26 Disember 2010

Dilema isteri: suami lebihkan ibu sendiri


SOALAN

Awalnya, hubungan dengan ibu mertua mesra. Malah sebelum berkahwin dulu, saya berjaya merapatkan diri dengan ibu mertua. Namun, sejak akhir-akhir ini, setelah tiga tahun berkahwin, hubungan mula renggang tanpa diketahui puncanya. Ini menyebabkan saya meluahkan perasaan tidak puas hati kepada suami. Malangnya, suami menyatakan saya sebagai menantu tidak tahu diuntung dan berterusan menyokong ibunya. Saya kesal dengan sikap suami yang tidak sesekali berusaha membantu saya menjernihkan hubungan yang makin keruh ini. Saya makan hati dengan suami dan ibu mertua juga. Apa yang patut saya lakukan?

JAWAPAN:

Fenomena menantu bermasalah dengan mertua bukan satu perkara yang asing dalam sesebuah perkahwinan. Namun, bukan bererti masalah ini perlu dibiarkan. Saya ucapkan syabas kepada puan kerana segera berusaha untuk menyelesaikan masalah yang puan sendiri tak pasti puncanya. Tambahan pula, Islam memerintahkan agar seorang menantu menghormati ibu mertuanya bagaikan ibu sendiri. Bukan itu saja malah Islam menyuruh seorang mertua menjadikan menantunya bagai anaknya sendiri.

Dalam kes puan ini, perkara pertama yang perlu puan lakukan ialah jangan terasa hati atau marah dengan sikap suami yang menyokong ibu mertua puan. Berkecil hati atau marah akan menyebabkan hubungan puan dan suami akan dingin dan hambar bererti menambahkan masalah yang ada. Puan perlu ingat, mertua puan itu adalah ibunya. Suami puan terlebih dahulu kenal dengan ibunya berbanding mengenali puan maka memang selayaknya pun suami puan menyokong ibunya. Namun, ada juga pengecualiannya. Kehadiran puan sebagai isterinya juga perlu dipertimbangkan dan dihargai. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan puan bahawa suami puan sepatutnya bertindak sebagai orang tengah untuk menjernihkan hubungan antara puan dan ibunya.

Lantaran, perkara paling penting yang perlu puan lakukan ialah berbincang dengan suami. Seperti luahan puan, suami melabelkan puan sebagai menantu yang tidak tahu diuntung. Saya yakin, pasti ada penjelasan kenapa penyataan tersebut keluar daripada mulut suami puan. Carilah masa dan keadaan yang sesuai untuk berbincang dengan suami mengenai perkara ini. Nyatakan, puan bukan nak menegakkan kebenaran diri sendiri cuma sekadar nak jernihkan keadaan. Luahkan juga, puan hormati mertua bagaikan ibu puan sendiri. Jelaskan kekeliruan puan bila hubungan puan dan mertua tidak lagi seperti dahulu. Puan harapkan agar suami dapat membantu puan memperbaiki hubungan tersebut kerana puan yakin, suami puan lebih mengenali dan memahami ibunya sendiri berbanding puan. Luahkan semua itu secara lembut.

Sekiranya suami enggan berikan peluang atau enggan berbincang berkenaan perkara tersebut, biarkan dulu. Jangan dimarahi atau puan juga jangan menangis. Ada tikanya tangisan seorang isteri boleh menjadi duri kepada suami apabila si suami merasakan sememangnya si isteri bersalah dan tidak layak untuk menangis. Bila puan tidak diberikan kesempatan untuk berbincang, luahkan segala isi hati puan tersebut di dalam surat atau pun emel. Selepas beberapa hari, tanyakan kepada suami sama ada telah membaca surat atau emel tersebut. Jika suami masih enggan berikan kerjasama iaitu tidak berikan jawapan sama ada telah membacanya atau pun tidak, puan perlu bertindak lebih tegas.

Tegas yang saya maksudkan ialah puan perlu paksa suami mendengar luahan hati puan. Mungkin puan perlu merayu sambil memegang tangan suami atau apa saja tapi usahakan juga agar luahan hati puan diketahuinya. Cuma pastikan masa untuk ‘memaksa’ tersebut adalah masa yang sesuai. Masa yang paling sesuai ialah ketika suami ingin bersama dengan puan tapi jangan pula berterus terang masa tu. Cukuplah sekadar luahkan, puan ingin berbincang satu perkara penting bersamanya selepas selesai hubungan nanti.

Jika segala berjalan dengan baik, mohon agar suami menjadi orang tengah antara puan dan ibunya dengan matlamat utama untuk menjernihkan kembali hubungan antara puan dan mertua. Sebagai orang baru dalam keluarga tersebut (tiga tahun masih boleh dianggap baru), puan akuilah kesilapan dan kesalahan yang mungkin secara tidak sengaja dan tidak sedar telah dilakukan oleh puan. Puan mohon agar kesilapan puan dimaafkan dan berikanlah bimbingan dan tunjuk ajar kepada puan untuk menjadi yang lebih baik dan menepati kehendak mertua dan suami.

Andai suami enggan atau tidak boleh mainkan peranan, puan usahakanlah melalui bapa mertua, jika masih ada hayatnya. Mohon agar bapa mertua membantu puan muhasabah kesilapan yang puan sendiri tak pasti hingga mengeruhkan hubungan puan dengan ibu mertua. Jika bapa mertua tiada, boleh usahakan melalui ipar yang betul-betul boleh dipercayai dan diharapkan.

Andai tiada pilihan, cara paling baik ialah bersemuka dengan ibu mertua. Bersemuka yang saya maksudkan ialah cuba berbual dan bermesra dengannnya seperti sebelum berkahwin dan di awal perkahwinan dulu. Jika tiada maklumbalas serupa dengan masa-masa dulu, bersuaralah dengan lembut; tanyakan apa kesilapan dan kesalahan yang telah puan lakukan? Jangan terkejut atau marah ataupun terasa hati jika ibu mertua kembalikan soalan yang sama kepada puan! Memang lumrah jika ibu mertua bertindak sedemikian. Sebagai orang tua yang dah mula sensitif, dia merasakan puan tidak mengakui kesilapan sendiri dan bukan tidak tahu atau sedar dengan kesilapan tersebut.

Jangan berkeras dengan mertua puan. Sebaliknya bila mertua mula marah dan mempersoalkan kesalahan yang puan tak sedari, segeralah memohon maaf daripadanya. Tak salah kalau puan memeluk dan merayu agar ibu mertua memaafkan setiap kesilapan puan dan berjanjilah untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut. Jangan fikirkan apakah kesilapan tersebut dulu! Paling penting, tambat hatinya kembali. Bila hatinya telah berjaya puan takluki semula, insyaAllah sedikit demi sedikit perkara yang menjadi kesilapan di mata ibu mertua puan akan tersingkap satu persatu sama ada secara sengaja atau tidak.

Terus terang, berkemungkinan puan tak bersalah namun sebagai orang yang lebih muda, puan perlu mengalah dan berusaha untuk merebut kembali hati ibu mertua. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, hati orang tua adalah sensitif. Ada tikanya ibu akan terasa dengan menantu yang berjaya menjaga keperluan anaknya sendiri dengan baik hingga si menantu dipuji oleh si anak ataupun bagi ibu mertua, si anak rasa lebih gembira dengan layanan si isteri. Bila si ibu terasa dirinya dipinggirkan atau tidak lagi berada di tangga pertama dalam hati si anak, si ibu boleh bertindak pelbagai jenis sikap dan pendirian.

Ya… saya akui memang ramai yang masih mengamalkan sikap Mak Dara di dalam filem Ibu Mertuaku tetapi secara asasnya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan setiap masalah yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Pokok ceritanya, setiap ibu dan bapa inginkan kebahagiaan bagi anak-anak mereka. Kerana itulah, ada ibu bapa yang terlalu campurtangan di dalam urusan jodoh anak-anak hingga bertindak bagai memaksa. Malah ada yang asalnya bersikap manja bertukar menjadi naga apabila menantu bukan pilihan hati mereka.

Sebenarnya, sebagai menantu, mempunyai seorang ibu mertua adalah satu kelebihan kerana kita mempunyai dua orang ibu. Malah saya tidak berpeluang merasai nikmat itu. Lantas, apabila ada di kalangan rakan-rakan yang menceritakan kebaikan ibu mertua, terus terang, saya rasa amat cemburu tetapi bila ada pula yang menceritakan sikap ibu mertua yang tak sanggup dihadapi… terdetik pula, Alhamdulillah, aku tidak diuji sedemikian rupa. Persoalannya, bagaimana untuk menjadi sebagai seorang menantu kesayangan dan seorang ibu mertua yang dibanggakan?

Perlu diingat, rasa suka berkemungkinan tidak kekal selamanya, begitu juga rasa tidak suka boleh berubah menjadi suka jika kena caranya. Bagi memperolehi anugerah menantu kesayangan dan mertua kebanggaan perlulah ada pengorbanan. Apa yang penting ialah masing-masing pihak bersikap terbuka dan lebih rasional di dalam apa jua keadaan dan situasi. Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan di dalam menambat hati mertua. Ibu mertua kita adalah seperti ibu kita sendiri yang perlu kita hormati dan sanjungi.

Walaupun kita bukanlah menantu pilihan atau adalah menantu pilihan tetapi ibu masih boleh berubah pendirian, kita yang perlu lebih mendedahkan diri kita kepadanya, pikat hatinya, pujuk kasihnya walau segala macam dugaan kita terima. Memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, insyaAllah… berkat segala kegigihan dan pengorbanan kita, mertua akan menerima kita dan tidak mustahil di suatu ketika nanti, kita kembali menjadi menantu kesayangannya.

Ada juga jenis mertua yang tidak percayakan menantunya untuk menguruskan segala keperluan anaknya. Malah di dalam satu kes, seorang isteri memohon cerai daripada suaminya kerana setelah lebih setahun berkahwin, ibu mertuanya masih mahu menemani tidur anaknya (suami) sedangkan isteri pula terpaksa tidur bersendirian. Di dalam kes-kes melibatkan gelagat dan kerenah mertua yang keterlaluan seperti ini, si anak iaitu suami perlu lebih tegas. Memang tanggungjawab anak untuk patuh kepada kata-kata ibu tetapi bukan sampai merungkaikan sebuah ikatan perkahwinan. Seorang lelaki sejati perlu bijak menangani kerenah isteri dan gelagat ibu sendiri.

Sebagai mertua pula, kita juga perlu lebih bersikap terbuka. Kita sebagai orang yang lebih tua, yang lebih dulu rasa masinnya garam, yang lebih dulu rasa manisnya gula, jangan terlalu mengikut rasa. Terimalah takdir dan ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu kita walau dia bukan pilihan hati kita. Kita perlu tahu dan ingat, isteri anak kita berperanan membahagiakan kehidupan anak kita. Apabila kita campurtangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah porak peranda hidup anak kita.

Namun begitu, bukan bererti kita hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak kita dan minta anak kita lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumahtangga mereka.

Paling penting, baik menantu atau mertua, jangan lupa berdoa kepada-Nya mohon agar hubungan yang terjalin terus baik dan akrab. InsyaAllah, jika setiap individu tak kira anak, menantu atau mertua berusaha memainkan peranan untuk mewujudkan kebahagiaan bersama, apa juga masalah akan berjaya ditangani.

*** Perbincangan ini disiarkan menerusi ruangan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma bulan Mei 2010


Tiada ulasan: