06 Mei 2008

Iktibar dari kisah benar

Seorang isteri, Puan M memohon pertolongan saya bagi menguruskan tuntutan perceraian ke atas suaminya, En. S. Menurut Puan M, perkahwinan yang menjangkau usia 18 tahun adalah atas pilihan ibu bapa kedua-dua pihak. Hasil perkahwinan Puan M dan suami dianugerahkan tiga orang puteri berusia 16, 14 dan 12 tahun. Walau mempunyai tiga cahayamata, Puan M tidak pernah merasa gembira atau bahagia bersama suaminya. Hanya kerana anak-anak, beliau memaksa diri untuk tinggal sebumbung dengan si suami. Itupun, setelah dua kali bercerai dan rujuk semula. Bererti, permohonan perceraian yang bakal dipohon ini adalah untuk kali ketiga.

Bila ditanya kenapa ingin keluar dari perkahwinannya, Puan M menjelaskan, selama hampir 18 tahun perkahwinan, jiwa dan perasaannya tersiksa. Sudahlah perkahwinan atas pilihan orang tua, beliau dikahwinkan pula ketika usia muda iaitu 19 tahun sedangkan pada masa tersebut beliau layak meneruskan pengajian ke sebuah intitusi pengajian tinggi tempatan. Enggan menjadi anak derhaka, beliau menurut kehendak orang tua dengan harapan perkahwinan yang direstui ibu bapa itu akan memberikannya kebahagiaan. Awal perkahwinan, mereka tinggal bersama mertua dan menurut Puan M, sebagai menantu pilihan mertua, hidupnya memang gembira. Selepas dua bulan perkahwinan, suami mendapat tawaran kerja di ibu kota. Puan M bersyukur, sinar bahagia makin menyerlah.

Dua bulan di ibu kota, Puan M mula mengalami tekanan. Diri telah berbadan dua, suami pula makin suka berpoya-poya. Balik lewat-lewat malam, makan minum isteri dah tak dipedulikan lagi. Namun, Puan M masih bersabar, duit simpanan yang ada digunakan untuk menampung keperluan, demi anak di dalam kandungan, cahayamata bakal penambat semula kasih sayang, begitulah harapannya. Namun, kita hanya merancang dan menaruh harapan. Dia lebih mengetahui tentang segala kejadian. Sikap suami tak berubah. Habis kerja pukul 5 petang tapi lewat malam baru balik ke rumah. Waktu hujung minggu, Puan M tetap bersendirian manakala si suami, entah ke mana pergi. Motor kapcai telah digantikan dengan motor berkuasa tinggi. Makin seronoklah memperaga diri. Puan M pernah menasihati tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Tak nak sakitkan kepala, Puan M mula mencari kerja. Puan M mengharapkan, lahirnya cahayamata pertama nanti, sikap suami akan berubah. Namun, bagai mengharap bulan jatuh ke riba. Suaminya masih sama seperti sebelumnya. Malah berterusan hingga perkahwinan mereka dikurniakan tiga orang puteri. Puan M menjadi hilang sabar apabila suaminya tidak mengendahkan langsung dirinya yang demam teruk. Suaminya tetap keluar malam dengan alasan telah berjanji dengan rakan-rakan. Hanya tiga puteri yang masih belum mengerti apa-apa ditugaskan menjaga si isteri. Puan M nekad. Daripada bersuami tapi seperti tak ada, biarlah betul-betul tak ada. Bukan saja tak prihatin kepada isteri, suaminya juga tak ambil peduli tentang anak-anak. Makan minum, pakaian, sakit… semuanya si isteri yang menanggung. Keputusan muktamad, akhirnya Puan M dan suaminya bercerai.

Belum pun cukup sebulan, suaminya seolah sedar diri. Sikap si suami berbeza sama sekali. Saban hari Puan M menerima bunga dan kad bertulis kata-kata romantik dan janji-janji indah. Puan M masih keras hati. Namun, bila si suami berterusan mengulangi sikap romantiknya itu hingga hampir habis tempoh eddah, Puan M terbuka hati untuk menerima suaminya kembali. Namun, tak sampai seminggu, Puan M mula menyesali tindakannya merujuk kembali kerana si suami masih dengan sikap yang sama. Keluar di malam hari. Bila diminta duit buat belanja, suaminya seperti punya telinga kuali. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Puan M bersabar, demi anak-anak yang makin membesar. Namun, ujian Allah tiada siapa menyangka. Puan M diberhentikan kerja tanpa sebarang pampasan kerana syarikatnya mengalami kerugian.

Walau Puan M tidak punya pendapatan, suaminya tetap mengabaikan nafkah hingga memaksa Puan M bekerja sendiri dengan membuat kuih dan nasi lemak untuk dijual. Puan M hilang sabar apabila satu hari, si suami mengambil wang yang disimpannya tanpa pengetahuannya. Puan M nekad, suaminya tidak boleh diberi muka lagi. Puan M membawa anak-anaknya pulang ke kampung. Perceraian diuruskan. Sah, mereka bercerai untuk kali kedua.

