; penat bukan satu alasan yang wajar untuk anda menolak kemahuan suami. Ya! Faham… banyak tugas dan tanggungjawab anda, sebab itu bukan senang nak dapatkan darjat isteri solehah yang dijanjikan dengan syurga oleh Allah SWT. Penat memang ada dan pastinya ada juga penawarnya. Gunakanlah pelbagai ubatan atau makanan tambahan yang ada. Perlu berusaha untuk memulihkan tenaga jika berkehendak untuk kekalkan kebahagiaan dan keharmonian bersama dalam rumahtangga. Seperti yang saya jelaskan di awam tadi; suami mempunyai kehendak seks yang berbeza dengan isteri.

Sungguhpun berbeza, tidak semestinya perbezaan tersebut menjadi jurang yang menjarakkan hubungan suami isteri. Pakar kesihatan menyarankan agar hubungan intimasi suami isteri diadakan dua hingga tiga kali seminggu. Itu cadangan daripada pakar kesihatan yang saya yakin, boleh dijadikan sebagai panduan kekerapan anda menerima dan melayani kehendak seksual suami.

Jika kekerapan biasa hubungan puan dan suami tidak lagi berlaku; memang puan berhak curiga tetapi bukan dengan menuduh suami mempunyai orang ketiga. Ada tikanya suami telah mula malas untuk meminta sebab bimbang akan terus ditolak kehendaknya. Lantaran suami mengambil tindakan berdiam tanpa suara. Berdepan keadaan seperti ini; memang sudah tiba masanya untuk puan berbicara hati ke hati dengannya.

Seperti yang selalu saya tegaskan, dalam apa pun keadaan; suami dan isteri perlu praktikkan komunikasi unggul iaitu sentiasa berterus terang dan berbincang dengan pasangan. Jika anda mengharapkan pasangan anda memahami begitu sahaja; penyelesaian sukar diperolehi sebab pemahaman yang mungkin wujud dalam diri pasangan anda tidak semestinya bertepatan dengan kehendak dan kemahuan anda.

Puan perlu bersedia untuk mengakui kesilapan sendiri kerana gagal memberikan layanan terbaik kepada suami sebelum ini. Malah puan perlu bersikap terbuka menerima apa juga kritikan atau ngomelan suami. Puan boleh memohon agar suami turut membantu kerja-kerja rumah atau menjaga anak-anak. Jelaskan betapa bantuan suami akan dapat mengurangkan bebanan kerja puan di rumah dan puan boleh berikan yang terbaik untuknya dalam layanan seksual, insyaAllah! Ingat! Jangan mengarah sebaliknya merayu. Gunakanlah suara yang lembut dan berbincanglah ketika keadaan mengizinkan. Puan boleh ‘memikat’ suami untuk ‘bersama’ dan selepas itu, bercakaplah elok-elok dengannya.

Bersedia juga untuk menerima reaksi serupa dalam beberapa tempoh masa. Ada tikanya suami akan bersikap ego; enggan terima kesilapan isteri dan merasakan isteri masih perlu diajar. Jika puan berdepan keadaan tersebut; jangan putus asa, teruskan memikat suami. Biar terpaksa memulakan hubungan intim tersebut, teruskan lah. Dalam masa yang sama; terus juga ucapkan maaf atas kesilapan lalu dan paling penting; berdoa agar suami lembut hati dan memaafkan kesilapan puan.

Seperkara lagi; puan juga perlu bersedia menerima berita hadirnya orang ketiga antara kalian berdua. Bukan mendoakan tetapi pernah terjadi; kasih suami berpaling arah selepas acapkali keinginan ditolak menyebabkan diri rasa tidak diperlukan lagi lantas mencari kasih yang baru. Berdoa dan berserahlah kepada-Nya. Pasti ada hikmah jika benar ada orang ketiga; agar anda lebih menghargai kasih suami dan berusaha berikan yang terbaik kepadanya, insyaAllah!!!

Tiada ulasan: