11 November 2008

Isu sajak "Kematian"

Beberapa hari ni kecoh tentang isu sajak kematian, di media cetak mahupun media elektronik malah mendapat maklumbalas meluas di dalam forum-forum di internet juga kumpulan-kumpulan emel.

Namun, dalam kekecohan yang ada skrg ni, saya tak perasan pulak ada komen daripada mereka yang mempunyai latar belakang dan berpendidikan agama yang tinggi dan bukan setakat cukup makan untuk digelar ustaz/ustazah (berikutan isu ustazah jahil la ni... ada masa, saya bincangkan pulak nanti). Tak tau la kalau saya 'terlepas ' tika komen mereka ini disiarkan. Namun, dek komen-komen yang memberikan lebih banyak pandangan negatif terhadap isu sajak kematian ini, menyebabkan saya terpanggil untuk membincangkannya.

Bukanlah saya orang yang amat layak atau mempunyai latar belakang dan berpendidikan agama yang tinggi namun insyaAllah, dengan sedikit ilmu yang Allah berikan, saya rasa bertanggungjawab untuk memberikan pendapat.

Rata-rata komen yang tidak bersetuju persembahan sajak Kematian ini dipertontonkan kepada anak-anak, memberikan alasan ia terlalu extreme atau melampau dan tidak sesuai dengn jiwa dan psikologi kanak-kanak. Persoalannya, kenapa extreme, kenapa melampau dan tidak sesuai??

Semua Muslim tau malah non Muslim juga tahu, kematian adalah pasti. Takkan ada seorang manusia malah makhluk lain juga yang dapat lari daripada kematian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Setiap yang hidup pasti akan merasai mati." - surah Al-Anbia ayat 35.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Di mana sahaja kamu berada, maut pasti akan mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas menara-menara yang kukuh." - surah An-Nisa ayat 78.

Dah jelas, kematian adalah perkara yang pasti. Bila dan di mana? Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Habis, apa yang extreme nya? Menceritakan perkara yang benar tidak boleh dikatakan melampau. Kalau menonton cerita-cerita yang tidak benar hingga mempengaruhi anak-anak, itu boleh dikatakan melampau.

Kenapa tak sesuai? Sebab anak-anak masih muda lagi??? Jangan lupa! Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Maka apabila tiba ajal mereka nescaya tidak bolah dilewatkan dan diawalkan walaupun sesaat"- surah Al-A'raf ayat 34.

Hakikatnya, usia anak-anak yang masih muda inilah merupakan masa yang sesuai untuk memberikan ilmu yang baik kepada mereka. Bak kata pepatah: melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kalau dah hidup lama tinggi mencecah pucuk-pucuk kayu, sukar dan amat susah nak dilentur lagi.

Saya tak setuju tentang wujudnya tahap pemikiran yang berbeza antara kanak-kanak. Cuba kita renung sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun."

Saranan dan arahan drpd baginda Rasulullah SAW tidak memberikan perbezaan untuk setiap anak-anak. Hukum adalah sama jika anak-anak adalah mumaiyiz dan berakal. Mumaiyiz bermaksud tahu membezakan yang baik dan yang buruk. Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyiz ini. Namun begitu, menurut kebiasaan, anak lelaki dianggap telah mumaiyiz apabila berumur tujuh tahun dan anak perempuan pula berumur sembilan tahun.

Berakal mengikut istilah syarak adalah tidak gila atau mampu berfikir dengan baik. Bererti tidak ada perbezaan tahap pemikiran atau IQ yang boleh diambil kira sebagai rukhsah atau keringanan di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim.

Sewajarnya juga anak-anak didedahkan dengan kematian sebagai peringatan bahawa hidup di dunia bukanlah kehidupan yang abadi. Sebaliknya kehidupan di dunia ini adalah sebagai satu cara bagi kita mencari bekalan untuk kehidupan yang lebih abadi di akhirat nanti.

Takut?? Memang itulah tujuannya, supaya takut dan mengambil iktibar. Dalam konteks ini, kita sebagai ibu bapa dan guru juga berperanan menceritakan hakikat sebenar kepada anak-anak. Bukannya ketakutan anak-anak kita tambahkan lagi menjadi negatif. Sewajarnya ketakutan anak-anak itu kita jadikan asas untuk mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Sama seperti selepas anak-anak ketakutan menonton filem seram, jelaskan hakikat sebenar. Kalau tak dijelaskan, pasti ada yang perlu tunggu anak-anak dalam tandas tika anak nak buang air, betul tak?

Sebab itu lah menjadi ibu bapa bukan hanya satu kebanggaan sebaliknya adalah satu tanggungjawab. Jangan nak harapkan semuanya kepada guru. Jangan juga nak serahkan sepenuhnya kepada isteri sahaja. Mendidik dan membimbing anak-anak merupakan tanggungjawab dan peranan bersama setiap ibu bapa.

Ingatlah!! Anak-anak adalah kain putih, cantik corak yang anda lakarkan, akan cantiklah hidupnya kelak dan jangan lupa, hidup di dunia bukan kekal, hanya akhirat yang abadi lantas, coraklah anak-anak anda dengan corak yang menurut asas-asas syariat. InsyaAllah, bukan saja anak-anak malah anda sendiri takkan rugi....

Tiada ulasan: