13 November 2008

Kemaafan adalah dendam yang terindah

Jika anda peminat penyanyi Aishah yang satu masa dulu popular dengan lagu Janji Manismu... anda pasti ingat satu antara lirik lagunya adalah tajuk perbincangan saya kali ini.

Ya... kemaafan sama ada meminta maaf apatah lagi memaafkan adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan namun hakikatnya memohon maaf dan memberi maaf adalah dua sikap terpuji yang mampu menjadikan kehidupan anda lebih ceria, tenang dan harmoni.

Bagaimana nak minta kalau bukan aku yang bersalah? Ada tikanya kita tak perasan, sebenarnya kita juga bersalah. Bagaimana nak memaafkan kalau dia memang bersalah? Siapalah kita untuk mendabik dada berbangga diri sedangkan Dia yang Maha Esa, segalanya di bawah kuasa-Nya masih mampu dan mahu memaafkan setiap kesilapan dan kesalahan kita.

Sebentar tadi saya berkongsi cerita dengan ketua yang amat saya sanjungi. Dia ceritakan tentang kemuliaan sikap Rasulullah SAW. Selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar r.a berusaha melakukan setiap perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Satu hari, Sayidina Abu Bakar bertanya kepada anaknya, Aishah r.anha, apakah lagi perbuatan Rasululullah SAW yang belum dilakukannya? Aishah menjawab; semuanya telah dilakukan. Namun Sayidina Abu Bakar bertanya lagi kerana terasa masih ada yang kurang.

Tidak lama Aishah menjawab: Tika hayat baginda, Rasulullah selalu memberi makan kepada seorang lelaki buta berbangsa Yahudi di pasar. Maka Sayidina Abu Bakar segera ke pasar mencari lelaki buta tersebut. Sampai di sana, Sayidina Abu Bakar terpandang seorang lelaki buta sedang mencaci maki dan menghina Rasulullah SAW.

Sayidina Abu Bakar menghampiri lelaki buta lalu disuapkannya makanan kepada lelaki buta tersebut. Lelaki buta itu berkata: kamu bukan lelaki yang selalu suapkan aku makanan. Sayidina Abu Bakar bertanya: bagaimana kamu tahu? Lelaki buta menjawab: Aku tahu kerana dia lebih bijak dan baik daripada kamu. Dia suapkan aku roti yang lembut dan dalam cebisan yang kecil, sesuai dengan diriku yang tua... bukan seperti cebisan yang kamu suapkan kepada aku...

Sayidina Abu Bakar menangis. Dia mengakui kebenaran kata-kata lelaki buta itu. Memang sungguh lelaki yang menyuapkan makanan kepada lelaki buta itu adalah seorang yang mulia dan tinggi budi pekertinya. Sayidina Abu Bakar bertanya kepada lelaki buta: tahukah kamu siapa lelaki itu? Lelaki buta menjawab: aku tak tau...

Sayidina Abu Bakar menjawab: Dialah Muhammad... orang yang sebentar tadi kau caci dan kau cakap yang tak baik tentang dirinya....

Lelaki buta yang mendengar jawapan Sayidina Abu Bakar menangis. Dia sungguh tidak menyangka lelaki yang sering dicaci dan dihinanya sejak lama dulu adalah lelaki yang selama ini memberikannya makanan yang disukainya....

Apakah pengajarannya? Saya tahu, kita... saya sendiri juga bukanlah malah takkan mungkin mampu menjadi semulia Rasulullah SAW tetapi apalah salahnya, kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah ini.

Sebagai manusia, kita adalah makhluk yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan... sama juga dengan insan lain di sekeliling kita... saya akui, ada tikanya hati kita sakit dan pedih malah sukar melupakan kesakitan dan kepedihan tersebut... namun, sama-samalah kita ingat dan tanamkan di dalam fikiran, kita hidup di dunia hanya satu persinggahan, hanya akhirat menjanjikan kehidupan abadi dan jika kita enggan memohon maaf apatah lagi enggan memaafkan orang lain, natijah dan kesannya amat buruk di akhirat nanti...

Ingat janji Allah!! Allah tidak akan memaafkan hamba-Nya selagi hamba tersebut masih belum dimaafkan oleh hamba-Nya yang lain.... lantas, sama-samalah kita bermaaf-maafan walau Syawal telah berlalu pergi kerana bermaafan adalah perlu pada setiap saat dan waktu. Kenapa? Kerana kita tak tau bila ajal kita. Jika dijemput-Nya tanpa sempat kita memohon maaf atau memberi maaf??? Fikirkanlah....

****Saya juga memohon maaf andai ada sikap atau kata-kata saya yang mengguris hati dan perasaan sesiapa juga. Halalkan jugalah segala makan minum saya jika anda. Saya juga dengan senang hati memaafkan sesiapa sahaja yang pernah tersalah dengan saya.... Moga kita semua sama-sama dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan dalam keadaan diredhai-Nya....

1 ulasan:

~ iza ~ berkata...

salam puan suzana,
kadang2 mmg amat sukar nak memaafkan seseorang kerana hati yang terlalu rasa perit..sedang dia berseronok dengan perbuatannya..