Dua hari tak sempat jenguk blog. Agak sibuk dengan kerja di pejabat dan temujanji dengan klien. Alhamdulillah, hari ini dapat juga menjenguk sekejap. Ada cerita yang ingin saya kongsi dengan anda semua tentang kes terkini yang saya kendalikan. Ada beberapa kes yang saya terima tetapi terdapat tiga kes yang hampir serupa:
Kes 1: Seorang suami gagal memperuntukkan nafkah zahir yang mencukupi keperluan kepada isteri sebaliknya meminta agar isteri melayaninya persis melayan seorang raja.
Kes 2: Seorang suami yang meminta isteri bekerja bagi membantu membiayai keperluan rumahtangga dan dalam masa yang sama enggan bertolak ansur membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Cadangan isteri untuk mengambil pembantu juga ditolak.
Kes 3: Seorang suami yang gagal menyediakan peruntukan nafkah zahir sebaliknya hanya tahu meminta wang daripada isteri sejak awal perkahwinan. Bila si isteri menolak, suami akan marah-marah. Paling menyemarakkan amarah suami hingga sanggup memukul ialah apabila isteri yang mula rasa kehabisan sayang enggan melayan kehendak batinnya.
Tak perlulah saya jelaskan keseluruhan fakta kes, memadailah dengan fakta penting dan utama sahaja. Tak taulah apa pandangan anda berkaitan kes. Bagi saya, kes-kes ini adalah antara kes yang biasa sampai ke pendengaran saya. Walaupun biasa tetapi pedasnya tetap terasa.
Memang pedas sebabnya kes-kes seperti ini sepatutnya tidak berlaku dan tidak akan berlaku sekiranya setiap individu menjalankan tanggungjawab dan kewajipan masing-masing. Bila ada tanggungjawab yang dilaksanakan bermaksud adalah hak yang ditunaikan.
Apa tujuan anda berkahwin? Nak penuhkan kehendak batin sendiri? Cinta? Cinta apa jika membuatkan insan tercinta menderita? Tak tau tentang tanggungjawab dan kewajipan? Jangan memberi alasan palsu. Bukankah anda diwajibkan menghadiri kursus perkahwinan? Apa yang anda buat ketika kursus?
Terus terang, saya amat benci kaum lelaki yang hanya pandai minta isteri bersikap solehah sedangkan diri sendiri....
Kepada kaum lelaki: Tanggungjawab sebagai suami amat berat. Bukan sekadar nak serahkan kepada isteri anda 'anugerah yang Allah berikan percuma kepada anda'. Kalau hanya itu yang anda boleh banggakan, maaf kalau agak kasar tetapi terus terang saya katakan, andai ditakdirkan monyet itu boleh membuat pilihan, nama anda takkan ada dalam senarainya.
Kepada para isteri: Jangan tersilap mentafsir kasih suami. Perkahwinan adalah untuk bahagia kedua-dua pihak, suami dan isteri. Hikmah perkahwinan juga adalah untuk sama-sama merasai nikmat hidup berumahtangga, bukan nikmat untuk suami sahaja. Andai hikmah tiada lagi, carilah jalan keluar kerana anda juga berhak bahagia. Lupakan kasih berbaki kerana penting untuk anda tunjukkan, anda mampu hidup lebih bahagia tanpa dirinya.
INGAT! Isteri adalah anugerah yang perlu dihargai, bukannya boleh diperlakukan seperti pelayan atau hamba. Jika anda gagal menghargai, percayalah anugerah berharga akan ditarik balik daripada anda....
***Siapakah yang memperuntukkan perbelanjaan bagi segala kos rumahtangga? Berikan undian anda sekarang. Sila rujuk kolum sebelah. Terima kasih atas undian anda.
#Dah sertai Kelab Bersama Suzana? Maklumat lanjut klik sini .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan