Cepatnya masa berlalu, dah lebih dua bulan usia blog saya ni. Tanggal 18hb yang lalu, genap dua bulan usia blog saya ni. Alhamdulillah, saya masih mampu mengemaskinikan blog ini dan saya berdoa, kemampuan ini berterusan.
Teringat masa awal perkahwinan dulu, saban bulan saya akan raikan ulangbulan perkahwinan dengan adik-adik dan ipar saya yang tinggal bersama sebelum kami dikurniakan puteri sulung. Masa tu, acaranya adalah makan-makan kat luar. Selepas dikurniakan Ayuni Syafiqah, adik-adik dah tak tinggal bersama sebab pengajian dah tamat dan mula bekerja, acara ditukar dengan makan-makan di rumah sahaja dan saya akan masak makanan kegemaran masing-masing.
Sama juga dengan ulangtahun perkahwinan, tiada acara-acara hebat atau keraian yang meriah, sekadar ucapan dan makan bersama. Yang penting, tarikh penting tersebut diingati, diraikan walau sekadar dengan ucapan. Bukan sahaja ulangtahun perkahwinan tetapi ulangtahun kelahiran atau apa-apa khabar gembira, perlu diraikan bersama antara anda dan pasangan anda. Sebagai contoh, pasangan anda mendapat kenaikan pangkat, ucapkanlah tahniah! Kalau ulangtahun kelahiran pula, ucapkanlah doa-doa yang menggembirakan diri pasangan anda, jangan melukakan hatinya pula. Walau mungkin bergurau tetapi ada tikanya, hari-hari istimewa ini bukan masa yang sesuai untuk anda melafazkan kata-kata gurauan anda.
Kenapa perlu hari-hari atau berita istimewa ini diraikan? Ya! Sebagai satu tanda penghargaan. Betapa anda menghargai diri pasangan anda. Betapa anda gembira dengan kehadirannya di dalam hidup anda. Betapa anda berbangga dengan pencapaian dirinya. Percayalah, pasangan yang menerima ucapan tersebut juga akan mempunyai rasa yang sama: betapa dia dihargai, disayangi dan dikagumi. Kalau boleh, praktikkan untuk menjadi orang pertama meluahkan ucapan penghargaan tersebut. Kecualilah anda mempunyai agenda lain untuk 'suprise'kan pasangan anda. Tapi, tak salah untuk jadi yang pertama memberi ucapan walaupun ada acara lain yang dirancang.
Percayalah, menerima ucapan penghargaan daripada insan tersayang adalah satu perkara yang amat tinggi nilainya. Malangnya, kerap sangat saya menerima aduan daripada para isteri, bukannya suami tak berikan hadiah atau ucapan malah mula lupakan hari ulangtahun. Berhati-hatilah jika keadaan ini berlaku di dalam perkahwinan anda. Carilah punca dan jalan penyelesaiannya kerana detik bahagia tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dikenang dan diraikan.
1 ulasan:
salam akak suzana;
maaf kerana berminat nak comment entri yang dah lama ni. saya baru saje jd follower blog akak ni. selama ni sy cuma suka sangat baca kolum akak dlm MW.
soalan sy, bagaimana pulak kalau pasangan kita masih sambut tarikh anniversary dengan bekas kekasih nya selepas berkahwin dengan kita? sedangkan mereka telah putus hubungan sblm berkahwin dengan pasangan masing2?
apakah hak sebagai isteri? adakah wajar isteri curiga dan melarang, atau bagaimana jika suami anggap isteri nya tidak berfikiran terbuka?
semoga mendapat penjelasan dari akak. terima kasih.
Catat Ulasan