Ujian Allah datang lagi. Selepas sebulan bercerai, si suami menyertai mereka di kampung. Kali ini, si suami memikat hati anak-anak agar Puan M kembali ke pangkuannya. Sebelum ini, sehelai baju pun susah nak dapat tetapi kali ini, anak-anak menerima pelbagai jenis hadiah. Usaha si suami berjaya. Anak-anak yang mula meningkat usia remaja memujuk agar Puan M menerima ayah mereka. Hari terakhir di dalam tempoh eddah, Puan M menerima suaminya kembali. Selesai rujuk, Puan M rasa sesal kerana percaya, dia tersalah langkah. Memang nyata, hanya seketika sebelum bersama semula sahaja si suami berubah sikap. Bila kembali bersama, bukan sahaja dirinya, anak-anak juga tidak dipedulikan lagi. Segalanya kembali seperti sedia kala.

Puan M tak dapat menahan diri lagi bila ketiga-tiga puterinya jatuh sakit serentak dan beliau tiada wang untuk membawa anak-anaknya ke klinik. Bila diajukan kepada si suami, suaminya hanya berkata, “Nanti baiklah tu!!” Sikap suaminya memaksa Puan M menuntut cerai kali ketiga dan kali inilah, bantuan saya diperlukan. Mendengar aduan kes Puan M, saya berusaha menuntut hak yang patut untuknya sebagai seorang isteri. Demi keadilan, penjelasan daripada suami juga perlu saya teliti. Satu tarikh ditetapkan. Si suami berjumpa dengan saya bagi menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya.

Aduan Puan M yang inginkan perceraian saya nyatakan. Si suami hanya diam. Kemudian si suami mula bersuara. “Saya tahu, saya dah banyak lukakan hati isteri saya. Hampir 18 tahun berkahwin, saya gagal menjadi seorang suami dan seorang ayah yang baik. Saya abaikan tanggungjawab nafkah isteri dan anak-anak. Isteri saya yang berhempas pulas membesarkan anak-anak saya. Tapi saya masih sayangkan isteri dan anak-anak saya. Cinta saya terhadap isteri tidak pernah padam. Malah, saya boleh buktikan, sepanjang tempoh perkahwinan kami, walaupun saya seorang yang suka keluar malam, saya tidak pernah mempunyai wanita lain. Saya hanya keluar bersama rakan-rakan lelaki.”

Bila saya ajukan tentang nafkah isteri dan anak-anak yang beliau abaikan, si suami menjelaskan, gajinya dihabiskan dengan tujuan berseronok bersama kawan-kawan lelakinya, untuk perbelanjaan menukar aksesori motor malah satu kelemahan, beliau tidak dapat mengelak daripada menggunakan wang gajinya untuk belanja kawan-kawannya setiap kali keluar. Beliau bimbang akan kehilangan kawan-kawan sekiranya beliau menolak permintaan kawan-kawannya itu. Tambah si suami, beliau sedar tentang tanggungjawabnya sebagai suami namun apabila dilihat si isteri berjaya menampung segala perbelanjaan keluarga walau tanpa bantuannya, beliau rasa lega dan bangga mempunyai isteri seperti itu.

Kes sudah nyata dan jelas. Aduan Puan M tidak tersasar. Namun, satu masalah iaitu suami Puan M enggan menceraikan Puan M. Cukuplah dua kali beliau mengikut kehendak Puan M kerana beliau percaya dia boleh hidup tanpa Puan M tapi nyata tidak boleh. Sesi kesimpulan, saya panggil kedua suami dan isteri berjumpa dengan saya. Perbincangan hati ke hati dibuat. Puan M berkeras untuk bercerai dan En.S juga berkeras enggan menceraikan isterinya. Kata Puan M, beliau tidak dapat mempercayai suaminya lagi selepas dua peluang diberi. Dah lah di dalam hatinya tidak pernah ada rasa kasih terhadap suami. Malahan, menurut Puan M, setiap kali si suami keluar rumah, beliau akan mendoakan agar si suami ditimpa kecelakaan. Nauzubillah… betapa terlukanya hati si steri. Memang payah… kepercayaan bukan seperti makan nasi. Tak sedap satu jenis lauk, boleh pilih lauk lain pulak.

Tiada kesudahan, saya mengambil satu keputusan. Kedua-dua pasangan suami isteri diberikan masa selama tiga bulan untuk memikirkan tentang kedudukan perkahwinan mereka. Cadangan saya semestinya dipersetujui oleh si suami. Dia tersenyum mengucapkan terima kasih. Namun sebelum berlalu, setiap pengakuan suami saya rekodkan dengan ditandatangani oleh si suami, sebagai persediaan untuk apa jua yang bakal berlaku. Puan M mendiamkan diri. Agar Puan M tidak keliru, saya jelaskan keadaan yang sebenar kenapa saya mengambil keputusan sedemikian. Sebenarnya, kes Puan M boleh dibawa ke mahkamah namun apabila si suami enggan menceraikan, kes akan dibubarkan untuk jawatan kuasa pendamai, maka akan memakan masa tiga hingga enam bulan juga untuk proses kaunseling. Lebih kurang sama dengan apa yang saya cadangkan. Sebaliknya, jika selepas tempoh tiga bulan, si suami tidak menunjukkan perubahan, kes Puan M boleh diketengahkan menggunakan tuntutan cerai yang lain dan insyaAllah, pengakuan si suami yang telah saya rekodkan boleh digunapakai.

Saya nasihatkan juga, tindakan Puan M yang mengambil keputusan untuk bercerai kali ini juga adalah satu tindakan segera selepas Puan M terhantuk. Ada tikanya tindakan tersebut di luar pertimbangan sewajarnya walau fakta kes menyokong untuk Puan M bertindak sedemikian. Puan M masih boleh memberi peluang kepada si suami kerana si suami sedar tentang kesilapannya. Cuma saya minta, apa jua keperluan rumahtangga, biar suami yang menanggung. Seperti hidangan, sediakan apa yang dibekalkan oleh si suami sahaja. Jika tidak, sediakan untuk santapan sendiri dan anak-anak, untuk keperluan suami pula, ‘pejam mata’ sekejap, biar suami sedar diri sepenuhnya dan tak rasa, isteri tidak memerlukannya.

Saya juga menasihatkan agar si isteri bertenang, cuba doakan agar Allah berikan petunjuk terhadap perkahwinan mereka. Kalau jodoh mereka memang berada di akhir garisan, mohon supaya Allah mudahkan urusan perceraian mereka. Jika jodoh mereka masih panjang dan baik untuk diri Puan M, suami dan anak-anak, mohon Allah tunjukkan jalan terbaik untuk Puan M bertindak. Saya juga memohon agar Puan M padamkan kebencian terhadap suami yang ada di dalam hatinya. Jangan teruskan dengan amalan mendoakan keburukan terhadap suami. Bukan sahaja tidak elok natijahnya kepada suami malahan kepada diri Puan M kerana Puan M akan berterusan meletakkan dirinya dalam keadaan marah dan kebencian. Kebetulan tika itu, kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Ramadan yang mulia. Saya meminta Puan M gunakan peluang yang baik itu untuk memohon petunjuk daripadaNya.

Dua minggu selepas Aidil Fitri, saya mendapat panggilan daripada Puan M. Katanya, hari ini adalah pertama kali sepanjang tempoh perkahwinannya beliau mengharapkan suaminya selamat di dalam perjalanan, selamat ketika bekerja dan selamat kembali ke pangkuannya dan anak-anak. Suaranya sebak namun saya yakin, Puan M bahagia. Ketika saya tanyakan adakah suaminya telah berubah. Kata Puan M, suaminya masih belum berubah sepenuhnya malahan Puan M masih perlu menanggung makan minumnya dan anak-anak namun Puan M seperti rela dan sanggup bersabar menunggu perubahan sikap si suami. Bila saya tanyakan, bagaimana dengan cadangan perceraian dahulu? Puan M masih berpegang kepada cadangan saya, keputusan selepas tempoh tiga bulan.

Selepas tiga bulan, saya menerima panggilan daripada Puan M. Mereka kini tidak berada di ibu kota lagi. Kira-kira sebulan yang lalu, si suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung. Alhamdulillah, walau tak mewah namun si suami telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan seorang ayah seperti yang sewajarnya. Makan minum Puan M dan anak-anak dijaga. Kesihatan dan kebajikan Puan M dan anak-anak sudah diambil peduli. Puan M bersyukur, walau kebahagiaan hanya dirasakan selepas tempoh tiga bulan namun ianya memang berbaloi walau selepas 18 tahun menderita.

Demikianlah, kasih sayang bukan paksaan. Kasih sayang perlu dipupuk. Di dalam kes ini, kasih sayang gagal dibentuk oleh si suami malahan si suami telah membenihkan perasaan benci di dalam diri isteri dengan tindakannya yang lari daripada menunaikan tanggungjawab. Kepercayaan juga adalah satu perkara penting yang perlu dijaga. Bayangkan, jika anda kenal seseorang sebagai seorang yang suka bergurau, saya yakin anda sukar menerima apa yang dikatakan oleh orang tersebut sebagai satu kepastian. Sama juga sekiranya anda telah tahu seseorang itu sering menipu, apakah senang untuk anda mempercayainya? Lantas, jaga perkataan dan perlakuan, jangan sampai anda sukar dipercayai. Dalam apa jua tindakan, mohon petunjukNya, Dia lebih Mengetahui.

***Kisah ini adalah kisah benar daripada kes pertama yang saya kendalikan setelah memasuki ambang kerjaya pada April 1998.

1 ulasan:

Kaklong Syikin berkata...

salam,

tahniah atas pembukaan blog ini :)

moga dimanfaatkan oleh warga masyarakat lain sepenuhnya