27 Jun 2008

Kuasa persekitaran

Terdapat beberapa klien yang berjumpa saya, menyoal kenapa saya adakan sesi temujanji di tempat awam? Ya! Saya jarang bertemu klien di pejabat. Kebanyakan sesi temujanji saya diadakan di restoran makanan segera atau beberapa tempat makan lainnya. Kecuali kes-kes terpencil contohnya melibatkan perjumpaan bersama suami isteri, akan saya adakan di pejabat.
Kenapa? Saya mempunyai sebab tersendiri ketika memilih untuk bertemu klien dengan cara tersebut. Anda tentu pernah dengar tentang faktor persekitaran yang boleh menyumbang kepada sesuatu keadaan atau keputusan. Ya! Saya memang nampak perbezaan yang jelas antara mengadakan sesi rundingcara di pejabat dan di tempat awam.

Tak perlu dinyatakan lagi, sememangnya mereka yang berjumpa dengan saya merupakan mereka yang memerlukan khidmat nasihat saya. Malangnya, ketika mempraktikkan sesi rundingcara di pejabat, sesi tersebut agak sukar mencapai matlamat. Saya hadkan sesi saya maksima dua jam. Bererti, dalam tempoh masa tersebutlah anda boleh luahkan segala isi hati anda dan saya akan berikan jalan dan ikhtiar untuk anda pertimbangkan.

Sesi menjadi sukar apabila ada di kalangan klien wanita (saya juga mempunyai klien lelaki-berjumpa di luar dapat elakkan fitnah) yang tidak mampu meluahkan isi hati sebaliknya sesi lebih kepada titisan air mata. Bila emosi anda tidak dapat dikawal, masalah sukar diselesaikan. Rentetan daripada itulah saya terfikir untuk mengadakan sesi rundingcara di tempat awam. Sebabnya, bukan saya dan anda sahaja yang ada tetapi saya dan anda dikelilingi orang lain juga.

Secara tidak langsung, anda sendiri akan mengawal perasaan anda. Anda akan dapat menahan tangis dan dapat meluahkan isi hati anda kepada saya dengan lebih mudah. Jangan bimbang orang lain mendengar masalah anda. Keadaan tersebut tidak akan berlaku sama sekali. Sebabnya, setiap individu yang pergi ke tempat awam tersebut mempunyai hasrat yang tersendiri. Malah, selalunya mereka berteman dan berbual sama seperti saya dan anda berbual. Memang tak sempat nak memasang telinga mendengar cerita anda.

Perbualan kita pula bukanlah perbualan menggunakan pembesar suara dan tak perlu risau sebab tidak ada siapa yang mengenali saya walaupun gambar saya terpapar di majalah MW. Ya! Gambar saya itu tidak sama dengan rupa sebenar saya. Itu gambar tiga tahun lepas, tika mengandungkan anak ketiga yang gugur awal Januari 2006. Masa tu, saya disolek hampir satu jam. Bila anda berjumpa saya, tiada solekan satu jam sebaliknya hanya ada kecantikan semulajadi ciptaan Allah hehehe :)

Bila anda dapat mengawal perasaan dan meluah rasa dengan baik, matlamat rundingcara akan tercapai. Anda tak rugi, masalah juga boleh diselesaikan insyaAllah.

Bukan di dalam sesi rundingcara sahaja sebaliknya persekitaran memberikan impak yang besar kepada kita semua. Persekitaran mampu mengubah sikap dan keperibadian kita. Saya masih ingat, ketika saya bekerja sekejap di sebuah syarikat multimedia, tika saya belum mempunyai lesen untuk berguam di mahkamah.

Polisi syarikat tidak menggalakkan pertuturan lisan sesama rakan sekerja sebaliknya menggunakan emel sahaja. Bayangkan, saya yang terkenal dengan mulut yang sentiasa kecoh, boleh menjadi pendiam. Hatta tika menjawab panggilan telefon daripada Mak, saya disangka sedang demam sebab suara berlainan daripada biasa, gara-gara jarang bercakap. Kerana tak sesuai dengan keadaan tersebut, saya mengundur diri dan kebetulan saya lulus ujian untuk berguam di mahkamah.

Ketika bersekolah dulu, ada seorang rakan saya yang amat pendiam. Memang jarang sangat nak dengar suaranya. Ditakdirkan, rakan saya itu ditukarkan tempat duduk bersebelahan dengan saya. Tak lama, rakan saya itu mula menjadi peramah hingga mengejutkan guru-guru. Hehehe berjaya jugak saya mempengaruhinya tapi pengaruh yang baik, tak salah kan?!

Sebab itulah kita selalu diingatkan agar berhati-hati dalam memilih kawan. Dalam kehidupan kini, bukan sahaja perlu berhati-hati dalam memilih kawan sebaliknya kita juga perlu berhati-hati di dalam memilih persekitaran kerja dan kediaman.

Pastikan juga anak-anak anda dibesarkan dalam persekitaran yang baik. Hayatilah rangkap-rangkap hikmah berikut:

Jika anak anda hidup dalam kekasaran,
dia akan belajar melawan orang lain;

Jika anak anda hidup dalam kritikan,
dia akan belajar menyalahkan orang lain;

Jika anak anda hidup dalam ketakutan,
dia akan belajar jadi pengecut;

Jika anak anda hidup dalam iri hati,
dia akan belajar berasa bersalah;

Jika anak anda hidup dalam kesabaran,
dia akan belajar menjadi penyabar;

Jika anak anda hidup dalam galakan,
dia akan belajar menjadi yakin;

Jika anak anda hidup dalam pujian,
dia akan belajar menghargai;

Jika anak anda hidup dalam persetujuan,
dia akan belajar menyayangi diri sendiri;


Jika anak anda hidup dalam kejujuran,
dia akan belajar memahami kebenaran;

Jika anak anda hidup dalam keadilan,
dia akan belajar menjadi adil;
Jika anak anda hidup dalam keselamatan,
dia akan belajar menyayangi diri dan orang lain;

Jika anak anda hidup dalam kemesraan,
dia akan belajar untuk menyayangi masyarakat.





Tiada ulasan: